Futur

>> Friday, September 26, 2008

Coretan apakah yang mahu disingkap oleh saga bernama hati.
Keluhnya bukan kepalang, tawanya tidak lagi girang.

Ramadhan sudah menuju ke akhirnya, minggu hadapan seluruh umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri. Saya tidak gagah menongkah lagi. Sering kali futur itu datang, datang tanpa bayangan.

Saya bertanya kepada rakan-rakan. Apa yang tidak kena?
Entahlah, mereka seperti tiada jawapannya.................



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Menjadi diri sendiri

>> Sunday, September 21, 2008


Adam adalah satu. Adam tidak pernah dijadikan dua.

Jika anda berjumpa orang yang suka mengikut-ikut perilaku orang lain, lorongkan jalan kepadanya. Dia nampak buruk dengan perlakuan orang lain itu. Dia perlu membina karakter dirinya sendiri.

Jadilah diri sendiri. Banggalah dengan nama anda, tidak kira anda siapa dan dari mana latar belakang anda.

Jika kita suka mengikut-ikut perilaku orang lain, maka kita akan sentiasa merendah diri dan malu dengan serba serbi yang ada pada kita.

Saya tidak malu menerangkan siapakah ibu bapa saya dengan kawan-kawan.
Saya mungkin tidak boleh membandingkan ibu saya dengan ibu sesetengah daripada mereka. Ibu saya bukan pekerja profesional, beliau adalah pekerja kilang yang telah bekerja selama 16 tahun. Beliau bukanlah muslimat PAS yang bertudung labuh atau sebagainya, tetapi cuma wanita bertudung biasa. Raut wajahnya menampakkan dia lebih tua dari usia sebenarnya.-ibu saya baru berumur 42 tahun. Namun saya beranggapan ibu saya adalah unik.

Jika saya orang yang suka mengikut-ikut maka mungkin saya malu menerangkan siapakah bapa saya. Bapa saya adalah seorang pengawal keselamatan. Kerja part-timenya adalah mengambil upah memesin rumput di rumah-rumah orang. Kulit wajahnya gelap kerana selalu berjemur. Dia tiada kereta. Dan hanya menunggang motorsikal honda c70. Bapa saya juga merupakan seorang yang unik.

Saya tidak pernah memandang rendah rakan-rakan yang mempunyai CGPA rendah. Malah ada di antara mereka yang saya amatlah respect daripada yang punya CGPA tinggi. Kerana apa? Mereka menjadi diri sendiri. Mereka adalah unik.

Mengapa perlu merendah diri dan cuba menjadi orang lain. Sedangkan diri kita merupakan sesuatu yang lain daripada lain. Setiap orang adalah unik. Tidak seorang pun akan sama catatan sejarah hidupnya dari awal lahir sampai menjelang ajal. Belum pernah pun seseorang dicipta sama dengan kita dan tidak akan sama sampai bila-bila.

Umat manusia itu punya pelbagai ragam dan sahsiah. Seperti ekosistem alam yang sentiasa lengkap melengkapi begitulah jua dengan kita. Jika kita adalah bulan, kita tidak boleh menjadi matahari. Kerana matahari sifatnya membakar dan menandakan manusia perlu bekerja. Dan bulan itu sifatnya tenang dan menandakan manusia perlu berehat dan beribadah. Jika bulan mahu menjadi matahari, maka ramailah hidupan akan stress dan cepat mati. Bulan itu juga unik.

Jadilah diri sendiri kerana kita adalah ciptaan yang unik!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Awan gelap yang membawa cahaya

>> Saturday, September 20, 2008

Awan gelap berarak mendung, alam menjadi gelap dengan sedikit sahaja cahaya. Apakah saat getir ini akan berulang semula?


Saya merasakan seperti kembali semula ke zaman gelap. Zaman gelap itu adalah ketika berada di tahun asas (matrikulasi). Kami memanggilnya zaman gelap kerana penuh dengan seribu kepayahan dan menguji kesabaran. Apa yang kami lalui semasa tahun pertama di sini jika boleh mahu dibuang jauh-jauh. Namun anehnya, fasa keselesaan sering membawa kami mengungkit-ungkit kembali kisah silam. seolah-olah ianya kebahagiaan. Aneh bukan kesengsaraan adalah kebahagiaan?

Inilah yang saya dapat rasakan sekarang mungkin. Dahulu senior itu paling saya benci dan di sumpah-sumpah. Jurulatih itu yang saya paling takuti. Wah, hidup disekeliling orang berwatak garang. Saya melaluinya dan saya suka untuk menyimpannya sebagai kenangan. Namun apabila mereka telah tiada sebenarnya merekalah orang yang patut saya berterima kasih. Pengalaman sukar yang menjadi kenangan manis.

Suka untuk saya memetik satu ayat al-Quran secara lengkap,

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (QS Al-Baqarah 216)
Mungkin bagi sesiapa yang pernah membaca novel Tautan Hati, Fatimah Syarha atau novel-novel cinta islami lainnya biasa dengan petikan surah Al-Baqarah ini. Bukan ungkapan kisah cinta yang saya mahu bawa, tetapi hakikat peperangan. Nyatalah bahawa ada kebahagiaan di sebalik peperangan itu. Ada kemanisan di sebalik dugaan dan kepayahan.

Lalu tidak bolehkah saya samakan hakikat perang itu dengan latihan sebelum perang ini. Perubahan rutin hidup secara mendadak mungkin boleh membawa tekanan, namun itulah hakikat berperang. Berperang itu bukan hanya pergi dan mati sahaja. Diatas bahu orang berperang juga menggalas tanggungjawab dan misi. Dan untuk memastikan misi ini tercapai, tidak mungkin pergi berperang hanya untuk menjadi 'papan target' tetapi semestinya ilmu dan latihan untuk menjadi pembunuh di dalam peperangan.

Walaupun saya juga mungkin akan mengeluh, namun saya yakin perkara yang saya tidak suka ini adalah baik bagi saya.

Sabar dan bertahanlah. Kerana inilah resepi pahlawan agung di medan perang.
Jika anda katakan anda terlalu sibuk untuk itu, maka bersyukurlah kerana anda terhindar daripada pencuri masa lapang yang telah banyak memusnahkan orang.
Kita adalah pedang berkilau seumpama bayangan bunga di kebun hijau yang menebarkan bau wangi. Bergerak seperti singa garang yang mahu ke medan perang, jangan sampai menjadi burung cicit apabila berada di medan juang.

Tanggungjawab itu sentiasa melebihi masa yang ada.-Hassan Al-Banna




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
20 September 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bangun dan berilah peringatan!

>> Friday, September 19, 2008



"Zamilluni..zamilunni.."

"Selimutkan aku..selimutkan aku.."

Inilah ayat yang terbit dari mulut Rasulullah SAW sejurus sahaja balik ke rumah. Baginda meminta isteri tercinta Saiditina Khadijah menyelimutinya. Perasaan baginda ketika itu cemas. Malaikat yang datang kepada baginda lalu mengajarkan Al-Haq(wahyu) benar-benar membingungkan baginda.

"Sesungguhnya aku cemas atas diriku(akan binasa)," Rasulullah SAW menyatakan kepada Khadijah.

Lalu Khadijah menjawab lembut, "Jangan takut, demi Allah! Tuhan sesekali tidak akan membinasakan anda . Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang sedang dalam kesusahan menegakkan kebenaran."

Sungguh berhikmah sekali kata-kata Khadijah. Anugerah agung Allah sebagai penyejuk mata dan hati untuk Rasulullah SAW.

Susulan itu Saiditina Khadijah membawa Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Warqah bin Naufal iaini sepupu khadijah. Warqah mendengar cerita yang terbit dari mulut baginda dan membenarkan.

"Inilah Namus(Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu iaitu ketika anda diusir oleh kaum anda," Waraqah menjelaskan.

Kenyataan yang menimbulkan kehairanan kepada Nabi. Adakah diri baginda akan diusir?

"Ya, benar! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti anda, yang tidak dimusuhi orang. Jika saya berada ketika itu, nescaya saya akan menolong anda sekuat-kuatnya,"

Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu terputus sementara waktu.

Wahyu kedua.


"Ya ayyuhal muddatsir, Qum faanzir!"

"Wahai orang berselimut! Bangun dan berilah peringatan!"

Wahyu tersambung semula dengan permulaan surah Al-Mudatsir ayat 1-5. Selepas itu wahyu turun berturut-turut.

Sering ramai memetik tentang surah pertama yang turun(surah Al-A'laq, 1-3) apabila menceritakan turunnya Al-Quran. Tetapi amat jarang saya mendengar orang memetik surah kedua yang turun selepas itu. Inilah surah Al-Mudatsir.

Jika permulaan wahyu diterangkan tentang kepentingan ilmu. Maka surah ini penting untuk menyatakan pentingnya menyampaikan ilmu dan peringatan. Rasulullah SAW disuruh bangun dari kemulan dan disuruh memberikan peringatan.

Ianya tidak disusuli dengan 'Qum fabashir-berilah berita gembira' tetapi dengan 'Qum faanzir-berilah peringatan'. Manusia sering dan perlu diperingatkan tentang ancaman azab Allah SWT yang tidak pernah lepas dari manusia. Manusia perlu diperingatkan! Hidup di dunia bukan untuk bermain-main dan bersenang lenang. Tetapi ada amanah yang perlu ditunaikan.

Saya kira inilah yang perlu mula-mula sekali ditanam dalam diri setiap manusia. Bukan dengan hanya asyik membaca fadhilat amal. Nanti diri asyik terfikir sudah layak masuk syurga dengan ganjaran itu dan ini. Walhal syurga itu bukan murah harga yang perlu dibayar.



Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah,214)


"Ya Allah redhokan kami masuk ke dalam Syurga mu.."



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
19 September 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Al-Quran yang menyerlahkan ke'jelitaan'nya


Subuh itu sejuk tetapi hening. Keadaan sunyi dan tenang. Azan lantang berkumandang.

Saya melangkahkan kaki ke surau.

"Allahuakhbar...."

"Bismillahirahmanirrahim...."

Subhanallah..Maha suci Allah yang menganugerahkan suara kepada manusia. Bacaan imam cukup menyentuh kalbu. Saya lantas menghayati bacaan. Cuba untuk khusyuk biarpun saya tahu bacaannya mungkin agak panjang sedikit. Suasana yang tenang seperti ini sememangnya meningkatkan motivasi untuk khusyuk.

Apa yang saya rasai bukanlah asing bagi umat Islam yang mencintai Al-Quran. Cukup indah bahasa Al-Quran itu. Bayangkan setelah 1400 tahun berlalu, tetapi inilah kitab yang paling bertahan dan dibaca oleh ramai orang di dunia. Kod-kod ayatnya pula bersusun, boleh dilagukan dan diperindahkan bacaan. Maha suci Allah yang menciptakan.

Bacaan imam yang merdu bukannya datang dari suaranya yang merdu semata-mata. Tetapi tentulah ianya datang daripada kombinasi suara dan ilmu tajwid. Suara sesedap mana sekalipun akan sumbang apabila berterabur tajwidnya. Suara seserak mana pun akan tetap merdu jika elok tajwidnya. Bukankah begitu?

Saya tidaklah mengaku yang saya ini sehebat Ustaz Zambri(mari mengaji) dalam bertajwid. Kerana saya juga dalam proses belajar dan akan terus belajar. Hakikat insan yang sentiasa dahagakan ilmu Allah.


Sedarkah kita bahawa tajwid adalah salah satu seni tersendiri Al-Quran untuk menyerlahkan lagi salah satu keindahan dan kejelitaannya. Wah, jika isteri mahu yang cantik, rumah dan kereta mahu yang menarik! Tetapi tidakkah mahu kita mengejar kecantikan Al-Quran?

Apa itu ilmu Tajwid? Ilmu tajwid adalah mengeluarkan sebutan setiap huruf dari makhrajnya yang betul, serta memberi hak sifat yang asli dan hak sifat yang mendatang kepadanya.

Mungkin kita beranggapan, ianya mudah. Namun hakikatnya belum tentu bacaan kita tepat dan betul menurut 'tajwid' yang sebenarnya.
Kerana maksud sifat asli dalam pengertiaan tajwid itu adalah di atas ialah sifat lazim yang ada pada huruf itu dan tidak dapat diceraikan seperti Ghunnah, Jahr, Syiddah, Istifal dan sebagainya. Manakala sifat mendatang pula yang timbul dari hak sifat asli seperti Tafkhim dan Tarqiq.

Dan tahukah kita? Bahawa kebanyakan ilmu tajwid yang dipakai sekarang ini adalah bersumberkan bacaan Imam Hafs An'Aa'sim, salah satu bacaan dari qiraat sepuluh.

Wah, mungkin kita tidak pernah pun mendengar istilah di atas. Justeru mengapa ada yang mendabik dada berpuas hati setakat lancar dan 'tahu' baca sahaja.
Kepada masih yang tidak lancar membaca jangan malu dan berputus asa. Dekatilah Al-Quran, kerana semakin dekat kita dengan Al-Quran maka semakin dekatlah kita dengan Allah Taala.


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
19 September 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Medan itu bukan penamat kesedihan

>> Saturday, September 13, 2008


Tangan bergerak laju memotong wayar hijau yang bergulung di relung.. Disusun satu persatu kepada 20 bahagian. Setiap bahagian mempunyai 18 jalur wayar. Dipotong pula wayar berwarna jingga. Dicampur bersama wayar hijau tadi.

"Awak semua jaga bilik saya sebentar ye, saya nak keluar," pensyarah saya bersuara.

Sebenarnya saya sedang menolong pensyarah menyusun komponen elektronik di dalam biliknya. Ada 2 orang lagi rakan bersama. Pensyarah ini juga merupakan penyelia projek sarjana muda saya.

Ditinggalkan kami dengan membiarkan komputernya mengiramakan lagu. Lagu raya!

Termenung ku sendiri..
Memendam rindu tidak menentu..

Aduh, lagu yang benar yang menyentuh sanubari!

Di pagi hari raya..
Hati sayu mengenang dirimu..

Siapakah gerangan yang dikenang? Adakah hari itu hari kenang mengenang?

Saya mula melontarkan persoalan kepada rakan-rakan.
Seperti hari-hari sebelum aidilfitri dan tahun-tahun sebelumnya, lagu-lagu hiba begini kerap benar berkumandang. Dikuatkan lagi dengan cerekarama di televisyen yang mendendangkan latar sedih yang bisa menitiskan air mata jantan ku ini..cis!

Jika saudara-saudari rajin untuk menggunakan enjin carian google atau alwahy. Cubalah menaip centre for suicide prevention. Sebuah laman yang cuba memberikan motivasi dan mencegah peningkatan krisis bunuh diri. Ada sesuatu yang menarik di sini.


Saya terjumpa satu laporan kajian yang dibentangkan. Sesuatu yang mengejutkan, kadar peningkatan bunuh diri meningkat dengan mendadak pada bulan Disember atau lebih spesifiknya lagi sepanjang tempoh Krismas.
Daripada sampel seramai 188,000 kes bunuh diri telah direkodkan di US, Philips dan Wills pada tahun 1987.
Sparhawk (1987) telah menyatakan Krismas sebagai salah satu cuti umum yang mencatat kadar bunuh diri tertinggi dimana sampel yang di ambil sebanyak 13,651 kes.

Mengapa ini berlaku pada hari krismas?
Tentunya krisis emosi yang menjadi punca bunuh diri. Dan antara sebab yang diteliti adalah hari Krismas akan membangkitkan memori positif, kegembiraan dan mempengaruhi pandangan bagi mereka yang sedang dalam tekanan.

Memutar jarum masa ke belakang untuk mengenang saat bahagia adalah racun berbisa buat seorang yang telah punah dengan tekanan dan derita. Maka jalan mudah untuk melupakan, bunuh diri!


Saya mengaitkan sambutan Krismas ini dengan perayaan Aidilfitri di negara kita.

Mengikut sunnah, aidilftri diraikan sehingga orang-orang perempuan juga turut diperintah pergi solat 'Idh, bahkan anak-anak gadis keluar dari pingitannya. Begitu juga wanita-wanita yang sedang haid. Mereka sama-sama bertakbir dan mendoa bersama-sama. Mengharapkan berkat dan kesucian pada hari itu. [hadis dari Ummu 'Atiyah, shahih Bukhari]

Inilah yang membezakan perayaan krismas dan aidilfitri. Krismas bergembira semata-mata, sedangkan aidilfitri ada nilai ibadah di dalamnya. Pengharapan, redho dan maghfirah daripada Allah yang diharapkan. Laungan membesarkan Allah diutamakan. Apalah yang dapat dinilai pada aidilfitri itu jika ini semua bukan lagi keutamaan, aidilfiti yang kosong tanpa penghayatan.


Saya kira inilah yang menyebabkan aidilfitri itu dijadikan medan sedih dan rindu bangat. Mengenang masa-masa bahagia aidilfitri dahulu, kerana aidilfitri hanya dirasakan gembira..gembira..gembira..itu sahaja! Lalu apabila sekali ditimpa malang di hari pertama Syawal, tanpa lemang ketupat dan orang tersayang. Maka dirasakan Syawal itu tidak bernilai apa-apa.

"Okey, dah siap dah. Nanti saya beri upah 50 sen seorang," pensyarah saya datang kembali sambil berseloroh.

Kami tersenyum sambil mengemas apa yang patut sebelum menzahirkan diri untuk pulang.

"Jika aidilfitri itu hanya dirasakan medan gembira. Maka tidak mustahil seperti krismas, hari pertama Syawal ada kes bunuh diri pula!" minda saya berbisik gemalai...


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
13 September 2008M/13 Ramadhan 1429H
http://msrizal.blogspot.com/

Continue Reading...

Read more...

Aku impikan jalan sederhana

>> Saturday, September 6, 2008


Angin malam sepoi-sepoi bahasa, suasana tenang seusai Isyak. Orang ramai sedikit demi sedikit meninggalkan surau menuju ke kelas untuk prep malam.

Saya duduk sebentar berbual.


"Astaghfirullah, bercakap hal dunia di dalam masjid!" saya disapa dari belakang oleh seorang rakan.

Sambil bersalam, dia tunduk zuhud dan menghulurkan salam. Lalu berlalu pergi. Saya hanya bungkam, "Pergh..berasap telinga."

Ini adalah salah satu situasi yang menunjukkan saya sememangnya agak tidak sekepala dengan ajk surau sekolah. Semasa itu saya bersekolah di Sek. Men. Teknik Ipoh, Persiaran Brash. Maklumlah saya ini dikenali sebagai orang yang suka memberontak, menentang birokrasi dan hipokrasi sekolah. Semasa berada di Tingkatan 5, hari-hari terakhir sebelum bermulanya SPM.

Apa sahaja yang ditegah oleh warden, itulah yang saya buat. Prep ke kelas berselipar, tidak suka bersongkok tetapi berkopiah, solat di dalam dorm, ponteng program dan seminar. Tetapi saya tidaklah nampak jahat di mata warden kerana saya tidaklah membuat kesalahan berat seperti halnya yang merokok, fly dan raging.

Tahun depannya iaitu semasa di Tingkatan 5 saya mula melihat perubahan beberapa orang AJK Surau ini. Termasuklah dia. Gayanya tidak lagi zuhud, dan nampak peubahan perwatakannya. Tidak perlu rasanya saya nyatakan di sini.

Satu contoh yang 'baik'!

Saya membuka akaun friendster semasa tahun 1 di sini. Sebelum saya membuangnya semester lepas. Tujuannya hanya untuk berhubung dengan rakan-rakan lama. Saya terjumpa profile bekas AJK surau yang disegani. Bukan rakan di atas tadi, tetapi AJK surau lain yang lebih konsisten sehingga tingkatan 5. Agak kecewa sedikit, foto yang penuh dengan gambar dia dan 'awek'nya seawal tahun 1. Maaflah, saya rasa mereka belum berkahwin.

Saya terjumpa blog seorang lagi AJK surau. Namanya Aliff, orangnya zuhud semasa di sekolah dahulu. Dan saya memang tahu dia memang ikhlas dengan zuhudnya. Alhamdulillah dia masih di atas jalan 'ini' sehingga sekarang dan akan datang. InsyaAllah.

Saya berjumpa rakan lama. Mereka ini biasa-biasa sahaja semasa sekolah dahulu. Tetapi, sekarang sudah semakin meningkat potensinya.

Apa yang saya mahu ceritakan? Soalnya kesederhanaan.
Seorang alim, apabila sasau dia bisa jadi jahil.
Seorang pandai, apabila dia bodoh dia memang nampak tidak berguna.

Bersederhana itu lebih baik. Tidaklah perlu menonjolkan diri sebagai seorang warak, sekadar hanya untuk mendapatkan perhatian orang. Tidaklah perlu meninggikan diri agar nampak pandai supaya orang kagum padanya.
Laut itu punya pasang dan surut. Begitulah juga kita, janganlah sampai apabila kita terasa tinggi kita berkata dan nasihat itu dan ini. Takut-takut nanti diri sendiri terpaksa menelannya kembali.

Jika kita impikan penghormatan manusia maka bersederhanalah dalam berbicara , berbatas-batas tatkala bergurau senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira.
Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya.

p/s: Terus terang saya sendiri terkesan dengan artikel ini, mungkin saya sendiri sedang melakonkan kembali watak-watak sahabat AJK surau sekolah saya ini.

Continue Reading...

Read more...

Senyumlah sedikit...

>> Friday, September 5, 2008


Dia tengok kita,
kita tengok dia
Muka dia serius,
kita pun tertawa.


Kita tanya dia,
dia diam saja.
Kita pancing dia,
dia pun bersuara.

Aduhai rakanku,
hidayah itu datang padamu.
Lalu dirimu terasa,
dosamu teramat banyaknya.
Jangan ingat kau sahaja memikirkan tentangnya.

Ingin kita bawa cerita.
Cerita dulu kala, kita petik saja.
Teladan Anbiya', Ibnu Katsir pengarangnya;

Makhul berkata bahawa Nabi Yahya bertemu dengan Nabi Isa lalu Nabi Isa bersalam dengannya sambil tertawa.
Lantas Nabi Yahya berkata kepadanya, "Mengapa saya lihat kamu tertawa seolah-olah kamu telah aman (dari azab Allah)?"
Nabi Isa menjawab, "Mengapa saya lihat kamu berwajah masam seolah-olah kamu telah berputus asa?"

Kita dah bercerita,
kita nak beritahu pula.
Lontarkan wajah yang cerah dan berseri-seri pada temanmu ini.
Dahimu sentiasa berkerut memikirkan masalah umat,
adakah kamu menanggungnya lebih daripada Nabi Muhammad (pbuh)?

Continue Reading...

Read more...

Tinggikanlah dirimu pada tempatnya.


"Zaman sekarang ini, memang susah dapat kerja," Pak Belalang berbasi-basi.

"Haah, tambah-tambah lagi orang yang malas!" Encik Kacong bersuara.

"Hmm..emm," Pak belalang mencebik bibir selamba, sekadar menepis perlian yang ditujukan kepadanya.


Reaksi spontan yang mengundang hilai tawa kami yang melihatnya.

Bukan sekali, saya menonton filem ini. Sudah acap kali, namun masih lagi tidak jemu.

Ironinya, situasi ini bukan dialami oleh saya seorang sahaja. Tetapi kebanyakan daripada kita. Kenapa ya?

Mungkin antara sebabnya, adalah kerana jalan ceritanya yang diterima baik setiap lapisan masyarakat.
Mungkin juga bahasanya yang menggunakan bahasa yang tinggi sedikit daripada bahasa pasar, membuatkan ianya bertahan lama.
Mungkin juga pengajaran dan nilai moral yang mahu diajarkan.
Dan mungkin juga itu filem lama, maka ramailah orang yang mahu teringat kisah silam menontonnya.

Kita huraikan sedikit, faktor pengajaran dan nilai moral. Filem sekarang pun ada. Faktor jalan cerita dan bahasa. Mungkin memainkan peranan?

Apabila melontar karya filem, penerbit perlu memikirkan siapakah pembacanya. Filem P. Ramlee boleh diterima segenap lapisan masyarakt kerana membawa cerita-cerita rakyat. Tetapi bukan semua cerita P. Ramlee yang membawa cerita rakyat, dan kebiasaannya cerita yang kurang 'rakyat' itu tidak berapa popular.
Nilaikan kembali filem zaman sekarang? Berapa ramai lapisan masyarakat gemar menontonnya?

Bahasa! Saya mahu menekan faktor ini, bahasa yang digunakan P. Ramlee adalah bahasa yang diangkat sedikit daripada bahasa pasar di zamannya. Faktor yang amat menarik, kerana bahasa pasar akan tenggelam ditelan zaman. Tetapi tidak pada bahasa Melayu tinggi. Malah ianya boleh dipasarkan disetiap ceruk kampung yang berloghat tebal. Semua orang boleh menerima.

Nilai penulis.

Sepertihalnya dengan filem begitulah juanya dengan bidang penulisan. Faktor bahasa juga yang membuatkan blog itu bertahan. Terus-terang saya amatlah anti dengan gaya penulisan blogger yang mengambil enteng kesalahan tatabahasa dan penulisannya. Gemar menulis bahasa SMS, dan mencampur adukkan bahasa. Segalanya mahu short from!

Ini adalah jenayah berat di dalam penulisan!

Kita singkap sedikit, sebenarnya gaya penulisan dan perkataan yang dipilih penulis menggambarkan tahap pemikiran dan pendidikannya. Dan begitulah jua orang yang memberi komen kepada blog 'bahasa SMS' ini. Mereka pun akan memilih untuk menulis dalam bahasa SMS. Mereka juga datang dari tahap pemikiran dan pendidikan yang sama.

Tambahan pula, dengan gaya penulisan itu mereka telah mengadili pembacanya sama rata. Sesiapa yang membaca akan dihidangkan dengan tahap pemikiran mereka. Jika mat rempit menulis blog dengan bahasa mat rempit, maka saya yang membacanya telah diturunkan tahap pemikiran kepada mat rempit. Bagaimana pula jika golongan diraja yang membacanya?

Nasihat saya, tulislah dalam bahasa Melayu tinggi. Ianya boleh merentas latar belakang pembaca dan merentas zaman. Bukankah faktor bahasa Arab tinggi juga salah satu faktor yang menyebabkan Al-Quran itu bertahan lama? Lakukan penambahbaikan setiap kali menulis.

InsyaAllah dengan mempraktikkannya, kita boleh melangkah setapak lagi kehadapan. Mana tahu blog anda layak untuk untuk dibukukan?

Continue Reading...

Read more...

Ada apa dengan Latihan Industri?

>> Thursday, September 4, 2008

Saya di hadapan office.

Saya agak sibuk untuk menulis, namun azam untuk terus tegar mengemaskini blog ini tetap tinggi. Dalam kesibukan, saya teringat pengalaman saya menjalani latihan Industri di USrahlite Engineering Sdn. Bhd. Walaupun kerja-kerja yang saya lakukan adalah lebih kepada elektrikal bukan elektronik, tetapi ianya sudah tentu pengalaman yang amat berguna.

Antara kerja yang paling mencabar dilakukan adalah memasang lampu jalan, hampir 43 buah lampu dipasang oleh team kami yang terdiri daripada 2 orang juruteknik dan 2 orang pelajar praktikal. Walaupun letih, tetapi seronok! Ditambah dengan pengalaman terkena sedikit renjatan elektrik di atas tiang itu, mujurlah hanya dapat lenguh-lenguh pada tangan sahaja. Selain daripada memasang lampu, kami banyak membuat kerja-kerja pendawaian elektrik.

Sedikit gambar untuk dikongsi bersama. Walaupun saya tidak gemar untuk berkongsi gambar, namun apalah salah kiranya kita bertaaruf.


Boss beri saya meja. Bukan sentiasa kosong macam ni. Tiada kerja, bawa notebook surf internet je la.
Antara kerja-kerja yang dilakukan. Memasang fius agihan 3 fasa.

Rakan sepraktikal, Hafis. Sedang dalam persiapan sebelum bergerak ke destinasi.
Lihat, tiada lampu! Tugas kami untuk memastikan jalan ini bercahaya.
Saya dan juruteknik, abang Bob. Saya berdiri di sebelah kiri, memakai topi keledar keselamatan.
Siap! Moga orang kampung ini mendapat manfaat.Tiadalah tinggi sangat. Tetapi abang Bob boleh gayat pula, walhal dah selalu naik!Giliran hafis dan abang Sani(juruteknik) pula. Saya dan abang Bob dah penat."Ha, kenapa tak menyala tu?"
Penat, Kita minum dahulu! Untung buat kerja di kampung ni. Ramai yang bermurah hati beri minum dan makan.

Continue Reading...

Read more...

Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris? (Komen saya dalam sebuah blog)

>> Tuesday, September 2, 2008


Berikut adalah ulasan panjang saya dalam blog http://www.cikguazleen.com/

Salam,

Menukar bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris adalah 'langkah tepat' tetapi 'kurang bijak'.

Perkataan 'langkah tepat' digunakan untuk menunjukkan jalan ke arah misi kejayaan tertentu. Dengan menukar bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris secara tidak langsung dapat memberikan advantage kepada pelajar-pelajar bandar yang tidak asing dalam berbahasa Inggeris.

Dengan itu misi untuk melahirkan bukan sahaja ramai pelajar pandai tetapi super smart akan tercapai. Maka tidak mustahil kita akan menghasilkan lebih ramai pelajar-pelajar untuk dihantar ke Cambridge dan Harvard.


Perkataan 'kurang bijak' digunakan untuk mereka yang sombong tidak pernah belajar daripada sejarah.

Sejarah telah berhujah berkali-kali bahawa banyak kota-kota unggul di muka bumi ini muncul seiring dengan peningkatan bahasa ibunda mereka. Dengan kata lain, peningkatan penggunaan bahasa ibunda sentiasa beriringan dengan kemajuan.

Malah banyak negara-negara di dunia dahulu dan sekarang yang maju sedangkan mereka langsung tidak mengetahui apa itu 'bahasa Inggeris'?

Dan ini juga yang pernah disebut oleh Prof. DiRaja Ungku Aziz dahulu; "Ada banyak tamadun besar di dunia yang muncul tetapi tidak mengenal bahasa Inggeris."

Jika tidak mahu mengambil iktibar sejarah, ambillah iktibar semasa. Negara India misalnya. Dalam misi untuk menjadi negara maju mereka telah mengambil bahasa penjajah sebagai bahasa ibunda.

Tetapi natijahnya, sejak beberapa tahun lamanya mereka bukan sahaja tidak mencapai taraf negara maju bahkan mereka adalah negara yang mempunyai rakyat miskin tegar yang teramai di dunia!


Sebenarnya dasar kerajaan ini menyerupai dasar ekonomi kapitalis. Malah menyumbang kepada dasar ekonomi kapitalis. Yang kaya akan bertambah kaya, dan yang miskin akan bertambah miskin. Jika adapun orang miskin yang melepasi tahap ini, mereka adalah segelintir sahaja.

Soal pelajar Universiti yang tidak betah berbahasa Inggeris? Ternyata saya juga budak U, dan saya rasa ini bukanlah masalah besar. Malah, saya rasa janggal pula membaca buku-buku Engineering(bidang saya) dalam bahasa Melayu. Pembudayaan ini akan berubah secara automatik.

Menggunakan bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris sebenarnya menyanggah hukum Al-Quran. Setiap 'dasar' yang mahu disampaikan hendaklah dalam bahasa watan atau ibunda. Jika sudah advance bolehlah menyampaikannya dalam bahasa lain.
Dan berkesannya dan praktikalnya Al-Quran ini diturunkan dalam bahasa
Arab kepada orang-orang Arab.

Jangan sampai yang dikejar tidak dapat yang dikendong pula berciciran.
Bahasa Inggeris tidak dapat, Sains dan Matematik pula yang keciciran.
Mengapa tidak mahu mengambil iktibar, hai golongan ulul albab?

Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP