Medan itu bukan penamat kesedihan

>> Saturday, September 13, 2008


Tangan bergerak laju memotong wayar hijau yang bergulung di relung.. Disusun satu persatu kepada 20 bahagian. Setiap bahagian mempunyai 18 jalur wayar. Dipotong pula wayar berwarna jingga. Dicampur bersama wayar hijau tadi.

"Awak semua jaga bilik saya sebentar ye, saya nak keluar," pensyarah saya bersuara.

Sebenarnya saya sedang menolong pensyarah menyusun komponen elektronik di dalam biliknya. Ada 2 orang lagi rakan bersama. Pensyarah ini juga merupakan penyelia projek sarjana muda saya.

Ditinggalkan kami dengan membiarkan komputernya mengiramakan lagu. Lagu raya!

Termenung ku sendiri..
Memendam rindu tidak menentu..

Aduh, lagu yang benar yang menyentuh sanubari!

Di pagi hari raya..
Hati sayu mengenang dirimu..

Siapakah gerangan yang dikenang? Adakah hari itu hari kenang mengenang?

Saya mula melontarkan persoalan kepada rakan-rakan.
Seperti hari-hari sebelum aidilfitri dan tahun-tahun sebelumnya, lagu-lagu hiba begini kerap benar berkumandang. Dikuatkan lagi dengan cerekarama di televisyen yang mendendangkan latar sedih yang bisa menitiskan air mata jantan ku ini..cis!

Jika saudara-saudari rajin untuk menggunakan enjin carian google atau alwahy. Cubalah menaip centre for suicide prevention. Sebuah laman yang cuba memberikan motivasi dan mencegah peningkatan krisis bunuh diri. Ada sesuatu yang menarik di sini.


Saya terjumpa satu laporan kajian yang dibentangkan. Sesuatu yang mengejutkan, kadar peningkatan bunuh diri meningkat dengan mendadak pada bulan Disember atau lebih spesifiknya lagi sepanjang tempoh Krismas.
Daripada sampel seramai 188,000 kes bunuh diri telah direkodkan di US, Philips dan Wills pada tahun 1987.
Sparhawk (1987) telah menyatakan Krismas sebagai salah satu cuti umum yang mencatat kadar bunuh diri tertinggi dimana sampel yang di ambil sebanyak 13,651 kes.

Mengapa ini berlaku pada hari krismas?
Tentunya krisis emosi yang menjadi punca bunuh diri. Dan antara sebab yang diteliti adalah hari Krismas akan membangkitkan memori positif, kegembiraan dan mempengaruhi pandangan bagi mereka yang sedang dalam tekanan.

Memutar jarum masa ke belakang untuk mengenang saat bahagia adalah racun berbisa buat seorang yang telah punah dengan tekanan dan derita. Maka jalan mudah untuk melupakan, bunuh diri!


Saya mengaitkan sambutan Krismas ini dengan perayaan Aidilfitri di negara kita.

Mengikut sunnah, aidilftri diraikan sehingga orang-orang perempuan juga turut diperintah pergi solat 'Idh, bahkan anak-anak gadis keluar dari pingitannya. Begitu juga wanita-wanita yang sedang haid. Mereka sama-sama bertakbir dan mendoa bersama-sama. Mengharapkan berkat dan kesucian pada hari itu. [hadis dari Ummu 'Atiyah, shahih Bukhari]

Inilah yang membezakan perayaan krismas dan aidilfitri. Krismas bergembira semata-mata, sedangkan aidilfitri ada nilai ibadah di dalamnya. Pengharapan, redho dan maghfirah daripada Allah yang diharapkan. Laungan membesarkan Allah diutamakan. Apalah yang dapat dinilai pada aidilfitri itu jika ini semua bukan lagi keutamaan, aidilfiti yang kosong tanpa penghayatan.


Saya kira inilah yang menyebabkan aidilfitri itu dijadikan medan sedih dan rindu bangat. Mengenang masa-masa bahagia aidilfitri dahulu, kerana aidilfitri hanya dirasakan gembira..gembira..gembira..itu sahaja! Lalu apabila sekali ditimpa malang di hari pertama Syawal, tanpa lemang ketupat dan orang tersayang. Maka dirasakan Syawal itu tidak bernilai apa-apa.

"Okey, dah siap dah. Nanti saya beri upah 50 sen seorang," pensyarah saya datang kembali sambil berseloroh.

Kami tersenyum sambil mengemas apa yang patut sebelum menzahirkan diri untuk pulang.

"Jika aidilfitri itu hanya dirasakan medan gembira. Maka tidak mustahil seperti krismas, hari pertama Syawal ada kes bunuh diri pula!" minda saya berbisik gemalai...


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
13 September 2008M/13 Ramadhan 1429H
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP