Menulislah wahai kawan...

>> Wednesday, March 25, 2009

Perbualan di dewan makan.

"Macam mana nak istiqamah dalam menulis?" seorang sahabat bertanya.

Saya terdiam seketika, adakah soalan ini ditanya kepada saya kerana melihat kekerapan saya mengemaskini blog ini? Jika begitu, saya bukanlah orang yang layak untuk mengulas. Malah kalau melihat kepada statistik kunjungan blog ini, tidaklah berapa meriah pun. Dengan purata pengunjung sekitar 20 orang sehari atau kurang daripada itu, ianya bolehlah dikategorikan sebagai blog yang suam-suam kuku. Tetapi sebenarnya, bukan jumlah mad'u yang saya perlu kejar, sebaliknya adalah usaha yang sedikit tetapi berterusan.

"Kamu kena banyak membaca!" ujar saya kepada sahabat tersebut.


Saya dan penulisan.

Saya bukanlah orang yang hebat di dalam menulis. Jauh sekali untuk berbangga dengan tulisan yang sedia ada. Tulisan saya tidak pernah dikomersialkan kecuali hanya sekali artikel yang saya kirim disiarkan di dalam Majalah i keluaran Mei 2006 bertajuk 'Nasyid oh Nasyid'. Itupun di dalam ruangan surat pembaca.

Saya juga tidak banyak kenangan manis di dalam penulisan bahasa Melayu, kecuali pernah mendapat hadiah penulisan terbaik semasa darjah 4. Itupun ketika itu, saya tidak tahu kenapa saya layak mendapat hadiah tersebut. Tidak pula saya ingat berapa markah karangan dan tidak pula saya membandingkannya dengan rakan. Semasa tingkatan 3 saya pernah mendapat gred C untuk percubaan PMR kerana 'isi karangan yang sesat tak jumpa sasaran'(lari tajuklah). Untuk SPM saya hanya berpuas hati di gred A2 sahaja untuk bahasa Melayu. Bukankah saya ini biasa-biasa sahaja?

Namun, fakta di atas bukanlah ukuran untuk saya berhenti menulis setakat SPM sahaja.


Untuk pejuang agama, belajarlah menulis...


"Ikhwah-ikhwah sekarang pun kena ada blog," saran akh Fadzil sewaktu ketika dahulu.

Benar kata akh Fadzil, saya melihat menulis blog ini adalah salah satu platform untuk mengasah bakat kita menulis. Sebelum sasaran kita seterusnya iaitu menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang tertera nama pemberian ibu dan ayah kita. Besar manfaatnya, saham pelaburan sebelum tutup mata.

Tidakkah Allah SWT bersumpah, "Nun..wal qalami wama yasturun.." yakni, "Demi pena, dan demi apa yang dituliskan.."

Perlu diingat di dalam Al-Quran Allah SWT tidak pernah bersumpah dengan benda yang remeh temeh. Allah SWT bersumpah dengan perkara yang hebat-hebat belaka. Demi matahari, demi bulan, demi masa, demi bintang, demi malam dan demi waktu dhuha. Ini bermakna pena juga punya nilaian kehebatannya. Kalau tidak, tidak berbunyilah perumpamaan, 'mata pena yang lebih tajam daripada mata pedang'.

Cuba kita mengandaikan, apa jadi sekiranya Saidina Abu Bakr tidak merestui permintaan Umar al-Khattab untuk menghimpunkan Al-Quran? Juga apa yang terjadi jika imam-imam Mazhab dan para cendiakawan hanya menzahirkan ilmunya melalui bahasa lisan bukannya bahasa tulisan? Untuk memberikan ilmu satu jangkamasa hayat yang panjang, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengilhamkan perantara pena dan juga tulisan.


Kita dan penulisan.


Jika anda hebat berpidato ala-ala Sukarno, maka ketahuilah ucapan anda itu hanya berlegar-legar di kalangan hadirin sahaja. Tetapi jika anda hebat menulis ala-la Dr Aidh' Abdullah Al-Qarni, percayalah banyak kertas dan skrin monitor yang rela menjadi medium untuk orang ramai membacanya.

Lihatlah betapa hebatnya kesan penulisan. Kalau tidak masakan terheretnya Syed Qutb ke tali gantung kerana pemerintah yang tidak sanggup menahan ketajaman buah penanya!

Andai peperangan itu memerlukan banyak pedang-pedang sebagai tunjang serangan dan pertahanan. Ketahuilah peperangan pemikiran hari ini memerlukan lebih banyak mata pena sebagai benteng pertahanan.

Kalau anda tiada bakat mengapa tidak mahu mengasahnya? Kalau punya bakat mengapa tidak mula menulis? Kalau sudah menulis kenapa tidak berusaha membetulkan ejaan dan tatabahasa mengikut disiplin yang sepatutnya? Jika sudah berdisiplin mengapa tidak menulis untuk manfaat islam keseluruhannya? Dan jika tidak punya tempat selesa, sedarlah bahawa Ibnu Sina, Syed Qutb dan Hamka sendiri menulis karya hebat zaman mereka di dalam penjara.

Kepada mereka yang sudah bergelar penulis, syabas sejambak mawar, seharum kasturi diucapkan! Sebarkan karya anda, saya mahu menjadi peminatnya..



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
25 March 2009/28 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Nikmat kesihatan

>> Monday, March 23, 2009

Beberapa hari yang lepas saya bertandang ke HUKM untuk melawat ibu sahabat saya yang baru selesai menjalani pembedahan jantung. Sememangnya, melawat orang sakit adalah satu perkara yang dituntut di dalam Islam. Ianya merupakan fardu kifayah menurut kebanyakan ulama'.

Sepertimana sabda Nabi SAW:

“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin” [Hadith Riwayat Ahmad , al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud].


Dan antara fadhilatnya:

“Apabila seorang Islam melawat saudaranya yang sakit, dia sebenarnya telah melabur buah-buahan syurga sehingga dia kembali” [Hadith Riwayat Muslim ].


Alhamdulillah, keadaan ibu kawan saya ini nampak stabil. Perlahan-lahan saya berdoa di dalam hati supaya Allah menyembuhkannya dan mengurniakannya banyak-banyak pahala atas musibah ini.

Ibrah

Melawat orang sakit, sememangnya menghadirkan keinsafan bahawa bila-bila masa sahaja saya akan menjadi penumpang di tempat seperti ini. Nikmat kesihatan yang Allah beri cukup bernilai sebenarnya. Biar kaya, rumah besar, kereta mewah, makanan lazat-lazat, isteri cantik atau apa-apa sahaja. Semuanya itu tidak menghadirkan kebahagian jika kesihatan sering terganggu.

Malang sungguh anak muda yang punya kekuatan fizikal dan akal yang masih waras tetapi hidup hanya membuang masa sahaja. Pening melihat tingkah laku remaja yang menghadapi krisis indentiti dan silap menyalurkan semangat perjuangan. Orang seperti ini adalah orang yang tidak pernah menghargai nikmat kesihatan yang diberi.

"Nak buat apa dengan mereka ini?" tanya akh Azraai.

"Kita tangkap, ikat dan jadikan papan target latihan menembak...." Jawab saya geram bernada sinis.


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
23 March 2009/26 Rabiulawal 1430H
Home
Continue Reading...

Read more...

Mantapkan kedua kakimu untuk melangkah

>> Friday, March 20, 2009

Permulaan persengketaan bermula dari balas-berbalas penghujahan. Andai mengalah diri sendiri yang akan lelah. Andai tidak, terpaksalah kedua-dua pihak menanggung padah.

Fikiran saya ligat berfikir ketika berjalan kaki untuk pulang ke blok penginapan.

"Apa yang membuatkan hati aku tidak tenteram?" Saya bermonolog sambil melemparkan pandangan jauh melepasi batu-batu kerikil yang bersepah di jalanan.

Saya dikritik!

Ringkasnya, seorang rakan melemparkan kata-kata sindiran kepada saya seusai kelas. Saya tahu apa yang menyebabkan ianya berlaku. Mungkin atas kedaifan diri saya yang adakalanya cuai di dalam melaksanakan tugas. Walaupun berpura-pura tenang. Tetapi sebenarnya hati saya terhiris.

"La Tahzan, jangan bersedih" saya menasihati diri sendiri.

Benar! Andai rakan itu parameter terbaik sebagai cerminan diri. Maka inilah hakikat yang saya perlu telan. Saya adakalanya hanyut dalam buaian pujian. Sememangnya itu bukan hal yang pelik kerana hakikat lelaki memang suka dipuji. Tetapi betapa binasanya saya jika saya tidak mengembalikan segala pujian itu kepada Allah Azzawajalla. Lantas apabila dikritik hati saya menjadi pedas, diramas-ramas ianya boleh sekasar ketulan tawas.


Aku ingin sekali membuang tabiat marah


Pernahkah kita mengambil pengajaran daripada sebatang pokok? Hebatnya ia! Orang ramai berusaha melemparnya dengan batu, namun ajaibnya ia membalasnya dengan buah!

Beberapa tips yang saya ambil dan gengam buat penyejuk serelung hati;

1) Jangan sesekali membalas cercaan atau cemuhan yang melukai anda. Kerana kesabaranmu dalam menghadapi semuanya itulah yang menguburkan kehinaan. Kesabaran adalah sebab mulianya orang soleh, diam adalah penyebab musuh dikalahkan, dan memaafkan adalah semulia usaha untuk mendapatkan redho dan juga pahala.

2) Orang yang mengkritik bukan tentu dia adalah ahli neraka, dan kita bukan tentu menjadi ahli syurga. Jika takdir berlaku sebaliknya bukankah rendahnya martabat kita untuk membalas dendam kepada ahli syurga?

3) Ketahuilah bahawa separuh dari orang yang pernah mengkritik anda telah melupakan kritikan mereka. Satu pertiga tidak sedar apa yang pernah mereka lontarkan dan selebihnya tidak mengetahui sebab mengapa mereka mengkritik anda. Sebab itu biarkanlah, jangan sesekali masukkan ianya ke dalam hati dan jangan pula berusaha untuk membalasnya.

4) Sedarlah bahawa kita tidak pernah tenteram dari kritikan. Kerana ia adalah salah satu daripada warna hidup ini. Biarpun anda berjaya mencapai puncak langit kemulian maka musuh-musuhnya adalah bintang-bintang di langit kedengkian. Ia akan dibaling dengan busur-busur atas semua kebesarannya sekalipun apa yang mereka lakukan tidak akan sampai ke sasaran.

;

Benar apa yang dikatakan oleh seorang sahabat saya, "Hidup ini seperti lampu isyarat. Bukan semua yang menyukainya, kadang-kadang orang ikut dan kadang-kadang orang main langgar sahaja!"

Demi perjuangan hidup, redah sahajalah...
Sekurang-kurangnya kritikan boleh menetapkan dimana sebenarnya tahap saya berada.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
20 Mac 2009/23 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Diari dua hari Ahad

>> Monday, March 16, 2009

Hari Ahad: 8 Mac 2009

Saya menggapai selipar untuk berjalan menghirup udara segar di luar Surau Al-Ansar, Keramat. Burung-burung berkicau sebagai peneman pagi. Sibuk tanya bertanya barang kali, kemana tujuan dikibarkan sayap untuk mencari rezeki. Berkatnya rezeki si burung.

Saya berada di Surau ini bermula dari petang Sabtu(7 Mac) dan pulang seusai Zohor berjemaah. Kerana di sini berlangsungnya program Malam Amal Bina Taqwa(MABIT). Tentunya tiada kata lain, yang saya dapat gambarkan melainkan, SERONOK! Alhamdulillah....


Program yang diwarnai dengan taaruf , makan bertalam, tazkirah, tazkiyatun nafs, halaqah, tilawah jamaei, zikr ma'thurat, daurah, riadah dan acara kemucak adalah qiyamulaill. Gembira saya dapat berkenalan dengan ramai ikhwah-ikhwah yang datang dari sekitar Universiti Lembah Klang. Terima kasih kepada 3 orang ikhwah yang bergilir-gilir mengimami Qiam pada pagi itu. Bacaan surah at-Taubah penyeri setiap rakaat cukup mengasyikkan. Ditambah dengan maksud ayat yang dapat difahami, kerana kami telah tadabbur terlebih dahulu.

Kesimpulan program: Alhamdulillah, program ini berjaya menjadi booster melonjakkan iman. Cayalah Rizal!


Sebahagian ikhwah yang turut serta
Aktiviti riadah pada pagi itu, bermain bola sepak. Dah lama tak main bola secara berkaki ayam.

Hari Ahad: 15 Mac 2009

Platun bergerak di dalam ketumbukan barisan menuju ke lapangan sasar, Kem Sungai Besi. Latihan menembak terpaksa ditunda ke pagi Ahad ini kerana rahmat hujan lebat mencurah-curah pada petang Sabtunya(14 Mac). Sebahagian senior-senior(Pegawai Kadet 'Lapok') meneruskan semangat juang untuk memetik picu Styer AUG menembak tepat ke sasaran. Saya merenung jauh-jauh ke papan target yang terbentang di hadapan mata. Jarak tembakan 100 meter dalam keadaan meniarap bukan sesuatu yang tidak biasa. Formula matematika apakah yang sesuai digunakan dikala ini? (Ayat poyo!)

Bang!!!

Saya melepaskan satu persatu tembakan sambil mengawal nafas turun naik. Alhamdulillah hasilnya memuaskan. 10 butir peluru ditembak. 1 tepat ke Bold. 8 persis menghampiri Bold dan satu sasaran agak terkeluar. Tetapi yang penting tiada peluru dibazirkan. Teorinya, ini tembakan satu peluru untuk satu musuh!

Cayalah lagi, Rizal!

Ini mungkin peluang terakhir saya menembak di padang sasar Kem Sungai Besi ini dengan status selaku Pegawai Kadet Siswa. InsyaAllah jika ada rezeki, barakah, kesihatan dan umur yang sedikit panjang, saya akan menjejakkan kaki di sini lagi. Tetapi mungkin dalam keadaan,suasana dan uniform yang berbeza. Alah bisa tegal biasa!


Pegawai Kadet 'Lapok'(hampir 5 tahun jadi Kadet), dari kiri: Penulis, Muadz, Amir, Afendi, Khamdy, Ashraf dan Norizam





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
16 Mac 2009/19 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Khutbah Jumaat: Nabi Muhammad SAW Rahmatan Lil Alamin

>> Thursday, March 12, 2009


Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

“Nabi Muhammad SAW Pembawa Rahmat Dimusuhi Manusia Hasad”
(13 Mac 2009 / 16 Rabiul Awal 1430)
------------------------------------------------------------------------------------------------

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Mimbar menyeru kepada kaum muslimin sekalian supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kita mati melainkan di dalam Islam.

Sidang Jumaat,

Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah. Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada apa yang Allah kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya. Awas, kepada pencinta dunia! Sesungguhnya dunia ini tidak membenarkan kamu berlama-lama bertamu di dalamnya. Kelak di suatu masa, saat kematian pasti tiba. Ketika itulah kita akan ditunjukkan jalan keluar dari dunia ini, menuju ke negeri Akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah Taala,

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?(Al-An’am:32)


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Semenjak hari awal Islam diisytiharkan oleh Rasulullah SAW, cubaan dan dugaan datang silih berganti dan tidak kunjung reda. Dendam berterusan pihak kuffar terus ditujukan ke atas Rasulullah SAW tanpa sebab mahupun alasan. Islam diberi promosi buruk, Rasulullah ditempel sebagai lelaki yang teruk. Tektik keji ala ‘Zaman kegelapan Eropah’ terus dimainkan oleh pihak kuffar ini. Rasulullah SAW digelar sebagai Nabi palsu yang mahu menguasai negara arab dan demi melayan hawa nafsu. Kisah poligami Rasulullah SAW diperbesarkan, walhal hakikatnya ketika itu kaum wanita dilayan begitu teruk di Eropah.

Lebih aneh lagi, ada yang mereka cerita bahawa Rasulullah SAW pernah bercita-cita mahu menyandang jawatan Pope iaitu kuasa paling tinggi dalam institusi gereja. Kerana gagal, Rasulullah SAW memindahkan pengikutnya ke Syria. Inilah karya aneh yang ditulis oleh Wiliam Langland pada abad ke-14 dahulu. Dakyah aneh musuh-musuh Islam ini berterusan hingga ke abad ini, senjata yang paling ampuh digunakan adalah wasilah propaganda dan media massa. Inilah yang terpancar melalui akhbar Jyllen Posten Denmark menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW. Juga kata-kata provokasi daripada Pope Benedict ke-16. Dan yang terbaru syarikat filem Denmark yang menayangkan filem Fitna untuk menghina Islam dan baginda SAW.

Walaubagaimanapun, seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Agama ini tetap akan terbela sehingga ke hari Kiamat. Sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah as-Saff ayat 8 dan 9;


“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.”

Sidang Jumaat yang Di rahmati Allah,

Reaksi provokasi ini muncul disebabkan realiti yang tidak dapat diterima oleh mereka, iaitu fanomena kebangkitan Islam di bumi Amerika dan Eropah secara drastik. Islam diiktiraf sebagai “The Fastest Growing Religion”. Majalah Economist pada bulan Jun 2006 pernah membuat liputan mengenai fanomena Islam di Eropah. Kebanyakan laporan menyorot potensi Islam menjadi agama utama di kota-kota besar Eropah menjelang tahun 2050. Hal ini amat menakutkan golongan seperti Pope Benedict dan musuh lainnya. Kerana itu mereka berusaha memburukkan Islam melalui kempen ‘Islamophobia’.

Tetapi di dalam menangani isu ini, Dr Yusuf al-Qaradawi dan ulama lain di Qatar melancarkan satu kempen supaya masyarakat dunia mengenali Nabi Muhammad SAW. Kempen ini dinamakan “Rahmatan lil Alamin.” Ini seiring dengan firman Allah SWT :


“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya’:107).

Kempen ini telah dirasmikan di ibu kota Qatar, Doha. Al-Qaradawi menggesa umat Islam agar menjadi ejen mempromosikan Rasulullah SAW yang dikenali sebagai sebagai pencinta kedamaian, kemanusian dan juga individu luar biasa yang agung ini kepada Barat yang rata-ratanya jahil tentang Islam.
Apa yang menariknya, Yusuf Al-Qaradawi telah mendedahkan bahawa paderi-paderi Kristian pernah berhimpun di wilayah Colarado, US untuk mengumpul dana demi menjayakan kempen mengkristiankan umat Islam sedunia. Di dalam perjumpaan tersebut, para Paderi berkenaan telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak 100 juta Dollar AS di dalam hanya satu malam sahaja.

Ya Ayyuhal Ikhwan,

Lihatlah betapa musuh-musuh agama ini tidak pernah berhenti untuk memalingkan keimanan dari tubuh-tubuh pemiliknya. Justeru adakah berpadanan untuk kita hanya memeluk tubuh sahaja sambil membiarkan agama ini di siat-siat dari luar dan dalam? Adakah seruan dakwah kepada Islam hari ini perlu dihentikan atau dibiarkan kepada golongan ustaz sahaja? Sedarlah kita semuanya bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak patut jika kita hanya menganggap dengan menunaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan naik haji sahaja kita sudah terlepas daripada pertanggungjawaban. Jika kita berfikiran begitu, kita hanya layak digelar ahli ibadah yang bermain-main. Ingatlah kita dilahirkan di zaman ini untuk menyelesaikan masalah pada zaman ini!

Tanamkanlah cinta sedalamnya kepada baginda SAW dengan mencontohi akhlak, ibadah dan sunnah baginda. Berselawatlah selalu ke atas baginda kerana bukti orang yang mencintai seseorang, ialah sering menyebut-nyebut namanya.

Lihatlah betapa cintanya Bilal bin Rabbah kepada Baginda SAW. Selepas wafatnya baginda, beliau menolak untuk menjadi muazzin kepada mana-mana khalifah pun kerana khuatir dirinya tidak dapat membendung rasa rindu mengenangkan saat bersama baginda. Beliau akhirnya berhijrah ke Syam untuk berjihad mengikuti jejak langkah hampir ¾ sahabat Nabi, meninggalkan Madinah untuk menyebarkan Islam.
Setelah sekalian lama berada di kota Damascus, Bilal didatangi Rasulullah SAW di dalam mimpi, “Wahai Bilal, apakah yang menahanmu? Sudah lama engkau tidak datang menjengukku.” Lalu Bilal pun bergegas menziarahi Madinah. Di Madinah, Bilal dipujuk oleh cucunda baginda yakni Saidina Hassan dan Hussein untuk melaungkan azan. Bilal akhirnya bersetuju. Apabila kedengaran suara emas bilal, sayup-sayup Madinah berdengung dengan ratapan dan tangisan. Orang ramai menjenguk melalui tingkap dan keluar dari rumah menuju ke jalanan. Sambil menahan rasa rindu kepada Rasulullah SAW, mereka bertanya, “Adakah Rasulullah SAW telah dihidupkan semula?” Ada pula yang berbisik dengan linangan air mata, “Marhaban ya Rasulullah, Marhaban ya Rasulullah.” AllahummaSolli ala Muhammad.

Sidang Jumaat sekalian,

Untuk merasai betapa bernilainya pengorbanan baginda hendaklah kita mempelajari dan memahami sirah Nabawiyyah dengan sebetulnya. Janganlah sirah ini dibaca hanya pada Maulid Nabi sahaja. Kelak ianya tidak lebih sekadar cerita rakyat yang didendangkan oleh kebanyakan penglipur lara. Inilah silap sebahagian kita, lalu generasi yang lahir seterusnya menjadi buta akan sirah, memandang sirah setaraf dengan hikayat Malim Deman.

Sirah hendaklah dibaca dengan iltizam bahawa adanya tuntutan untuk kita mengembangkan dakwah dan pemahaman Islam kepada manusia sejagat walau apapun risiko dan kerugian yang bakal ditanggung. Jika Yusuf Qaradawi berkempen untuk Eropah, maka kita di Malaysia perlu lebih bersifat pro-aktif. Tidak sedikit golongan bukan Islam di negara ini yang bersangka buruk kepada Islam. Tanggungjawab kita untuk memberikan mereka ruang mendapat maklumat shohih mengenai Rasulullah SAW dan Islam. Ini semua hanya kerana demi menuju keredhoan Allah Taala dan demi mengharapkan balasan Syurga.

Firman Allah Azzawajalla;



“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah 214)


------------------------------------------------------------------------------------------------

Penulis: P KDT KKMS Mohd Shah Rizal Bin Samsudin(Intake 2004-4 SZE/Tuah)

Khatib: P KDT Muhammad Nur Ariffin Bin Rahmat (Intake 2005-3 SZB/Kasturi)

-Sesungguhnya mimbar Jumaat ini adalah mimbar Nabi Muhammad SAW. Para Khatib mewarisinya, jangan persia-siakan amanah tersebut!-

Rujukan:

(1) Al-Quran Digital Versi 2.1
(2) Perjuangan Hidup (http://msrizal.blogspot.com/)
(3) Majalah i, Mac 2007 : Kempen Muhammad Rahmatan Lil ‘Alamin, Ustaz Maszlee Malik.
(4) Majalah Milenia Muslim, Mac 2009: Salah Faham terhadap Islam, Mohammad Kamal Bin Kamaruddin.
(5) Hazrat Bilal Two Special Services (http://www.geocities.com/islamicfolder/Masoomeens/bilal.htm)
(6) http://en.wikipedia.org/wiki/Bilal_ibn_Ribah
(7) Al-Muntholaq/Langkah Bermula, Muhammad Ahmad ar-Rashid: Ahli Ibadah yang Bermain-main.


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
12 Mac 2009/16 Rabiulawal 1430H,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Allah mengilhamkan sumber kefasikan dan ketaqwaan

>> Saturday, March 7, 2009

Bagaimana mahu menghadirkan jiwa yang mandam kepada zat Allah Taala?

Mungkin salah satu caranya dengan mendongak langit melihat kebesaran Allah Taala. Lihatlah kebesaran yang terbentang luas di hadapan mata ini. Ini semua adalah 'ayat' kebesaran Allah Taala.



Di dalam Al-Quran, perkataan 'ayat' digunakan sebagai menunjukkan makna mukjizat yang diberikan Allah kepada Nabi dan Rasul. Ini sebagai bukti kepada risalah kebenaran yang dibawa mereka. Lihatlah penggunaan perkataan 'ayat' ini bagi menunjukkan mukjizat;



Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik." An-Naml, 12

Perkataan 'ayat' juga digunakan untuk merujuk kepada tanda-tanda kebesaran Allah.


Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (Al-Imraan 190)

Signifikannya kaitan ini adalah apabila kita membaca Al-Quran yang juga merupakan salah satu mukjizat besar yang diberikan kepada umat ini. Kita juga disaran untuk turut merenung satu lagi 'ayat' iaitu alam ini. Ringkasnya apabila mula membaca Al-Quran lihatlah juga alam. Peredaran bumi, malam dan siang semuanya itu merupakan tanda-tanda kebesaran Allah yang Maha Hebat.

Merenung alam membuatkan kita rasa kerdil dan murba. Semuanya ini adalah nikmat gratis yang diberikan kepada kita. Maha suci Allah tidaklah engkau jadikan ini dengan sia-sia.


Demi Matahari,
dan sinarnya di pagi hari.
Demi Bulan apabila ia mengiringi,
Demi siang hari
bila menampakkan dirinya,
Demi malam apabila ia menutupi.
Demi langit beserta seluruh binaanya,
Demi bumi serta yang ada dihamparannya,
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya,

Allah mengilhamkan
sumber kefasikan dan ketaqwaan,
Beruntung bagi yang mensucikannya
Merugi bagi yang mengotorinya
(Surah As-Syams(matahari): 1-10)





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
07 Mac 2009/10 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Ingatlah walau di mana jua akan kedahsyatannya!

>> Thursday, March 5, 2009

3 sifat neraka yang perlu manusia ingat dan gerun mendengarnya;

*Ianya naik menjulang hingga ke hati.
* Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat kepada penghuninya.
* Sedang penghuninya diikat pada tiang yang panjang.



1) Ianya naik menjulang hingga ke hati.

Hati cukup signifikan dengan kehalusan perasaan manusia kerana disitulah bersarangnya iman atau kufur, akhlak baik atau buruk, mulia atau hinanya manusia. Justeru cukup halus pengertian api neraka yang menjulang sehingga ke hati. Kengerian yang tidak tergambar oleh kata-kata.

2) Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat kepada penghuninya.

Pintu neraka ditutup rapat. Sedangkan neraka tidak punya jendela. Neraka itu akan menutupi rapat penghuninya. Setiap kali penghuninya mahu keluar lantas akan dikembalikan kepadanya.

3) Sedang penghuninya diikat pada tiang yang panjang.

Neraka terdiri daripada palang-palang panjang melintang yang mempunyai pengikat yang kukuh. Muqatil berkata: "Pintu-pintu neraka ditutup rapat terhadap mereka(penghuninya), ia diperkuatkan dengan pasak-pasak besi. Pintu tersebut tidak akan dibuka, hatta angin tidak dapat memasukinya.

Inilah gambaran Al-Hutamah. Hasil tadabbur surah al-Humazah. Peringatan besar buat si pencela dan pengumpul harta(yang sombong dan kikir atau kedekut).


Beringat, ghibah(mengumpat) itu hukumnya tercela!


Pening daku pening. Duduk berkumpul itu bagus, namun selingannya itu tidak bagus. Mudah sahaja nama seseorang itu dibangkit buat modal diskusi. Sedap memang sedap, siapa bilang mengumpat itu tidak sedap? Huh, berpadalah mengata orang. Kerana diri mungkin tak sebagus apa yang kita sangka.

Apakah orang lain memandang kita cukup bagus sepertimana yang kita sangka?

"Aku tak buat apa, aku cuma duduk mendengar sahaja!"

Bahaya!

Mendengar sesuatu diskusi memburuk-burukkan orang lain akan membuatkan kita terjerat untuk menilainya buruk. Secara tidak langsung kita membenci seseorang tanpa sebab yang adil. Apa perasaannya jika terkena balik pada diri kita. Malangnya saya seringkali berada di dalam situasi ini. Istighfar....

"Eh, kau tahu tak Salmah! Si Roziah itu tadi mengata engkau!"

Jahat!

Kita memang jahat jika pernah berbuat begini. Melaporkan percakapan Roziah kepada Salmah, dengan niat untuk sengaja membiarkan Salmah sakit hati dengan Roziah. Walhal jika ditutup, Salmah tidak tahu dan tiada siapa yang akan terganggu. Tutup aib orang lain, insyaAllah aib kita akan ditutup di akhirat kelak.

Peningnya daku dengan karenah mulut manusia...
Bukankah kerananya sahaja sudah cukup untuk kita terhumban ke dalam neraka? Nauzubillahhiminzalik...

Ibnu Mas'ud pernah berkata:

"Kami pernah berada di tempat Nabi s.a.w., tiba-tiba ada seorang laki-laki berdiri meninggalkan majlis, kemudian ada seorang laki-laki lain mengumpatnya sesudah dia tidak ada, maka kata Nabi kepada laki-laki ini: Berselilitlah kamu! Orang tersebut bertanya: Mengapa saya harus berselilit sedangkan saya tidak makan daging? Maka kata Nabi: Sesungguhnya engkau telah makan daging saudaramu." (Riwayat Thabarani dan rawi-rawinya Bukhari)


Satu iklan popular yang baik untuk tontonan;





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
6 Mac 2009/9 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bisakah burung terbang lebih tinggi?

>> Tuesday, March 3, 2009


Lihat nun jauh di sana, burung-burung terbang riang...

Dush!!!

Satu daripadanya terlanggar dinding kaca.
Tidak khusyuk rawatib saya dibuatnya memikirkan lawak spontan rakan saya seusai solat zuhur berjemaah di salah sebuah masjid di Selangor. Bagaimana dia boleh terlanggar dinding kaca, tergelak pak cik-pak cik yang sedang sibuk bersalam-salaman.

Jangan tersilap percaturan di dalam mengatur langkah. Jalan itu mungkin terang lagi bersuluh, tetapi mungkin ada halangan yang mengintai di luar pengetahuan kita. Kita merancang, Allah yang menentukan...

Semester terakhir ini masih berbaki 5 minggu, selamatkah daku???


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
3 Mac 2009/17 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/ Continue Reading...

Read more...

Bertemu cikgu Mohd Isa

Perjalanan pulang dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada hari Isnin 2 Mac 2009 jam 1530.

Saya membuat keputusan untuk pulang awal sehari walaupun cuti MC saya tamat keesokan harinya. Tidak sanggup saya meninggalkan bilik kuliah hanya untuk melayan demam campak 'malu-malu'(kerana tanda ruam tak kelihatan sangat).

Bas mini berwarna hitam putih yang sarat dengan penumpang berhenti di bahu jalan. Dari perut bas inilah saya keluar dengan perasaan bercampur baur. Malas dan gembira. Telan sahaja perasaan itu, saya mengagahkan diri melintas jalan menuju ke Terminal Bas Medan Gopeng.

Saya mengambil tiket Plusliner, bernombor seat 2D.

"Harap-harap bukan di duduk di sebelah wanita," hati saya bermonolog sambil saya mencari-cari tempat yang sesuai.

Pertemuan yang tidak disangka

Saya gembira kerana kelihatan seorang pak cik yang bakal menjadi teman seperjalanan saya. Tetapi, apa yang mengejutkan pak cik itu adalah seorang yang saya amat kenali. Pak cik itu juga menunjukkan respons kaget apabila melihat saya.

"Ya Allah, Cikgu Isa ke ini?" saya menunjukkan reaksi terkejut, satu kebetulan yang sukar dipercayai.

Lantas saya mencapai tangannya, terasa ingin memeluk insan ini yang merupakan antara watak utama kepada hijrah hidup saya. Saya hampir tidak mengenalinya kerana sekarang dia sudah berkopiah putih serta berjanggut. Tidak lagi bermisai seperti dahulu. Baru balik haji tahun lepas khabarnya.

"So, macam mana sekarang? Girlfriend orang mana?" cikgu Isa bermukadimah, soalannya yang kedua itu seperti mahu menguji.

"Mana ada girlfriend cikgu, saya pegang nasihat cikgu dahulu." Saya menjawab ringkas sambil tersenyum malu, alhamdulillah cikgu bukan individu terakhir yang menasihatkan saya supaya menjauhi couple di bangku Universiti.

Perjalanan kami ke Kuala Lumpur petang itu di penuhi dengan saling bertukar-tukar soalan dan pandangan. Saya cukup gembira. Kami tiba di perhentian puduraya, sebelum sama-sama bersolat asar qasar dengan dia menjadi imam. Saat berpisah, saya sempat memeluknya menandakan perasaan rindu yang teramat sangat. Terima kasih cikgu!

Oh ya, siapa cikgu Isa?
Beliau adalah cikgu dan juga warden yang saya amat anti sewaktu di asrama sekolah dahulu. Saya tidak menyukainya kerana dipaksa bangun awal untuk subuh berjemaah. Juga saya sering dihambat untuk turun prep awal. Dia tidak memukul tetapi gemar menggunakan pendekatan psikologi. Saya antara anak murid yang degil ketika itu, tentunya saya banyak menentangnya dari belakang. Namun, ajaibnya saya menurut sahaja segala nasihatnya. Kerana saya tahu semuanya itu akhirnya bakal membuahkan kebaikan. Saya kutip tips-tips belajarnya, kerana saya tahu itu azimat berguna. Sekarang, dalam keadaan matang untuk berfikir saya menyedari betapa bernilainya pengorbanannnya dalam mendidik dan merubah anak bangsa walau tindakannya bukan tindakan popular.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana menemukan insan pendidik seperti ini di dalam diari hidup saya.


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
3 Mac 2009/6 Rabiulawal 1430H
Home
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP