Al-Quran yang menyerlahkan ke'jelitaan'nya
>> Friday, September 19, 2008
Subuh itu sejuk tetapi hening. Keadaan sunyi dan tenang. Azan lantang berkumandang.
Saya melangkahkan kaki ke surau.
"Allahuakhbar...."
"Bismillahirahmanirrahim...."
Subhanallah..Maha suci Allah yang menganugerahkan suara kepada manusia. Bacaan imam cukup menyentuh kalbu. Saya lantas menghayati bacaan. Cuba untuk khusyuk biarpun saya tahu bacaannya mungkin agak panjang sedikit. Suasana yang tenang seperti ini sememangnya meningkatkan motivasi untuk khusyuk.
Apa yang saya rasai bukanlah asing bagi umat Islam yang mencintai Al-Quran. Cukup indah bahasa Al-Quran itu. Bayangkan setelah 1400 tahun berlalu, tetapi inilah kitab yang paling bertahan dan dibaca oleh ramai orang di dunia. Kod-kod ayatnya pula bersusun, boleh dilagukan dan diperindahkan bacaan. Maha suci Allah yang menciptakan.
Bacaan imam yang merdu bukannya datang dari suaranya yang merdu semata-mata. Tetapi tentulah ianya datang daripada kombinasi suara dan ilmu tajwid. Suara sesedap mana sekalipun akan sumbang apabila berterabur tajwidnya. Suara seserak mana pun akan tetap merdu jika elok tajwidnya. Bukankah begitu?
Saya tidaklah mengaku yang saya ini sehebat Ustaz Zambri(mari mengaji) dalam bertajwid. Kerana saya juga dalam proses belajar dan akan terus belajar. Hakikat insan yang sentiasa dahagakan ilmu Allah.
Sedarkah kita bahawa tajwid adalah salah satu seni tersendiri Al-Quran untuk menyerlahkan lagi salah satu keindahan dan kejelitaannya. Wah, jika isteri mahu yang cantik, rumah dan kereta mahu yang menarik! Tetapi tidakkah mahu kita mengejar kecantikan Al-Quran?
Apa itu ilmu Tajwid? Ilmu tajwid adalah mengeluarkan sebutan setiap huruf dari makhrajnya yang betul, serta memberi hak sifat yang asli dan hak sifat yang mendatang kepadanya.
Mungkin kita beranggapan, ianya mudah. Namun hakikatnya belum tentu bacaan kita tepat dan betul menurut 'tajwid' yang sebenarnya.
Kerana maksud sifat asli dalam pengertiaan tajwid itu adalah di atas ialah sifat lazim yang ada pada huruf itu dan tidak dapat diceraikan seperti Ghunnah, Jahr, Syiddah, Istifal dan sebagainya. Manakala sifat mendatang pula yang timbul dari hak sifat asli seperti Tafkhim dan Tarqiq.
Dan tahukah kita? Bahawa kebanyakan ilmu tajwid yang dipakai sekarang ini adalah bersumberkan bacaan Imam Hafs An'Aa'sim, salah satu bacaan dari qiraat sepuluh.
Wah, mungkin kita tidak pernah pun mendengar istilah di atas. Justeru mengapa ada yang mendabik dada berpuas hati setakat lancar dan 'tahu' baca sahaja.
Kepada masih yang tidak lancar membaca jangan malu dan berputus asa. Dekatilah Al-Quran, kerana semakin dekat kita dengan Al-Quran maka semakin dekatlah kita dengan Allah Taala.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
19 September 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...