Merasakan diri baik.
>> Wednesday, April 30, 2008
Antara selang waktu lapang, saya gagahi diri untuk menonton filem Indonesia bertajuk Kiamat sudah Dekat.
Filem ini memang sudah lama dikeluarkan, namun baru sekarang saya berpeluang menontonnya. Cerita ini berkisarkan seorang Pemuda yang jahil ilmu Islamnya berkeinginan untuk menyunting anak gadis seorang Pak Kiyai. Sememangnya cerita ini menghiburkan dan banyak pengajaran.
Tetapi tanpa saya sedar, syaitan membisikkan sesuatu ke telinga.
Dihembusnya ke dada, ditinggalkan disepanjang urat-urat yang dijalaninya.
Apabila melihat akan kejahilan pemuda itu, Syaitan cuba membelokkan hati, dikatakannya bahawa diri ini seorang yang baik.
Dikatakannya kepada diri bahawa saya sudah boleh dikatakan baik kerana sudah tahu solat, sudah tahu mengaji, sudah tahu ilmu agama dan sebagainya sebagai pembanding kepada pemuda itu.
Aduhai diri.
Kubisikkan kembali kepada mu. Apakah solatmu itu diterima Allah? Apakah tertegaknya ia dengan ikhlas? Apakah bacaan Al-Quran itu cukup untuk membenteng diriku dari godaan? Dapatkah kau jamin amalanmu terangkat ke langit? Atau hanya dilemparkan kembali ke wajahmu. Apakah dengannya engkau semakin dekat dengan Allah Azzawajalla?
Aduhai diri.
Apakah kau fikir dirimu sudah cukup baik?
Tak lain itu semua merupakan sangkaan sahaja.
Bukan kerana orang memandangmu baik maka dirimu sudah terbukti baik.
Tetapi pandangan Allah Azzawajjalla lebih utama.
Jika dia menyingkap segala aib dirimu, apalah lagi yang tinggal untuk dirimu?
Aduhai diri.
Ingin kukisahkan kau suatu cerita.
Masih ingatkah lagi kau dengan tulisan Ibnu Taimiyyah?
Ketika mana dia berdialog dengan seorang penganut aliran al-Bataihiyah, satu gerakan pengamal Tasawuf sesat.
Orang itu bertanya kepada Ibnu Taimiyyah; "Apa yang ada padamu Ibn Taimiyyah? Jika kami pergi kepada kamu, iaitu Ahl Sunnah, wibawa kami luntur, tetapi jika kami pergi ke Tartar-Mongolia yang kafir itu wibawa kami malah muncul?"
Ibnu Taimiyyah langsung menjawab;
"Tahukah kamu perumpaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami tidak ubah seperti kuda-kuda yang berwarna putih, kamu tidak ubah seperti kuda belang, manakala orang-orang Tartar itu tidak ubah seperti kuda hitam.
Jika yang belang masuk ke dalam kelompok kuda hitam, maka akan nampak putihlah ia dikalangan kuda-kuda hitam itu.
Tetapi jika yang belang itu masuk ke dalam kelompok kuda putih, maka akan nampak hitamlah ia dikalangan kuda-kuda putih itu.
Kamu masih mempunyai sedikit cahaya.
Jika kamu masuk di celah-celah orang kafir maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu masuk di celah-celah orang Ahl Sunnah yang mempunyai cahaya besar maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu.
Demikianlah perbandingan antara kamu, kami dan orang-orang Tartar."
Untuk diriku?
Masih jauh lagi perjalanan mu itu. Apabila terasa baik berdampinglah dengan orang yang lebih baik, nescaya kau akan terasa dirimu itu jahat.
Apabila terasa pandai berdampinglah dengan orang yang lebih pandai. Nanti kau rasa ilmumu itu hanya sedikit sahaja.
Masih merasakan diri baik?
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...