Bumi mana tidak ditimpa hujan
>> Monday, December 22, 2008
Semilir angin beralun menghambat sekonyong-konyong kapal ke tengah lautan. Awan turut mengiring membawa bersama kawanan berwarna hitam. Matahari malu-malu memancarkan sinar hendak bermalam di balik puncak banjaran. Bulan sudah bersiap-siap memulakan persembahan.
"Oh, Tuhanku. Tidaklah engkau jadikan ini dengan sia-sia."
Lihatlah alam ini berkerja untuk manusia. Janganlah asyik dalam kealpaan, ayuh bangun mulakan langkah menuju keredhaan Tuhan.
Ajarkan kami ubat kesedihan,
Sudah saya ungkapkan di dalam entri demi sebuah perhatian. Manusia suka berbangga dengan segala kejayaan dan kemampuan. Suka dipuji dan menjadi perhatian ramai insan. Konon dia contoh, tidak perlulah masyarakat untuk heboh-heboh.
Mengapa mengeluh? Engkau tidak tahan cercaan dan hinaan?
"Andai boleh kuludah mukanya, biar menjadi ulat yang lembik dan tak bermaya. Lalu kupijak-pijak. Padan muka!"
Jangan marah. Bangun dan berwuduklah. Sejuknya api bukan kerana bara. Tetapi sejuknya kerana air yang menyejukkan.
Bukankah Imam Hassan Al-Banna pernah berkata;"Jadilah kamu di kalangan manusia seperti pokok buah-buahan. Mereka melemparnya dengan batu tetapi dia melemparkan dengan buah."
Sanggup anda menjadi pohon buah-buahan?
Kita bukan super power,
Bayangkan kita punya super power, apakah yang kita akan lakukan kepada orang yang menyakitkan hati kita?
Ops, jangan 'fire' lagi!
Sekarang berpijaklah, yang sebenarnya pemilik segala super power itu adalah Allah Taala. Tiada izzah melainkan Allah SWT. Tetapi lihatlah, sekonyong-konyong manusia yang tidak tahu beruntung suka mengherdik dan menghina Allah. Suka mengundang kemurkaan Allah dengan berbuat maksiat. Manusia tidak betah untuk mempertikaikan qada' dan qadar Allah.
Sedangkan pencipta lagikan dikutuk manusia, inikan pula kita sebagai makhluk.
Tetapi Allah masih memberi mereka rahmat dan rezekinya. Masih dibiar mereka menghirup udara yang nyaman dan tinggal di bumi Allah. Bukankah itu salah satu kebesaran Maha pemurah dan Maha penyayang?
Hari yang cerah bertukar menjadi hujan. Gelapnya alam kerana malam. Variasi cubaan untuk melengkapkan putaran insan. Menagih erti kesabaran kerana ianya pasti membuahkan kebahagiaan.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
22 Disember 2008,
0856H,
Home: http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...