Masih adakah lagi bayang-bayang 16 September?
>> Wednesday, December 17, 2008
"Saya ada berita gembira. 3 minggu lagi syarikat ini akan menaja anda semua bercuti ke Bandung Indonesia selama 3 hari 2 malam," Encik Rahmat pengurus syarikat XXXX menyelitkan pengumuman ketika taklimat pagi kepada semua staf pejabat.
Berita yang cukup menggembirakan semua orang di situ.
2 minggu sudah berlalu, tiada sebarang tindakan susulan yang diberikan oleh Encik Rahmat. Dan beberapa hari sebelum genap 3 minggu, Encik Rahmat mengumumkan pembatalan percutian itu atas sebab-sebab tertentu.
Semua orang hampa dengan pengumuman demikian.
Terlajak perahu boleh diundur,
Umum, individu yang berada di dalam kelompok dipimpin gemar mendengar kata-kata janji daripada pemimpin mereka. Bagi mereka kata-kata janji itu membuahkan harapan dan kegembiraan untuk mereka mengharungi hari-hari esok. Tetapi awas, mereka juga tidak menyukai harapan palsu.
Bentanglah alasan sekukuh mana sekalipun, ianya sekalipun hanya boleh mengembalikan kepercayaan tetapi tidak dapat mengubati kehampaan.
Pemimpin perlu menilai kembali kata-katanya sebelum dilontarkan kepada umum. Kerana silap kata, bukan seorang dua yang kita sakitkan hatinya, tetapi mungkin berpuluh, beratus mahupun berjuta.
Anwar Ibrahim, bapa reformasi?
Saya tidak boleh menipu diri sendiri. Walaupun saya tidaklah meletakkan keyakinan seratus peratus kepada janji-janji manis beliau namun, ianya tetap mendatangkan kehampaan. Ternyata tarikh 16 September itu bukanlah hari yang perlu diwar-warkan. Kerana tiada apa yang kena dengan tarikh. Cuma lebih elok diceritakan bagaimana caranya pengambil alihan kuasa dan rasional yang dapat diberi jika berlaku pun pengalihan kuasa. Dan paling penting di atas nilai apakah perlunya pengambil alihan kuasa. Tetapi itu semua nampak terburu-buru dan hasilnya cuma retorik semata-mata.
Hendaklah pemimpin-pemimpin berhati-hati dengan mulutnya yang berucap. Takut-takut ianya termasuk di dalam kategori menipu rakyat. Kerana ada amaran keras daripada Rasulullah SAW yang direkodkan di dalam Shohih Muslim, juga disebut di dalam Shohih al-Bukhari;
Dari Al Hassan r.a. katanya:
Ubaidullah bin Ziyad mengunjungi Ma'qil bin Yasar Al Muzani ketika dia sakit hampir meninggal. Kata Ma'qil kepada 'Ubaidullah, "Aku hendak menyampaikan kepadamu sebuah hadis yang kudengar sendiri daripada Rasulullah SAW yang kalau aku yakin bahawa usiaku panjang hadis ini belum aku sampaikan kepadamu.
Aku mendengar Rasulullah SAW, bersabda: "Tidak ada seorang hamba yang dipercaya Allah kepadanya memimpin rakyatnya, kemudian dia mati. Sedangkan pada hari kematiannya dia (masih) menipu rakyatnya, nescaya Allah mengharamkan syurga baginya."
Taksub,
"Dia tidak pernah kalah di dalam setiap peperangan sehingga ada yang berkata kemenangan itu milik Khalid bin Walid," begitulah jawab Umar apabila ditanya mengapa dia melucutkan jawatan panglima daripada Abu Sulaiman itu.
Namun terpujinya sifat Khalid yang tidak tersinggung pun dengan perlucutan jawatan itu dan menyerahkannya kepada Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.
Bagaimana agaknya jika saya letakkan Anwar Ibrahim dalam keadaan sebegini. Dia tidak patut menjadi Perdana Menteri kerana dia menjadi pujaan rakyat jelata dengan melampaunya. Mungkin ada penyokongnya yang marah kepada saya...
Anwar Ibrahim tetap manusia biasa yang tidak maksum. Saya risau dengan kata-katanya yang menyihir ramai orang. Selalunya seseorang yang pandai bercakap akan terus bercakap sehingga ia mula bercakap kosong. Dan sebenarnya ada satu yang membuatkan saya tidak berapa selesa dengan beliau semenjak beliau keluar dari penjara. Beliau seperti menuntut jawatan yang patut disandangnya 10 tahun yang lalu; sebagai Perdana Menteri. Maafkan saya jika saya menilainya sebagai meminta-minta jawatan.
Dari Abdurrahman bin Samurah r.a. katanya: "Hai, 'Abdurrahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara. Kerana jika engkau menjadi pembesar dengan meminta, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa meminta, maka engkau akan ditolong orang dalam tugasmu. (Hadis Shohih Muslim)
Melihat pemimpin-pemimpin yang berada di atas, membuatkan saya termenung seketika. Tiada siapa yang boleh menuding dia berada di pihak yang benar sekalipun dia berada di jalan parti hijau atau parti keris taming sari. Kerana saya percaya prinsip parti berasaskan agama atau bangsa punya halatuju yang baik yang akhirnya dapat memenangkan Islam. Cuma tangan yang mengadunnya membuatkan prinsip itu kabur dan tidak sampai.
Anda minat politik? Berhati-hatilah kerana sukar untuk membuang tohmah dan fitnah bila anda terjun ke dalamnya.
p/s: Blog ini bukan blog politik, saya jadi hairan apabila sudah lama ianya tersenarai di dalam Beras-padu.pit. Tetapi... mungkin elok juga dikekalkan untuk check and balance.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
17 Disember 2008/19 Zulhijah 1429H
1021H
Home: http://msrizal.blogspot.com/
3 comments:
Salamun'alaik. Sekadar pandangan peribadi. Jujurnya, saya juga menunggunya peristiwa 16 September menjadi kenyataan. Umumnya mengetahui rancangan itu gagal akhirnya. Realitinya menjadi pemimpin biarpun memimpin diri sendiri sesuatu yang sukar. Lebih-lebih lagi apabila ditanya di akhirat nanti. Namun, dalam konteks DSAI, kekuatan beliau adalah terletak pada karisma yang tidak pernah berubah dalam membawa harapan rakyat. Kerjaya politiknya diteruskan biarpun dalam keadaan yang sukar. Bagaimanapun, selaku mahasiswa kita juga merupakan salah satu entiti yang bertanggungjawab menjadi agen perubahan. Wahu'allam
"Politik merupakan kenderaan untuk menjalankan dakwah"
Saya tidak menafikan kepayahan yang ditempuhi DSAI. Malah benteng penjara itu sebenarnya juga telah dilalui oleh ramai pemimpin sebelum berjaya. Contohnya bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang meringkuk di dalam penjara Robben Island selama 27 tahun sebelum diangkat menjadi presiden.
Namun ini bukan sebab utama kita perlu melantiknya menjadi perdana menteri. Saya cuba keluar daripada persepsi ini....
Cuba kita lihat di zaman salafussoleh dahulu. Para sahabat amatlah takut dengan jawatan. Mungkin kita terlupa adanya watak Said bin Amir yang menolak dengan bersungguh-sungguh apabila dilantik sebagai amir di Syria oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Namun disebabkan desakan beliau akhirnya menerima.
"Politik merupakan kenderaan untuk menjalankan dakwah"
Saya bukanlah orang yang membenci politik secara total. Untuk ini saya menyokong saudari...
wait n see..ak percaya orang-orang yang tabah dan berusaha mengecapi kemenangan..ak percaya anwar ibrahim tidak gila mengangkat diri sebagai ketua pembangkang..mungkin ramai orang bawah melihat sebagai amir yang boleh memimpin negara pada ketika ini..
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...