Perantara di antara hitam dan putih.

>> Monday, June 23, 2008


Lihatlah kaki!

Satu tabiat yang saya rasakan agak normal apabila berdiri di dalam sof(sebelum memulakan solat)adalah melihat kaki jemaah kiri dan kanan.

Kaki saya. Sudah lurus melunjur ke arah kiblat. Alhamdulillah.
Kaki jemaah kanan. Teragak-agak untuk menghimpit. Kenalah beri isyarat merapat.
Kaki jemaah kiri. Masih tak lurus ke arah kiblat. Jikalau itu rakan, segera saya menegur. Jika bukan, masih memerlukan masa dan kebijaksanaan untuk mengingatkan.

Oh, satu lagi!
Kelmarin saya berdiri sebelah menyebelah orang yang kulit kakinya lebih putih. Terasa kulit kaki saya paling hitam.
Semalam saya berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya lebih hitam. Terasa kaki saya pula paling putih.
Akan datang, mungkin saya akan berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya putih dan hitam. Masa tu mesti rasa saya adalah orang Melayu tulen yang kulitnya adalah coklat!

Hakikatnya saya adalah orang Melayu yang kulitnya coklat sawo matang. Tidak putih dan tidaklah hitam.

Mungkin tepat jika analogi ini dapat saya gunakan untuk pergaulan kita sehari-hari.

Amatlah malang bagi diri ini, jika rakan-rakan yang kita sering bergaul dan rapat adalah terdiri daripada mereka yang fasik.
Jika kita orang yang menjaga solat, kita mungkin terasa diri masih baik. Lebih baik daripada rakan-rakan kita yang lain tu. Lalu berangan-anganlah diri. Bahawa dirinyalah yang paling baik. Boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Cuba pula berdiri ditengah-tengah orang alim dan warak. Ya, kita akan dapat rasakan diri ini banyak sangat lagho dan jahatnya. Terlalu banyak jahil dan tak layak dijadikan ikutan.

Inilah yang dijawab oleh Ibnu Taimiyyah. Ketika mana dia berdialog dengan seorang penganut aliran al-Bataihiyah, satu gerakan pengamal Tasawuf sesat.

Orang itu bertanya kepada Ibnu Taimiyyah; "Apa yang ada padamu Ibn Taimiyyah? Jika kami pergi kepada kamu, iaitu Ahli Sunnah, wibawa kami luntur, tetapi jika kami pergi ke Tartar-Mongolia yang kafir itu wibawa kami malah muncul?"

Ibnu Taimiyyah langsung menjawab;

"Tahukah kamu perumpaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami tidak ubah seperti kuda-kuda yang berwarna putih, kamu tidak ubah seperti kuda belang, manakala orang-orang Tartar itu tidak ubah seperti kuda hitam.

Jika yang belang masuk ke dalam kelompok kuda hitam, maka akan nampak putihlah ia dikalangan kuda-kuda hitam itu.
Tetapi jika yang belang itu masuk ke dalam kelompok kuda putih, maka akan nampak hitamlah ia dikalangan kuda-kuda putih itu.

Kamu masih mempunyai sedikit cahaya.
Jika kamu masuk di celah-celah orang kafir maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu masuk di celah-celah orang Ahl Sunnah yang mempunyai cahaya besar maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu.

Demikianlah perbandingan antara kamu, kami dan orang-orang Tartar."

Lihatlah rakan-rakan karib sekeliling. Kuda hitam atau Putih?

Continue Reading...

Read more...

Ceramah Perdana itu membosankan!


Hatiku menyorak. Tapi berkeladak.
Keladak curiga dan mula menyampah.
Melalui susur kemelut masyarakat yang mengangkat tangan mahu mengubah.

Hari jumaat itu saya nekad. Janjinya hanya mahu dengar ceramah MB Nizar dan Tok Guru Nik Aziz. Tapi peluang itu saya jangkakan 45%. Banyak lagi perkara yang mereka hendak buat selain ceramah sahaja.

Saya menghidupkan enjin motosikal EX5 keluaran 1996. Sudah lebih 10 tahun tapi masih berkilat dan bertenaga.
Mahu menuju je Stadium Shah Alam. Iklannya ada ceramah Perdana di situ. 5 MB dijemput.

Saya sampai dalam pukul 1O.30pm. Sudah agak lewat. Hati ini berkata benar. Cuma MB Khalid sahaja. Hampalah..Apabila Anwar Ibrahim membentangkan pidatonya. Bukan itu pengubatnya. Saya bukanlah pengagum Anwar Ibrahim. Bukan Pengagum Hassan Ali. Bukan pengagum Lim Kit Siang. Kecewa!

Saya melihat rencah politik Malaysia. Benar, saya adalah orang muda yang pandangan dipandang enteng oleh mereka. Namun saya juga punya suara.

Sudah dibilang ilmu itu teras kehidupan. Diulang sedari kecil, sehinggalah melonjak masa. Diajar, diadun, dibentuk dan digarap untuk menjadi insan yang berilmu. Pandulah apa-apa bidang sekalipun, jika berdasarkan disiplin ilmu insyAllah itulah yang sebaiknya.

Namun malangnya mereka tidak. Mereka benar-benar mahu menjadi pembangkang yang benar-benar patut dilabel pembangkang. Malangnya perjuangan warisan ini dipalit oleh tangan-tangan kotor yang enggan membersihkannya sebelum mengangkat bendera. Lalu terpalitlah kotoran itu disekelilingnya.

Lihatlah ceramah umum mereka. Ianya bagaikan pesta kutuk mengutuk, gelak dan ketawa melabel dan memperli musuh politiknya. Terfikirlah saya sejenak, adakah majlis ini dalam redha Allah Taala? Apabila saya keluar darinya bukan pengubat gelisah yang saya dapat, tetapi hati yang keras. Jika ini yang saya rasa, apa cerita orang yang dah lama didalamnya. Lebih keras dan merekah agaknya.

Sedihnya, mereka kagum dengan Nik Aziz tetapi kagum dengan jenama Ulama' nya sahaja. Apabila dibukakan kuliah Nik Aziz, tidak ramai yang mahu mendengarnya. Tetapi jika ceramah politik, berkerumun orang singgah.
Mereka kenal siapa itu Harun Din. Tapi tidak tahu apa yang mahu dibawa oleh Harun Din. Begitu juga dengan ulama'-ulama' lainnya.

Disebabkan inilah sesiapa sahaja boleh bercakap pasal politik. Kerana hanya perlu ditambah tentang fakta dan juga auota. Berbanding daripada kuliah ilmiah, mereka perlu duduk dan dengar. Tiada gelak dan tawa, hilai dan kutuk. Perlu ditapis dan garap. Manakan tidak, bicara itu tentang umat. Kebergantungan jelas kepada Allah Taala.

Tarbiyyahkan diri semula, jika inilah yang sikap yang mereka bawa. Maka tidak mustahil, apabila satu keegoan kanan ditumbangkan, keegoan kiri pula yang bertandang dan menjelma.
(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. Az-Zumar, ayat 9.

-Tajdid

Continue Reading...

Read more...

Was-was bukan alasan untuk meninggalkan solat!

>> Thursday, June 19, 2008


Saya agak terkejut apabila diberitahu bahawa ada sahabat yang terpaksa mengqoda' solatnya semasa menjalani latihan praktikal ini.
Alasannya adalah kerana tempat itu kotor.
Mungkin saya menampakkan reaksi biasa apabila diberitahu sedemikian, tetapi sebenarnya ianya telah menghantui pemikiran saya sejak beberapa hari.
Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menelefonl sahabat saya ini, bertanyakan khabar sekaligus memberikan teguran.

Sememangnya perkara ini yang saya takutkan apabila berhijrah ke dunia perkerjaan.
Kekangan masa untuk menunaikan solat!
Bagi yang mahu dan berusaha, insyaAllah dia akan dapat menjaganya. Tetapi bagaimana pula orang yang dalam keadaan selesa pun agak liat inikan pula keadaan genting dan sukar.

Umumnya saya mengetahui bahawa tiada hukum qada' solat fardhu apabila ianya dilakukan dengan sengaja. Sengaja di sini bermaksud selain daripada keuzuran atau tanpa disengajakan seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, maka dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajiban sembahyang masih lagi ditanggungnya.

Dan untuk kes ini rakan saya memberikan alasan bahawa tempat itu kotor dan berminyak.
Saya sedikit kesal, kerana kesilapan diri saya mungkin untuk berkongsi isi kandungan buku 'Talbis Iblis' karangan Ibnu Jauzi yang telah habis saya baca. Sememangnya buku ini memberikan keyakinan besar kepada saya untuk melawan penyakit was-was.
Qada' solat disebabkan tempat kotor dan berminyak? Saya rasa mungkin ini ditambah lagi faktor seorang lagi rakan saya yang punya penyakit 'was-was'. Lagilah dia tidak mahu solat di situ. Sesungguhnya mereka perlu sedar bahawa iblis telah berjaya memperdayakan mereka dengan cara was-was.
Bahaya atau tidak was-was ini, lihatlah dalam jemaah fardu. Pasti ada seorang dua yang membawanya.

Saya menyatakan kepada sahabat saya ini bahawa mereka kena juga bersolat sekalipun tempat itu kotor asalkan tidak bernajis.
Apabila dia memberikan alasan tiada tempat wuduk, saya memberikan saranan untuk mengambil wuduk menggunakan sebotol air mineral sahaja. Habis cara adalah bertayamum.

Ada sedikit panduan yang saya mahu berikan buat rakan-rakan seperjuangan. Alhamdulillah, inilah sekadar upaya saya untuk menjaga kebersihan sekaligus yakin dalam bersolat.

1. Jangan amalkan kencing berdiri. Sekalipun tandas itu tiada tandas mencangkung maka hendaklah duduk seperti mahu buang air besar. Toskan dan lawaskannya dengan mendehem minimum 3 kali. Kencing berdiri adalah penyebab kencing tidak lawas dan ada alasan untuk menyatakan seluar kotor. Ceh!

2. Sentiasa berpakaian menutup aurat. Mudah untuk melaksanakan solat. Orang yang tak menutup aurat dengan sempurna pastinya tidak yakin untuk bersolat dengan pakaian yang dipakainya itu. Terutamanya wanita.

3. Jika tiada tempat untuk berwuduk. Carilah mana-mana titisan air. Atau sebotol kecil mineral water. Tidaklah perlu guna kuantiti air yang banyak. Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyuruh pembantunya untuk menutupnya daripada pandangan orang ramai apabila dia berwudhuk. Khuatir jika ada yang memperkatakan tentang sedikitnya air wudhuk yang digunakan. Dan apabila dia berwuduk, hampir tiada air yang menitik daripada anggota wudhuknya kerana sedikitnya pengunaan air. Kita macam mana?

4. Jikalau tidak jumpa air, bolehlah bertayamum. Sesetengah orang menganggap boleh bertayamum di atas pasir berdebu sahaja. Sebenarnya kita boleh bertayamum pada dinding batu, kaca, batu dan apa sahaja yang asalnya adalah di atas permukaan bumi. Baik ianya berdebu atau tidak.

5. Jika dah rasa tiada musolla untuk bersolat, solat sahaja di atas tanah. Lebih baik tidak berlapik biarkan sahaja dahi mencecah tanah. Baru rasa diri kita ini sebenarnya sebahagian daripada tanah dan adalah sebab untuk sapu muka selepas selesai memberi salam.

6. Apa sahaja yang mengotori seluar sama ada lumpur,makanan, ais krim, cat, air yang entah datang dari arah mana(beri'tiqad air itu suci dengan sangkaan baik kecuali telah jelas puncanya najis) selain najis adalah sah untuk dibawa bersolat. Inilah alasan yang selalu dipakai sebahagian orang. Sanggup meninggalkan solat kerana dikatakan seluarnya kotor. Walhal ianya tidaklah najis dan sah untuk dibawa bersolat.

Dr SMS pun boleh jaga solat di atas stesen ISS. Inikan kita pula di atas bumi ini. Jagalah solat. Kerana ianya adalah kewajipan yang telah ditentukan untuk orang muslim. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Continue Reading...

Read more...

Rumah yang cantik

>> Wednesday, June 18, 2008

Gambar sekadar hiasan


Hari ini saya ke Bangi. Bukan bersiar-siar. Bukan makan angin. Tetapi atas urusan kerja. Antara kerja yang saya uruskan hari ini adalah untuk melihat pendawaian elektrik yang dilakukan di Rumah Encik Sham. Encik Sham mana? Saya pun tak bersua dengannya. Cuma berjumpa dengan supervisor kontraktor rumah itu sahaja.

Bukan kerja yang saya mahu ceritakan tetapi kecantikan rumah Encik Sham. Rumahnya besar, cantik, kemas dan menarik. Dalam hati saya memuji jurutera dan arkiteknya.

Namun dalam selang masa membuat kerja, sempat saya berfikir. Jika semua orang mahu rumah cantik dan menarik seperti ini, maka makin ramailah orang yang suka memerap di rumah. Mungkin inilah sebab semangat kejiranan makin kurang. Semangat kekitaan makin tebal dan slogan ‘peduli apa aku’ makin popular.

Jika rumah itu kaya dan cantik, ada pagar besar dan pondok pengawal. Tetapi mungkin nampak kurang apabila rumah ini juga menjadikan orang miskin malu bertandang, si pengemis segan meminta dan mana-mana peminta derma sukar menembusinya. Maka dengan itu semakin kayalah orang kaya, semakin bencilah dia kepada orang miskin yang meminta-minta sehinggakan kekayaannya itu melupakan dia. Lupa bahawa rumahnya yang luas itu akhirnya akan menghalaunya. Menghalau kekubur bersama-sama orang miskin, kaya, berpangkat dari segenap lapisan masyarakat.

Satu kemungkinan lagi, rumah ini cantik dan menarik. Tetapi tidak tahu apa pula ceritanya 10 tahun lagi. Mungkin sudah buruk dan tak terjaga. Luntur warnanya seperti kebanyakan rumah-rumah mewah di pinggir bukit. Begitu juga hakikat mencari pasangan mungkin. Cantik dan menarik akan pudar juga akhirnya. Tanyalah atuk-atuk yang masih menyayangi isterinya yang telah bergelar nenek. Adakah kecantikan membuatkan mereka masih berumah tangga.? Sudah tentu tidak. Jadi perlu diingat, kecantikan bukan syarat untuk menyayangi dan disayangi. (Statement yang menstabilkan fikiran buat diri yang tak berapa hensem ini)

Rumah yang cantik pun tak terlepas dari serangan makhluk perosak. Termasuk juga makhluk perosak ‘berkaki dua’. Lagi besar dan cantik rumah, lagi itu menjadi idaman kalbu mereka. Maka dipasanglah grill, alarm dan apa jua untuk keselamatan. Dah rasa duduk dalam penjara pula. Rumah-rumah di kampung ‘rilex’ sahaja.

Kebahagian itu bukan terletak pada nilaian harta. Tetapi kepada bagaimana kita pandai menguruskan pemberianNya. Sama ada kita kaya atau miskin. Berpangkat atau tidak.
Ya, benar ianya tidak salah. Namun diri ini sentiasa beringat, jangan sampai harta itu merosakkan iman dan jiwa.

Continue Reading...

Read more...

Arah tujuan


Dia yang selesa dengan kehidupannya. Bahkan dia merasa hidupnya bertujuan untuk dia bersenang lenang di dunia. Itulah mungkin sebab dia merungut-rungut, tidurnya tidak cukup, makannya tidak sedap dan pakainya tidak cantik.


Mungkin belum sampai khabar kepadanya. Bahawa dunia itu bukan tempat bersenang lenang dan berseronok-seronok.

Maka inilah khabarannya. Bahawa hakikat dunia itu menipu. Membuatkan engkau merasa selamat kerana rakan yang ramai, membuat engkau rasa bahagia dengan teman wanita yang cantik, membuat engkau rasa gembira dengan makanan yang lazat-lazat dan membazir dan membuat engkau terhibur dengan nyanyian ikon artis Timur dan Barat.

Lihatlah tersergam indahnya Istana Yaman. Menjadi saksi tipuan zaman.

Pendakwah yang berani bernama Muhammad Mahmud al-Zubairi membuktikan. Bahawa hidup ini tuujuannya hanya untuk mencari keredhoaan Tuhan. Buat kembali ke Syurga impian.

Jika dikatakan dunia ini tempat bersenang. Maka bodohlah Muhammad Mahmud. Hidupnya dalam buangan. Berhijrah dari negeri ke satu negeri sebagai pelarian politik. Menubuhkan sebuah Parti Islam dan menjadi menteri pada 1960-an. Akhirnya ditembak dan syahid. Tetapi tidak, inilah contoh insan yang menterbalikkan dunia. Menyanggahi dunia yang sentiasa mahu menariknya.

Itulah hakikat insan. Insan dicipta untuk memenuhi tuntutan Tuhan.
Beramal atas tuntutan. Bersusah dan senang kerana ada tujuan. Untuk melihat Islam itu ditegakkan di bumi subur mahupun yang gersang.
Continue Reading...

Read more...

Kita masih beruntung

>> Thursday, June 12, 2008

Saya cuba menjengah apa yang dilakukan oleh rakan-rakan lain di tempat praktikal mereka.
Bertanyakan khabar, dan berkongsi cerita.
Inilah nikmatnya persahabatan mungkin, semakin berpisah semakin akrab.
Dah macam getah pemadam pulak. Semakin dilentur makin menarik untuk kembali.

Hikmahnya manusia itu berkasih sayang dan kenal mengenal.
Saya rasa rasa macam ada kebenaran pula perlian ustaz Maszlee Malik dahulu, "Kamu ni memang betul diperam dalam Kem."
Ye lah, belajar di tempat saya ada peraturan sendiri. Outing sabtu dan ahad, mungkin pelik bunyinya bagi sebuah insitut pengajian tinggi.
Namun saya tidaklah merasa janggal, ada kelebihan dan ada kekurangan.

Bila harga minyak dah naik sekeliling pun mula dah 'naik'. Naik syeikh!
Tapi nak buat macam mana, dunia ini bukan menjanjikan kesenangan.
Tempat kesenangan itu hanya di Syurga.

Sana sini orang dah mula bising. Berfikir juga saya, macam mana lagi orang di pinggir bandar untuk mengubah gaya hidup? Kalau dimana hidupnya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Makin parah lagilah jawabnya.

Ubah Gaya Hidup!

Seruan ini bukan baru, malah sebelum Pilihanraya lagi. Dan jangan terkejutlah jika seruan ini akan dilaungkan untuk tempoh 4-5 tahun lagi.
Namun, saya juga mahu berterima kasih kepada Perdana Menteri sebab dia adalah Perdana Menteri. Pemimpin yang perlu ditaati selagi dia tidak menyeru(dengan terang) kepada kebathilan. Saya kena redho bahawa banyak juga jasanya kepada negara. Saya tak perlu jadi murai yang asyik mengutuk kepimpinan sampaikan tidak nampak langsung kebaikannya di depan mata.

Ubahlah gaya hidup selagi boleh berubah, sekurang-kurangnya kita masih ada pakaian untuk dipakai, tempat tinggal untuk berteduh, sesuap nasi untuk dimakan, teman-teman untuk berhibur dan pena untuk mencoret. Asalkan kita merasa cukup dan qanaah, InsyaAllah Allah akan cukupkan bagi kita.

Continue Reading...

Read more...

Mengapa perlu jadi Graduan?

>> Wednesday, June 11, 2008


Malam itu angin sepoi-sepoi, langit yang gelap membahasakan dirinya sebagai malam. Menggantikan pasangannya yang bernama siang. Ah, misteri sungguh ciptaan

Allah SWT. Bagaimana mungkin insan itu mengaku sebagai Tuhan, sedangkan malam yang singgah berkali-kali itupun sukar dirungkai.
Kedengaran bunyi enjin motorsikal berlalu keluar dari pintu pagar surau. Ini waktu senggang antara Maghrib dan Isyak. Kebanyakan kariah akan balik ke rumah dahulu sementara menunggu waktu Isyak. Sebahagiannya berehat-rehat di luar. Ambil angin.

Saya melabuhkan punggung di sebelah guru saya yang dihormati. Cikgu Hairuddin namanya. Guru kemahiran hidup saya semasa saya berada di Tingkatan 1 dan 2.

Duduk sekampung dengan saya. Ada sesuatu yang saya mahu bicarakan padanya.
Malam itu mungkin berlainan daripada malam sebelumnya. Ya, saya telah membuat keputusan penting. Keputusan yang bakal mengubah kamus hidup saya.

"Cikgu, esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur." Saya bersuara.

"Oh, terima jugalah tawaran ke Atma tu ye?" Cikgu saya tersenyum.

"Ye,cikgu."

"Baguslah, kalau agak-agak stress nanti jangan lupa baca Al-Quran."

Hmm..Alhamdulillah azimat ini saya pegang sampai sekarang. Dan hakikatnya, Al-Quran memang penawar saya di kala stress. Lebih-lebih lagi di kala hati duka dan perlukan kesabaran. Awalnya menerima latihan tentera, bukan sesuatu yang enteng dan mudah dibicara dengan mulut dan kata-kata.

"Cikgu, dahulu dan sekarang berbeza ye. Kalau dahulu, orang nak masuk Univ. riuh sekampung. Sekarang ni tak lagikan cikgu.?" Saya berbasi-basi.

"Yelah, dulu dan sekarang lain. Sekarang banyak graduan yang tak berkualiti." Cikgu saya menjawab.

Hari ini saya, teringat kembali dialog ini.

Tak berkualiti!
Istilah pastinya dapat dikembangkan lagi mengikut warna dan suasana.
Soal kualiti pembelajaran dahulu dan sekarang pastinya bukan kayu ukur sebenar.
Malah orang dahulu sendiri terpaksa akui, bahawa makin ramai anak-anak muda kita semakin bijak dari hari ke hari.

Kepentingan ilmu;

Ya, seseorang yang masuk ke Universiti dirai dan dihormati kerana ilmu yang bakal dipelajarinya. Terpelajar lagi berilmu. Sukar hendak dinafikan kekaguman orang ramai. Namun dengan ciri-ciri apakah yang menampakkan dia seorang yang berilmu?
Pastinya akhlak dan gaya percakapannya. Bukan meninggi diri yang saya maksudkan. Tetapi sekurang-kurangnya dari percakapannya menampakkan bahawa dia adalah orang yang terpelajar. Akhlaknya menunjukkan dia terpelajar. Ilmu itu bukanlah perkataan yang ditampal di dahi atau diterjemah berdasarkan nombor digit di atas kertas lalu di jaja ke sana ke mari membuktikan dia telah berilmu.


Dan inilah yang sering disalah anggap oleh graduan sekarang mungkin. Mereka lupa, akhlak dan tutur kata mencerminkan tahap keilmuan mereka. Bukan cakap besar atau kata angan-angan tentang harta atau kerta. Bukan daya penarik, solekan muka atau fesyen yang bersalut di badan.
Lihatlah moral dan akhlak yang terpampang di dada akhbar. Hiburan melampau, maksiat, tipu dan ditipu dan pelbagai gejala sosial menimpa golongan terpelajar juga.

Inilah yang membuatkan saya meluat dengan orang yang rata-rata menilai manusia berdasarkan sijilnya.

Awak belajar mana? IKM ke? Univ. ke? Diploma..Ijazah..Master..?

Mungkin itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Ramai orang berkejar-kejaran mencari kursus yang mendatangkan keuntungan dan menjanjikan pekerjaan. Soal penting tidak penting, perutnya lebih penting. Soal jujur tidak jujur dalam peperiksaan, janji dapat keputusan baik punya dalam peperiksaan dan dapat pekerjaan.

Lalu jika beginilah mata nilaian manusia, tiada siapa yang boleh dibanggakan. Kerana material dan luaran bukan kayu ukur Allah Taala kepada makhluk. Kerana hakikat penghormatan itu layak dikembalikan kepada orang yang diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Merekalah orang yang digelar orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya.

يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"(Surah Al-Mujadalah,ayat 11)


Continue Reading...

Read more...

Syiah di atas landasan kebangkitan?

>> Tuesday, June 10, 2008


Segala puji bagi Allah Subhanahwataala. Dialah pemilik segala apa yang terkandung di langit dan bumi. Tiada daya, kuasa dan pengharapan melainkan dikembalikan kepadanya jua. Semoga kita berada di atas lembayung rahmat dan kasih sayangnya.
Saya mahu memetik sepotong ayat Al-Quran di dalam surah Al A'raaf,127.

Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Fir'aun (kepada Fir'aun): "Apakah kamu membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerusakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?." Fir'aun menjawab: "Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup perempuan-perempuan mereka; dan sesungguhnya kita berkuasa penuh di atas mereka."

Pembesar-pembesar Firaun mengatakan bahawa Musa as telah membuat fasad(kerosakan) di Mesir ketika itu.
Hairan bukan, siapakah yang membuat fasad sebenarnya?

Nabi Musa atau kaum Firaun itu?

Kebohongan itu sentiasa berpatah balik kepada orang yang mewartakannya. Begitulah yang diterima kaum Firaun. Mereka sebenarnya yang melakukan kerosakan di Mesir namun golongan pendukung kebenaran yang dipersalahkan. Fikiran dan hati mereka menjadi buta akibat ditipu dan diracun oleh nafsu dan bisikan syaitan. Cuba fikirkan, jika pembesar ketika itu menghebahkan bahawa Nabi Musa as dan pengikutnya itu jahat, apakah pemikiran yang diwarnai oleh rakyatnya? Turut sama bukan?

Faisal Tehrani.

Saya mengaguminya. Kali pertama membaca karyanya, 1515 cukup membuatkan saya terpukau. Walupun ada unsur sufism di dalam karyanya itu namun saya tidak dapat menolak keajaiban sentuhan tulisannya. Memang layak jika beliau dinobat sebagai salah seorang sasterawan negara suatu hari nanti.

Namun kekaguman itu tidak terlebih pada gaya penanya sahaja. Ianya mungkin sama dengan dasar kekaguman saya kepada Mahmood Ahmadinejad yang diwar-warkan sebagai pemimpin yang zuhud. Ataupun mungkin sama dengan kekaguman saya pada Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang berazam untuk mencontohi Umar bin Abdul Aziz. Namun ianya tidak lebih daripada itu! Ada sesuatu yang membuatkan saya agak pelik perihal Faizal Tehrani ini, tulisannya yang agak agresif menyerang fahaman yang dilabel sebgai 'Wahabbi'. Lebih memelikkan apabila pada masa yang sama beliau menulis tentang kekagumannya pada Khomeini. Sering juga membicarkan tentang ahlul bait, ataupun apa sahaja berkait dengan syiah. Lalu adakah saya akan dianggap sebagai orang yang buruk sangka jika menganggapnya Syiah?

Syiah? Ops..adakah saya sedang bermain dengan api?

Syiah sudah diwartakan sebagai haram diamalkan di Malaysia oleh JAKIM. Namun ada juga segelintir manusia yang menghalalkan apa yang diharamkan JAKIM atas nama siasah. Lalu tanpa sedar atau tidak, fahaman ini menapak di dalam PAS. Malah ada di antara pemimpin tertingginya yang mula diresapi fahaman syiah, dibawa tokoh-tokoh syiah di pentas ceramah. Diangkat gambar Khomeini sewaktu demonstrasi. Maaf, saya tidak tahu jika ini tidak boleh lagi dilabel sebagai pro-syiah.

Mufti Perlis vs Faisal Tehrani


Apabila saya membaca tentang bidasan Mufti Perlis ke atas Faisal Tehrani, perkara susulan yang saya lakukan adalah masuk ke laman Tranungkite Online.TKO. Mahu lihat reaksi cacing-cacing yang mula kepanasan. Nyata dan jelas, sang Syiah mula mengutuk kembali Mufti Perlis. Malah ada yang melabel terus Dr Asri sebagai anti syiah,'Wahhabi', alat UMNO(macamlah diorang tu alat PAS), ada juga yang mengatakan ini akan mengeruhkan proses mendekatkan sefahaman antara sunni-syiah.

Alahai, jari-jari kecil yang bermain di gigi-gigi pantai. Tahukah kamu betapa bergelora dan dalamnya laut itu? Ianya telah dilalui beribu-ribu kelasi handal. Merasai dan mengkaji. Pening,loya dan muntah sudah lali di atasnya. Begitulah gelojak antara Sunni-Syiah ini. Isu ini direntas oleh Ulama-ulama dahulu dan sekarang yang bukan sedikit ikhlas dalam komitmen Islamnya. Lebih faqih dan alim berbanding diri kita ini. Bacalah sejarah. Siapakah yang mengkhianati proses penyatuan ini? Malah ada ulama' yang tinggal berbulan-bulan dengan mereka dan akhirnya kembali dan mengatakan tidak mungkin syiah dapat disatukan dengan sunni.

Hakikatnya jelas. Walaupun ada yang mengatakan kita ini bertuhan dengan tuhan yang sama dan mempercayai Nabi yang sama namun itu sahajakah yang telah mengislamkan kita? Akidah kita berbeza. Sekali lagi Akidah. Tahukah mereka ini apa yang dinamakan akidah? Akidah adalah pokok asas dalam Islam. Tidak mungkin kita mahu bersengkongkol dengan orang yang mengkafirkan sahabat Nabi SAW sekaligus menghentam juga peribadi Nabi SAW. Mana mungkin saya dapat menerima orang yang mengatakan Allah bersifat al-Bada' yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala baru mengetahui sesuatu setelah terjadi.

Iran itu hero kita?

Sesetengah orang yang semangat dalam Islamnya tetapi mungkin kurang dalam pengetahuannya mungkin menganggap bahwa Iran adalah penyelamat sebenar Islam. Tambahan pula kemenangan Hizbullah ke atas Israel di Lubnan lewat 2 tahun lepas membuktikannya.
Entah saya tidak pasti apakah agenda tersembuyi di sebalik peperangan itu, namun saya dapat mengenalpasti salah satu pembohongan fakta di dalam peperangan itu. Ada satu gambar yang menunjukkan kapal perang Israel dimusnahkan Hizbullah. Bila saya teliti, kapal itu rupanya tiada tiang mast ditengah-tengahnya. Untuk pengetahuan, kapal perang yang tiada tiang mast adalah kapal perang yang telah dilucut tauliah. Dalam bahasa yang mudah adalah kapal kosong yang tiada isi yang hanya digunakan sebagai tugu atau sasaran ujian peperangan. Logikkah ini adalah kapal yang digunak Israel sebagai kapal menyerang Lubnan? Takpelah ini kisah lama.
Yang saya mahu tekankan di sini, wujud seperti satu lakonan bahawa Amerika mahu menyerang Iran. Isu ini seperti tarik tali. Lama kelaman menimbulkan rasa seperti Iran ini kuat betul dan boleh dijadikan sandaran dunia Islam. Maaflah, Amerika tahu mana kawan dan mana lawan. Dan situasi inilah yang menjadi senjata di Iraq. Didokongnya puak Syiah di Iraq, kerana mereka tahu siapa yang harus dimusuhi dan dijadikan rakan.
Namun jika Amerika benar-benar menyerang Iran jangalah menyangka ini kerana agama, tetapi mungkin atas sebab minyaknya. WallahuTaala'lam.

Tahniah saya ucapkan kepada Faizal Tehrani kerana blog beliau menjadi popular semenjak dua ini. Katanya hasil promosi puak Wahabbi. Ya, popular itu mungkin pelbagai sebab dan dia perlu ingat atas pelbagai sebab juga pengunjung bertandang. Mungkin untuk menelanjangkan ke'syiah'an nya. Kalau tidak syiah, alhamdulillah kami masih saudara anda.

Apa yang saya mahu kaitkan dengan surah Al-A'raf?

Saya bimbang, atas desakan nafsu dan buta mata hati, umat Islam sekali lagi mengalami kerugian. Sudah ada suara-suara untuk mengecilkan isu syiah ini tetapi dalam masa yang sama mengutuk gerakan pembaharuan sunnah. Melabelkan mereka sebagai 'Wahabbi'. Walhal jika dibuka sejarah Melayu, golongan pembaharuan dahulu di Tanah Melayu juga digelar dengan label yang sama. Akhirnya syiah itu dianggap benar dan dijadikan landasan. Sunnah itu ditindas dan dianggap bohong. Ketika era Mahthir isu ini pernah timbul dan alhamdulillah Mahathir sama-sama tidak meredhoinya, namun saya khuatir di zaman pemerintahan Pak Lah ini. Apakah isu ini menempati ruang hatinya?

Saya fanatik sunni dan anti-syiah? Mungkin tulisan anak Nik Aziz ini dapat menyokong.

Moga hidayah Allah itu senantiasa bersama-sama kita.

Continue Reading...

Read more...

Kita adalah pengulang sejarah


Apabila membaca kisah dakwah para anbiya' saya termanggu terutama mengenang kisah rasul-rasul ulu azmi.
Bagi yang membacanya sebagai kisah rakyat atau peneman waktu tidur pastinya hanya menganggap itu cerita sahaja.
Namun tidakkah pernah kita meletakkan diri kita di dalam situasi ketika itu. Umat-umat Rasul terdahulu amat sedikit, mereka bukanlah golongan majoriti, ditindas, tidak kaya dan terdiri daripada para hamba dan fakir.

Kebanyakan kisah-kisah Anbiya' ini meniti di tempat-tempat yang permai lagi nikmat. Ekonomi yang baik, kemahiran yang tinggi, harta melimpah ruah dan kegilaan pangkat dan kedudukan.
Namun apabila datang seruan kebenaran, amatlah sedikit orang mahu menerimanya kerana merasakan apa yang dimiliki selama ini akan hilang. Lalu tinggallah orang-orang yang tersepit untuk mengikutnya. Orang yang ditindas dan ikhlas dalam agamanya.

Bagi yang membacanya pasti menggeleng kepala. Kaum-kaum yang zalim kalah dan kena bala. Dan digantikan dengan kaum lain pula.
Tetapi adakah kita sedar, bahawa kemungkinan kita sedang membaca perjalanan hidup kita sendiri di dalam kisah itu?
Kita juga mungkin sedang mengulang sejarah yang menjadi mimpi ngeri dunia. Membandingkan kaum terlaknat dan situasi sekarang tidak susah. Usah intai kebobrokan dunia luar, tetapi lihatlah bumi yang dipijak ini. Hidup ditengah-tengah materialistik cukup memeritkan bagi pendokong kebenaran. Seperti mana jeleknya pandangan raja Parsi pada surat utusan Nabi dari tanah Arab mungkin seperti itu juga kita memandang enteng pada ustaz-ustaz yang memberi nasihat walhal dia hanya membawa motor buruk atau basikal tua sebagai sandaran.

Kita akhirnya mengulangi apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Berhala itu dimusnah oleh Nabi Ibrahim kerana menyelewangkan akidah. Apa bezanya dengan orang yang menyembah kelelahan dunia, mengejar pakaian mahal dan berjenama, mulut tidak henti berkata-kata tentang duit, harta dan kereta. Sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja demi duit dan kesenangan yang menipu.
Fikirlah kembali, mungkinkah kita Abu Lahab moden dikala datang Nabi Muhamamad yang buta huruf untuk mengajaknya kepada kebenaran. Mungkin ianya sama dengan kita yang memandang enteng nasihat si rakan yang tidak tahu mengaji berbanding kita yang mahir tajwid tahu bertaranum lagi.
Mungkinkah kita orangnya si bani Israel yang menyuruh Musa as berperang bersama-sama tuhannya sambil mereka menunggu di luar kota dan ianya sama dengan melihat para Mujahideen Palestin mempertahankan kota suci itu.

Benarlah dunia itu berputar seperti roda. Kaum yang derhaka dan durjana diganti. Mereka dilenyap atas banyak sebab dan berbagai kaedah. Tidak mustahil Malaysia ditimpa nasib yang sama.


Continue Reading...

Read more...

nasihat sampai baik

>> Friday, June 6, 2008


"Jika anda baik, anda akan berjaya mengubah orang sekeliling menjadi baik." Begitulah nasihat yang sering diulang-ulang oleh tokoh motivasi Dr. Fadzilah Kamsah.

Saya rasa ada benarnya. Tetapi awas, kemungkinan orang yang merasakan dirinya baik akan mengubah sebaliknya malah mungkin lebih teruk lagi.

"Bagaimana mahu menegur rakan serumah yang mula memandang rendah pada saya?" Seorang rakan mula merasa tercabar akan reaksi dirinya yang mula berubah kearah kebaikan.

Apa yang dialami itu lumrah, setiap orang yang mahu jadi baik, mahu orang lain jadi baik akan mengalaminya.
Tetapi, kadang-kadang mungkin ini juga berlaku atas sikap kita yang tak kena gaya.

Tak kena gaya dalam menegur!

Ya, memang benar kita tidak suka jika ada di antara orang terdekat liat untuk bersolat.
Adakah dengan semangat dan ketidaksukaan kita itu menjadi lesen untuk marah-marah dan terus mencemuh?
Alangkah baiknya fikirkan cara yang lebih mesra.
Dekatkan diri dengan mereka. Pegang tangan kala menasihat, murah dengan senyuman dan gunakan ayat-ayat mudah dan padat.
Kala mahu mengejutkan di waktu subuh,lebih baik caranya dengan menggosok badannya sambil memanggil dengan lembut.
Bukanlah caranya dengan merentap selimut, sambil dengan kasar mengatakan, "Hoi bangunlah, sembahyang subuh!"
Dapat ubah seminit awal dari semalamnya pun sudah baik.

Kelakar juga rasanya bila ada yang merungut kembali apabila nasihatnya tidak mahu didengar.
Last-last katanya, "Lantakkan, aku dah jalankan tugas!"

Nanti..Nanti dahulu.
Kenapa tidak perhatikan diri kembali.
Bagaimana cara kita memberi nasihat atau menegur tu?
Mungkin baik untuk menggunakan pendekatan ini;
Puji yang berkenaan terlebih dahulu, agak-agak sudah kembang, barulah start menegur.
Kemungkinan berjaya, kalau tidak..bukan ini sahaja petua yang ada.






Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP