Saya, saya, saya,..bercerita tentang apa yang berada di luar kepala

>> Wednesday, December 2, 2009


1) Saya terperangkap di dalam situasi yang tohor.

Antara kepimpinan dan menguruskan. Saya bukan pengurus yang baik, itu pasti! Tetapi saya mungkin seseorang yang sedang belajar untuk mengurus serba sedikit.

Pengurus dan Pemimpin adalah situasi yang berbeza. Kita lihat reaksi pengurus dan pemimpin pada kejadian bernama tangga. Pengurus adalah menaiki tangga untuk mencapai target. Pemimpin bertanggungjawab menentukan tangga itu perlu disandarkan di tembok mana.

Pemimpin adalah orang yang memimpin satu kelompok kumpulannya di dalam sebuah hutan yang tebal. Pemimpin bertanggungjawab untuk memanjat pokok dan menjerit ke bawah, "Hei,berhenti! Kita dah salah jalan!"


2) Saya dibius kekeliruan

Terkadang saya amat takut untuk menghadapi dunia luar. Dunia pekerjaan yang saya maksudkan. Jaraknya amat dekat, sepurnama lagi jika dibilang masa. Mungkin juga dekat. Hanya sepelaung jaraknya..Saya menyedari satu hakikat yang menjadi virus kehidupan saya sehari-hari yang perlu saya tangani. 'Survive'..

Survive yang saya maksudkan adalah di dunia luar. Survive bukan dalam kerangka maksud survival (mencari makanan untuk mengalas perut) seperti latihan ketenteraan yang saya jalani. Tetapi survive di dalam putaran peradaban, sosial dan tingkat keilmuan di luar. Ada sesuatu yang kurang dalam diri pelajar-pelajar Universiti Pertahanan. Kecenderungan untuk lari dari kepompong pihak pentadbiran. Jika AUKU dan HEPA itu menyekat segala kebebasan pelajar di kampus-kampus luar. Di sini ianya lebih dahsyat mungkin, kongkongan pihak pentadbiran ketenteraan. Tetapi konkongan itu lebih bersifat aktiviti dan sekatan outing. Itu harga yang perlu dibayar dengan gaji yang diterima setiap bulan.

Namun, itu bukan alasan konkrit untuk pelajar-pelajar tidak berastisipasi. Ruang itu ada jika dicari. Soal masa, bukan kita menciptanya, kita mengurus..Urus dan cipta mana yang lebih sukar?


3) Saya mahu jadi orang hebat

Saya ingin jadi orang hebat. Orang hebat berfikiran positif. Orang hebat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berjaya. Orang hebat memandang malang itu sebagai ruang dan peluang. Orang hebat memandang sekelilingnya sebagai guru kehidupan.

Jika dia berjumpa dengan orang yang suka mengkritiknya. Itulah dia guru yang mengajarkan kesabaran. Jika dia berjumpa orang yang selalu menipunya. Itu guru yang mengajarkan sifat berhati-hati. Jika dia berjumpa orang yang berdengki dengannya. Itu guru yang mengajarkan supaya lebih rajin berusaha dan bertawakal.

"Hari pentauliahan ditangguhkan!" suatu khabar angin bertiup kencang.

"Alamak, tangguh lagi!" ada yang menepuk dahi.

Hari konvokesyen sudah pun berlalu. Hari pentauliahan diRaja yang masih belum.

Saya mahu jadi hebat. Lantas saya berfikir, "Tidak mengapalah, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini."

Fikir-fikir kembali, banyak sungguh impian dan kerja-kerja saya yang tertangguh belum diselesaikan lagi.

Kerja dakwah, saya masih membiarkan adik-adik junior terkontang-kanting.
Kerja ilmu dan pengalaman, bengkel blog yang saya angan-angankan belum dibuat lagi.

Saya sudah lama tidak menulis blog. Tersilap percaturan kerana senjata dalam lapangan tulisan ini telah saya hantar pulang. Senjata yang dimaksudkan adalah buku-buku rujukan. Saya dihidangkan dengan satu lagi peluang. Saya nak guna sebaik-baiknya.


MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Di hentian ini...

>> Monday, November 23, 2009

"Selamat Hari Jadi!!!" ucap Muadz kala saya menerjah pintu rumah.

Saya lantas membelek-belek jam tangan. 22.11.09.

"Ya Allah, macam mana boleh terlupa pula hari lahir ini," saya menjawab dalam keadaan terpinga-pinga.

Terima kasih.

Saya sudah berumur 23 Tahun mengikut kalender Masihi. Alhamdulillah, terima kasih di atas ucapan hari lahir di Facebook, lisan dan sebagainya. Walaupun hari lahir bukanlah sesuatu yang disambut di dalam keluarga saya, namun saya tetap menghargai sesiapa yang mengucapnya.

Sebetulnya saya baru berkonvokesyen semalam. Alhamdulillah berkat kesabaran, dapat juga saya selesaikan Sarjana Muda ini. Ada rezeki, insyaallah saya akan menyambung ke peringkat Sarjana pula.




5 Impian saya untuk tahun-tahun seterusnya:


1) Saya hendak melihat adik-adik saya berjaya baik dari segi akhlak mahupun pencapaian akedemik.

2) Berusaha untuk bekerja bersungguh-sungguh dengan niat kerana Allah.

3) Saya nak cuba panjat lagi satu anak tangga di dalam usaha dakwah. Mungkin dengan adanya kenderaan sendiri ianya akan membantu nanti.

4) Berusaha menulis buku sulung.

5) Berkahwin dalam pada usia 25/26 tahun (tiada calon..erk)

Syukran Jazakallah kepada sesiapa yang telah mencorakkan saya sehingga sekarang ini. Jutaan terima kasih buat Ibu dan Ayah, adik beradik, guru-guru, rakan-rakan yang disayangi dan semua yang mengenali diri ini.

"Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku kasihMu dan kasih-sayang yang berguna kepadaku kasihnya di sisiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang telah Engkau kurniakan kepadaku maka jadikannya tenaga kekuatan bagiku untuk melaksanakan amalan-amalan yang disukaiMu. Wahai Tuhanku, apa saja rezeki idamanku yang Engkau jauhkan dariku maka jadikanlah kekosongan itu untuk aku melaksanakan amalan yang disukaiMu." (Diriwayatkan daripada Abdullah bin Yazid al-Khatmial-Ansari di dalam Sunan al-Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w mengatakan di dalam doanya).




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
23 Nov 2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Secawan tazkirah di pagi ahad

>> Sunday, November 8, 2009

Lelaki yang berpewarakan menarik dan bertubuh tegap itu duduk dengan tenang. Dari gayanya, terserlahlah bahawa dia adalah seorang pemimpin yang disegani kaumnya. Datang atas jemputan untuk rundingan. Dihadapannya adalah seorang raja yang bakal menentukan nasib tempat pimpinannya. Tempat yang penuh rahmah dan barakah. Pada bila-bila masa sahaja tempat ini akan dilanggar oleh 1000 ekor tentera bergajah. Lalu, kata dua diberikan raja, menyerah dan diberikan ganjaran, atau melawan.

"Aku cuma mahu dikembalikan 200 ekor unta yang kau rampas daripadaku!"

Terkejut riak wajah Abrahah, apakah ini sahaja yang kata putus daripada seorang pemimpin kota Makkah. Tidak lain tidak bukan Abdul Mutallib datuk kepada Rasulullah SAW.

"Aku hanya tuan kepada unta-untaku, dan rumah itu(Baitullah) ada 'Tuan' yang akan menjaganya daripada kamu!" tegas Abdul Mutallib dengan penuh yakin.


Bumi barakah

Kisah tentera bergajah Abrahah dan tenteranya yang tewas kerana berperang dengan Allah amat sinonim dengan sirah Islam. Peristiwa ini benar-benar membuktikan bahawa Makkah adalah bumi yang sentiasa dilindungi Allah Taala dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat.

Antara nikmat yang dikurniakan Allah Taala kepada kaum Quraisy yang berada di Makkah ketika itu adalah:

1) Allah memusnahkan tentera bergajah dan mengusirnya dari Makkah sekaligus mengangkat martabat kota Makkah sebagai kota suci di mata umum. Ini membuatkan pengunjung yang datang untuk beribadah rasa selamat, aman dan tenang daripada gangguan musuh.

2) Rezeki yang melimpah ruah kerana peluang berdagang di Yaman pada musim sejuk dan Syam pada musim panas. Maka sepanjang tahun, peluang berdagang itu tetap ada dan mengembalikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

3) Nikmat keamanan serta terhindar daripada ketakutan terhadap musuh. Ini dapat menarik perhatian sekeliling dan luar kota Makkah untuk datang berniaga dan beribadat.

4) Kewujudan Baytullah itu sendiri yang merupakan rumah suci dan tiada terdapat ditempat lainnya diseluruh dunia.

Satu sahaja kesimpulan yang Allah sebutkan untuk nikmat-nikmat ini. Ianya terkandung di dalam surah Quraisy,

"Maka hendaklah mereka menyembah Allah, Tuhan bagi rumah ini."-(106:3)


Nikmat

Al-Razi menjelaskan bahawa nikmat itu ada 2 macam. Pertama, nikmat terhindar daripada kemudaratan. Dan kedua, nikmat mendapat keuntungan. Namun begitu nikmat yang pertama lebih utama sedangkan berusaha memperoleh kebaikan bukanlah sesuatu yang wajib.

Jika tidak aman, segala perkara ribut jadinya. Kucar-kacir dan tidak kemas. Tetapi jika tidak untung atau selesa, masih boleh melakukan kerja dengan baik dan kemas. Masih boleh menghasilkan keuntungan lainnya. Setuju dengan saya?

Benar, surah Quraisy ditujukan kepada kaum Quraisy. Tetapi jika diamati kita juga perlu mendapat tempias daripada keuntungan-keuntungan yang disebutkan.

"Kita harus bersyukur kerana Malaysia ini aman dan makmur.." ucap seorang pemimpin terkenal di Malaysia di pentas ucapannya.

Ya, kita mendakwa negara ini aman dan makmur. Bukankah kita seharusnya menjadi insan yang bersyukur dan menyembah Allah Taala. Dengan maksud hasil nikmat yang melimpah ruah, kita seharusnya menyembah Allah tanpa kompromi lagi.

Jangan tuding tanggungjawab Islam ini kepada negara arab sana, atau ke atas jiran tetangga. Bukankah mereka sering disibukkan dengan perang, bencana, dan pergolakan sesama saudara? Jangan kita lalai dengan nikmat ini, boleh jadi ianya ditarik balik dan diganti dengan bala.

Fikirkan sejenak...Apakah kesesengsaraan dunia yang lebih perit selain nikmat yang ditarik balik?




Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezkinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.(16:112)






MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
8 November 2009/1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Anak burung ingin terbang tinggi

>> Sunday, October 25, 2009

Padang di sebelah tadika itu menggamit nostalgia saya.

Nostalgia sakti memoir zaman kanak-kanak namanya.

Masih tidak banyak berubah fizikal padang ini, cuma yang lainnya ianya tidak semeriah dulu. Tiada lagi kanak-kanak yang sudi bermain, hairan kemana agaknya generasi selepas itu pergi. Sudah pupuskah generasi kanak-kanak di kampung ini?

Saya mengira-ngira pohon kelapa yang hidup subur di lapangan datar ini. Tanahnya walaupun sedikit beralun-alun, tetapi masih bisa dijadikan gelanggang 'budak-budak jin' bertendang. Di sinilah medan saksi bakat-bakat kami terserlah. Jika bermain layang-layang, layang-layang siapakah yang paling tinggi bergayutan.

"Kalau mahu, sehingga ke bulan ku bisa menerbangkannya," angan-anganku bersuara.

Jika bermain gasing, jangan bawa gasing yang baru dibeli di kedai to'ki dengan harga 50 sen bersama-sama. Nanti risau ada yang menangis melihat gasingnya terbelah dua tidak bernyawa.
Antara beramai-ramai mungkin Nasri yang paling handal, gasingnya berdengung nyaring. Tanda sepenuh kudrat dialihkan ke atas gasing itu kala melontar. Awas, sesiapa yang mengorbankan gasing putih melepak, pasti kotor dan berlubang hasil ketajaman paku yang menidak.

"P&@%@#!...." Terkumat-kamit mulut Ehsan berjampi serapah. Risau mungkin gasingnya menjadi mangsa kala itu.

Lalu beralih gantilah musim permainan, jika mahu bermain hoki...pelepah kelapa dibuat kayunya, bola getah menjadi bahan rebutannya.
Jika mahu bermain bola sepak, mungkin jurulatih paling handal di daerah Kinta buntu dibuatnya. Kerana masing-masing gemar menggelecek dan tidak pandai untuk menghantar bola.
Disebabkan 'kebebalan' inilah pasukan bola kampung kami sering kalah berlawan dengan kampung padang pasir. Kampung jiran yang kanak-kanaknya punya basikal berhandle virago.


Curi Ayam

Maka untuk melanjutkan kejahilan kami bahawa kerjasama tidak penting dalam pasukan bola, kami tidak langusng membahagikan pasukan. Kesemuanya mewakili diri masing-masing. Pohon-pohon subur kelapa itulah menjadi tiang golnya. Cuma tiang...tanpa palang!! Sesiapa yang menjaringkan gol melambung tinggi, ala-ala sukan rugbi pun masih boleh dikira.

Penjaga gawang bukan calang-calang. Sesiapa yang menjaringkan gol dialah yang layak menyandang posisi. Tiada garisan keluar, geleceklah sesuka hati..ke jalan raya..dalam semak-samun..kami tidak peduli. Kami menamakan permainan ini sebagai SGDK-'Siapa Gol Dia Keeper'...

Namun setiap rencana pasti ada pengkhianatnya. Penat-penat Salleh si penggelecek paling pintar berhempas pulas, Jefri hanya menunggu di hadapan gawang. Cuma perlukan sedikit tipu helah, dia merampas bola dengan mudah. Lantas menendang ala-ala Pele yang menghabiskan baki usia senja, dan gol pun tercipta. Inilah 'curi ayam' namanya. Tidak puas hati?...Tiada siapa mempertikai, kerana masing-masing bergilir-gilir mencuri ayam juga. Lembu punya susu, sapi dapat nama.

Saya termenung sebentar...Melontar pandangan di sebalik pelepah-pelepah pohon kelapa yang meliuk lintuk ditiup angin. Curi ayam begini mungkin tidak seburuk yang termaktub di dalam sejarah. Penat-penat ulama'-ulama' bangun memperjuangkan kemerdekaan negara..akhirnya golongan feudal dan pro-British dapat nama. Hasilnya, generasi sekarang tidak tahu apa erti merdeka. Tidak tahu bagaimana mahu menyambut dan beristiqomah dalam mengekalkannya...

Zaman menyaksikan berbolak-baliknya pendirian manusia...

MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
25 Oktober 2009/6 Zulkaedah 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Menuju insan taqwa

>> Sunday, September 27, 2009


Acap kali Ramadhan menjelang tiba, saya menjadi keliru-sekelirunya. Tidak leka dibuai mimpi-mimpi indah tentang lauk-pauk yang penuh di bazar ramadhan, atau undangan berbuka di hotel-hotel sekitar bandar. Perasaan saya bercampur baur, lantas satu persoalan timbul.

"Jika begini gamaknya, ternyata puasa sunat secara bersendirian itu lebih manis dan lebih indah kesudahannya."

Pengertian puasa.

Awal mula pertama mula, jika disingkap kitab hadis 40 Imam Nawawi sudah dimulai dengan perihal niat. Pentingnya niat bukan terletak pada lafaz yang perlu diulang-ulang sebelum habisnya sahur, tetap pentingnya terletak pada ketetapan dan bagaimana kita tercapainya maksud dan tujuan ibadah ini pada pengakhirannya.

Jika niat awal untuk diet, ternyata dialah orang yang paling banyak 'melantak' ketika berbuka.
Jika niat kerana untuk merasai kesengseraan orang fakir miskin, maka fikirkanlah jua fakir miskin itu berbuka dengan apa?
Jika niat kerana adat dan budaya. Maaf Islam itu bukan agama budaya.
Jika niat kerana mahu meraikan kemeriahan berbuka dan berterawih bersama, silap-silap dialah orang yang hadir terawih hanya di awal Ramadhan bermula.
Jika hanya untuk mengejar fadhilat, ketahuilah amalan tanpa diketahui fadhilatnya lebih adil dan membuatkan kita kuat untuk ikhlas beribadah.

Semua niat-niat ini perlu ditulenkan semula dengan satu niat dan azam. Puasa itu untuk menundukkan nafsu yang paling buas di dalam diri, lantas dapat mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla.
Jika ini benar-benar berlaku, maka tepatlah surah Al-Baqarah ayat 183 yang memetik suruhan berpuasa dan mudah-mudahan kita menjadi hamba bertakwa.

Berbuka puasa atau berbuka nafsu?

Inilah yang tidak berapa menggembirakan saya. Jika di kampus saya lebih selesa untuk berbuka di masjid bersama ahli-ahli jemaah. Maka kurma dan air mineral seadanya lantas terus mendirikan solat Maghrib berjemaah. Saat itulah saya dapat merasakan kenikmatan ibadah akibat nafsu yang benar-benar diikat. Terasa ukhwah yang amat erat antara jemaah kerana pastinya tidak ramai yang sanggup berbuka begini setiap hari mengenangkan hidangan di rumah lebih enak dan menyelerakan.

Usai solat berjemaah, kami akan makan nasi dan lauk bertalam. Sesiapa yang pernah merasai makan bertalam anda dapat memahami betapa seronoknya pengalaman ini. Jika belum, mulakanlah di rumah anda. Selepas makan bertalam, terus bersiap-siap untuk bertadarus sampai menjelang isyak dan berterawih bersama.

Rutin berbuka seperti ini amat bermakna kepada saya untuk mencapai keutamaan berpuasa.

Tetapi rutin awal bekerja saya terpaksa mengikut arus buat sementara waktu. Bukan apa, tidak mahu dipandang serong pada awalnya. Maka saya menurut jika diajak berbuka di hotel-hotel atau paling tidak berbuka dengan hidangan penuh satu meja. Ternyata situasi ini tidak berapa menggembirakan saya.

Jika solat itu penghubung antara hati dengan Allah Taala, zakat untuk pembersihan harta, haji pengikat ukhwah sedunia, jangan persia-siakan peluang untuk menundukkan nafsu amarah yang ada. Kunci kekhusyukan ibadah terletak di sini.


MS Rizal,
32100, Lumut,
28 September 2009/29 Syawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP