Jadikanlah aku di antara hamba yang bersyukur

>> Sunday, December 19, 2010


"Zahid Hamidi mohon gaji tentera dinaikkan!"

Wah, begitu riuhnya suasana kerja di pejabat pada keesokan harinya. Ada anak buah yang terus bertanyakan saya perihal kebenaran cerita ini. Mereka menyangka bahawa cerita begini pastinya sampai kepada pegawai-pegawai terlebih dahulu. Maaflah, saya hanya punya kelebihan rajin membaca surat khabar setiap hari. Selain daripada itu tiada apa kelebihan, cuma adalah satu dua berita daripada sumber yang tidak meyakinkan. Saya tidak ambil pusing sangat.

Tetapi ianya lebih sinis apabila ada rakan yang terus bertanya kepada saya,

"Betulkah gaji kita dah naik?"

"Bukan naik syeikh, baru cadangan mahu menaikkan."

Terang saya sambil membiarkan rakan terpinga-pinga penuh persoalan. Entah khabar angin dari mana yang bertiup kencang di tempat dia bekerja. Mujur ditapis dahulu angin itu, kalau tidak, ianya nanti berbuah hampa. Mungkin lebih teruk jika ada yang percaya, terus membuang air di tempayan. Kerana sangkanya guruh akan menjanjikan hujan. Ragam sebegini jangan disangka tiada di kalangan masyarakat kita.

Saya tidak menafikan isu wang sememangnya amat sensitif pada masyarakat. Malah ianya seperti ganja yang jika ditagih maka makin menggila ketagihannya. Sehingga timbullah istilah 'Wang adalah Segala-galanya'. Tetapi mereka yang menggunakan akal menepis, 'Tetapi Segala-galanya bukanlah Wang'.


Masalah Gaji dan Pengurusan

Kalau ditanya kepada semua orang yang makan gaji, berapakah gaji maksimum yang anda mahukan sekarang. Pastinya ada yang mencongak-congak. Jika sekarang seseorang itu bergaji RM 1000, mungkin dia mahu menambah menjadi RM 2000. Jika seseorang itu bergaji RM 2000 mungkin dia mahu menambah menjadi RM 3000-RM 4000. Tahukah, orang yang bergaji sekian dan sekian. Bahawa pada individu yang berada pada tahap gaji yang kita mahukan itu juga mahu gaji mereka ditambah.

"Wah, jika begini tiadalah penamat keinginan?" Mungkin ada yang bertanya begini.

"Tiada, melainkan apabila perut-perut ini disumbat dengan tanah juga!"

Sukar untuk menelah apa yang difikirkan seseorang apabila mula memikirkan tentang gaji. Kerana gaji yang bertambah sering ditukarkan secara 'bater' dengan aset-aset pelengkap pakej manusia sempurna. Sebagai contoh di sini, seseorang pelajar lulusan ijazah sarjana muda pastinya mahu cepat memiliki sebuah kereta, kerana sangkanya yang menurut sangka masyarakat itulah pakej yang perlu ada pada pelajar lulusan ijazah sarjana muda. Walhal, tanggapan ini barangkali silap. Pelajar ijazah sekarang tidak seperti pelajar ijazah dahulu. Lambakan pelajar ijazah di pasaran kadang-kadang tidak memungkin semua pelajar ini terisi dalam posisi kerjaya mereka.

Malah tidak adil untuk menilai ilmu seseorang itu secara timbalan dengan harta. Sungguh tidak adil. Masalah inilah yang menyebabkan berlakunya ketidak jujuran untuk memiliki ijazah. Meniru dalam peperiksaan, thesis dan sebagainya. Malah ada yang mahu lulus periksa dengan bermodalkan bodek dengan pensyarahnya. Itu belum lagi mengambil kira, pelajar universiti yang 'mandom' kerana bermatlamatkan untuk akademiknya sahaja. Lupa pada harapan yang digalasnya di mata masyarakat. Lupa pada amanat Rasul SAW yang mengamanahkan agama ini pada orang-orang 'alim. Lupa pada kelesuan masyarakat yang perlu suntikan terus daripada gudang bijak pandai ini.

"Kau sekarang bestlah, gaji pun lebat!"

Begitu bunyinya mungkin sesetengah rakan-rakan kita yang menilai secara pandang sisi, tepi, belakang dan depan. Nilailah secara dalam. Kerana jika dinilai secara dalam, barulah mereka yang sering mengintai kesenangan orang lain ini akan berkata,

"Oh, macam ini rupanya kehidupanmu. Sedarlah aku kamu juga adalah manusia. Tidak pernah lari daripada masalah."

Bagi diri saya sendiri, saya bergaji sekadar dengan pelajar lulusan ijazah sarjana muda. Pun begitu ada rakan-rakan sekerja yang tidak cukup duit. Benar, setakat ini ada kekangan untuk kami memperolehi elaun jurutera sebanyak RM 300. Malah ada yang membandingkan dengan pegawai jurutera Tentera Udara yang memperoleh elaun jurutera sekitar RM 1000++. Tetapi perkara ini amat sedikit menjentik hati saya, kerana saya tahu di mana tahap saya. Dan betapa besarnya risiko ditanggung jurutera Tentara Udara untuk melepaskan jet pejuang ke udara. Akibat rasa tidak cukup, ada satu dua kes yang mula melibatkan diri dengan perniagaan MLM, pelaburan internet dan sebagainya. Bermodalkan beribu-ribu ringgit duit kerana mahu memenuhi sifat tamak, untuk kaya cepat dan sebagainya. Saya amat sedih, jika yang tertipu itu adalah anggota bawahan. Sudahlah gaji hanya cukup-cukupan. Ditambah lagi dengan hutang atas angin yang cukup membebankan. Akibatnya kerja pun sangkut dan prestasi pun menurun.

Sebab itulah kita amat dianjurkan dengan sifat Qanaah dalam hidup ini. Qanaah bererti cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Kerana tanpa sifat ini mudah sahaja untuk syaitan membisikkan ketamakan dan penyesalan dalam hidup. Tidak sedikit mereka yang saya jumpa menyesal mengambil bidang sekian-sekian kerana gaji yang diperoleh sedikit apabila mula membuat perbandingan.

Habis mahu kerja apa?

Mahu jadi doktor? Jurutera? Arkitek? Guru? Peniaga Berjaya?

Sedarlah setiap garisan pekerjaan profesional ini punya cabaran yang sebenarnya kalau ditimbang dengan gaji yang diperoleh tidak setimpal. Mujur mereka yang bekerja kerana niat ibadah, meletakkan balasan ini dalam ruang lingkup pahala dan meraih redho Allah. Itu sahajalah pengubatnya. Tahukah mereka yang mahu sangat menjadi doktor bahawa pekerjaan ini banyak cabaran? Junior doktor sentiasa keletihan dengan kerjayanya. Benar, gaji mereka sedikit besar berbanding lepasan ijazah lain. Tetapi, setimpallah dengan apa yang mereka usahakan bertahun-tahun semasa belajar. Juga risiko yang ditanggung apabila melakukan sebarang kecuaian dan kesilapan. Begitu juga dengan seorang jurutera dan arikitek yang punya banyak beban kerja. Guru yang sentiasa pening kepala memikirkan anak muridnya. Peniaga yang bertungkus lumus untuk mengembalikan modal pusingannya. Semuanya ini memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang terkadang sehingga mengambil hak orang lain. Dan yang sering menjadi mangsa adalah keluarga. Tidak sedikit golongan-golongan profesional juga menemui masalah dalam mengurus rumah tangga mereka. Tiada waktu mahu mendidik anak-anak. Tiada waktu untuk menjenguk orang tua di kampung. Tiada waktu untuk mendidik masyarakat akan kepentingan akhak. Kerana mereka juga diberi masa 24 jam sama seperti kamu!


Jadilah Orang yang Banyak Memberi

Jangan ditahan-tahan pemberian sedekah atas alasan gaji tidak cukup. Jika begitu sampai ditanamlah gaji tidak cukup. Cuba fikirkan suatu masa nanti kita tidak sihat dan tidak mampu bekerja. Sungguh, ketika itu kita hanya mengharapkan bantuan orang sekeliling. Ketika itulah kita akan menghargai siapa diri kita sebenarnya ketika sihat. Menyesalnya tidak menjadi orang yang memberi di kala sihat.

Sesiapa yang banyak memberi sebenarnya sedang bertani di akhirat. Masya-Allah, pulangannya cukup lumayan. Banyak sekali disebut di dalam Al-Quran akan ganjarannya. Ada dinisbahkan sebagai hasil tanaman yang menghasilkan banyak tangkai-tangkai. Juga ada dinisbahkan sebagai tanaman yang mengeluarkan hasil berganda-ganda lipatan. Biarpun disirami hujan atau embun di pagi hari.

Seseorang yang terasa banyak gaji. Ambillah ini sebagai keutamaan. Jika kesemua wang gaji dihabiskan untuk membayar installment kereta, rumah besar, makanan-makanan lazat setiap malam dan percutian yang menghiburkan setiap hujung minggu itu tidak mendatangkan kecukupan di hujungnya. Ambillah yang sederhana, walaupun ianya tidaklah mencerminkan imej pekerjaanmu. Tidak mengapa, cukuplah akhlakmu sahaja yang menjadi penghias diri. Jangan terlalu banyak menjadikan cita-cita dunia sebagai keutamaan. Setuju, jika kita menyelusuri jalan raya akan terasa 'bengkak' dengan kereta-kereta yang lebih mahal dan besar daripada kita. Di saat 'bengkak' itu, cuba pandang orang yang memandu kereta-kereta lama. Orang yang memandu motor-motor biasa. Cuba fikirkah orang yang tiada kenderaan pun untuk dipandu.

Ingatlah manusia itu yang dikenang adalah jasa-jasanya. Ilmunya dan baik budinya. Bukan kacak, banyak harta, ijazah bergulung-gulung hanya untuk kepentingan diri dan sebagainya. Seluas manapun impian mu untuk memiliki bereka-ekar tanah, kamu hanya menggunakan beberapa meter sahaja untuk digunakan sebagai kuburmu, malah lebih malang ianya bukan di tanah milikmu sendiri!

'....Dan sedikit sekali hamba-hambaku yang bersukur' Surah Saba' 34: 13


MS Rizal,
32100, Lumut,
19 Disember 2010/ 13 Muharram 1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Gerimis Mengundang, Hujan di Pagi Sabtu

>> Saturday, December 18, 2010

Saya membelek-belek sehelai jubah hadiah pemberian seseorang. Saya amat menyukai pemberian ini. Rasa sayang pula apabila mahu mengenakannya.

Satunya, sebab nampak mahal.

Keduanya, saiznya sedikit besar. Perlu dihantar ke kedai jahit terlebih dahulu.(",)

Beginilah hakikat hadiah sebenarnya. Walau sekecil dan semurah mana ianya tetap menguntungkan kedua-dua pihak. Moga yang memberi dimurahkan rezeki, dan moga yang menerima akan berbesar hati. Hasilnya kedua-dua memperoleh tautan ukhuwah yang bernilai buat keuntungan agama ini.

Sejak saya mula berdamping dengan masjid di persekolahan lagi, saya amat menyukai jubah. Jubah pertama saya yang dibeli adalah di kompleks Mydin, Kuala Lumpur. Warnanya coklat pekat dan saya suka mengenakannya sewaktu solat subuh di masjid.

Saya juga selalu melihat orang yang suka menggayakan 'kurta'. Saya lihat pakaian ini cantik. Cuma belum ada kesempatan hendak membeli.


Perihal Jubah dan Sunnah

Apabila memperkatakan tentang pakaian-pakaian solat ini ianya tidak lari daripada memperkatakan tentang sunnah. Ramai pak cik-pak cik yang memakai jubah, serban dan bertasbih menganggap ianya adalah sunnah Nabi SAW. Saya tidak menafikan. Moga dengan tekad untuk mengamalkan sunnah ini, kita beroleh pahala cinta kepada junjungan besar kita ini.

Namun ada beberapa perkara yang perlu dinilai semula. Umum mengakui, perutusan Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk mempromosikan pakaian, rumah, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya. Perutusan Nabi SAW yang mulia ini adalah menyebarkan Islam di seluruh pelusuk dunia. Menyuruh manusia bei'tiqad tiada ilah selain Allah SWT, dan baginda tiada lain adalah pesuruh Allah Taala.

Itu pasti, maka jika ada sekelompok dakwah yang tidak lebih daripada mempromosikan pakaian-pakaian ini tidak relevan untuk diterima dakwah mereka. Malah perlu diketahui sesetengah perkara yang dianggap sunnah bukanlah datang daripada Nabi SAW sendiri. Contohnya tasbih yang selalu dipegang oleh sesetengah golongan 'abid'. Ianya bukan daripada sunnah Nabi SAW. Malah jika seseorang itu membawa ke hulu ke hilir tasbihnya ianya sukar untuk mengelak dari sifat riak dan menunjuk-nunjuk.

Seseorang yang memandang jauh untuk dakwahnya perlu keluar dari kepompong konservatif. Kalau tidak golongan liberal senang untuk menyatakan,

"Inilah Islam sebenarnya, mundur!"

Walhal Islam tidak mundur, yang mundur adalah pemikiran pengikutnya. Lagipun, banyak contoh-contoh orang yang menjadi pemuka Islam nampak moden dan intektual percakapannya.


Sekitar Komentar Sunnah Nabi SAW

Sunnah Nabi Muhammad SAW tentunya dakwah dan menyampaikan Islam. Untuk menyampaikan Islam seseorang itu perlu cukup ilmu dan persiapan rohani dan jasmani. Maka sebab itu setiap perbuatan, akhlak, fiqh, ibadah dan pekerjaan demi melengkapkan persiapan ini adalah sunnah yang besar.

Berapa ramai orang yang apabila melihat kanak-kanak memeluk dan mencium ubun-ubun mereka lalu mendoakannya supaya faqih dalam agama?

Berapa ramai yang balik ke kampung, berjalan-jalan dan bertegur sapa sesama jiran yang bertahun-tahun tidak jumpa. Juga cuba mencari-cari jika ada keluarga yang dalam kesusahan untuk dibantu.

Berapa ramai berani menegur secara spontan kesalahan-kesalahan orang yang dekat dengan mereka. Juga berlapang dada apabila ada seseorang menegur kesalahan mereka. Tidak dinafikan, Amal Ma'ruf itu lebih mudah daripada Nahi Mungkar. Namun kedua-duanya perlu seiring.

Berapa ramai yang tidak hanya duduk di masjid sahaja. Lalu keluar untuk menjadi seorang sport-man yang cergas dan sukar ditewaskan.

Sentiasa memperbaiki solat, tatacara, bacaan dan kekerapan supaya mendatangkan kesan yang besar pada diri.

Senarai di atas cuma sedikit sahaja. Setiap perlakuan, percakapan dan perbuatan Nabi SAW perlu dilihat dari method tujuan dan hasilnya. Ianya baru dapat diselarikan dengan zaman sekarang dan menjadikan kita orang yang mengamalkan sunnah dengan penuh hikmah.

Sudah tentu, tidak semua perkara yang Nabi SAW lalui akan kita lalui juga. Malah sewaktu perutusan Muadz bin Jabal ke Yaman sendiri Baginda ada bertanya apakah yang akan dilakukan oleh Muadz apabila beliau dapati permasalahan itu tidak dapat diselesaikan dengan Al-Quran dan Sunnah. Muadz lantas menjawab beliau akan menyelesaikannya dengan Ijtihad.

Nah, inilah panduan kita. Ijtihad yang digariskan oleh-oleh mereka yang cerdik pandai di zaman ini perlulah diikuti. Ijtihad yang berdasarkan i'tiqad Al-Quran dan Sunnah dan tidak langsung ada percanggahan dengannya.

;

Sekian, entri santai di pagi Sabtu.




MS Rizal,
32100, Lumut,
18 Disember 2010/12 Muharram 1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Izinkan Aku Meluah Isi Hati

>> Tuesday, December 14, 2010

Nafas adalah satu nikmat Allah yang tidak ternilai. Nafas memberikan kesegaran untuk saya menghirup udara segar di puncak bukit, kedinginan subuh dan bayu laut yang meniup lembut.

Liuk lintuk gemalai pohon-pohonan di tiup angin. Damai dan mempersonakan sungguh alam ini. Semuanya tunduk dan patuh kepada Ilahi. Mengetuk hati ini untuk bermuhasabah sebentar lalu mencoretkannya di sini.

Rantai-rantai Ikhlas Menyalut Panji-panji Dakwah

Persoalan ikhlas sangat-sangat dititikberatkan oleh para pencinta kebenaran. Bahkan apa yang dirisaukan tidak hadir sifat ikhlas hanya akan membawa kepada sifat nifaq dan kepura-puraan. Mana yang lebih menggerunkan melainkan murka Allah dan dicampakkan kembali setiap amal ke muka sendiri.

"Nah, amalanmu ini yang dilakukan bukan kerana Aku!"

Aduh, tiada harapan lagi jika kata-kata ini yang aku dapati di Akhirat nanti.

Persoalan ikhlas mencampakkan ramai orang ke dalam lembah hati-hati. Berhati-hati dalam memasang niat dan berbuat amal agar nanti tidak termasuk dari golongan yang rugi. Andai ada amalan yang tercampur niatnya nanti, ianya tidak banyak membantu mendatangkan amal soleh.

Ingat! Amal soleh yang dilakukan tidak mendatangkan apa-apa manfaat pada Allah Taala. Ianya guna untuk mendekatkan diri hambanya dengan Rabbnya. Namun amalan ini akan menjadi serba tidak kena andai bercampur dengan perasaan riyak dan lain-lainya.

Biasakah terdengar seseorang berpuasa sunat untuk tujuan diet?

Mencari ilmu agar mudah mendapat pekerjaan dan dipandang tinggi oleh orang ramai.

Masuk jemaah hanya untuk mengambil manfaat peribadi bukan niat ikhlas untuk dakwah.

Menulis untuk tujuan popular dan diminati ramai.

Membayar zakat untuk mengelak membayar cukai.

Menziarahi kenduri kendara agar nanti kendurinya juga nanti akan dikunjungi.

Menguruskan jenazah agar nanti ada orang akan menguruskan jenazahnya juga.

Inilah situasi kecil dari banyak situasi dalaman diri yang timbul dan secara tidak sengaja dizahirkan melalui percakapan. Ianya tidak lebih hanya diselitkan dengan impian untuk mengecapi nikmat-nikmat dunia yang fana dan tidak kekal. Saya tidak pantas menudingkan segala apa yang digariskan di atas melainkan diri sendiri yang pertama.

Melihat manusia ramai berdiri di padang mahsyar
Aku amat risau akan nasibku di sana
Adakah tersasar dari natijah sebenar
Atau hanya beban dan lebihan dunia sahaja

Aku merobek kisah-kisah sejarah dan ulama' zuhud
Harta dunia tidak lebih daripada sampah dunia yang mahu kau ragut
Sampah ini tidak berjaya menembusi alam sana
Kerana amalmu sahaja yang datang dijemput

Nah, di sini tiada lagi kepura-puraan
Apa yang pasti nasibmu nanti akan ditentukan
Syurga atau neraka itu sahajalah pilihan
Bergantung pada nasibmu di dunia, setimpal dengan apa yang kamu lakukan

"Celaka, kitab apakah ini langsung tidak meninggalkan,"
Jeritmu melihat kitab yang menulis setiap inci perbuatan,
Allah Taubatku hanya untuk-Mu aku tidak mahu tergelinciran
Moga kau terima amalku dan melindungi aku dari kejahatan amal perbuatan.

~MS Rizal, 14 Dis 2010, 22:49H~




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Sehari Selembar Benang, Lama-lama Menjadi Kain

>> Thursday, December 9, 2010


Ada sesuatu yang menerjah ruang pemikiran saya usai Kem Remaja Generasi Harapan 2010 hujung minggu tadi. Saya tidak pasti adakah pantas untuk saya menuding jari di atas kesilapan teknikal yang berlaku. Sebenarnya target peserta seramai 60 orang tidak dipenuhi dan yang hadir adalah seramai lebih kurang 18 orang sahaja. Walhal penyertaan ini sengaja dihadkan supaya tidak terjadi seperti program remaja sebelumnya. Melimpah dengan penyertaan sehingga sukar untuk mengawal peserta.

Mujur, para fasilitator menganggap positif. Walaupun saya pasti pihak yang bekerjasama terutamanya dari pihak masjid agak canggung dengan situasi ini. Malah ada yang pantas mengatakan program ini gagal pada hari pertama kem remaja ini berjalan.

Alhamdulillah, saya berjaya menjelaskan kepada pihak masjid yang kebanyakannya terdiri daripada orang pencen. Berkomunikasi dengan mereka perlu berlapik, risau nanti ada terasa hati.

"Tidak mengapalah sedikit, saya nampak hikmah yang banyak dari yang sedikit ini..." ujar saya perlahan.

Sekurang-kurangnya peserta dapat dikawal sepenuhnya, dan sesi LDK (latihan dalam kumpulan) yang dibuat berjalan dengan baik. Malah usai program, kelihatan wajah-wajah kesedaran dari para peserta untuk hadir ke program lanjutan ( baca tarbiyah) akan datang. Benar, pengalaman banyak mengajar saya untuk bersederhana setiap kali memulakan langkahan pertama.

Sedikit tidak bermakna negatif

"Engkau mungkin enggan masuk agama ini kerana sedikit jumlah pemeluknya dan banyaknya musuh (agama ini)."

Inilah dialog yang terakam dalam kitab sirah antara Nabi Muhammad SAW dan 'Adi bin Hatim. 'Adi bin Hatim adalah seorang Nasrani yang hadir ke Madinah untuk menyelidik dan menyiasat kesahihan risalah Baginda SAW. Apa yang membungkam hati 'Adi bahawa kemungkinan Nabi SAW adalah seorang pendusta dan hanya mahu menjadi raja.

Tetapi sebaliknya berlaku, satu demi satu tingkah laku Baginda Rasul yang menafikan watak seorang raja. Sehinggalah Baginda Rasul SAW mengungkap dialog ini. Tetapi dialog ini tidak terhenti setakat ini sahaja,

"Demi Allah, nanti engkau akan mendengar seorang wanita yang pergi dari Qadisiah (suatu tempat di Iraq) menunggang unta ke rumahnya tanpa rasa takut.." (Ini menggambarkan wilayah kekuasaan Islam yang luas dan mencakupi keselamatan rakyatnya.)

Sedikit tidak bermakna salah

Sedikit tidak bermakna gagal

Sedikit tidak bermakna tiada harapan

Malah dalam sedikit itu kemungkinan mereka yang biasa-biasa akan menjadi luar biasa. Kerana segala kekuatan dioptimumkan dan tenaga digunakan. Buah fikiran diguna pakai malah hampir tiada pembaziran idea. Sejarah banyak mengungkapkan banyak sekali golongan yang sedikit mengalahkan golongan ramai. Jika digunakan perkiraan matematika ianya mungkin mustahil berlaku, tetapi hukum alam tidak kaku sebegitu. Banyak perkara boleh berlaku menyanggah logika yang difikirkan manusia.

Saya selalu memerhatikan program-program umum yang dilakukan di tempat-tempat awam. Sememangnya apa yang tersangat dipentingkan adalah jumlah kedatangan yang ramai. Sememangnya ramai itu meriah dan menggembirakan. Namun kejayaan sesuatu program itu tidaklah terlalu bergantung kepada berapa ramainya orang. Tambahan pula program yang pengisiannya adalah ilmiah. Ianya memerlukan otak dan deria yang peka untuk menghadamnya. Berbeza dengan program hiburan hendonisme dan menonton perlawanan bola sepak. Penonton yang hadir tidak perlu banyak memerah otak. Hanya yang digunakan suara dan kaki untuk terinjak-injak.

Sedikit memang cukup signifikan dengan sejarah Islam. Pernah pada suatu masa Umar al-Khattab mendengar seseorang berdoa dengan doa yang berbunyi;

"Ya Allah, jadikanlah aku termasuk daripada golongan yang sedikit."

Mendengar doa ini Umar pun menjadi hairan seraya bertanya;

"Kenapa engkau berdoa sedemikian?"

"Kerana saya mendengar Allah berfirman, "Dan sedikit sekali dari hamba-hambaku yang bersyukur." "

Sedikit di sini bermakna jauh daripada makna lazim. Sedikit tidak bermakna statik setakat itu sahaja, tetapi sememangnya sunnatullah begitu. Golongan yang bersyukur, berpihak kepada kebenaran, jujur dalam tingkah laku, berpewarakan mulia adalah sedikit. Kerana untuk istiqomah menjadi golongan yang sedikit ini sukar, melainkan memerlukan keazaman yang tinggi.

Bukankah jalan ke syurga itu sentiasa dipagari dengan keperitan dan kesusahan? Dan neraka itu dipagari dengan pelbagai kenikmatan?

Antara medan Badar dan Hunain


"Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu.maka jumlah yang banyak tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir dan demikian penbalasan kepada orang-orang kafir “. (al-Taubah: 25 - 26)


Perang Hunain menghimpunkan sejumlah tentera yang ramai. Seramai 12, 000 tentera Islam bergerak menuju ke lembah Hunain. Apa yang terjadi di sini adalah kucar-kucir yang hampir membawa kepada kekalahan. Namun mujurlah Nabi SAW berjaya mengawal keadaan dan akhirnya beroleh kemenangan kepada orang Islam.

Ianya berbeza dengan perang Badar di mana sejumlah 313 orang Islam yang menyertai peperangan menang dengan hebatnya. Pertolongan Allah tiba dengan mengharapnya umat Islam secara total kepada janji Allah SWT.

Ada beberapa perkara yang saya suka tekankan. Jumlah yang ramai bukan bermaksud kelebihan, jikalau ramai itu tidak berkualiti malah ianya hanya menimbulkan beban. Peri pentingnya kualiti berbanding kuantiti itu sehingga sering menjadi slogan dan hebahan banyak organisasi. Apa yang dilihat kebanyakan orang terlalu mengutamakan jumlah. Terlalu optimis dengan angka. Sehingga lupa untuk mencari mutu dan kualiti. Ramai orang yang kabur dengan ramainya jumlah pengikut sehingga segala-galanya menjadi atas angin. Awas dengan hakikat ini. Ramai orang telah tumbang dengan tipuan syaitan ini.


Langkah pertama itu penting

'A journey of a thousand miles begins with a single step'

Saya teringat kata-kata ini yang bekas rakan sebilik saya dahulu letakkan di meja sisinya. Benar, langkah pertama itu adalah sedikit jika mahu dikira. Namun apa yang menolaknya dengan kuat adalah semangat dan keazaman yang tinggi.

Biarlah yang bertandang tiga, dua malah seorang. Kerana kita tidak pasti yang mana satu pekerjaan kita ini mendapat redho Allah Taala.

Malah menjadi orang yang memulakan sesuatu yang baik amat dianjurkan di dalam Islam. Walaupun usaha itu sedikit dan mendatangkan banyak manfaat secara fizikalnya. Tetapi amat buruk kesannya bagi mereka yang memulakan sesuatu pekerjaan yang buruk.

Dalam hal ini Nabi SAW bersabda;

"Barangsiapa yang memulai membuat sunnah dalam Islam berupa amalan yang baik, maka ia memperoleh pahalanya diri sendiri dan juga pahala orang yang mengerjakan itu sesudah -sepeninggalnya - tanpa dikurangi sedikitpun dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu. Dan barangsiapa yang memulai membuat sunnah dalam Islam berupa amalan yang buruk, maka ia memperoleh dosanya diri sendiri dan juga dosa orang yang mengerjakan itu sesudahnya -sepeninggalnya - tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu." (Riwayat Muslim)


Setiap peristiwa ada ibrah tersembunyi

Beginilah apa yang dirancang manusia. Ianya kadang-kadang membuahkan hasil yang banyak. Terkadang tidak seperti yang dijangka. Malah di dalam banyak kisah-kisah dakwah sekalipun tidak banyak pengakhirannya yang berupa kemenangan. Ada kisah Nabi-nabi as yang berakhir dengan kehancuran umat mereka. Ada kisah-kisah Nabi-nabi as yang berakhir dengan terbunuhnya Nabi-nabi tersebut.

Namun kemenangan atau kekalahan itu bukanlah apa yang dinilai di sisi Allah Taala. Apa yang penting ada usaha. Dengan bismillah memulakan langkah, selainnya berserah dan bertawakkal kepada Allah SWT.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Coret-coret

>> Tuesday, December 7, 2010

Semalam adalah hari Isnin. Itu pasti, saya datang ke tempat kerja dengan hati-hati berbunga-bunga. Esok (iaitu hari ini) adalah hari cuti. Saya bertekad untuk menulis di blog 'Perjuangan Hidup' ini setelah beberapa lama tidak menulisnya (ayat ini selalu sangat diulang oleh kebanyakan blogger), terutama untuk bulan Dis 10. Jadi hari ini saya mahu menulis, biarpun isinya belum dalam fikiran tatkala jari jemari ini sudah mula menari di atas papan kekunci.

Saya tidak menafikan, semangat untuk menulis saya hampir luntur bermula penghujung penghujung 2009 yang lepas. Keadaan ini memang dapat dijangkakan terutama apabila habisnya musim peperiksaan semester terakhir. Alhamdulillah, ijazah sudah diterima sekarang memasuki laman kerja.

Ini gambar terbaru saya, menjadi pengendali untuk program remaja.

Kerjaya dan Kerja

Kerjaya dan kerja tidak samakah? Tidak sama sheikh! Kerjaya bermaksud profesion dan kemajuan seseorang dalam satu lapangan kehidupan. Manakala kerja pula bermaksud usaha atau kegiatan untuk menghasilkan. Perkataan kerja itu sangat umum maksudnya.

Boleh dikira di sini kerjalah apa sahaja asalkan ianya menghasilkan. Kerja tidak semestinya mendapat imbuhan, berbeza dengan kerja. Malah kerja juga adalah sub kepada kerjaya.

Tidak mahu berbelit-belit bahasa. Saya terkenang dahulu, ada rakan yang pernah mengomel (ini kes nak mengumpat la ni) tentang jasa-jasanya di 'Unibesiti' (pinjam perkataan bro fadhil). Dia terasa asing tanpa penghargaan daripada pihak universiti. Kesimpulannya kerjanya tidak mendatangkan imbuhan.

Ragam manusia memang mendatangkan banyak idea untuk saya ulas di blog ini. Amat susah kalau mahu mengeluarkan segala perlakuan yang kita buat dalam konteks ibadah. Kalau melakukan sesuatu kerja hanya sebab manusia, maka ianya tida bertahan lama di sebabkan manusia tidak bertahan kondisinya. Malah imbuhan yang diberikan manusia juga terhad.

Tetapi pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan lebih mulia dengan insya-Allah mendatangkan pahala. Malah jika di extend-kan lagi maksud kerja ini, kita boleh melakukan bermacam-macam kerja berguna di luar kerjaya. Contohnya dengan menyertai badan-badan amal dan kebajikan, NGO, KRT dan sebagainya. Perlu diingat di sini, tidak semua bayaran atau imbuhan berbentuk fizikal. Malah banyak sekali disebut di dalam hadis dan Al-Quran itu bahawa kaya sebenar bukan fizikalnya kaya harta.


Buah tidak semuanya sedap di makan masak

Saya pernah membaca tentang kisah seorang wanita bekerjaya yang bukan kaki bodek dan bertahun-tahun susah nak naik pangkat. Dia melihat sifat bukan kaki bodek itu satu kelemahan yang menyebabkan hatinya sedikit tidak senang.

Lantas apabila ditanyakan kepada dia, apakah dia punya anak-anak? Dia katakan ya. Dimana anak-anaknya sekarang? Katanya alhamdulillah kebanyakannya adalah lepas universiti dan punya kerjaya yang yang baik.

Itulah imbuhannya yang tidak disedari jika melihat dari kaca mata fizikal.

-----

Akhir kata, oleh kerana ini hanya coretan ringan. Izinkan saya bersajak. Sudah lama agaknya saya tidak menulis sajak;

Mereka kata engkau punya banyak kelemahan
Disebabkan hidupmu tidak seperti insan kebanyakan
Penampilanmu tidak menarik untuk diperkatakan
Watakmu bukanlah seperti mereka yang mengikut peredaran zaman

Engkau menafikan
Kerana engkau tidak seperti apa yang mereka perkatakan
Kerana setelah zaman-berzaman, watak mereka ini sering muncul berulang kali
Tetapi akhirnya mereka malu sendiri
Kerana kebahagian yang berkekalan itu tidak seperti yang mereka fikirkan
Kebahagian milik Allah dan Dia yang berhak untuk mengajukan

Aduhai malam dan siang yang menggusar kerinduan
Titipkan salam indah buat Rasul junjungan
Benarlah ghuraba' itu bukan sekadar ungkapan
Pedih menyarang dan gembira bersilih gantian

Terbayang daku Musa'b Umair yang syahid di medan uhud
Memberikan kamu panji Islam lalu kamu pun menyahut
Ayuh kibarkannya dengan persiapan yang luhur tak terebut...




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Kesamaran Dalam Duka Semalam

>> Saturday, November 27, 2010

Membaca dada-dada akhbar dalam beberapa minggu lepas agak meruntun jiwa juga sebenarnya. Bencana alam yang bertamu di beberapa lokasi menjentik hati saya untuk juga menghulurkan bantuan. Peristiwa gunung berapi Merapi meletup sehingga mengorbankan banyak nyawa dan banjir besar yang melanda negeri-negeri di utara sememangnya mendatangkan banyak ibrah kepada manusia.

Alam ini juga punya hak untuk bersuara. Mungkin tidak pantas untuk saya meletakkan ini sebagai satu bala. Tetapi juga satu ujian berat yang terpulang dari sisi mana untuk kita memandangnya.


Simbolik Bencana Alam

Saya memandang bencana alam dari satu sudut yang sebenarnya belum dialami oleh generasi muda lahir 80'an seperti saya. Apabila berlakunya bencana alam ianya tidak ubah seperti bencana apabila berlakunya peperangan.

Umum mengetahui kedahsyatan dan kesan yang mendalam dialami penduduk awam apabila peperangan berlaku. Ketakutan, perlindungan, harapan untuk hidup, makanan dan minuman, ubat-ubatan dan sebagainya menjadi satu keutamaan melebihi keutamaan lain-lainya.

Pastinya golongan yang paling mendapat kesan adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua. Tidak kurang juga golongan pria yang sibuk bertungkus lumus untuk menjaga kepentingan golongan yang lemah ini.

Ada beberapa garisan persamaan yang saya lihat apabila berlakunya bencana alam dan juga peperangan. Antaranya:

1) Kemusnahan harta benda awam dan masyarakat:

Kemusnahan harta benda awam di sebabkan bencana alam tidak dapat dinafikan. Malah inilah kesan fizikal yang amat jelas dilihat sebelum dan selepas berlakunya bencana alam. Kemusnahan jaringan jalan raya, harta benda awam, perhubungan kawasan pedalaman dengan bandar dan sebagainya lagi. Kesan ini mengambil masa untuk dibangunkan semula.

2) Kehilangan Nyawa:

Kehilangan nyawa pastinya lebih dahsyat terhadap emosi berbanding kemusnahan harta benda. Sunnatullah alam, harta yang musnah boleh berganti tetapi tidak nyawa.

3) Kesihatan terjejas:

Banyak faktor akan menyebabkan kesihatan terjejas. Antaranya faktor kebersihan dan terputusnya bekalan perubatan. Ini lebih teruk lagi jika terdapatnya bangkai binatang atau mayat yang tidak dapat diurus dengan sempurna akibat bencana alam yang masih belum selesai.

4) Sistem Ekonomi setempat terjejas:

Pertanian, perladangan, perusahaan, pelancongan dan apa jua sektor ekonomi akan terhenti secara drastik. Apabila selesainya situasi perang atau bencana alam masalah pengangguran akan berlaku. Mangsa peperangan terpaksa mengharap sokongan dan bantuan pihak lain dalam satu tempoh tertentu untuk bangun semula membina hidup baru.

5) Gangguan Emosi:

Umum mengetahui, golongan yang paling terjejas teruk akibat peperangan adalah golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keadaan yang huru-hara akan mengalami gangguan emosi yang teruk sekiranya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Hal ini kerana, sejak dari kecil lagi mereka telah melihat kekejaman yang dilakukan oleh tentera penceroboh terhadap ahli keluarga mereka seperti diperkosa, dibedil dengan peluru berpandu, ditembak dengan bom dan sebagainya. Kebanyakan kanak-kanak yang masih hidup ini bukanlah seperti kanak-kanak normal yang lain kerana ada di antara mereka yang mengalami kecacatan dari segi fizikal dan mental Peristiwa ini memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan mereka dan kekal dalam ingatan untuk selamanya.

Keadaan ini tidak kurang kesannya kepada mangsa bencana alam. Kehilangan anggota keluarga, tempat tinggal dan sebagainya mendatangkan kesan emosi kepada mangsa musibah.


Sensitif Terhadap Nasib Malang Orang Lain


Selesai menghurai kesan-kesan bencana alam yang dialami mangsa di atas seeloknya individu yang bernasib baik tersentuh untuk turut menolong. Lebih-lebih lagi apabila perkara ini berlaku terhadap sesama Islam maka perlulah lebih lagi untuk ditolongi.

Kerana kita sesama muslim itu perlu sama-sama bertolong menolong berbuat taqwa dan mengukuhkan antara satu sama lain.

Dari Abu Musa r.a. Nabi SAW bersabda: " Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain adalah seperti rumah, bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain." Dan sebagai perumpamaan baginda mempersilangkan anak-anak jari baginda. Shahih Bukhari.


Rasulullah SAW sering kali menunjukkan contoh terbaik menggembirakan mereka yang dalam musibah. Rasulullah SAW mengunjungi jiran yang sakit, menyuruh menjamu keluarga Ja'far r.a. saat mendengar berita keshayidannya dan sebagainya lagi. Ini mendatangkan kesan psikologi yang besar kepada mereka yang ditimpa musibah. Mereka akan merasa beban dan masalah dapat diringangkan dan dikongsi apatah lagi ada yang menghulurkan bantuan.

Justeru suka untuk saya berpesan terutamanya diri saya sendiri bagi segera menghulurkan bantuan saat mendengar musibah orang lain. Jika Allah berkendak untuk menurunkan rahmatnya kepada mereka yang ditimpa musibah, berkemungkinan kita yang menolong mendapat tempiasnya sama.

Wallahu Taala'alam...



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Berikan Saya Sedikit Nafas Untuk Bercerita

>> Wednesday, November 10, 2010

Apakah perkataan yang sering menjadi igauan buruk kebanyakan manusia? Itulah perkataan 'SUSAH'. Manusia yang memang diciptakan dalam keadaan resah gelisah sememangnya tidak menyukai kesusahan. Kesusahan menambahkan lagi kegelisahan. Kesusahan tidak dianggap sebagai nikmat kecuali bagi mereka yang melihat daripada sudut positif.

"Hidup ini selalu sahaja ditimpa masalah dan kesusahan!"

Inilah perkataan yang selalu berlegar di sana-sini. Benar, hidup ini memang susah. Sebab itu pelbagai teknolgi dicipta untuk menyenangkan manusia. Namun kesenangan manusia itu jika tidak ditangani dengan betul bisa mendatangkan kesusahan juga dipenghujungnya. Orang yang banyak senang, juga perlu bersusah-susah untuk kekal senang. Orang yang hidup susah pula, bersusah-susah juga untuk mendapatkan sedikit senang.

Pendek kata, manusia sentiasa akan digenangi dengan kesusahan selagi mana belum keluar dari alam ini.


Jangan Mengeluh Di kala Waktu Susah!


"Macam mana tidur malam tadi?" seorang sahabat saya bertanya.

"Huh, sejuk..." saya menjawab.

"Patut la gaya kau tidur semalam, makin lama makin rapat dengan aku!" sahabat saya itu membalas.

Saya tersengih. Maaflah itu sahaja yang mampu saya lakukan untuk memanaskan badan.

Saya terkenangkan saat manis ketika dialog ini berlangsung. Pagi itu pagi terakhir latihan 'Hindar dan Lari' yang saya dan rakan-rakan satu skuad jalani selama 2 hari 2 malam. Latihan ini boleh dikatakan mirip latihan survival, tetapi bezanya adalah terpaksa bergerak dari satu check point ke satu check point berbekalkan sekeping peta tanpa kompas. Kami dibahagikan kepada beberapa sindiket yang terdiri daripada 15 orang setiap sindiket.

Kami tidak dibenarkan untuk membawa apa-apapun peralatan, duit mahupun makanan ketika latihan ini berlangsung. Jurulatih akan memastikan kami memulakan latihan dalam keadaan sehelai sepinggang. Saya sudah memulakan membayangkan pengalaman teruk yang akan saya jalani sepanjang latihan ini.

Ternyata benar apa yang saya sangkakan. Pengalaman teruk ini saya kongsikan sedikit:

a) Menyusuri hutan dengan berbekalkan sekeping peta tanpa kompas. Mujur salah seorang sindiket saya mempunyai jam kompas, ini satu kelebihan. Ada sindiket yang sesat berjam-jam di dalam hutan kerana tiada panduan kompas, hanya mengharap panduan matahari.

b) Ditangkap jurulatih yang berperanan sebagai musuh. Jika ditangkap, kasut kami akan dirampas dan baju celoreng kami akan digunting-gunting . Kemudian kami akan dilepaskan semula untuk meneruskan perjalanan ke check point seterusnya. Terpaksalah berjalan dalam keadaan berkaki ayam. Mujur, saat menyelusuri perkampungan melayu ada yang memberikan pakaian-pakaian lama dan juga makanan.

c) Oleh kerana latihan ini dalam keadaan bergerak, maka kami tiada kesempatan untuk menjerat binatang apatah lagi memasak. Mujur ada sesetengah check point yang berhampiran dengan kampung membolehkan kami mendapat sedikit makanan. Sungguh bermurah hati orang kampung yang melayan kami. Saya doakan Allah SWT murahkan rezeki mereka.

d) Hujan yang turun pada sebelah malam, membuatkan kami kesejukan ditambah dengan baju yang sudah compang camping. Baju ini tidak boleh ditanggalkan kerana menjadi syarat semasa melapor di setiap check point.

e) Ada satu-dua peristiwa malang yang ingin dikongsi. Sendiket saya antara yang cemerlang tidak dapat ditangkap oleh musuh. Tetapi akhirnya kami ditangkap 2 kali. Kali pertama, kami ditangkap ketika sedang menumpang lori di waktu malam.Kali kedua ditangkap, kami sesat berjam-jam di tengah-tengah kebun kelapa sawit dan getah. Akhirnya setelah berjumpa jalan keluar, kami terus ditangkap jurulatih yang kebetulan melalui tempat tersebut.

Tetapi saya tetap tersenyum puas usai latihan. Kerana saya tahu kesusahan seperti ini memang menguatkan kecekalan. Malah ianya adalah satu kenangan manis untuk diabadikan. Begitulah antara kenangan saya ketika belajar di UPNM hampir separuh darsawasa dahulu. Ianya tidaklah berapa teruk untuk dikongsi, jauh lebih teruk pengalaman mereka yang mendapat musibah bencana alam. Tetapi, saya pasti mereka yang membaca entri ini juga punya banyak kenangan teruk untuk dikongsi.

Gambar sewaktu latihan menembak di Tahun 2 Pengajian.

Kesusahan itu banyak mengajar manusia erti kematangan dalam menjalani kehidupan. Bukankah surah Al-Insyirah telah memperincikan sebanyak 2 kali? Selepas kesusahan pasti selepasnya akan terbit kesenangan. Jangan mengeluh di waktu susah, kerana kemungkinan Allah Taala hendak mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas atau meningkatkan satu darjat lagi taraf kemulian hamba di sisi-Nya.


Kerehatan Kekal Di Alam Abadi

Perhatikan buku-buku yang berlegar-legar di pasaran. Buku tentang tokoh-tokoh yang sudah pergi dan meninggalkan banyak kesan. Lihat kisah pejuang kemerdekaan tulen setiap negara. Lihat juga kisah ulama'-ulama' yang merentas beribu-ribu kilometer hanya mencari ilmu dan menyebarkannya kembali untuk kegunaan manusia. Lihat juga kisah pejuang kebenaran Islam. Semuanya diwarnai kesusahan, kepayahan dan kesibukan. Tidaklah sekali mereka mengeluh untuk dilepaskan daripada kesusahan.

Nabi Muhammad SAW sendiri hampir tidak berada dalam kondisi kesenangan saat menetap di Madinah. Siri peperangan yang dilalui Nabi SAW dan para sahabat amat banyak dan menuntut kesibukan, keberanian, jihad dan iman yang tinggi. Ahli-ahli sejarah Islam meletakkan beberapa istilah bagi siri peperangan ini. Mereka menamakan peperangan antara orang Islam dan orang musyrik yang disertai oleh Nabi s.a.w. sebagai Ghazwah. Sementara pertempuran kecil yang berlaku antara kedua pihak dan tidak disertai oleh Rasul s.a.w. dinamakan sebagai Sariyyah. Bilangan Ghazwah sebanyak 26 ghazwah sementara bilangan Sariyyah pula sebanyak 38 sariyyah.

Jika dijumlahkan siri peperangan Ghazwah dan Sariyyah ini adalah berjumlah 64 siri. Jika dibuat perkiraan, 10 tahun mengandungi 120 bulan. 120 bulan jika dibahagikan dengan 64 siri peperangan akan menghasilkan lebih kurang tempoh 2 bulan. Bayangkan purata sahabat-sahabat keluar berperang adalah 2 bulan sekali!

Adakah sahabat-sahabat mengeluh? Tidak sama sekali? Adakah mereka memperkatakan seperti mana Bani Israel kepada Nabi Musa as;

"Pergilah kamu bersama Tuhan kamu berperang, kami mahu duduk di sini sahaja."

Tidak, malah mereka berdiri di belakang Nabi SAW untuk mempertahankan kebenaran ini. Kemulian mengisi setiap ruang pelusuk hati-hati dengan semangat ingin mempertahankan Islam dan menyebarkan kebenarannya. Hakikat ini menjadikan mereka damai dan bahagia dalam erti kata sibuk dan susah.

Inilah yang menjadi tanda tanya kepada Utbah bin Ghazwan. Seorang sahabat Baginda Rasul yang terkenal. Beliau hairan pada ketika sekali-sekala berkhutbah Jumaat. Beliau mengenang saat duka, pedih derita ketika bersama-sama berjuang di sisi Baginda Rasul.
Ya, ketika yang tinggal untuk dimakan adalah daun sahaja, saat waktu lapang bersama baginda dan saat kebahagiaan. Hidupnya dirasakan tidak berharga lagi selepas kewafatan Rasul.

Inilah yang menjadi kebingungan Saad bin Abi Waqqash.Beliau diangkat menjadi penguasa di Kufah sesudah kewafatan Rasul. Bukan kegembiraan yang dirasainya sepertimana kebiasaannya orang yang diangkat menjadi penguasa. Bagaimana dia tidak bingung? Kehidupannya jauh berbeza dengan baginda Rasul. Masih terkenang Baginda Rasul hanya makan tetumbuhan, kulit kambing yang sudah kering, dipanggang, ditumbuk lalu direbus dengan air.

Inilah yang ditangisi Umar Al-Khattab. Ketika Umar masuk ke rumah Baginda Rasul dilihatnya hanya yang ada bekas tikar di punggung Baginda Rasul dan hanya ada bekas gandum yang tergantung di rumahnya. Tanpa sedar menitis air mata di pipinya. Satu pemandangan yang cukup menyentuh kalbu.

Bukan terjadi pada rakyat biasa. Tetapi pada pemimpin seluruh umat manusia. Sehingga terbit ucapan dibibirnya;

" Wahai Baginda Rasul, engkau sudah mengetahui cara hidup Kisra dan Kaisar."

Baginda menjawab:

"Wahai Ibnu al-Khattab, relakah engkau jika akhirat menjadi kepunyaan kita dan dunia menjadi kepunyaan mereka?"

;

Malulah kepada diri sendiri yang sering melabelkan diri sibuk dan susah. Sesibuk manapun diri, ianya tidak setanding kesibukan dan kesusahan Nabi SAW dan para sahabat. Malah mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan di sini, kesusahan yang diri sendiri alami mungkin tidak langsung dapat menyamai debu yang melekat di kaki-kaki kuda milik para manusia hebat ini!

WallahuTaala'alam...



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Antara Hutang, Rindu, Cinta dan Takut...

>> Sunday, October 31, 2010


"Lega dah habis hutang tuan..." seorang staf menegur saya usai solat asar.

"Habis hutang? Hutang apa?" saya bertanya kembali kepada dia.

"Hutang solat, lepas ini balik rumah dah tak payah terkejar-kejar nak solat..."

Saya diam sebentar. Lantas menjawab kembali;

"Hmm...Apa kata tukar sistem hutang dengan sistem rindu. Rindu untuk bersolat..."

"Wah, itu lebih dahsyat..." jawab staf itu kembali berseloroh.

Saya tersenyum sambil menyudahkan simpulan kasut. Lantas berlalu untuk kembali menyambung kerja di pejabat.


Hutang dan Rindu

Seorang yang berhutang sering terbeban dengan hutangnya. Hutang sememangnya adalah 'hantu' yang sering membelenggu diri. Seseorang yang berhutang dengan sengaja menjerutkan tali di lehernya. Pada bila-bila masa sahaja tali akan menegang. Dan leher pemiliknya akan tercekik kelemasan.

Orang berhutang itu hendak lekas. Lekas bebas daripada belenggu hutang. Jika bersedekah itu melapangkan dada, hutang pula menyempitkan jiwa. Atas sebab inilah Rasulullah SAW berdoa untuk dijauhkan daripada sifat malas, kedekut dan berhutang. Namun saya melihat untuk menyamakan tuntutan solat dengan hutang tidak sesuai. Kerana solat bukanlah suatu beban yang menyempitkan jiwa pengamalnya. Malah apabila ditunaikan bertambah-tambah lapang dada. Kuncinya adalah khusyuk dalam solat. Solat yang khusyuk terasa ringan dan tidak membebankan langsung.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 45:


Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',


Berlainan pula dengan perasaan rindu. Orang yang merindu sesuatu sering memikirkan tentang perkara yang dirindui. Peminat bola sepak yang merindui bola, akan sentiasa bergelumang dengan bola. Perindu kekasih akan sentiasa teringatkan kekasih sampai tersia-sia waktunya. Perindu bulan seperti pungguk yang menunggu bulan jatuh ke riba. Rindu itu amat mencengkam jiwa, kata sang pujangga.

Alangkah untungnya apabila kerinduan itu ditumpahkan kepada Allah Azzawajjalla. Kerana inilah kerinduan yang hakiki dan sejati. Seseorang yang merindui Allah Taala akan bersifat ihsan. Sentiasa merasakan Allah Taala itu melihat segala tingkah lakunya sepanjang masa. Ihsan ini mendorong sifat jujur dan semangat dalam beribadah. Berapa ramai yang bersegera pergi ke masjid apabila mendengar laungan azan atas sebab kerinduan ini. Ya benar, sistem ini lebih dahsyat seperti apa yang diperkatakan staf di atas tadi.


Antara Cinta dan Takut pada Allah Taala

Kalau sekadar cinta dan pada Allah Taala sahaja tidak cukup. Orang yang sekadar melaungkan cinta dengan Allah Taala tidak takut melakukan maksiat. Manakan tidak, setiap kali melakukan dosa dirasakan Allah Taala akan secara pantas memaafkannya. Justeru, jalan taqarrub kepada Allah Taala perlu diimbangi sifat takut pada Allah Taala

Surah Al-fatihah menerangkan sifat pemurah dan kasihnya Allah Taala kepada kita dipermulaan ayat.

Ar-Rahmanirrahim...

Ini menunjukkan Allah Taala amat cinta kepada makhluknya. Disebabkan itulah orang kristian sering melaungkan 'Love God' dan 'Love Jesus' untuk menzahirkan kecintaan mereka kepada Tuhan. Namun kerana sifat cinta ini sahaja tidak cukup menghalang mereka daripada terbabas. Perasaan cinta ini menyebabkan mereka ambil mudah tentang dosa. Lalu apa yang berlaku mereka mengubah kitab Allah, merelakan maksiat dan pelbagai penyelewangan lagi. Lihatlah ideologi mereka di dunia yang menyebarkan slogan cinta telah memerangkap banyak pihak. Cinta-mencintai sehingga wujudnya golongan Hendonism yang merasa tidak bersalah melakukan zina. Tanggapannya mudah, sifat cinta Rabb akan membawa ke syurga juga nanti akhirnya.

Kamu sudah meresap dalam cinta Allah Taala. Sudah merasakan Allah Taala tidak akan menzalimi mahluknya. Nah, sekarang Allah Taala menyebut;

Malikyau Middin...


Allah Taala menguasai pembalasan. Di mana hari dibentangkan segala amal. Sebesar-besar perkara sehingga sekecil-kecilnya dibentangkan.

Hari itu orang-orang yang lalai di dunia akan berkata;

"Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak yang besar..."

Cinta digegarkan dengan perasaan takut pada Allah Taala. Tetapi terlalu takut tanpa cinta juga merbahaya. Jadilah nantinya seperti orang yahudi. Mereka takut akan azab Allah sehingga benci pada Allah Taala. Sebab itu mereka kufur akan nikmat, membunuh para Nabi as, melakukan kerosakan di muka bumi, sombong, angkuh dan mengubah kitab Taurat. Situasi sekarang juga mungkin tidak jauh beza. Perasaan takut pada Allah Taala secara berlebihan kemungkinan membawa kepada pengamalan yang salah. Terlalu takut sehingga memusuhi setiap perkara mubah.

Wasatiah itu kuncinya. Kesederhanaan dalam beragama tetapi tekun dalam melakukan ibadah. Semoga Allah Taala melimpahkan banyak peluang kepada kita untuk beribadah dan berbakti dengan ikhlas. Wallahu Taala'alam...




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Berdayung Mudik ke Hulu

>> Thursday, October 28, 2010


Suatu Masa Dahulu...

Saya teringat pada hari pertama saya melangkahkan kaki di bangku persekolahan. Awal tahun 1993 bermulalah alam persekolahan saya secara rasmi. Saya tidak bersekolah tadika sebelum itu. Tadika saya hanya di rumah. Silibusnya adalah mengenal alam sekeliling, melihat langit membiru, menonton cerita 'Suria baja hitam' dan berangan-angan untuk menjadi 'Superman' satu masa nanti. Kadang-kadang juga saya suka membelek buku-buku kakak. Teringin untuk masuk ke sekolah tadika pada masa itu, tetapi abah cuma mendiamkan sahaja. Kerana saya tidak mengerti barangkali. Atau membiarkan sahaja keinginan saya menjadi inspirasi berharga apabila bersekolah nanti...

"Abang, nanti di sekolah. Bila nak beli kuih, jangan sebut 'wadai' sebut kuih..." begitu pesan mak saat menempek-nempek pipi saya dengan bedak pada pagi pertama persekolahan.

"Oh, sebut 'wadai' tak boleh? Kenapa?" saya bertanya sambil mengesat pipi, tanda protes tidak suka diletakkan bedak.

"Kalau sebut 'wadai' nanti pak cik kantin itu tak faham..." mak menerangkan sambil memasukkan wang syiling 50 sen ke dalam kocek seluar.

Ternyata pesan mak itu benar, hari pertama persekolahan saya sudah membuatkan pak cik kantin itu menggaru-garu kepala. Saya tidak biasa menyebut kuih, hanya 'wadai'. 'Wadai' itu bahasa banjar adik, memang pak cik ini tidak faham. Lantas segera saya betulkan istilah, demi memudahkan perut saya diisi pada waktu rehat itu.


Bahasa Jiwa Bangsa...

Begitulah persekolahan memainkan peranan penting dalam menstandardkan bahasa . Tentunya pertembungan tutur kata, bahasa dan budaya akan berlaku di sekolah. Di waktu inilah sekolah memainkan peranan untuk menyelaraskan bahasa. Sifirnya begini, persamaan akan merapatkan jurang pelajar-pelajar.

Kebiasaannya perbezaan ini disebabkan perbezaan latar belakang kaum, budaya dan ekonomi seseorang pelajar itu. Perbezaan ini boleh dinamakan sebagai Defisit Budaya. Situasi ini selalunya dialami di kawasan pendalaman. Jika diperhatikan orang pendalaman, mereka suka menjerit-jerit apabila berkomunikasi. Berbanding orang di bandar yang bercakap dengan teratur dan sempurna. Itu antara contoh perbezaan budaya. Perbezaan budaya mempengaruhi bahasa. Dengan bahasa yang selaras, pelajar-pelajar yang miskin boleh berkawan dengan pelajar kaya. Juga pelajar yang berbeza kaum juga boleh berkawan baik.

Saya masih teringat ada seorang pelajar berbangsa india di sekolah rendah dahulu. Dia langsung tidak tahu berbahasa melayu. Namun sistem sekolah tidak membenarkan perkara ini berlaku. Mahu tidak mahu dia perlu berbahasa Melayu. Malah atas sebab standard ini juga sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina dan india diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini bagi mengelakkan keluaran sekolah ini masih mengekalkan defisit bahasa. Terutama apabila mereka menjengah ke alam persekolahan menengah nanti.

Bagi saya sendiri, setelah beberapa tahun lamanya membesar di Chemor, bahasa banjar tidak lagi menjadi bahasa pertuturan keluarga kami lagi. Kerugian besar juga sebenarnya. Mungkin yang kekal adalah bahasa diri 'aku' saat berbual sesama kami. Nampak seperti kasar, tetapi sebenarnya membahasakan diri seperti ini dikira sopan dalam budaya banjar.

Walaupun begitu saya agak malu-malu untuk membahasakan diri dengan ibu bapa sebegini di hadapan kawan-kawan. Sungguhpun perkataan 'saya' itu lebih rendah dari perkataan 'aku' sebenarnya. 'Hamba Sahaya' atau ringkasnya 'Ambo Saya'. Orang pantai timur ambil 'Ambo', orang pantai barat ambil 'Saya'. Begitu asalnya perkataan ini seperti yang dicerita...


Tinggikanlah Bahasamu...

Saya mengesan satu tabiat buruk yang saya kutip sepanjang saya bekerja. Tutur bahasa saya sudah mula bercampur-campur. Sering benar saya mengutip bahasa Inggeris untuk digunakan dalam pertuturan. Memang rojak pesemboq! Malah kadang-kadang perkara ini terbawa-bawa apabila saya bercakap di khalayak umum. Maafkan saya cikgu Bahasa Melayu, saya memerlukan sedikit masa untuk pemulihan.

Hakikatnya seseorang itu akan lebih nampak yakin dan hebat apabila dia bertutur dalam bahasa tinggi. Jika mahu berbahasa melayu, gunakanlah ianya dalam standard yang diajar di persekolahan dulu. Malah seseorang itu juga dapat dinilai latar asal, ekonomi dan darjatnya melalui bahasa pertuturannya. Jika seseorang itu terpelajar contohnya, dia akan bercakap dalam bahasa orang terpelajar. Bahasa orang terpelajar tidak akan sama dengan bahasa kutu jalanan. Malah saya sendiri naik rimas apabila mendengar dialog pertuturan pelakon-pelakon kutu jalanan di dalam televisyen mahupun filem.

"Lu apa cerita? Gua dah lama tak dengar cerita lu...Halo-halo la woi!"

Rimas! Saya percaya bahasa murahan seperti ini akan pupus dengan pupusnya orang yang bertutur seperti ini nanti.


Tinggikanlah Tulisanmu...

Tulisan mengandungi seni besar. Ianya lahir dari hati, bukan mulut. Tulisan mencerminkan peribadi. Malah orang-orang hebat menyampaikan kehebatan mereka zaman berzaman dengan tulisan. Maha suci Allah yang telah bersumpah dengan nama pena.

Menyedari hakikat pentingnya tulisan, seseorang juga perlu mengambil kira perkara ini. Dahulu sebelum sekolah kamu tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Lalu apabila kemahiran seperti ini sudah kamu kusai, kamu nodanya sesuka hati. Jenayah tulisan yang saya maksudkan banyak berlaku di internet pada masa kini. Blog, facebook atau ruangan komen di mana-mana sahaja di cemari dengan tulisan ambil mudah. Tiada noktah, tulisan kecil besar dan meringkaskan sesuka hati bahasa adalah satu tabiat tidak elok.

Saya menyimpulkan, seperti mana rendahnya darjat orang berbahasa rendah. Maka seperti itu juga orang yang menulis secara ambil mudah. Tulisan kamu sebenarnya melambangkan tahap pemikiran, ekonomi, darjat dan ilmumu!


Tinggikanlah Juga Doamu...

"Ya Rabb, lapangkanlah dadaku. Mudahkanlah urusanku, dan lepaskan kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku..."

Betapa besar hikmah pertuturan sehinggakan Nabi Musa as berdoa begini sebelum pergi kepada Firaun. Bahkan kita juga di ajar untuk berdoa sebegini sebelum memulakan urusan. Kerana sebesar mana pun urusan ianya tidak menandingi urusan Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as. Mereka berdua yang datang dari luar, pergi dengan bekal tawakal untuk berdakwah kepada Firaun yang kerajaannya besar dan gagah.

Inilah hikmah doa, maka selalulah berdoa supaya bahasa kita fasih dan bermutu. Kerana bahasa fasih itu modal besar dalam dakwah. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri bahasanya cukup fasih.
Abu Bakr pernah bertanya pada Nabi SAW, "Aku tidak pernah melihat orang fasih bahasanya berbanding dengan engkau, wahai Rasulullah SAW."

Baginda SAW menjawab, "Kenapa tidak? Aku dari suku Qurasiy, dan aku disusui oleh Bani Sa'd."

Lihatlah bahasa itu sendiri diakui menggambarkan darjatmu di sisi masyarakat. Justeru jangan mudah-mudah sahaja merendahkan dirimu bukan pada tempat yang sepatutnya!



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Berderap di Jalan Panjang

>> Friday, October 8, 2010

"Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku dalam Islam satu perkataan yang aku tidak akan menanyakannya kepada seorang pun selain padamu?"

"Katakanlah, saya beriman kemudian istiqamahlah."

Ringkas, tapi padat! Inilah dialog yang terakam di dalam hadis riwayat muslim. Ianya berlangsung di antara Sufyan bin Abdullah Atsaqafi r.a. dengan Nabi Muhammad SAW. Persoalannya mengandungi makna yang cukup besar, manakala jawapannya menuntut melakukan sesuatu bukan berdiam diri sahaja.


Katakan beriman dan Istiqomahlah!

Persoalan iman sering kali dibahas di mana-mana tingkat kecenderungan Islam. Iman itu adalah pokok besar dalam memandu diri dalam Islam. Iman adalah batu jemala kukuh yang perlu diperteguh sebelum membina ibadah-ibadah lain. Tanpa iman, seseorang itu tidak dikira berada di dalam lingkungan Islam. Tertolak satu daripada kepercayaan rukun-rukunnya, menolak seseorang itu daripada daerah keislaman.

Namun persoalan iman ini amat berkait rapat dengan istiqomah. Ramai yang bisa menumbuhkan baja iman. Malah lebih daripada itu bebab bisa digalang apabila datang angin monsun semangat waja keislaman. Tetapi bukan senang untuk seseorang berdiri secara teguh di dalam daerah Istiqomah. Istiqomah menuntut lebih dari sekadar semangat-semangat sahaja. Ataupun hanya dilengkapi dengan ilmu berbahas soal-soal agama. Istiqomah lahir dari keluhuran hati dan amal setiap gerak geri.

Allah Taala berfirman di dalam surah Al-Ahqaaf ayat 13:

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita.


Ya, orang yang istiqomah tidak ada kekhuatiran di dalam diri mereka. Kerana mereka itu adalah orang yang tidak bisa ditumbangkan walau gunung setinggi everest. Datanglah pelbagai dugaan, sama ada hembusan angin kesenangan atau puting beliung kesusahan. Nescaya mereka tetap teguh berdiri demi mempertahankan iman. Apakah sehingga ke tahap ini mereka tidak layak dihadiahkan kelapangan jiwa oleh Allah Taala?

Istiqomah sebenarnya amat merengut jiwa-jiwa mereka yang sudah berada di dalam lingkungan hidayah dan tarbiyah. Inilah sebenarnya kekhuatiran besar. Apakah mereka mampu untuk tsabat dan teguh dalam perjuangan amal Islami di muka bumi. Manakan tidak, sedang laut ada pasang surutnya- ini pula keadaan dan situasi semasa. Hari ini mungkin sahaja mereka mampu tersenyum duduk di kalangan rakan-rakan soleh. Berlumba-lumba untuk beribadah, berkongsi ilmu dan manisnya iman. Tetapi dia tidak mampu menjamin apakah tetap berada di dalam kondisi ini jika dipaksa tinggal dengan orang-orang jahil di sekeliling. Keselesaan sering sahaja menjadi penyebab diri manja dan tidak punya kekuatan. Itu dugaan terbesar!

Buah Dilema Karangan Pelajar Sekolah Agama.

"Member teman dulu ada yang hafiz dan hafizah. Sekarang ini hampeh tak bertudung dah!"

"Dulu sekolah agama orang panggil 'lebai', sekarang ini tinggal 'bai' sahaja!"

Ini mungkin ayat-ayat sinis yang biasa diputar di sekeliling kita. Ini juga yang menjadi dilema pelajar-pelajar sekolah agama. Bagi yang meneruskan pengajian ke jurusan agama juga alhamdulillah mungkin masih terjaga. Namun mungkin sukar untuk mengulas mereka yang memilih berada di pengajian-pengajian yang dualisme dengan agama.

Lalu yang tinggal hanyalah kenang-kenangan di sekolah dahulu. Bagi lelaki, ada yang mula memandang keharaman rokok menjadi makruh. Alasannya dia sudah mula menyedut kerana terpengaruh. Bagi yang perempuan, selamat tinggal tudung labuh. Malu dipandang 'alim' oleh rakan-rakan yang tidak ambil pusing.

Benar, bukan semua bersituasi begini. Ianya bergantung pada individu masing-masing. Sama ada dia sekolah agama atau tidak, dia sendiri yang menentukan mahu menjadi baik atau buruk. Tidak dinafikan potensi yang ada di kalangan mereka yang bersekolah agama. Kebiasaannya mereka sudah dididik dengan ciri--ciri pemimpin yang bersiap membimbing rakan-rakan sebaya. Potensi hampir diakui semua yang mempunyai persepsi utama. Peluang ini perlulah diambil sehabis mungkin untuk mempengaruhi mereka orang ke arah Islam. Ini cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas. Hanya mereka yang istiqomah sahaja yang mampu untuk memikul beban ini.

Seharusnya pelajar sekolah agama tidak perlu gusar apabila masyarakat memandang tinggi pada mereka. Ada yang bimbang jika serba sedikit akhlak buruk mereka menjadi fitnah pada agama. Tetapi itulah lumrah alam, yang tidak sempurna akan sentiasa meniru-niru mereka yang nampak sempurna. Seharusnya peluang ini diambil untuk sentiasa bermuhasabah diri dan bersedia mempersiapkan diri dengan akhlak yang terpuji. Bukankah satu kemulian jika suatu kebaikan itu bermula disebabkan diri kita sendiri?

Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka”. (Sahih Muslim Bab Galakan Supaya Bersedekah Walau Dengan Sepotong Tamar Atau Dengan Satu Kalimah Yang Baik.)


Istiqomahlah itu punya macam-macam cara. Yang penting mulakan dengan niat yang baik dan sentiasalah berdoa semoga Allah menetapkan iman kita. Carilah rakan-rakan soleh walau diceruk manapun kamu tercampak. Bersederhana di dalam fikrah dan tekun dalam beribadah. Ingatlah istiqomah itu umpama bekal bagi mereka yang mahu bermusafir panjang. Sesiapa yang dengan lahap mengabiskan bekal tidak mampu untuk terus mengharungi perjalanan seterusnya. Semoga Allah Taala sentiasa meletakkan diri kita dalam perlindungan dan rahmatnya. Wallahu a’lam bis shawab...


MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Syawal Dalam Lorong Taqwa dan Iman.

>> Wednesday, September 15, 2010


Saya membelek-belek majalah LAMAN di rumah Cikgu Norsiha saat berkunjungan. Teruja melihat gambar-gambar tips menanam pohon bunga yang masih muda dan hijau. Pohon bunga hijau yang ditanam dengan kasih sayang dan penuh belaian. Barulah ianya tumbuh mekar dan indah untuk tatapan yang mendamaikan jiwa.

Malangnya, tidak ramai yang mahu mengambil ibrah pohon yang ditanam. Jika mahu akhlakmu cantik dan indah perlu ada asas kukuh lagi utuh. Tanamlah dirimu juga dalam tanah kerendahan. Kerana setiap sesuatu yang tumbuh, jika tidak ditanam tidak akan tumbuh dengan sempurna.


Aidilfitri, Kembali Pada Fitrah Asal atau Sifat Buruk Asal?

Aidilfitri adalah satu hari khusus untuk umat Islam bergembira sambil melaungkan takbir kemenangan Islam. Sengaja disebut satu hari khusus, bukan sebulan. Kerana lafaz hari raya sebulan adalah sesuatu yang dianggap melampau. Hampir sahaja umat ini meniru-niru kembali apa yang dilakukan umat-umat terdahulu. Iaitu sifat melampau yang membawa kepada kerosakan.

Namun, tidaklah menjadi kesalahan untuk saling berkunjungan dan maaf-bermaafan. Ianya lebih mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan perhubungan. Namun ada satu fanomena kurang sihat yang saya sering perhatikan saat pulang berhari raya di kampung. Izinkan saya menggariskan;

1) Wujudnya fanomena bermegah-megah dengan material yang ada. Bagi mereka yang bekerja di luar kampung, pada waktu inilah masanya untuk memperagakan kenderaan yang besar dan mewah. Kerana fikirannya, kereta besar dan mewah itu melambangkan kejayaan. Bagi yang bekerja biasa-biasa, dengan mempunyai kereta mewah sudah mampu menutup kekurangan diri di mata rakan-rakan dan saudara taulan. Satu persepsi yang mengundang fitnah berlarutan.

2) Topik perbualan sesama saudara dan taulan berkisar orang lain. Ada yang kadang-kadang suka mengangkat diri sendri. Niatnya mahu orang lain memandangnya tinggi. Ada juga yang suka bercerita kisah orang lain, sama ada keburukan atau kebaikan. Jika bercerita tentang keburukan ianya lebih menghampirkan kepada mengumpat yang sudah terang lagi bersuluh satu akhlak keji. Jika bercerita tentang kebaikan orang lain, ianya boleh menjadi satu pujian melambung yang membuatkan orang lain boleh sakit hati. Bersederhana dalam berbual itu lebih dianjurkan, tetapi tidaklah bermakna menghalang sifat ramah yang perlu diamalkan dan berterusan.

3) Berhibur sehingga lupa untuk terus bertakbir dan beribadah. Berhibur bukan sahaja tertumpu pada mendengar nyanyi-nyanyian tetapi juga sibuk melayan tetamu atau berkunjungan sehingga lupa dan lalai menunaikan solat. Jelas, meletakkan satu kepentingan lain daripada kepentingan solat adalah merupakan satu kebodohan!

4) Tidak meraikan orang miskin dan kurang bernasib baik. Aidilfitri di bawah suluhan material memang cukup menggugah bagi mereka yang tidak berkemampuan. Ingatlah di saat kita menyusur bersimpang siur dan berkenderaan, ada orang yang tidak punya kenderaan untuk berkunjungan. Di saat makanan mewah sedia terhidang, ada insan yang tidak punya apa-apa untuk dimakan. Ingatan ini buat diri saya juga, berapa ramai di antara kita yang sedar kewujudan mereka di sekiliing kita? Berapa ramai yang balik ke kampung lalu menyusur untuk mencari anak-anak yatim, janda tanpa pembelaan, orang tua yang tidak berdaya dan keluarga miskin yang hidup dalam hambatan segan? Ya Allah jauhkanlah kami tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai.


Jangan Menjadi Seperti Wanita Yang Memintal Benang

Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran, An-Nahl ayat 92:

Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian) mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu. Dan sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu."

Al-Qurtubi mengatakan wanita yang digambarkan di sini adalah seorang wanita jahil bernama Rithah binti Amru bin Ka’ab. Al-Quran dengan sinis menggambarkan perihal wanita yang menyimpul benang adalah bermaksud orang yang berbuat amal dengan bersungguh-sungguh. Tetapi malangnya amal itu akhirnya menjadi sia-sia dan hilang pahalanya kerana dosa dan maksiat yang diperbuatnya. Malang sungguh melihat orang yang bersungguh-sungguh mengharapkan redho dan keampunan Allah Taala di bulan Ramadhan tetapi akhirnya menyia-nyiakan semua ini apabila bermula bulan Syawal.

Apa yang dirisaukan adalah bulan Ramadhan yang menjadi tapak semaian iman dan taqwa tidak meninggalkan kesan buat diri. Taqwa ini dibaja dalam tempoh sebulan bagi digunakan untuk 11 bulan seterusnya. Apa lagi yang tinggal bagi mereka yang sudah berbuat dosa dan maksiat sejurus bulan Ramadhan berlalu. Bermakna nilai taqwa itu tidak terhasil langsung sebelumnya. Sesuatu yang sepatutnya menjadi kebimbangan kita apabila bertemu dengan suatu hadis yang dinyatakan oleh Nabi SAW mengenai Malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah: Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. Dan Nabi SAW mengaminkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ingatlah dua perhubungan yang amat penting untuk kita jaga sewaktu di dunia ini. Iaitu hubungan seorang hamba dengan Allah Taala, dan hubungan seorang hamba dengan seorang hamba. Jika didapati terdapatnya masalah untuk bermohon maaf, saling berbaik sangka, berakhlak mulia dan menghubungkan silaturrahim sesama manusia. Maka kemungkinan hubungan individu itu dengan Allah Taala lebih bermasalah jua...

Allah lebih Mengetahui...



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Nasi Kuning Ayam Kurma...

>> Saturday, August 21, 2010

Taqwa dalam untaian rahmat Allah SWT. Ianya memang sungguh mengasyikkan dan sukar untuk dilukis warna keindahan. Taqwa seperti benih baja yang menyuburkan banyak pohon-pohon kebaikan di dalamnya.

Taqwa melahirkan zuhud pada dunia. Taqwa berkompromi dengan ketaatan dalam pengibadahan. Taqwa menoreh darah-darah jihad keluar dari urat-urat kegusaran para pencinta syuhada. Taqwa menyubur jiwa-jiwa segar pencinta ilmu. Taqwa itu pemandu kasih-sayang sesama manusia.


Ukhuwah itu lahir dari sifat Taqwa.

"Aku dengan kamu saudara!" ujar buah durian kepada buah betik.

"Saudara? Mana mungkin kita bersaudara. Fizikal sahaja sudah berbeza. Kamu dengan duri-duri tajam. Sekali kamu mendekat, habis nanti kulitku kau lumat!" nafi buah betik dengan hujah fizikalnya.

Huluran ukhuwah di dalam Islam bersifat pelik lagi aneh. Ianya timbul di tengah-tengah masyarakat yang berasobiyah dan bersuku-suku sekali pun warna kulit serupa. Tetapi Islam datang sekaligus mengiklan sebuah talian yang lebih tulus. Ianya merentas perbezaan warna kulit, bahasa, budaya dan apa jua latar belakang.

Sekali lagi taqwa memandu daripada fanatik buta hanya dengan nilaian lahiriah fizikal sahaja. Taqwa memandu lebih daripada itu. Taqwa meletakkan dalam rencam pengabdian diri kepada Allah Taala. Maka dengan sebab itu, Allah Taala mencampakkan satu cinta yang indah yang tidak terdapat pada hal lain.

Inilah asas persahabatan sebenarnya. Iaitu bersahabat atas sifat taqwa. Ianya jauh lebih mulia daripada persahabatan atas kerana satu tempat kerja, mempunyai minat atau hobi yang sama, atas kerana sama-sama ahli jawatankuasa atau selain daripada itu.

Kerana persahabatan atas asas taqwa melahirkan elemen-elemen yang amat indah. Kata-kata yang mengasyikkan. Tidak percaya? Pernahkah sahabatmu mengatakan sebegini pada dirimu;

1) Aku cintakan kamu sahabat kerana Allah SWT.

2) Aku benar-benar sangat cintakan kamu sahabat. Kalau kamu tidak cintakan aku tidak mengapalah. Tetapi cukuplah untuk aku mengetahui yang kamu mencintai diri sendiri.

3) Aku ingin sangat masuk syurga dengan kamu. Oleh sebab itu aku sering menasihatkan kamu, dan aku berharap juga sebaliknya. Sebelum kita berpisah, izinkan aku berwasiat kepadamu untuk bertaqwa kepada Allah SWT.

Macam mana? Ada berani berkata begini pada sahabat karib?
Kalau tidak berani, maknanya persahabatan tidak sampai ke tahap para sahabat r.a. :

Anas r.a. mengatakan bahwa seseorang berada di sisi Rasulullah saw., lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulullah.” Lalu Nabi bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahu dia?” Orang itu menjawab, “Belum.” Kemudian Rasulullah saw. bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu karena Allah.” Kemudian orang yang dicintai itu menjawab, “Semoga Allah mencintaimu karena engkau mencintaiku kerana-Nya.” (Abu Dawud, dengan sanad shahih)



Ukhuwah itu juga melahirkan kembali sifat Taqwa

"Norman keseorangan di Sandakan itu. Dia nak belajar tajwid, tapi segan nak berguru!" adu seorang ikhwah pada saya.

"Tak bolehlah macam itu syeikh. Dia kena cepat-cepat mencari rakan yang soleh. Katakan kembali pada dia, ini amanat ana..." ujar saya melahirkan kegusaran.

Jika keseorang dalam memelihara iman, hendaklah segera mencari rakan karib yang soleh. Kerana rakan yang soleh itu juga merupakan satu rezeki dari Allah Taala. Apabila kita lupa dia akan memperingatkan. Apabila diperingat, kita akan terhutang budi dan ingin membalas kebaikannya.

Umar Al-Khattab sendiri pernah membayangkan perihal ini di dalam satu daripada ucapannya, "Engkau mesti mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu susah."

Inilah bukti ukhuwah juga melahirkan sifat taqwa. Malah ianya menghias indah nilaian peribadi kita dan sahabat. Semua orang akan senang untuk berkawan dan masuk di dalam kelompok kebaikan. Akhirnya kekuatan akan semakin nampak. Masyarakat meletakkan jemaah sebagai andalan. Amat rugilah mereka yang menyendiri, kerana barangsiapa menyendiri bermakna ianya sengaja mengasingkan diri di dalam neraka Allah Taala.

;

Beruntunglah orang-orang yang sering menjaga hubungan sesama manusia. Disebalik tujuan manusia-manusia itu berkawan dan bersahabat, dia tidak lain melakukan itu semua hanya kerana sifat taqwa. Kerana tekadnya sering membisikkan kembali padanya. Bahawa solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya kerana Allah Taala jua.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Ramadhan Kareem~Entri versi mee segera

>> Wednesday, August 18, 2010

Assalamualaikum.
Sudah lama saya tidak menulis di ruangan ini. Sehinggakan sesekali terasa dunia blog itu begitu asing bagi diri saya. Itulah perjalanan hidup manusia. Siapa pun tidak dapat menyangka apa yang bakal berlaku di hadapan, masa hadapannya dan bagaimana pengakhiran diri sendiri.

Tamam Syaaban, sudah pastinya saat yang paling dinanti-nanti adalah bulan Ramadhan yang mulia ini. Salam Ramadhan ditujukan buat rakan pembaca yang setia berdamping dengan blog saya yang kerdil ini.

Ramadhan tahun ini pastinya berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Saya sudah bertukar status daripada seorang pelajar kepada seorang pegawai jurutera (pelatih) di kapal. Suasananya amat berbeza. Hari kedua Ramadhan, kapal saya sudah ditugaskan untuk melakukan rondaan dari Pulau Jarak ke Pulau Perak. Hampir seminggu di laut, saya beserta anak-anak kapal lain betah berpuasa di tengah-tengah olekan gelombang yang bergelora tanpa amaran.

Mabuk laut usah dicerita, sudah menjadi asam garam seorang tentera laut. Cuma kali ini saya sedikit tersentuh melihat nelayan-nelayan terutamanya dari Indonesia yang gigih mencari rezeki. Rondaan kami bolehlah disimpulkan antara tujuan utamanya adalah untuk menghalau nelayan-nelayan negara jiran ini daripada memasuki perairan negara. Gigih mencari rezeki walaupun hanya dengan tongkang sebagai wahana pekerjaan. Ramai orang boleh menikmati dengan enak masakan ikan kembung yang dibeli di pasar. Tetapi tidak ramai yang boleh membayangkan kesusahan mendaratkan ikan kembung berkenaan.

Sampai di sini sahaja...Doakan saya untuk rajin-rajin menyampaikan isi cerita dan memutar belit bahasa di laman blog ini lagi. Assalamualaikum. Illlaliqo'. Continue Reading...

Read more...

Engkaulah yang memberi sinar!

>> Sunday, July 25, 2010


'Buatlah minuman manis dari limau yang masam'

Mungkin bagi peminat buku La Tahzan, bab ini bukanlah asing lagi bagi mereka. Satu pernyataan yang cukup mengujakan saya di sebalik definisi masam yang selalu dibayangkan. Saya suka menggantikan pernyataan ini dengan perkataan yang lebih tersusun dan indah sebutannya. Itulah dia namanya 'hikmah'.

Hikmah terkandung makna tersembunyi buat guna manusia itu sedar bahawa dirinya sedang diuji.


Siapa tahu makna hikmah tersembunyi?

1) Jauh dari logikal akal manusia biasa, tingkah seorang suami membawa isteri dan bayinya yang masih kecil berkelana jauh mengundang seirbu pertanyaan. Ditambah lagi dengan hanya meninggalkan mereka begitu sahaja di tengah-tengah padang pasir kontang. Atas alasan apakah Nabi Ibrahim as menurunkan Siti Hajar dan Nabi Ismail as dari kenderaan lalu berlalu pergi?

Sukar mungkin membayangkan peristiwa ini. Geografi padang pasir kontang tidak berpenghuni. Tidak juga atas laluan pedagang. Tidak punya mata air untuk di minum. Tiada bekal makanan untuk dimakan. Tiada langsung tumbuh-tumbuhan yang mahu hidup. Hanya yang ada bunyi desiran angin dan rengekan anak kecil sebagai peneman sunyi.

Tawakkal yang amat kuat diserah bulat-bulat kepada Allah Taala. Bukankah ini petanda Nabi Ibrahim as sering diuji dengan ujian-ujian tidak masuk akal? Meninggalkan anak dan isteri yang disayangi. Malah kalau terus bercerita ke hadapan lagi, Nabi Ismail anaknya disuruh disembelih hidup-hidup.

Tahukah Nabi Ibrahim as ketika itu, peristiwa ini adalah titik mula menyiapkan satu daerah suci. Dimana nantinya akan lahir manusia hebat penyelamat umat ini. Nabi Muhammad SAW kekasih Allah SWT yang menjadi azimat zikir setiap tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, langit dan bumi.

Tahukah Nabi Ibrahim atas alasan ini? Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

2) Jauh dalam kepanasan matahari yang terik membakar, sekumpulan rombongan berjalan merentas keluasan padang pasir dari selatan menuju ke arah utara. Mereka adalah sekelompok manusia dari sejumlah 70 orang Islam seperti mana yang diriwayatkan Ibnu Sa’d di dalam kitabnya ath-Thabaqat, berhijrah keluar dari Kota Makkah. Persis orang yang dihalau dari kampung halaman, apakah lagi yang diharapkan jika pemergian ini tujuannya tidak lain hanyalah untuk menyelamatkan mahkota akidah mereka.

Tetapi adakah disebalik jejak-jejak langkah mereka ini, mereka berfikir ini adalah perjalanan yang paling dirahmati? Perjalanan yang bakal menjadi sebutan dari bibir ke bibir dari setiap generasi. Perjalanan yang merintis noktah pena di atas kalam-kalam berbau sukma keasyikan bagi orang yang rindu pada sirah kekasih Allah ini.

Tidak, tidak sama sekali. Namun disebalik perjalanan ini, terakamlah sejarah sebuah negara Islam yang pertama bakal wujud. Sebuah negara Islam yang kecil, tetapi menjadi titik panas dunia. Hembusan angin dari atap-atap rumah penduduknya sudah cukup menggusarkan golongan arab jahiliah di bawah sana. Juga memanaskan punggung kerusi kaisar Rom dan Parsi dari atas dan tepi. Apatah lagi inilah negara yang menjadi igauan buruk bagi kerajaan kuffar yang bernaung di atas langit Allah SWT sehingga ke hari ini.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?

Gambar sekadar hiasan

3) Pernahkah mendengar kisah seorang anak kecil yang dari suku kurdish yang biasa-biasa sahaja? Pendidikan yang biasa seperti kanak-kanak lain. Apabila tiba waktu belajar dia pergi belajar, apabila tiba waktu main dia pergi bermain. Tidak siapa pernah menyangka bahawa kanak-kanak ini bakal menjadi cukup istimewa sehingga menjadi sebutan kerajaan kristian di Barat.

Dialah Sallehuddin Al-Ayyubi. Dia panglima perang yang memiliki akhlak yang amat terpuji. Panglima perang yang sibuk memikirkan tentang umat. Tingkahnya ketika berperang seperti singa betina lapar yang kerasukan kerana kehilangan anak. Tetapi waktu malamnya berubah menjadi seorang abid yang seolah-olah meletakkan dunia hanya di sisi.

Semua ini bukan bermula secara magikal. Sallehuddin juga manusia biasa yang teruji saat melangkah mula dalam misi membebaskan tanah palestin. Tanah suci yang terpenjara di tangan orang kristian selama hampir 90 tahun.

Saat dia diarah oleh sultan Aleppo untuk pergi ke Mesir. Tidaklah seringkas bahasa periwayat cerita-cerita sekunder. Arahan ini sebenarnya cukup berat untuk dituruti. Mesir bukanlah negara pilihan yang baik untuk dijadikan tempat bermaustatin. Malah kerajaan Syiah Fatimiah yang berada di sana menggambarkan tidak kesenangan Sallehuddin al-Ayyubi untuk ke sana. Akhirnya dia pergi juga, tetapi bukan lagak seorang yang ceria dan gembira. Langkahnya berat. Sehingga Bahauddin bin Shaddad menceritakan pemergian seperti memaksakan diri untuk pergi ke tempat pembunuhan.

Sedar akan perencanaan Allah Azzawajjala, Sallehuddin mulai yakin kedatangannya ke Mesir adalah untuk satu misi besar. Keyakinannya bertambah apabila melihat perencanaanya merubah ke arah kebaikan seperti dipermudahkan Allah Taala. Saat itu dia tidak menoleh kebelakang lagi, dia yakin bahawa apabila Allah menganugerahkan Mesir kepadanya bermaksud Allah juga meletakkan Palestin di atas tangannya.

Bukankah hikmah itu terkandung makna tersembunyi?


Syahdu dan sendu dalam desiran doamu.

Benarlah firman Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah ayat 216;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu."

Sabarlah saat engkau diuji. Bacalah Al-Quran yang mengandungi kisah-kisah insan hebat yang pernah hidup yang tidak lekang diuji. Bukankah mereka itu sumber inspirasi? Inspirasi diri untuk menjadi insan kuat lagi disayangi.

Buatlah minuman manis dari limau masam. Maha suci engkau Ya Allah yang Maha Mengetahui dan menguasai langit dan segala isi.




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Merajuk atau sekadar mahu dipujuk?

>> Friday, July 9, 2010


Qasidah bingung. Buntu jadinya diri. Berpusing ke sana dan kemari. Di ambilnya secubit roti. Digiris sedikit demi sedikit di dalam mulut. Perubahan rakan baiknya Aminah cukup menggusarkan. Terngiang-ngiang di dalam ingatannya lewat waktu rehat sesi persekolahan tadi.

"Aminah, jom ke kantin sekolah!" ajak Qasidah

Aminah hanya diam membatu. Malah tidak sekadar itu, dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Ya, dia sedar. Aminah merajuk dengannya. Tetapi dia tidak tahu puncanya apa? Aminah juga tidak betah untuk memberitahunya. Adakah dia perlu terus memujuk rakan baiknya itu?


Merajuklah, jika dunia ini terasa luas buat anda

Kisah Qasidah mungkin pernah dialami oleh sebilang orang. Malah, kisah ini bukan hanya terjadi terhadap wanita tetapi untuk tetapi kelompok lelaki juga. Lazimnya merajuk seperti ini membuahkan permusuhan. Sangat buruk tabiat ini. Merugikan waktu dan keberhasilan potensi diri.


Merajuk itu perlu jika...

Sekadar boikot sementara waktu jika seseorang yang amat rapat tidak mahu mendengar nasihat untuk memperbaikinya dirinya. Tetapi rajuk itu bukan seperti yang dibayangkan. Ianya perlu ada kata dua, dan orang yang kita tuju itu tahu mengapa kita melakukannya. Rajuk seperti ini tujuannya adalah kebaikan. Tempohnya juga adalah amat terhad.

"Aku menghadirkan diri di hadapan Rasulullah SAW lalu mengucapkan kalimah syahadah. Namun Nabi SAW memaling diri dari memandang wajahku." Cerita Abu Sufyan bin Harith saat dia hadir bersama-sama anaknya Ja'far untuk menyatakan ke-Islamannya.

Tindakan Rasulullah itu bukan menggambarkan kebencian, tetapi bagi menunjukkan petanda apa yang dinyatakan oleh sepupunya itu memerlukan tempoh. Permusuhan Abu Sufyan selama lebih kurang 20 tahun lamanya, ianya bukan satu tempoh yang pendek. Namun begitu Rasulullah SAW tetap menerima Abu Sufyan bin Harith.

"Siapa ini?" Soal Rasulullah SAW kepada Abbas tika perang Hunain yang berkecamuk menghadirkan seorang yang berlawan dengan berani di sisi Rasulullah SAW.

"Ini adalah saudara dan sepupumu, Abu Sufyan al-Harith. Maafkanlah dia wahai Rasulullah." jawab Abbas.

"Ya, aku telah maafkannya. Dan Allah juga telah mengampuninya..."

Berbungalah hati Abu Sufyan selepas itu, dan dia bertekad untuk menjadi muslim yang sejati dan dicintai Allah dan Rasul.


Merajuk itu bathil jika...

Tanpa alasan yang kukuh. Tanpa sebab yang diiring dengan syariat. Merajuklah seorang anak Adam dengan sebab yang tidak perlu. Apakah ukhwah itu sesuatu yang mudah dicari ganti? Apakah permusuhan itu mendatangkan keuntungan di kemudian hari? Adakah seorang isteri yang merajuk dengan suaminya berjaya mendatang simpati? Atau juga suami yang merajuk hanya untuk menyakitkan hati?

Merajuk seperti ini mendatangkan celaan. Merajuk seperti membuahkan kebahagian syaitan. Apakah senjata perundingan itu tidak setajam merajuk tanpa alasan? Kerana berunding itu banyak mendatang kebaikan dan boleh mengendurkan ketegangan. Jauh lebih baik daripada memilih untuk bermusuhan.

Mengungkap satu hadis dari Shahih Bukhari no 1175. 'Aisyah r.a. meriwayatkan Nabi Salallahu alaihiwassalam bersabda;

"Orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling suka bermusuhan."


Sifat merajuk ini sebenarnya menonjolkan keegoan diri. Ingat sombong, ego dan takabbur itu mendatangkan kemurkaan Allah Taala. Kebiasaannya orang yang merasakan dirinya bagus akan mudah terasa hati apabila dia dipencilkan atau di sisihkan. Inilah bahaya meninggi diri sebenarnya. Bila dia merasakan dirinya bukan lagi menjadi perhatian, maka merajuk itulah jalan mudah buatnya.

Seharusnya jalan keluar dari sifat merajuk ini adalah sentiasa merendahkan diri ini. Sentiasa merasakan diri ini lebih hina dari orang lain dari segi amalan, dalam masa yang sama merasakan diri banyak berbuat kesilapan. Maafkanlah kesalahan orang lain. Sifat pemaaf itu dipuji. Kerana sedarlah jika diri sendiri pun terkadang melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima, apatah lagi untuk menerima kesilapan orang yang berada di sekeliling kita.

Pahit bisa jadi manis akhirnya...
--------------------------------------------------------------------------------------------------
*Abu Sufyan ibn al-Harith adalah anak al-Harith bin Abdul Mutallib. Beliau adalah sepupu Nabi SAW dan lebih kurang sebaya dengan Nabi SAW. Beliau bukan Abu Sufyan al-Harb, ayah Muawiyah bin Abu Sufyan.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP