Kerana Baitulmuslim itu perkongsian bukan pemilikan

>> Sunday, September 18, 2011

Saya teringat beberapa analogi penting yang diberikan dalam buku 'Men are From Mars, Women are From Venus'. Bagi pelajar IPT yang dahulu menggemari blog Saifulislam.com pasti mengenali buku ini.

Kisahnya adalah psikologi. Antara dua makhluk yang berlainan, tinggal dalam satu perjanjian teguh yang dinamakan pernikahan. Buku ini banyak mengajar akibat apabila komunikasi yang tidak berkesan berlaku. Juga kegagalan suami atau isteri memahami gerak tingkah laku pasangannya. Semuanya boleh jadi satu kelebihan andai masing-masing pandai mengendalikan.


Saya ambil contoh, dalam salah satu bab yang diceritakan dalam buku ini adalah bagaimana lelaki perlu memahami cara sudut wanita menafsir hadiah yang telah diberikan pada mereka.

Penulis buku tersebut mengatakan, apabila seorang suami membawa isteri dan anak-anaknya melancong dan telah berhabis banyak duit itu semua satu kecukupan. Tidak perlu memberi lagi hadiah lain dalam satu tempoh tertentu. Tetapi pandangan ini silap, andai kata suaminya memberikan sejambak bunga ros pada selang seminggu selepas tarikh bercuti ianya adaah sama nilainya di sisi seorang isteri.

Begitu juga sifatnya apabila seorang suami membayar wang ansuran bulanan. Jangan fikir isteri akan segera memahami dan tidak meminta apa-apa lagi, lalu memang apa-apapun suami tidak beli atau hadiahkan. Paling kurang hadiah sesuatu, atau belikan sesuatu walaupun perkara itu seremah sejambak bunga. Percayalah dengan komunikasi berkesan, maka kedua-dua akan faham dan saling bersama-sama untuk membaiki diri sendiri.


Berkahwinlah untuk banyak memberi berbanding menerima

Apabila ini telah ditetapkan dalam minda, insya-Allah kedua-duanya akan diberikan keberkatan oleh Allah Taala. Ingatlah perkahwinan yang dinilai dalam Islam jauh daripada tujuan perkahwinan yang digilai oleh pengikut nafsu. Ianya direntang oleh perjanjian teguh yang Allah sebutkan dalam Al-Quran sebagai 'Mitsaqan Ghaliza'. Apa itu 'Mitsaqan ghaliza'?

Itulah perjanjian teguh yang disebut Allah di dalam kalam sucinya hanya pada 3 tempat. Dalam surah An-Nisa' ayat 154 ketika Allah mengangkat bukit Tsur di atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia dengan Allah Taala. Kedua, dalam surah Al-Ahzab ketika Allah Taala mengambil perjanjian teguh ke atas Nabi Muhammad SAW dan Rasul Ulul Azmi dan ketiga pada surah An-Nisa' ayat 21 tentang hubungan pernikahan.

Bagi seorang suami, apa-apa yang diinfakkan untuk isteri dan keluarganya adalah satu sedekah yang tinggi nilainya di sisi Allah Taala. Jika isteri adalah seorang yang suka meminta yang tidak patut, seorang suami seharusnya memahamkan melalui sikap dan tingkah laku mereka. Seseorang pernah menasihatkan saya, teguhkanlah perjanjianmu dengan isteri pada malam pertama perkahwinan. Tetapkan halatuju perkahwinan yang didambakan dan anak-anak yang bakal membesar dalam lingkungan didikan perkahwinan ini. Terangkan pada isteri, nantinya walau Allah Taala memberi rezeki yang banyak, tetapi itulah bukan tujuan pernikahan ini. Kerana cita-cita tertinggi itu adalah syurga Allah Taala, yang perlu sama-sama suami isteri cita-citakan. Dan demi cita-cita ini tidak mustahil Allah Taala berikan sedikit ujiannya.

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah ayat 155)


Bagi seorang isteri, jangan memungkiri perjanjian yang teguh ini. Kerana apabila seorang suami berbesar hati untuk memberikan mahar, bermakna mereka menghargai dirimu sendiri. Eratnya tangan suami mengenggam saat nikah begitulah teguhnya hati untuk menerima tanggungjawab ini. Berazamlah untuk banyak memberi juga, kerana perjanjian ini juga membantu kamu untuk meraih syurga.

Salah satu hak seorang suami terhadap isterinya adalah mensyukuri akan kebaikan yang dilakukan oleh suami dan tidak melupakannya. Namun, sayangnya ramai wanita yang tidak menghargai hak ini dan sewenang-wenangnya mengumpat dan mengeji suami di belakang. Ramai isteri yang dilayan dengan baik oleh suaminya, namun amat menyedihkan apabila si isteri menjumpai satu perkara yang kurang disenangi oleh suaminya atau suami membuat kesilapan sekali maka dengan mudahnya seorang isteri itu berkata, " Aku sama sekali belum pernah melihat kebaikan daripadamu."


Apa yang diperlukan adalah sekeping hati

Dalam diri seorang lelaki yang bakal menempuh hari-hari perkahwinannya, tiada lain yang pemberian seorang isteri, atau perkara yang paling menggembirakannya selain sekeping hati seorang isteri. Hati tulus yang sanggup dan bersedia berada di sisi mereka saat senang, dan tentunya hati itu bakal menguatkan di kala kesusahan. Hati yang berbunga saat sama-sama ketawa dan hati yang sama-sama bersimpati saat mengalami muram durja. Link

Inilah kemulian seorang isteri yang paling menggembirakan. Sehinggakan kebaikan ini tergambar dalam kata-kata Nabi SAW saat memuji Saiditina Khadijah,

"Dia adalah seorang wanita yang terbaik,kerana dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam bimbang keingkaran, dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhdapku, dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain"

Kerana Baitulmuslim itu menguatkan, maka suami isteri yang kuat dan sentiasa mencari redho Allah SWT akan menjadi permata berharga buat masyarakat dan meneguhkan ummat.


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
32100, Lumut,
18 Sep 2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Cintaku Setinggi 1000 KiloVolt (KV)

>> Tuesday, September 6, 2011

Saya amat jarang menulis puisi, tetapi apabila saya mula menulis ianya mungkin cukup menarik untuk dihias di blog ini. Saya juga amat sinis untuk menulis sesuatu tentang cinta dan perasaan. Mungkin kerana saya lelaki, sering mengelak untuk dibuai perasaan. Sekadar puisi biasa yang saya coretkan apabila idea itu terilham. Jujur, ianya sebuah perkongsian tidak perlu disangka yang bukan-bukan pada saya. Sekian, selamat mendeklamasikannya dalam hati:


Cintaku setinggi 1000KV,
Adakah patut aku menyimpan kuasanya di dalam komponen bernama capacitor,
atau mungkin kuhalang sebahagiannya menggunakan perintang punya Ohm berganda-ganda,
Mungkin pantas dikecilkan menggunakan pengubah kuasa,
mahupun converter yang bisa menguatkan frekuensinya?

Cintaku setinggi 1000KV,
Tidak perlu aku gunakan kompenan fizikal segala,
Kerana cintaku tak mampu diukur oleh multimeter atau selainnya,
Mahupun getarannya tak mampu dirasai oleh sesiapa kecuali dia,
Kerana cintaku bukan robot yang tiada ruh mengalir di dalamnya.

Cintaku setinggi 1000KV,
Ianya tidak melemahkanku malah semakin kuat,
Kerana kucuba sedaya upaya selarikan ia dengan syariat
Mahu memetik cinta teratai larangan dari taman azimat,
Agar debunganya nanti kutabur menjadi perwira-pertiwi buat umat,

Cintaku setinggi 1000KV,
Allah ada bersama-sama,
Allah jua memberikan sinarnya,
Kepada sebuah ikatan kejujuran,
Dengan doaku dan doa kalian sebagai iringan,
Demi menguatkan sebuah amanah... yang kupanggil ia sebagai sebuah kePERCAYAan...


-----------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.

MS Rizal,
31200, Chemor,
5 Sep 2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP