Kematian, pintu seterusnya menuju kepada Tuhan..!
>> Sunday, April 6, 2008
Kemana diri ini mahu lari?
Dunia dihadapannya penuh dugaan. Duri ranjau menunggu-nunggu untuk menusuk dan menikam.
Kemana diri ini mahu berpaut?
Kepada rakan-rakan yang tak putus-putus menggoda untuk meneguk kenikmatan dunia sepenuh-penuhnya. Mengatakan mati itu lambat lagi dan perjalanan di alam barzakh masih jauh lagi.
Oh, cukup diri ini termanggu dengan kata-kata Rasulullah SAW.(1) Kata baginda bahawa Allah akan mencampakkan penyakit 'wahan' ke dalam diri umat Islam di akhir zaman. Apakah penyakit 'wahan' itu? Tak lain tak bukan, cintakan dunia takutkan mati.
Mati?!!
Persoalan yang menghujani diri ini. Mati? Impian yang melangkau 30 tahun ke hadapan akan musnah di sebabkan mati. Kebahagiaan dunia yang dirasakan menyeronokkan akan terhalang disebabkan mati.
Apalah yang tinggal dengan kejayaan di mata manusia kalau diri ini seorang yang telah mati?
Atau pujian yang melambung daripada rakan taulan, sanak saudara jika diri ini adalah orang yang telah mati?
Kemana perginya pangkat, gelaran dan harta-harta melimpah ruah, jika diri ini adalah orang yang telah mati?
Adakah artis-artis, bintang bola sepak yang dipuja-puja akan mengiringi mati ini dengan seribu keberkatan.
Adakah mereka akan memberikan syafaat di saat penghisaban atau menyalahkan kita di mahkamah Mahsyar?
Oh, amat beruntunglah orang yang khusyuk dalam ibadahnya. Merekalah orang yang berjaya yang digambarkan di dalam Al-Quran (2).
Kehidupannya tenang. Jiwanya damai. Nikmat yang diperolehi diyukuri. Ujian yang datang diraih dengan sabar dan yakin diri.
Oh, amat beruntunglah orang yang punya nilai Taqwa.
Di dalam dirinya penuh degan sifat hati-hati menongkah ujian dunia.
Bukankah mereka ini pernah juga mendengar akan wasiat Luqman Al-Hakiem kepada anaknya;
"Dunia ini umpama sebuah lautan yang sangat dalam, banyak orang yang sudah tenggelam di dalamnya. Lantaran itu hendaklah engkau lengkapkan kapalmu itu dengan taqwa kepada Allah, penuhkan perutnya dengan cahaya keimanan, buatlah layarnya dari tawakkal kepada Allah, moga-moga engkau akan selamat dan itupun belum tentu, tiada seorang pun yang boleh menjamin."
Oh, amat malanglah orang benci menghadapi mati. Diandaikan mati itu tak akan menimpanya? Tidak pernahkan difikirkan tentang kenapa dia hidup dan mengapa dia perlu hidup? Bukankah hidup ini disebabkan adanya Pencipta Yang Maha Besar? Tak mahukah dia bersyahadah, bahawa Allahlah yang sebenarnya menjadikan kita daripada tiada apa-apa kepada ada. Mencipta alam ini daripada kekosongan kepada ada!
Dunia adalah sebentar. Purata hidup hanya setakat 50-60 tahun sahaja. Mati itu pasti menanti dimana-mana sahaja. Lalu bersediakah kita untuk menghadapai alam barzakh di mana Nabi Muhammad SAW telah tinggal di dalamnya selama 1400 tahun mengikut perkiraan kita berbanding 63 tahun sahaja umur baginda di dunia?
Lamanya alam Barzakh buat orang yang berfikir secara waras dan bijaksana.
Saidina Ali ra pernah berkata;
* Sesungguhnya dari nikmat dunia itu, memadai bagi kamu Islam sebagai nikmat.
* Sesunggunya dari kesibukan dunia itu, memadai ketaatan kepada Allah sebagai kesibukan.
* Sesungguhnya dari peringatan itu memadailah mati sebagai peringatan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
(1) Petikan hadis riwayat Abu Daud
(2) Surah Al-Mukminun
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...