Jangan malu untuk kembali mengaji

>> Thursday, October 30, 2008



Sesetengah rakan yang saya kasihi, amatlah dikagumi semangat islam mereka. Malah adakalanya saya malu pada diri sendiri. Saat saya yang kerap masbuk hadir ke masjid, mereka tegar hadir pada awal waktu.

Saya sedar ada kalangan mereka yang masih tidak mahir mengaji Al-Quran. Saya tidak menyalahkan kerana saya juga adalah mangsa pendidikan sekular ini. Tika rakan-rakan berkenduri khatam Al-Quran saya hanya melihat sahaja. Sehingga tingkatan 4 barulah saya berjaya khatamkan. Tetapi ada hikmahnya, saya lebih bersungguh untuk mempelajari Al-Quran dan sejak itu saya tidak menoleh belakang lagi. Ya, sesetengah orang cukup mengenali Al-Quran setakat khatam sahaja.

Saat diri memulakan langkah ke menara, sang guru berpesan untuk sering membacanya. Nasihat itu berupa amanah yang dijunjung. Sejak itu saya berazam belajar dan terus belajar. Bukankah hadis Bukhari merakamkan, "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."

Untuk rakan yang meminta nasihat, panduan arah saya berikan. Tiada manusia yang terus pandai sejurus lahir ke dunia. Proses pembelajaran itu sepanjang hayat. Ada beberapa tempat di Kuala Lumpur ini yang menyediakan sekolah belajar mengaji secara percuma. Yang saya sempat berkunjung dan menjadi murid adalah di dua tempat ini.

1) Saya menaiki LRT dari Sg Besi ke stesen Bandaraya. Terpaksa berjalan sedikit.
Saya lupa nama bangunannya. Tetapi sekolahnya berada di tingkat 7. Sekolah mengaji di sini bagus dan effisen. Walaupun saya bermula terus dengan kelas Al-Quran namun suka saya nasihatkan jangan malu untuk bermula dengan iqra' satu. Dan jika umur sebaya saya, anda akan dapati anda adalah yang termuda. Kelas pengajian pada hari Sabtu dan Ahad.


*Klik pada imej untuk paparan lebih jelas

2) Kelas mengaji di PERKIM ini juga bagus. Cuma saya tidak pernah masuk kelasnya sahaja. Saya hadir ke kelas pengajian akhlak, fiqh dan sirah sahaja. Ada juga kelas bahasa Arab di sini, tetapi memerlukan disiplin kehadiran yang tinggi. Untuk ke sini saya turun di stesen LRT Titiwangsa. Kelas pengajian adalah pada hari Sabtu dan Ahad. Kelas di sini adalah juga gratis.

*Klik pada imej untuk paparan lebih jelas

Tema menuntut ilmu itu rajin dan tidak malu bertanya. Hendak seribu daya....


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
30 Oktober 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Monolog si Pemuda Bisu

>> Monday, October 27, 2008


Jadilah umpama pelita yang menyala di tengah malam yang gelap gelita
Memandu manusia kepada hidayah dan menerangkannya,
bergiat cergaslah demi agamamu dan jangalah bermalas-malas,
berusahalah untuk menggerakkan orang yang berdiam diri...
----------------Al-Moontholaq----------------------------------




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 Oktober 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Derma darah, satu penilaian..

>> Sunday, October 26, 2008

Tajuk macam artikel berat berilmiah, tetapi isinya sekadar sembang kosong sahaja.
Jika dibelek di belakang rantai disc askar saya ini, saya berdarah A+. Bilang rakan saya berdarah kedekut, dan dia berdarah pemurah. Dia gah berdarah 0+ yang pemurah. Tetapi dia lupa, yang darah itu sebenarnya bersifat racist. HO..HO..Forget it, just a joke!


Kenderaan Pusat Darah Negara masuk ke kawasan kampus. Hari Khamis itu ada kempen derma darah.
Saya mahu menderma, tetapi saya teringat akan pesanan nurse sebelum ini. Jika penderma itu berpuasa, dia suruh berbuka. Maka silaplah jika mereka hadir pada hari Khamis, memang ramailah orang yang tidak menderma. Persepsi yang mengundang kesilapan besar. Mungkin inilah sebabnya tidak ramai orang yang mahu menderma darah di bulan Ramadhan.

Saya suka menderma darah, tetapi seingat saya sepanjang 5 tahun saya berada di sini 2 kali sahaja saya menderma. Itupun masa awal-awal dahulu. Buat malu sahaja! Saat yang paling saya suka adalah ketika lengan dipam dan urat lengan mula timbul. Nurse datang tepuk-tepuk urat itu sikit dan dia pun start cucuk. Sakit ke? Taklah!

Ada rakan nasihatkan pergilah menderma darah kerana ini sebahagian daripada sunnah Nabi SAW. Saya katakan, "Itu berbekamlah, bukan derma darah!"-mungkin pendapat ini boleh dinilai semula.
Ada rakan yang mengajak sebab mereka beri makanan ringan dan minuman ringan selepas menderma. Alamak, macam mana nak kira sedekah ini kalau mengarapkan habuan?

Semasa kali pertama menderma, saya gugup. Rakan di sebelah buat bertenang sahaja. Hasilnya dia berjaya memenuhkan kantung darah itu dalam masa yang singkat, sedangkan saya terpaksa menunggu sedikit. Darah malu-malu nak keluar akibat gugup.

Apakah hukum menderma darah? Taip sahaja di Enjin carian Google. Lihatlah ulasan Syeikh Yusuf Al-Qardawi. Saya tidak berniat untuk titipkan di sini.

Hari sudah petang, mereka mahu pulang. Saya hanya tercegat melihat, tanpa ada apa-apa pun kesan suntikan di lengan... Dalam hati saya mencari-cari alasan tidak menderma hari itu. Ah, kenapalah dahulu nurse itu nasihatkan supaya berbuka. Sedikit sebanyak saya dah tawar hati.
Lain kali sahajalah saya menderma. Mahu ikut saya? Marilah sekali, bukan sakit pun kena cucuk!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
26 Oktober 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bukan tiada otak untuk menilai...

>> Wednesday, October 22, 2008


"Apa ke bebal?"

Wah, kasar bunyi tu MS Rizal. Bercakap dengan baiklah. Allah tidak menyukai perkataan buruk yang diucapkan secara terus terang kecuali bagi orang dizalimi. Kan selalu anta jumpa dalam surah An-Nisa' ayat 148.

Oklah kita tukar, "Pandai..pandai..".

Mungkin agak terlambat untuk saya menulis tentang topik Shah Rukh Khan mendapat anugerah Datuk. Tetapi inilah saya, saya terpaksa memproses dahulu maklumat yang sampai sebelum diolah di dalam blog ini. Risau untaian saya hanya omong-omong kosong sahaja.

Dari mana mulanya orang seni dapat anugerah Datuk ini? Adakah bermula daripada Dato' Shed(betul ke ejaan ini?) yang mendapat anugerah daripada Sultan Johor. Atau bermula daripada Tan Sri P. Ramlee yang mendapat pingat daripada Sultan Perak. Atau fanomena ini semakin menjadi-jadi setelah gelaran Datuk menjadi milik Siti.

Baiklah. Saya juga akui, yang dahulu saya juga minat tengok filem Hindustan. Tetapi itu dahululah masa masih belum nampak jalan terang. Eleh..Anwar Ibrahim pun minat tengok hindustan semasa zaman U dahulu (sumber diperolehi semasa saya sembang dengan seorang pak cik yang mengaku serumah dengan Anwar dahulu). Nak kira bagaimana itu?

Tetapi jari telunjuk saya tetap di angkat ke atas untuk menandakan amaran. Amaran bahawa budaya hendonisme dan penerimaan terbuka pada gejala maksiat telah sampai ke kemuncaknya.
Kita tidak lagi hairan apabila mendengar orang yang terlibat dalam salah laku seks(berzina) memegang semula tampok pemerintahan partinya. Kita tidak lagi hairan apabila ahli politik datangnya dari celah popular yang bengkok ini. Lalu jangan kita hairan jika mereka juga menarik kelompok seperti mereka ini naik menjadi figure-figure masyarakat.

Peduli apa, bukan? Kita juga mahu melahirkan Joseph Estrada. Aktor filem yang boleh mencecah ke jawatan presiden Filiphina. Kita juga mahukan orang seperti Arnold Schwarzenegger. Kita tidak sabar mungkin untuk melihat Rosyam Noor atau Siti Nurhaliza menjadi ahli parlimen kelak. Malah kita sudah ada pun aktor Jins Samsudin menjadi senator Dewan Negara. Kita juga ada bapa kepada Dafi, yang menjadi menteri belia dan sukan. Kita juga ada bapa kepada Dr Fazley. Juga Ramli Ngah Talib bekas mertua Nora Danish. Dan pelbagai nama yang meletihkan lagi...huh..

Saya tidaklah menentang industri hiburan secara total. Namun saya merasakan sudah perlunya wujud ombak yang menyapu hendonisme melampau ini dengan mengangkat budaya ilmu di dalam masyarakat. Jika mudah sangat untuk memberikan anugerah Datuk kepada artis, adakah sukar benar untuk memberikan anugerah Datuk kepada ahli-ahli, think tank dan ilmuwan yang bercambah di universiti-unversiti mahupun sekolah-sekolah? Mereka inilah orang yang lebih utama kerana merekalah yang banyak melontar rasionalnya menggunakan akal buat panduan masyarakat.

Alahai Melaka..Melaka...Kalau Tun Perak, Sultan Alaudin Riayat Syah, Hang Tuah.. melihat apa yang berlaku sekarang di bumi yang mereka pertahankan dahulu, apa agaknya yang mereka nak kata?





MS Rizal,
Kuala Lumpur,
22 Oktober 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Kerana Tuhan Tidak Bisu

>> Friday, October 17, 2008

Novel ini saya capai apabila berkunjung ke MPH Jaya Jusco Wangsa Maju. Entah apalah yang menarik isinya.. Tetapi hiasan kulitnya unik.

Diletakkan watak Sahlan, Mazlan dan Razlan. Tidak tahulah saya siapa mereka ini sebenarnya kerana baru membaca di kulit belakang sahaja. Sahlan seorang vulkanologis yang hampir bertukar jantina. Mazlan pula adalah doktor perubatan yang telah membunuh isterinya secara tidak sengaja. Sedangkan Razlan adalah seorang yang konservetif dalam beragama. Mereka bertiga terperangkap di dalam bunker.

Saya berasa tertipu apabila mula membaca buku ini. Mengetahui penyampaian novel ini sebenarnya skrip drama, saya mula hilang selera membacanya.

Letak di atas rak....Diambil kembali. Bawa balik ke kampung dan sambung baca.

Bersabar...bersabar..Saya cuba bersabar membacanya. Penyampaian cerita yang kurang serius. Geli hati pun ada. Pengarah teater boleh naik ke pentas menjadi salah satu watak di dalamnya. Semua yang terlibat dikait. Di hadapan pentas, di belakang pentas sehinggalah penulis cerita ini sekali sekali.

Tetapi nanti dahulu...
Paduka Ratu hidup di zaman bila? Rupanya mereka tertidur beribu tahun lamanya. Keluar dari bunker dan bertemu pula dengan Paduka Ratu. Digambarkan berpenyakit kenohong berserta juga rakyat jelata. Cuba pula dicari-cari pegangan agama untuk negara. Mahu disembuhkan pula penyakit kenohong rakyat jelata.

"Wah, hensemnya mereka bertiga!" oh, rupanya Paduka Ratu sudah jatuh hati.
Mungkin sudah lama impiannya untuk bersuami.

Saya percaya novel ini dikarang secara santai disamping diselit sesekali fakta-fakta ilmiah. Semudah mana pengarangnya menulis, semudah itulah pembaca untuk membacanya.

"Alhamdulillah, habis juga membacanya.." saya khatamkan ketika sedang bersantai petang di pinggir padang Ipoh. Saya tersenyum puas...best!




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Tinggal beberapa minggu lagi

>> Monday, October 13, 2008


Tinggal beberapa minggu lagi , saya akan membentangkan proposal tajuk thesis saya. Thesis tahun akhir atau lebih dikenali sebagai PSM(Projek Sarjana Muda) yang saya kendalikan adalah bertajuk Underwater Imaging.

Apa yang saya mahu hasilkan adalah memaparkan imej bawah air dalam format 3D menggunakan software MATLAB. Saya menggunakan konsep SONAR(Sound of Navigation and Ranging). Disamping mengambil kira kesan-kesan sifat gelombang apabila melalui keadaan air yang berbeza dari sudut kemasinan, haba dan tekanan. Eksperimen dijalankan di PLPE(Pusat Latihan Peperangan Elektronik). Ada pegawai di sana yang akan monitor saya.

Sebenarnya saya terbeban dengan projek ini, atas sebab-sebab dan kesilapan teknikal yang berlaku. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya..
Harap Tuan-tuan dan Puan-puan mendoakan saya...




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Mengundang kejayaan dengan berkongsi

>> Saturday, October 11, 2008

Apabila saya hadir ke bengkel penulisan Puan Ainon-PTS, perkara pertama yang membuatkan saya tertanya-tanya adalah ongkos yuran yang perlu dibayar. Ditulis disitu, yuran adalah gratis. Bengkel penulisan yang free of charge, susah saya nak jumpa di bandaraya duit sebegini.



Saya datang berseorangan dengan niat mahu menambah pengalaman. Kali pertama bersua dengan Puan Ainon, dia menarik muka pelik apabila mengetahui saya ini adalah askar. Tetapi apabila saya menerangkan yang saya adalah askar dari butik tentera(pinjam perkataan VC UPNM) barulah dia mengendurkan wajah peliknya.

Nasihat pertama beliau kepada saya adalah tulislah buku tentang tentera. Majalah tempur laris terjual dan kebanyakan peminatnya adalah lelaki. Menarik, tetapi projek sebesar itu memerlukan pengalaman sekurang-kurangnya selama 5 tahun di dalam pasukan. Jiwa saya sedikit berbunga...

Saya sebenarnya kagum dengan sifat Puan Ainon yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu, malah menaja pula bengkel sebegini. Dengan ini beliau telah mendedahkan banyak rahsia kejayaan syarikat buku PTS. Dan juga beliau seperti
tidak kisah jika bengkel percumanya dihadiri oleh pesaing-pesaing PTS publisher. Ada faedah dan keuntungannya.

Puan Ainon sebenarnya berjaya mengurangkan kerugian untuk membuat penilaian semula karya-karya penulis yang menulis di PTS. Dengan membekalkan tips dan panduan yang betul, penulis akan tahu garis panduan di dalam penulisannya. Menariknya..

Jika berkongsi adalah rahsia kejayaan syarikat PTS. Mengapa tidak pula kita yang yang sedang mencari-cari arah berjaya ini?
Saya ingin kaitkan di dalam bidang akademik. Jika dilihat di sekolah-sekolah, pelajar biasanya bersaing sesama sendiri untuk mencapai kedudukan teratas sekali di dalam rangking sekolah.
Saya tidak tahulah pengalaman pembaca yang budiman bagaimana, tetapi bagi saya sendiri, saya sememangnya terkesan dengan fanomena persaingan ini.

Sewaktu di sekolah dahulu, pelajar-pelajar yang berada di kedudukan teratas ini akan sentiasa berputar-putar di pemikiran. Setiap kali musim peperiksaan, saya berazam teguh mengalahkan mereka. Hasilnya mungkin berjaya, tetapi persaingan ini menyebabkan hubungan saya dengan pelajar-pelajar ini agak dingin. Kami jarang berdiskusi dan jarang sumbang menyumbang.
Sehingga sekarang, antara kami tidak banyak berhubung. Tidak banyak cerita dan mungkin masih ada bara-bara saingan. Alangkah ruginya...

Dahulu, mungkin saya berfikir. Jumlah 'A' yang banyak di dalam sijil SPM itu adalah bukti kepandaian. Tetapi setelah hampir 5 tahun di dalam kampus ini, saya melihat bukan semua pelajar yang kaya dengan 'A' ini boleh meneruskan kecemerlangan mereka di Universiti. Sebenarnya, menjadi pelajar pandai di dalam alam sekolah menengah juga menyebabkan ramai pesaing yang mahu melihat kegagalan kita. Ditambah pula sifat sesetengah pelajar pintar ini yang susah untuk berkongsi ilmu, mungkin risau kedudukannya akan tergugat. Alasannya mudah, tidak tahu mengajar.

Mereka seperti ini menilai kejayaan seperti piramid. The cream will be on the top. Malangnya sistem piramid menyebabkan sedikit sekali mereka yang boleh berada di atas. Dan untuk berada di atas mereka terpaksa memanjat bahu-bahu rakan yang tidak berupaya untuk naik. Mana boleh semua naik, nanti tidak menjadi piramidlah.



Tetapi terfikirkah kita, siapakah orang yang akan menghulurkan bahu untuk menolong mereka naik ke atas? Adakah orang-orang yang menjadi pesaing dan dikalahkannya itu? Maaflah, jika saya adalah orang yang terpaksa menghulurkan bahu untuk mengangkat orang naik. Saya akan hulurkan bahu kepada orang yang pernah menabur budi kepada saya. Dia lebih afdhal dan perlu. Dia akan turut sama menolong orang di bawah ini naik dan sekurang-kurangnya berusaha. Bukan orang yang individual dan pentingkan diri.

Dan inilah sebenarnya yang dilakukan oleh Puan Ainon. Dengan melatih dengan menggilap penulis-penulis baru, beliau sebenarnya telah membuatkan ramai orang terhutang budi padanya. Inilah sebenarnya inspirasi kejayaan diri beliau.
Janganlah jadikan kejayaan seperti sistem kapitalis. Kenikmatan kejayaan adalah sebentar sahaja di dunia. Alangkah indahnya ianya dikongsi bersama-sama.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Khalid Bin Sa'id-Anggota berani mati pertama Islam.

Jika hati kering dan bergundah gulana, jadikan sirah sahabah itu gula-gula ceria.

Ingin dikisahkan sahabah bernama Khalid Bin Sa'id Bin 'Ash.
Mungkin ada diantara kita yang baru pertama kali mendengar namanya.
Beliau datangnya dari keluarga kaya dan mewah semasa zaman jahiliyyah. Tergolong di dalam golongan bangsawan yang terkemuka.

Berketurunan Umaiyah bin Abdi Syamsi bin Abdi Manaf.

Khalid Bin Sa'id menjadi sangsi, mimpi apakah yang mendatanginya tadi? Hairan, dirinya didapati berdiri di hadapan nyalaan api yang besar. Sedang ayahnya pula berdiri di belakang seperti hendak menolaknya ke dalam api. Kemudian sayup-sayup dia melihat Nabi Muhammad datang ke arahnya lalu menariknya dari belakang dan menyelamatkannya dari jilatan api yang marak.

Dia tidak menunggu lama, segera dia bergegas ke rumah Abu Bakr. Mimpi ini perlu diceritakan untuk dita'birkan. Walhal mimpi ini sudah tidak perlu dita'birkan lagi, sudah terang lagi bersuluh. Namun dia memerlukan kepastian.
Berkatalah Abu Bakr; "Sesungguhnya tidak ada yang kuingin untukmu selain kebaikan. Inilah dia Rasul Allah, ikutilah dia. Sesunggunya dia akan menyelamatkanmu dari api neraka."

Khalid pun pergilah kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menyuruhnya beriman kepada Allah yang esa dan rasulnya. Dan juga tidak menyembah berhala. Khalid lalu menghulurkan tangannya lalu disambut mesra oleh Rasulullah SAW lantas Khalid terus mengucapkan;

"Inni Asyhaduallah ila hailallah, WaasyhaduannaMuhammadarasulullah.."


Khalid memeluk Islam ketika belum ada orang mengikut Nabi ketika itu kecuali 4 orang. Maka Khalid adalah yang kelima awal.

Sai'd bin 'Ash menjadi panas. Telinga berdesing. Mana mahu diletak mukanya. Dia adalah pemimpin tetapi dia dihina dan diejek oleh bangsa Qurasiy kerana keislaman anaknya Khalid. Dia tidak boleh membiarkan, ini bisa menggugat kedudukannya sebagai pemimpin.

"Benarkah kamu telah mengikut Muhammad dan membiarkannya mencaci-caci tuhan kita?" Tanya Sai'd kepada anak lelakinya. Khalid mengiakan.

Lantas Sai'd memukul anaknya bertubi-tubi. Kemudian mengurungnya dalam kamar gelap tanpa diberi makan dan minum.

"Demi Allah, sesungguhnya ia(Nabi Muhammad) benar dan aku beriman kepadanya.." Khalid berkeras dibalik pintu kamar gelap itu.

Jelas Sai'd mendapati anaknya tetap tidak mahu berganjak. Dibawanya anak itu ke tengah panas terik, diinjak-injak batu yang panas menyengat ke dada Khalid. Selama 3 hari Khalid di situ tanpa perlindungan dan teduh. Tanpa setitis air pun membasahi bibir.

Akhirnya sang ayah berputus asa, lalu Khalid dibawa kembali ke dalam rumah. Dipujuk anaknya itu dengan cara lain pula. Ditaburnya janji kesenangan. Kadang-kadang diugut pula dengan ancaman.
Namun Khalid tetap berpegang teguh dengan kebenaran, dia berhujah; "Aku tidak akan meninggalkan islam, aku akan hidup dan mati bersamanya!"

"Kalau begitu, nyahlah engkau pergi dari sini, anak keparat....! Demi Latta kau tidak boleh makan di sini...!" Jerit sang ayah kehangatan. Butir-butir bahasa yang keluar dari mulut Khalid benar-benar menyentap amarahnya.

"Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.." Khalid mengungkap yakin.

Demi iman dia meninggalkan rumah mewah dan segala kesenangan. Dia tidak gusar untuk itu, bukankah dia masih punya iman, Allah dan rasul-Nya? Baginya dia telah menemui kebenaran yang lebih berharga daripada kemewahan di belakangnya. Dia menghalakan dirinya untuk Islam. Dia yakin akan ada sinar harapan di hujung ufuk langit itu.......




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Adakah tema hidup ini adalah menjadi popular, dipuji dan merasa bangga?

>> Wednesday, October 8, 2008


1) Saya menjadi lemas dengan keadaan sekarang, terutama berada di dalam organisasi yang masih utuh terpengaruh dengan barat dan pemimpin berlatar belakangkan barat. Apa sahaja produk daripada barat diagungkannya. Saya mungkin terpengaruh sama, tetapi bukannya semua dari barat itu bagus. Dan bukan semua graduan lulusan universiti/akademi barat itu bagus.

2) Umumnya manusia itu sukakan pujian. Manusia tidak sukakan kutukan. Kutukan itu meruntuhkan tetapi pujian membuatkan hati besar. Namun jangan ditagih-tagih pujian. Kerana ianya bisa membinasakan. Pujian melahirkan rasa bangga. Bangga itu bukan tiket untuk kita masuk syurga. Tuhan tidak hitung pujian yang dikenakan kepada kita berbakul-bakul itu.

3) Saya perasan yang orang yang tegar dirinya dikutuk adalah orang yang tabah sebenarnya. Orang seperti ini akan sentiasa bertenang di waktu-waktu goyah. Orang yang biasa dan suka dirinya dipuji bukan seorang yang kuat mentalnya. Dia tidak dapat dan tidak ingin bertemu dengan waktu susahnya akan datang. Dia mahu orang yang memujinya tetap terus memujinya walhal mungkin situasi ini akan berbeza. Mungkin dia akan dikutuk dan dihina walaupun dia rasa dia tak buat salah apa-apa.

4) Saya rasa yang saya ini kurang berdoa. Ini membuatkan saya bermasalah. Doa adalah ubat yang mujarab. Tali ikatan al-hubb kita dan sang pencipta terentang di antara doa. Doakan orang sekeliling kita nescaya mereka juga akan mendoakan kita. Hmm..untuk wujudkan tali al-hubb antara kita dan orang lain, banyakkanlah memberi. Saya rasa memberi hadiah adalah sesuatu yang bermakna walaupun bukan pada hari lahirnya.

5) Manusia sombong itu ramai. Maka hati-hati apabila bertemu dengan mereka. Mereka akan mempengaruhi kita untuk turut sama angkuh dan sombong. Manusia yang merendah diri itu sedikit, sebab itu kita akan teruja apabila terserempak dengan mereka. Cari dan dampingi mereka yang sedikit ini sekerapnya, mereka akan memandu kita bagaimana nak jadi manusia yang hanyalah manusia.

6) Manusia bodoh itu juga ramai. Dan saya adalah salah seorang daripadanya. Orang bodoh sering mengikut sahaja kehendak dan cakap-cakap orang ramai. Maka dengan ini mereka bergolok bergadai untuk menentukan mereka berada dalam apa yang orang ramai katakan berjaya dan menjadi ternama. Jangan biarkan pemikiran kita dicorak sewenang-wenangnya oleh kata-kata orang ramai. Tak berprinsip namanya!

7) Jangan merasa bangga walau setinggi mana pangkat, setebal mana poket, sebesar mana kereta. Dan jangan hina orang yang bawah pada kita. Mungkin dia adalah orang yang akan tolong angkat jenazah kita suatu hari nanti, bukan rakan-rakan yang kita selalu bertepuk tampar dengan mereka.

8) Terkadang saya berfikir, adakah bakal calon isteri saya nanti akan menerima saya seadanya jika dia mengetahui bahawa suatu hari nanti mungkin sayalah orang yang akan kena fitnah, dizalimi dan masuk penjara. Jadi mungkin saya akan berpesan bahawa dia sebenarnya tidak berkahwin dengan seorang pegawai tentera tetapi banduan pada bila-bila masa sahaja.

9) Hari raya kelima, seorang lagi guru saya telah meninggalkan dunia. Ramai orang menyanginya dan saya pasti mereka mendoakannya. Bagaimana pula dengan saya nanti?




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Lemang warisan Nenda.

>> Monday, October 6, 2008

Buat pertama kali, anak bujang mak ini berjaya membakar lemang dengan berjaya sungguh. Walaupun percubaan pertama hanyalah 8 batang sahaja, namun hasilnya tetap memuaskan. Moral of the story di sebalik pengkisahan ini, cubalah apa yang masih belum dicuba sebelum kita meninggalkan dunia dan asalkan benda itu baik untuk kita.

Bertambah seorang lagi pembuat lemang separa-profesional di muka bumi ini ..hoho..


Menghidupkan bara api selama 4 jam.


Membalik-balikkan lemang, masa ni rasa macam diri kena bakar sekali..panas!

Penat, berehat sebentar sambil merancang plan untuk raya tahun hadapan.

Inilah hasilnya, Ini stok lemang terakhir. Sebelum bukti-bukti dilupuskan sempat juga shot satu gambar.


Terima kasihlah kepada yang beri ucapan selamat hari raya. Tak sempat nak balas masa di rumah, sebab di rumah tiada wifi mahupun broadban. Al-kisahnya internet memang tak adelah. Selamat Hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin.



MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...

Bingkisan cerita Nabi Yusuf as

>> Sunday, October 5, 2008


Surah Yusuf. Surah yang terdiri daripada 111 ayat ini cukup menarik untuk diulas. Surah Yusuf ini keseluruhan isinya berkisar pada cerita Nabi Yusuf a.s. dan saudara-saudaranya beserta orang tua mereka. Cara penyampaian surah ini kepada Nabi Muhammad SAW berbeza dengan penyampaian kisah Rasul-rasul yang lain. Kisah Nabi Yusuf a.s. ini khusus diceritakan dalam satu surah sedang kisah-kisah nabi-nabi yang lain disebutkan dalam beberapa surah.

Selain itu tema kisah Nabi Yusuf adalah kesabaran yang sering mendatangkan keuntungan. Berbanding kebanyakan kisah nabi-nabi lain yang diungkap kisah dakwah mereka dan akibat yang menimpa kaum-kaum yang tidak mahu mendengar.

Kisah isteri Aziz* yang menggoda ghulam(budak/hamba) yang bernama Yusuf itu kecoh dikalangan wanita-wanita bangsawan Mesir. Apakah yang membuatkan isteri Aziz itu tertarik kepada hambanya?

Berkata mereka, "Isteri Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata."

Maka tatkala isteri Aziz mendengar cercaan yang ditujukan kepadanya dirancangnya satu majlis. Mahu ditunjukkan kepada mereka yang mengata akan godaan nafsu yang ditimpanya. Ketampanan Yusuf benar-benar membuatkan dia tertawan. Mahu dibuktikan bahawa mereka juga tidak akan berjaya untuk menepis tarikan Yusuf itu.

Wanita-wanita bangsawan hadir ke majlis jamuan yang disediakan oleh isteri Aziz. Mereka disuruh duduk dan disediakan pisau seorang satu kepada mereka buat memotong hidangan jamuan. Ditengah-tengah mereka sedang menghiris hidangan maka ketika itulah isteri Aziz menyuruh Yusuf keluar.

Berkata isteri Aziz kepada Nabi Yusuf, ""Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka."

Maka tatkala Yusuf keluar menampakkan diri mereka terkejut melihat ketampanan Nabi Yusuf sehinggakan ada yang terhiris jarinya sendiri.

"Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia." jerit mereka.

Isteri Aziz berpuas hati, dia berjaya menutup mulut-mulut yang memperkatakannya sebelum ini.

Nabi Yusuf diambang dugaan. Akhirnya dia memutuskan untuk tinggal sahaja di dalam penjara daripada cenderung untuk menurut kemahuan wanita-wanita bangsawan itu. Allah memperkenankan permintaan Nabi Yusuf dan menyelematkan Nabi Yusuf daripada fitnah yang menimpanya.

Kisah ini sengaja saya petik untuk mengajak pembaca berfikir.

Pertama. Jika ketampanan Nabi Yusuf as itu menjadi fitnah buat diri baginda, sehinggakan Nabi Yusuf terbeban dan memilih penjara. Maka apakah yang menjamin diri kita yang sering mengejar-ngejar ketampanan dan kecantikan. Malah lebih teruk lagi jika kita sering berbangga-bangga dengan kecantikan dan mahu menghebohkan kepada orang ramai.

Saya teringat kata-kata bijaksana, "Sesiapa yang merasakan dirinya cantik dan berbangga-bangga dengan kecantikannya maka kecantikannya itu akan memusnahkan dirinya."

Kedua. Keindahan wajah Nabi Yusuf as sahaja sudah membuatkan wanita-wanita bangsawan itu terhiris jarinya, bagaimana pula dengan keindahan pencipta Nabi Yusuf as? Adakah kita berkesempatan untuk melihat keindahan Allah di akhirat kelak?

Ketiga. Setiap kemungkaran itu sebenarnya dibentangkan juga pilihan untuk menyelamatkan diri. Kadang kala pilihan itu merugikan diri sendiri. Namun di sisi Allah itu adalah yang mulia. Nabi Yusuf as lebih memilih penjara daripada tunduk kepada hawa nafsu. Walaupun tinggal di penjara itu bukan satu pilihan yang menyenangkan bagi semua orang, namun itulah yang menjadi Nabi Yusuf as.

Kisah Yusuf banyak pengajaran,
Diambil oleh Rasul junjungan,
Kala sedih duka menawan,
Kisah Yusuf mengubat rawan.

Menurut riwayat Al Baihaqi dalam kitab Ad Dalail bahwa segolongan orang Yahudi masuk agama Islam sesudah mereka mendengar cerita Yusuf a.s. ini, karena sesuai dengan cerita-cerita yang mereka ketahui. Dari cerita Yusuf a.s. ini, Nabi Muhammad s.a.w. mengambil pelajaran-pelajaran yang banyak dan merupakan penghibur terhadap beliau dalam menjalankan tugasnya.

* Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir mengungkap nama isteri Aziz ini sebagai Rail, Zulaikha atau Zalikha. WallahuTaala'lam.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
5 Oktober 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
Continue Reading...

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP