Ayam yang menemani subuh
>> Saturday, December 13, 2008
Nyaring ayam berkokok....
Terasa mahu dilastik sahaja ayam ini. Mengganggu orang seawal pagi. Tunggu dulu, jangan terburu-buru! Ayam itu punya kebaikan pengajaran. Mengejut orang diwaktu dinihari. Mengorbankan dagingnya buat santapan harian dan juga kenduri.
Ambillah ibrah(pengajaran) kokokan ayam...
Ayam mengejutmu seawal 5 pagi,
"Bangun manusia! Bangun! Ada yang lebih baik nilaiannya diwaktu ini.
Keuntungan berlipat-ganda yang Allah janji. Apa yang membuatkan kamu malas tak terperi? Selimut tebalkah, atau tilam empuk semalam yang kau beli?"
Ah, sedapnya tidur...Sibuk sahaja ayam ini! Hah, apa yang keuntungan yang Allah janji itu wahai ayam?
"Eh, kamukan tahu sendiri? Kamukan baca kitab dan mengaji. Mengapa aku pula sasaran soalanmu ini? Tetapi aku tahu ada yang menarik...ada yang akan tertarik.."
Sudah..sudah..aku malas nak buka kitab. Kau sahaja yang patut menerangkan wahai ayam!
Dahulu aku terserempak dengan orang berjalan diwaktu subuh menuju ke masjid. Dia tersenyum padaku dan memberikan salam buatku. Aku melihat wajahnya cukup bahagia dan bercahaya, ku tanya dia apa rahsianya?
Dia berkata, waktu inilah terasa indahnya membaca doa cahaya, dia mengajarkan padaku doanya,
"Ya Allah, jadikanlah pada hatiku cahaya, pada lidahku (percakapanku) cahaya, pada pendengaranku cahaya, pada penglihatanku cahaya, dari atasku cahaya, dari bawahku cahaya, dari kananku cahaya, dari hadapanku cahaya dan dari belakangku cahaya, Jadikanlah dalam diriku cahaya, besarkanlah cahaya bagiku dan agungkanlah cahaya bagiku. Jadikanlah bagiku cahaya serta jadikanlah diriku cahaya. Ya Allah, berikanlah kepadaku cahaya dan jadikanlah dalam urat sarafku cahaya, dalam dagingku cahaya, dalam darahku cahaya, pada rambutku cahaya dan pada kulitku cahaya".
Oh, itu doa ke masjid aku sudah hafal. Tinggal aku sahaja tak berkesempatan ke masjid. Mana dia kelebihan itu wahai ayam?
Tidak berkesempatan atau lemah iman pada diri?
Hmm, Dia mengatakan bahawa waktu subuh adalah waktu paling indah berjemaah. Suasana hening , tinggal suara imam yang merdu memecah sunyi. Katanya lagi, di dalam waktu ini terdapat solat sunat yang fadhilatnya melebihi apa yang ada di dalam dunia dan isi. Aku fikirkan dengan otak aku yang kecil ini, solat sunat sudah begitu fadhilatnya apatah lagi solat fardu yang dikerjakan berjemaah.
Oh, begitu? Lagi..apa lagi yang diberitahu?
Katanya lagi orang yang hadir berjemaah isyak ianya seakan-akan telah mengerjakan solat setengah malam. Dan orang yang hadir berjemaah subuh ianya seakan-akan telah mengerjakan solat satu malam penuh. Katanya lagi ada khabar gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat. Dan janji besar yang mungkin 'kalau' kau beriman kau akan menyukainya, sesiapa yang solat dua waktu yang dingin akan masuk syurga. Selepas menerangkan itu dan ini, dia pun berlangkah pergi.
Eh, aku berimanlah! Mengapa disebut perkataan 'kalau'? Wah itu besar sekali fadhilatnya. Apa tuntas yang kau buat selepas itu?
Aku lihat ramai manusia yang tidur sewaktu azan subuh berkumandang. Ramai juga yang bangun di hujung-hujung waktu untuk solat kemudian tidur kembali. Hah, dahulu orang munafik sahaja yang tidak mahu untuk bersolat subuh. Sekarang orang yang mengaku beriman pun turut sama. Aku geram..aku berkokok kuat-kuat! Ada yang bangun memekik dan memaki-maki, tidak kurang juga yang mencapai lastik mahu menggertak dan mahu aku cabut lari.
Aduhai, jika kufikir kalau begini mudahlah musuh hendak menakhluk negara. Di awal-awal subuh sudah menang tanpa bertanding. Aduhai, tidak fikirkah mereka ini kelakuan siapa? Kelakuan musuh Islam yang mana mereka diperangi oleh panglima-panglima hebat seawal-awal pagi. Nabi SAW tidak memulakan peperangan di Khaibar sehinggalah menunggu subuh. Sallehuddin al-Ayyubi menang peperangan Hittin dengan permulaan subuh. Bukankah ini bukti doa keberkatan awal pagi yang diucapkan Nabi SAW buat umatnya?
Sungguh subuh itu satu ujian. Alangkah indahnya jika kita salah seorang yang menggagahi ujian ini.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
15 Zulhijah 1429H,
http://msrizal.blogspot.com/
4 comments:
alhamdulillah..entri yang informatif, namun dipersembahkan dengan gaya penceritaan dan unsur2 yang menarik agar tidak busan membacanya!
:)
[tertarik dengan doa cahaya tu..sangat menyentuh hati..barakallah..]
Alhamdulillah...doa ke masjid yang cukup bahagia dibaca..
Jangan lupa promote keindahan subuh jemaah pada teman2 akh al-ikhsan..
Salam.
Saya beberapa kali mencoba memberi komentar di blog ini tetapi selalu error, semoga komentar yang ini tidak error lagi [amin]
Subuh memang waktu yang paling menyenangkan dan menyegarkan, sekaligus paling enak untuk melanjutkan tidur.
Disinilah hati kita berkecamuk, antara menuruti ajakan iblis untuk tetap tidur dan ajakan Malaikat untuk segera bangun dan mengambil air wudlu.
Insya Allah, meski sulit hati selalu memenangkan ajakan Malaikat.
Yang jadi masalah adalah bagaimana kita bisa menularkan kekuatan hati itu untuk mengajak anak-istri kita agar juga mencintai suasana Subuh [yang indah ini]
Insya Allah, kita bisa
Amin.
Salam
Mas Eko Eshape,
Maaf jika terdapat kesulitan di dalam memberi komentar. Sesungguhnya ianya di luar kawalan saya. Tetapi alhamdulillah berjaya juga akhirnya.
Teruskan usaha anda untuk memenangkan hati keluarga ke arah keindahan Islam. Juga boleh diteruskan kepada sahabat handai dan jiran tetangga. InsyaAllah...
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...