Menuju insan taqwa

>> Sunday, September 27, 2009


Acap kali Ramadhan menjelang tiba, saya menjadi keliru-sekelirunya. Tidak leka dibuai mimpi-mimpi indah tentang lauk-pauk yang penuh di bazar ramadhan, atau undangan berbuka di hotel-hotel sekitar bandar. Perasaan saya bercampur baur, lantas satu persoalan timbul.

"Jika begini gamaknya, ternyata puasa sunat secara bersendirian itu lebih manis dan lebih indah kesudahannya."

Pengertian puasa.

Awal mula pertama mula, jika disingkap kitab hadis 40 Imam Nawawi sudah dimulai dengan perihal niat. Pentingnya niat bukan terletak pada lafaz yang perlu diulang-ulang sebelum habisnya sahur, tetap pentingnya terletak pada ketetapan dan bagaimana kita tercapainya maksud dan tujuan ibadah ini pada pengakhirannya.

Jika niat awal untuk diet, ternyata dialah orang yang paling banyak 'melantak' ketika berbuka.
Jika niat kerana untuk merasai kesengseraan orang fakir miskin, maka fikirkanlah jua fakir miskin itu berbuka dengan apa?
Jika niat kerana adat dan budaya. Maaf Islam itu bukan agama budaya.
Jika niat kerana mahu meraikan kemeriahan berbuka dan berterawih bersama, silap-silap dialah orang yang hadir terawih hanya di awal Ramadhan bermula.
Jika hanya untuk mengejar fadhilat, ketahuilah amalan tanpa diketahui fadhilatnya lebih adil dan membuatkan kita kuat untuk ikhlas beribadah.

Semua niat-niat ini perlu ditulenkan semula dengan satu niat dan azam. Puasa itu untuk menundukkan nafsu yang paling buas di dalam diri, lantas dapat mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla.
Jika ini benar-benar berlaku, maka tepatlah surah Al-Baqarah ayat 183 yang memetik suruhan berpuasa dan mudah-mudahan kita menjadi hamba bertakwa.

Berbuka puasa atau berbuka nafsu?

Inilah yang tidak berapa menggembirakan saya. Jika di kampus saya lebih selesa untuk berbuka di masjid bersama ahli-ahli jemaah. Maka kurma dan air mineral seadanya lantas terus mendirikan solat Maghrib berjemaah. Saat itulah saya dapat merasakan kenikmatan ibadah akibat nafsu yang benar-benar diikat. Terasa ukhwah yang amat erat antara jemaah kerana pastinya tidak ramai yang sanggup berbuka begini setiap hari mengenangkan hidangan di rumah lebih enak dan menyelerakan.

Usai solat berjemaah, kami akan makan nasi dan lauk bertalam. Sesiapa yang pernah merasai makan bertalam anda dapat memahami betapa seronoknya pengalaman ini. Jika belum, mulakanlah di rumah anda. Selepas makan bertalam, terus bersiap-siap untuk bertadarus sampai menjelang isyak dan berterawih bersama.

Rutin berbuka seperti ini amat bermakna kepada saya untuk mencapai keutamaan berpuasa.

Tetapi rutin awal bekerja saya terpaksa mengikut arus buat sementara waktu. Bukan apa, tidak mahu dipandang serong pada awalnya. Maka saya menurut jika diajak berbuka di hotel-hotel atau paling tidak berbuka dengan hidangan penuh satu meja. Ternyata situasi ini tidak berapa menggembirakan saya.

Jika solat itu penghubung antara hati dengan Allah Taala, zakat untuk pembersihan harta, haji pengikat ukhwah sedunia, jangan persia-siakan peluang untuk menundukkan nafsu amarah yang ada. Kunci kekhusyukan ibadah terletak di sini.


MS Rizal,
32100, Lumut,
28 September 2009/29 Syawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Lebar-lebarkan lebaran....

>> Wednesday, September 23, 2009


Ada tak macam cover buku 'Seteguh Tekad-Prof Dr Sidek Baba' ?

Tidak lengkap rasanya jika saya tidak menitipkan sedikit ucapan salam hari raya di blog ini.

Seindah namanya EidulFitri; maka seharusnya kita merayakan sebagai hari kembalinya kita kepada fitrah asal kita hidup di muka bumi. Kala jalan asal sudah ditemui, apakah kiranya untuk kita berdiam diri untuk melangkah setingkat lagi ke hadapan. Setingkat lagi menjadi orang bertaqwa.

Sudah hukum alam, sesuatu yang bertentangan dengan fitrah akan merosakkan kejadian tersebut. Tangan jika digunakan untuk berjalan, akan merosakkan tangan tersebut. Air menggantikan oksigen, akan membuatkan hidupan lemas. Berkahwin sesama jenis merosakkan kesinambungan zuriat. Begitu juga contoh-contoh lain lagi. Semuanya akan membawa kepada kehancuran, kecuali apabila kita kembali kepada fitrah.

Justeru, Salam EidulFitri diucapkan daripada MS Rizal sekeluarga, semoga amalan kita di bulan Ramadhan diterima Allah hendaknya. Taqaballahu minna waminkum..


Norshuhaila Samsudin & Mohd Shahrul Izuan Samsudin-pengumpul duit raya yang cemerlang dan berdedikasi.

MS Rizal,
32100, Lumut, Perak.
23 September 2009/4 Syawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Kala ku ketuk pintu syurga

>> Sunday, September 6, 2009

Kala kubuka mata, aku melihat sekerdip cahaya datang dari timur..kemudian ia hilang ke arah barat. Muncul sinaran yang amat terang itu dihadapanku, aku mengira jaraknya mungkin dekat sahaja. Bau yang amat wangi menusuk ke liang rongga. Aku berlari ke arahnya. Aku lihat ramai kelompok manusia di situ.

Aku menjadi tidak keruan, ku lihat di kiri dan kanan. Orang ramai tidak berpakaian, semuanya seperti tidak mengambil kisah hal orang lain. Ramai antara mereka berwajah gembira, bercahaya dan putih bersih. Tetapi masih ada riak mengharap di wajah mereka.

Mereka bergerak beramai-ramai mengikut seruan di hadapan. Aku ikut bergerak ke satu tempat yang damai. Di hadapanya terdapat satu pintu yang besar beserta penjaga.

Aku dengar penjaganya menyeru, "Selamat datang kepada orang yang berpuasa, masuklah kedalamnya. Inilah nikmat Allah yang dijanjikan untukmu."

Aku mengintai dari luar, aku terpaku pada pesona di dalamnya. Aku lihat sungai-sungai susu yang mengalir, sungguh harum baunya. Aku lihat wanita-wanita yang sangat jelita, bermata jeli. Aku lihat di dalamnya ada kubah-kubah permata, dan tanahnya mengeluarkan bau yang amat wangi.

Aku lantas cuba untuk masuk, tetapi penjaga yang bermata bundar berwajah putih mengahalang ku..

"Ini babul rayyan..engkau tidak layak untuknya.."

Aku pantas terkejut. Bukankah ini pintu untuk orang yang rajin berpuasa? Apakah selama ini aku tidak berpuasa di muka bumi? Tidak pernah membiarkan tekakku kering dan perut ku kosong dimasuki angin.

"Kenapa wahai penjaga?"

Jawabnya, "Kerana engkau berpuasa berdasarkan nafsu semata-mata, hanya menahan lapar tidak menahan kelakuan. Ikhlasmu cuma sedikit, nafsu pun tidak engkau tahan dari terbangkit. Akhlakmu tidak pernah kau perelokkan, sedangkan akhlak baik itulah tanda engkau ini beriman. Ini pintu untuk orang yang tulus puasanya. Tidak mengharapkan selainnya, melainkan keredhaan Allah semata-mata."

Aku menunggu di situ jika ada harapan untukku, tetapi sehinggalah orang terakhir akhirnya pintu itu ditutup. Ditutup serapat-rapatnya.

Aku hampa, kemudian bergerak ke satu lagi kelompok manusia.

Aku nampak satu pintu yang cantik bak pohon cemara, damai sungguh hatiku meronta-ronta untuk memasukinya. Kali ini aku melihat di dalamnya istana-istana yang tersergam indah bak mutiara. Keluasan setiap istana itu adalah amat luas, tidaklah aku mengira berapa kadar jaraknya. Aku lihat penjaganya berwajah cerah, sejuk mata memandang...

Ini pintu apa wahai penjaga?

"Inilah babul solah, pintu untuk orang yang menjaga solat."

"Berikan aku masuk wahai penjaga pintu?"

"Engkau tidak dibenarkan masuk. Masih banyak amalan solatmu yang rompong. Engkau lalai dalam solat, tidak khusyuk dan tidak bertaubat selepas habis solat kerana hilang khusyuk. Engkau melakukannya kerana berbangga, mengira-ngira dan membandingkan dengan orang lain. Walhal, solatmu itu bukan untuk persaingan, solatmu untuk ketundukanmu kepada Tuhan. Maaf ini bukan pintu untukmu."

Aku tidak berputus asa, aku cuba masuk melalui pintu yang lain..

Aku melihat pintu yang indah, di dalam nya seberkas cahaya asyik sekali memandang. Aku cuba mengintainya dari luar. Kulihat buminya dari perak, dan tanahnya dari misik atau za’faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah. Aku melihat beberapa anak muda memetik buahnya dalam keadaan berdiri, ada yang memetik dalam keadaan duduk dan ada juga dalam keadaan baring.

Aku tidak sabar untuk memasukinya, lantas aku bertanya "Pintu apakah ini wahai penjaga?"

"Inilah babul zakah wal sadaqah, pintu untuk orang berzakat dan bersedekah.."

"Izinkan aku masuk wahai penjaga."

"Tidak, engkau tidak layak untuknya. Engkau amat bakhil dengan hartamu di dunia. Engkau hanya suka mengumpul dan mengiranya. Tidak pernah terlintas benakmu untuk memberi makan kepada si miskin. Tidak suka membayar zakat, pelaburanmu di dunia mengaut untung, tetapi pelaburanmu di akhirat kosong. Pergilah ke pintu lain."

Aku berusaha, masuk ke pintu seterusnya.

Aku lihat sekelompok manusia menanti sebuah pintu yang agam lagi indah. Inilah pintu jihad. Aku mengenalinya...

Aku dengar penjaganya menyeru, "Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)."

Aku menjawab salam, lantas menyatakan keinginan. "Izinkan aku masuk wahai penjaga.."

"Maaf, Ini tidak layak bagimu! Engkau tidak tersenarai di dalam kelompok jihad qital. Engkau bukan berjihad kerana Allah. Engkau melakukannya hanya kerana kerjaya, atau mati untuk mendapat darjat di sisi manusia. Digelar sebagai wira sejagat, dianugerah gelaran itu dan ini sesudah mati. Walhal itu semua tidak berguna buatmu, carilah pintu lain.."

Kali ini aku lihat sudah banyak pintu-pintu yang tertutup rapat. Kelompok-kelompok manusia yang berwajah gembira dan bercahaya sudah memasukinya. Aku buntu, aku kelu...Oh Tuhan..aku amat berharap akan rahmatmu..Rahmatmu Ya Rahman...

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. Maka berkatalah Abu Bakar: “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.”

(al-Bukhari dan Muslim)


*Kisah hanyalah fantasi penulis untuk tarbiyah diri mengikut gambaran syurga seperti yang diterangkan oleh Al-Quran dan hadis.


MS Rizal,
32100, Lumut, Perak.
6 September 2009/16 Ramadhan 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP