Hujan renyai-renyai di pagi Aidiladha
>> Monday, December 8, 2008
"Allahuakhbar..Allahuakhbar..Allahuakhbar.."
Puji takbir dan tahmid hamba laungkan buat pemilik semesta alam.
Ya Allah, hamba ini kerdil sebenarnya. Maka itu tidak layak untuk hamba ini membesarkan diri apatah lagi sombong dan angkuh berjalan di bumiMu.
Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba, dosa kedua ibu bapa hamba, dosa muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Saban tahun kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan takbir dan tahmid memuji Ilahi. Gema takbir itu bisa meruntun jiwa-jiwa yang sentiasa merindui tuhannya. Tangis air mata mengalir bukan tangis dibuat-buat apatah lagi bukan kerna mengingat satu-persatu detik nostalgia lampau. Ianya hadir dengan penuh harapan. Harapan moga kalimah agung inilah yang kembali bergema menggegar dunia suatu hari nanti.
Tidak lengkap rasanya kita meraikan tarikh tanpa menyebutkan asbab dan puncanya. Sesungguhnya hari raya ini adalah di antara dua hari raya yang disyariatkan Allah kepada Nabi SAW.
Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main(bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari raya yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." (Hadis riwayat al-Nasai, di dalam Sunan al-Nasa'i)
Kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail as. Moga-moga kita menghafal dengan baik kisah ini dan ada ibrah yang dapat diambil daripadanya.
Namun jika melihat penuh sesaknya orang-orang yang wukuf di Arafah, kemudian Musdalifah dan mengerjakan rukun-rukun haji lain. Kita tidak boleh lepas daripada menyorot peristiwa yang berlaku sebelum hari-hari penakhlukan Makkah itu sendiri yang digelar Fathul Makkah.
Bagaimana ianya bermula dengan perjanjian Hudaibiyah pada tahun ke-6 hijriyah, kemudian tahun ke-7 Hijriyah dan tahun ke-8 bermulalah Fathul Makkah.
Datanglah Umar al-Khattab bertanyakan kepada Rasulullah SAW, menyatakan ketidakpuashatinya akan perjanjian Hudaibiyah. Sedangkan sangkanya Nabi SAW telah berjanji bahawa mereka akan mengerjakan tawaf di Baitullah. Rupanya Rasulullah SAW berjanji, tetapi bukan untuk tahun itu. Perancangan Allah Taala amatlah besar.
Ketika peristiwa ini berlaku turunnya surah al-Fath, dan Nabi SAW membacakannya kepada Umar. Dengan itu barulah Umar merasa tenang.
Nabi SAW lalu menggesa sahabat-sahabatnya menyembelih ternakan kurban dan bercukur.
Saat kita melaungkan takbir. Jangan lupa bawakan juga semangat ini. Semangat kemenangan Islam. Menangislah kerana ini dan juga kerana takutkan Allah Taala. Bukan tangis sebak dan sedih kerana tidak pulang berhari raya.
Allahuakhbar!!!Pagi raya yang tetap indah bersama rakan serumah; dari kiri Syafiq, Shamil, Shah Rizal dan Sukri.
Salam Aidil Adha!!!
Kuala Lumpur,
10 Zulhijah 1429H,
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
Fuh. Kacak bergaya. Lama sudah aku tidak memakai baju Melayu lengkap bersamping ini. Rindu sekali.
Kalau sudah berada di Jepun pakai sahaja baju kebangsaan Jepun, apa namanya?~kukira kamu lebih tahu.
Itu pun sudah cukup bermakna untuk dipakai di hari raya..haha
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...