Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

>> Sunday, May 17, 2009

Saya berkira-kira untuk hadir ke bengkel penulisan Puan Ainon pada hujung minggu ini. Namun saya terpaksa membatalkannya kerana ada janji yang perlu saya penuhi. Lalu saya meninggalkan Kuala Lumpur dengan sedikit keletihan kerana badan yang masih kurang sihat disebabkan cuaca yang tidak menentu. Sehari saya bermalaman di rumah ayahanda dan bonda di Chemor, saya berangkat ke Kedah untuk memenuhkan aktiviti hujung minggu di sana.

Atas permintaan berapa orang rakan, saya sisipkan 4 keping gambar yang saya pilih dan saring. Sengaja saya tidak meletakkan komentar kerana sekeping gambar itu sudah terkandung di dalamnya banyak bahasa dan makna.



"Tidak ada satupun nikmatMu yang aku dustakan wahai Tuhanku. Bahkan, Engkaulah yang Maha Tinggi melebihi segala ketinggian yang Engkau ciptai."


MS Rizal,
08000, Sungai Petani,
17 Mei 2009/22
JamadilAwal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Filem kita berwajah mereka

>> Wednesday, May 13, 2009

Sepasang pipit yang terbang rendah, mengindahkan suasana di petang hari. Alhamdulillah, setelah 3 minggu lamanya cuaca kemarau yang merisaukan. Allah Taala mengurniakan hujan lebat yang melimpahkan rahmatNya. Sekaligus menghijaukan bumi ciptaanNya. Insaf benar dengan kesan Global Warming yang mengundang bencana.

Saya baru selesai menonton filem Lion of the Desert. Filem tahun 1981 arahan Moustapha Akkad yang memberi pengertian positif kepada dunia Islam. Baru kini saya berpeluang menontonnya. Kisah perjuangan Umar Mokhtar pendukung watak utama, ironinya bukan sekadar untuk negara Libya tetapi untuk umat Islam seluruhnya. Sejambak kekaguman saya tumpahkan ke atas kerajaan Libya yang sanggup menghabiskan puluhan juta dolar demi untuk menjayakan filem hebat lakonan mendiang Anthony Quinn ini.




Filem kita wajah kita



"Tujuan saya membuat filem bohsia ini adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat supaya jangan menjadi bohsia," lebih kurang begitulah ulasan pengarah Syamsul Yusuf di dalam salah sebuah akbar hiburan.

"Filem ini memaparkan realiti remaja-remaja zaman sekarang. Kadang-kadang itu, kalau kita tengok wataknya...Kita akan berasa, "Eh, ini macam akulah!" hujah gadis genit bernama Liyana Jasmay di dalam preview filem 'KAMI The Movie'.

Entahlah! Semakin lama, saya merasakan filem-filem kita sekarang seperti sebuah tin kosong. Tiada motif hanya sekadar untuk berhibur sahaja. Lalu dengan sengalnya filem ini di eksport keluar negara. Jika menang anugerah, menjadi kebanggan Negara pula. Ya Tuhan, sungguh jelek melihat manusia berserta kejahilannya.

Walhal, jika dilihat dari banyak segi. Kesan negatif lebih banyak daripada kesan positif. Unsur ikhtilat yang berleluasa. Berpaksikan nafsu lebih daripada akal. Lalu terbitlah alasan-alasan dangkal;

"Saya hendak paparkan realiti sebenar masyarakat."

Maaf, masyarakat sudah lama tahu. Cuma kali ini mereka ada peluang untuk lebih jelas meniru gaya dan aksi. Bukankah manusia ini berfitrah meniru? Realitinya kelompok sasaran bermasalah itu rasa dihargai. Lihatlah kepada filem 'Mat Rempit'. Mat Rempit mana yang tidak bangga menyaksikannya?



Kita tidak miskin karya



Saya fikir sudah masanya golongan dakwah memikirkan alternatif buat sogokan pemuda-pemudi yang cintakan agama ini. Jika PKS Indonesia berjaya membuat filem hebat seperti 'Sang Murobbi'. Mengapa parti atau kumpulan yang sama mengakui berideologi ikhwan di Malaysia tidak berupaya untuk membikin sebuah filem hebat seperti ini?

Jika hendak memaparkan realiti sebenar pejuang kemerdekaan, paparlah realiti pejuang-pejuang tanah air yang lebih indah dan berliku-liku jalan ceritanya. Serta lebih tragis daripada filem 'Hati Malaya'. Kisah hidup Burhanuddin al-Helmi, Syed Sheikh Al-Hadi, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan sebagainya lebih banyak mendatangkan kesan pengajaran kepada masyarakat. Darah mereka panas mengalir kerana mempertahankan geluk maruah agama dan bangsa. Lidah patah berbicara, kerana basahnya zikir dan kalam Allah. Mereka mewah dengan nasihat, mereka menyeru kepada jihad.

Jika hendakkan kisah fantasi, saya fikir novel-novel fantasi Faisal Tehrani lebih mantap untuk difilemkan. Jika hendakkan superhero, ciptalah watak yang islami bukan meniru filem barat seperti halnya filem 'Cicakman' dan kartun 'Keluang Man'.

Saya tidak menyalahkan pembuat skrip seratus peratus jika mereka tidak tahu cara mengandaikan suasana sejarah untuk dibikin cerita. Kerana mereka belajar sejarah yang hanyalah sebuah jalan cerita tanpa terkandung sentimen falsafah dan zahir sebenar yang terkandung di dalamnya. Sememangnya saya sering berpendapat, sejarah perlu ditaksir semula.

Filem kita wajah kita, filem teruk kita pun turut sama merasa pedasnya. Suatu realiti yang perlu difikirkan bersama.




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
13 Mei 2009/18 JamadilAwal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP