Berdayung Mudik ke Hulu

>> Thursday, October 28, 2010


Suatu Masa Dahulu...

Saya teringat pada hari pertama saya melangkahkan kaki di bangku persekolahan. Awal tahun 1993 bermulalah alam persekolahan saya secara rasmi. Saya tidak bersekolah tadika sebelum itu. Tadika saya hanya di rumah. Silibusnya adalah mengenal alam sekeliling, melihat langit membiru, menonton cerita 'Suria baja hitam' dan berangan-angan untuk menjadi 'Superman' satu masa nanti. Kadang-kadang juga saya suka membelek buku-buku kakak. Teringin untuk masuk ke sekolah tadika pada masa itu, tetapi abah cuma mendiamkan sahaja. Kerana saya tidak mengerti barangkali. Atau membiarkan sahaja keinginan saya menjadi inspirasi berharga apabila bersekolah nanti...

"Abang, nanti di sekolah. Bila nak beli kuih, jangan sebut 'wadai' sebut kuih..." begitu pesan mak saat menempek-nempek pipi saya dengan bedak pada pagi pertama persekolahan.

"Oh, sebut 'wadai' tak boleh? Kenapa?" saya bertanya sambil mengesat pipi, tanda protes tidak suka diletakkan bedak.

"Kalau sebut 'wadai' nanti pak cik kantin itu tak faham..." mak menerangkan sambil memasukkan wang syiling 50 sen ke dalam kocek seluar.

Ternyata pesan mak itu benar, hari pertama persekolahan saya sudah membuatkan pak cik kantin itu menggaru-garu kepala. Saya tidak biasa menyebut kuih, hanya 'wadai'. 'Wadai' itu bahasa banjar adik, memang pak cik ini tidak faham. Lantas segera saya betulkan istilah, demi memudahkan perut saya diisi pada waktu rehat itu.


Bahasa Jiwa Bangsa...

Begitulah persekolahan memainkan peranan penting dalam menstandardkan bahasa . Tentunya pertembungan tutur kata, bahasa dan budaya akan berlaku di sekolah. Di waktu inilah sekolah memainkan peranan untuk menyelaraskan bahasa. Sifirnya begini, persamaan akan merapatkan jurang pelajar-pelajar.

Kebiasaannya perbezaan ini disebabkan perbezaan latar belakang kaum, budaya dan ekonomi seseorang pelajar itu. Perbezaan ini boleh dinamakan sebagai Defisit Budaya. Situasi ini selalunya dialami di kawasan pendalaman. Jika diperhatikan orang pendalaman, mereka suka menjerit-jerit apabila berkomunikasi. Berbanding orang di bandar yang bercakap dengan teratur dan sempurna. Itu antara contoh perbezaan budaya. Perbezaan budaya mempengaruhi bahasa. Dengan bahasa yang selaras, pelajar-pelajar yang miskin boleh berkawan dengan pelajar kaya. Juga pelajar yang berbeza kaum juga boleh berkawan baik.

Saya masih teringat ada seorang pelajar berbangsa india di sekolah rendah dahulu. Dia langsung tidak tahu berbahasa melayu. Namun sistem sekolah tidak membenarkan perkara ini berlaku. Mahu tidak mahu dia perlu berbahasa Melayu. Malah atas sebab standard ini juga sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina dan india diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini bagi mengelakkan keluaran sekolah ini masih mengekalkan defisit bahasa. Terutama apabila mereka menjengah ke alam persekolahan menengah nanti.

Bagi saya sendiri, setelah beberapa tahun lamanya membesar di Chemor, bahasa banjar tidak lagi menjadi bahasa pertuturan keluarga kami lagi. Kerugian besar juga sebenarnya. Mungkin yang kekal adalah bahasa diri 'aku' saat berbual sesama kami. Nampak seperti kasar, tetapi sebenarnya membahasakan diri seperti ini dikira sopan dalam budaya banjar.

Walaupun begitu saya agak malu-malu untuk membahasakan diri dengan ibu bapa sebegini di hadapan kawan-kawan. Sungguhpun perkataan 'saya' itu lebih rendah dari perkataan 'aku' sebenarnya. 'Hamba Sahaya' atau ringkasnya 'Ambo Saya'. Orang pantai timur ambil 'Ambo', orang pantai barat ambil 'Saya'. Begitu asalnya perkataan ini seperti yang dicerita...


Tinggikanlah Bahasamu...

Saya mengesan satu tabiat buruk yang saya kutip sepanjang saya bekerja. Tutur bahasa saya sudah mula bercampur-campur. Sering benar saya mengutip bahasa Inggeris untuk digunakan dalam pertuturan. Memang rojak pesemboq! Malah kadang-kadang perkara ini terbawa-bawa apabila saya bercakap di khalayak umum. Maafkan saya cikgu Bahasa Melayu, saya memerlukan sedikit masa untuk pemulihan.

Hakikatnya seseorang itu akan lebih nampak yakin dan hebat apabila dia bertutur dalam bahasa tinggi. Jika mahu berbahasa melayu, gunakanlah ianya dalam standard yang diajar di persekolahan dulu. Malah seseorang itu juga dapat dinilai latar asal, ekonomi dan darjatnya melalui bahasa pertuturannya. Jika seseorang itu terpelajar contohnya, dia akan bercakap dalam bahasa orang terpelajar. Bahasa orang terpelajar tidak akan sama dengan bahasa kutu jalanan. Malah saya sendiri naik rimas apabila mendengar dialog pertuturan pelakon-pelakon kutu jalanan di dalam televisyen mahupun filem.

"Lu apa cerita? Gua dah lama tak dengar cerita lu...Halo-halo la woi!"

Rimas! Saya percaya bahasa murahan seperti ini akan pupus dengan pupusnya orang yang bertutur seperti ini nanti.


Tinggikanlah Tulisanmu...

Tulisan mengandungi seni besar. Ianya lahir dari hati, bukan mulut. Tulisan mencerminkan peribadi. Malah orang-orang hebat menyampaikan kehebatan mereka zaman berzaman dengan tulisan. Maha suci Allah yang telah bersumpah dengan nama pena.

Menyedari hakikat pentingnya tulisan, seseorang juga perlu mengambil kira perkara ini. Dahulu sebelum sekolah kamu tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Lalu apabila kemahiran seperti ini sudah kamu kusai, kamu nodanya sesuka hati. Jenayah tulisan yang saya maksudkan banyak berlaku di internet pada masa kini. Blog, facebook atau ruangan komen di mana-mana sahaja di cemari dengan tulisan ambil mudah. Tiada noktah, tulisan kecil besar dan meringkaskan sesuka hati bahasa adalah satu tabiat tidak elok.

Saya menyimpulkan, seperti mana rendahnya darjat orang berbahasa rendah. Maka seperti itu juga orang yang menulis secara ambil mudah. Tulisan kamu sebenarnya melambangkan tahap pemikiran, ekonomi, darjat dan ilmumu!


Tinggikanlah Juga Doamu...

"Ya Rabb, lapangkanlah dadaku. Mudahkanlah urusanku, dan lepaskan kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku..."

Betapa besar hikmah pertuturan sehinggakan Nabi Musa as berdoa begini sebelum pergi kepada Firaun. Bahkan kita juga di ajar untuk berdoa sebegini sebelum memulakan urusan. Kerana sebesar mana pun urusan ianya tidak menandingi urusan Nabi Musa as dan saudaranya Nabi Harun as. Mereka berdua yang datang dari luar, pergi dengan bekal tawakal untuk berdakwah kepada Firaun yang kerajaannya besar dan gagah.

Inilah hikmah doa, maka selalulah berdoa supaya bahasa kita fasih dan bermutu. Kerana bahasa fasih itu modal besar dalam dakwah. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri bahasanya cukup fasih.
Abu Bakr pernah bertanya pada Nabi SAW, "Aku tidak pernah melihat orang fasih bahasanya berbanding dengan engkau, wahai Rasulullah SAW."

Baginda SAW menjawab, "Kenapa tidak? Aku dari suku Qurasiy, dan aku disusui oleh Bani Sa'd."

Lihatlah bahasa itu sendiri diakui menggambarkan darjatmu di sisi masyarakat. Justeru jangan mudah-mudah sahaja merendahkan dirimu bukan pada tempat yang sepatutnya!



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

4 comments:

lelucon October 29, 2010 at 4:16 PM  

Salam, tuan rumah. Lama saya tak singgah sini.

Menarik entri ni. Sebagai keturunan Jawa, sedikit sebanyak saya membenarkan apa yg saudara kata berkenaan masa sekolah tu. Tapi disbbkan penjaja di kantin sekolah saya pun jawa, 'yo orak eneng opo seng susahe' (jd tiada apa yg susahnya). Jawa pun biasa guna 'aku'. Tapi diri ke-2 disebut 'koe' (ala-ala 'kuih').

Saya pernah dgr Prof Emiritus Abdullah Hassan mengulas ttg bahasa slanga. Mmg biasanya bahasa slanga akan luput ditelan masa (walaupun penuturnya belum lupus).

'pendalaman' = proses/kerja mendalamkan cth. sungai
'pedalaman' = kawasan ceruk, pinggir hutan

MS Rizal October 29, 2010 at 10:06 PM  

Oh, orang jawa rupanya Tuan Lelucon kita.
Kalau orang banjar, kata ganti nama kedua adalah 'Ikam' bermaksud kamu.

Rajin ke kuliah Prof Abdullah Hassan?

lelucon November 1, 2010 at 1:08 PM  

Saya terdgr ttg slanga tu masa pembentangan di sminar pembudayaan bahasa di DBP 2009.
Taklah dapat dgr kuliah prof slalu. Tapi kalau ada peluang mmg tak dilepaskan. Saya suka cara pnyampaian Prof yg suka menggunakan bahasa yg betul dan sedap didengar. Rasanya generasi muda patut dengar dan belajar berbahasa spt beliau :)

kampung saya pun ada keturunan Banjar. Masa zaman sekolah dulu kami (budak jawa) suka menyakat budak banjar (sbb mereka minoriti hehehe). Sebenarnya seronok bila berlaku percampuran budaya (cth di kg saya Melayu+Jawa+Banjar), sbb bukan skdr dijadikan bahan senda-gurau, tp dapat kenal budaya dan bahasa yg unik dan berbeza. Tapi malangnya bg sesetengah orang 'kaum' dijadikan pegangan utk berpuak-puak, menyisihkan diri dan bermusuhan. sedangkan di situlah wujudnya faktor utk kita saling mengenal dan menghargai keunikan masing-masing.

MS Rizal November 1, 2010 at 9:42 PM  

Saya setuju benar dengan Encik Lelucon. Sememangnya sesetengah tempat mengamalkan amalam berpuak. Malah boleh sahaja dilihat di kampung-kampung melayu. Walaubagaimanapun ini tidaklah salah kalau untuk menjaga kebajikan saudara handai. Namun ianya menjadi salah kalau terlampau fanatik dan berbangga-bangga seolah-olah puaknyalah yang terhebat.

Kesedaran untuk bersatu perlulah ada pada setiap diri individu. Malah untuk bersatu di antara kaum, orang Melayu perlu jujur dalam kenyataan mereka. Janganlah melaungkan kita bukan anti perkauman, tetapi di belakang melaungkan kita hendaklah bersifat kekitaan dalam isu perkauman.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP