Bangun dan berilah peringatan!
>> Friday, September 19, 2008
"Zamilluni..zamilunni.."
"Selimutkan aku..selimutkan aku.."
Inilah ayat yang terbit dari mulut Rasulullah SAW sejurus sahaja balik ke rumah. Baginda meminta isteri tercinta Saiditina Khadijah menyelimutinya. Perasaan baginda ketika itu cemas. Malaikat yang datang kepada baginda lalu mengajarkan Al-Haq(wahyu) benar-benar membingungkan baginda.
"Sesungguhnya aku cemas atas diriku(akan binasa)," Rasulullah SAW menyatakan kepada Khadijah.
Lalu Khadijah menjawab lembut, "Jangan takut, demi Allah! Tuhan sesekali tidak akan membinasakan anda . Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan barang keperluan yang belum ada, memuliakan tetamu, menolong orang yang sedang dalam kesusahan menegakkan kebenaran."
Sungguh berhikmah sekali kata-kata Khadijah. Anugerah agung Allah sebagai penyejuk mata dan hati untuk Rasulullah SAW.
Susulan itu Saiditina Khadijah membawa Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan Warqah bin Naufal iaini sepupu khadijah. Warqah mendengar cerita yang terbit dari mulut baginda dan membenarkan.
"Inilah Namus(Malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu iaitu ketika anda diusir oleh kaum anda," Waraqah menjelaskan.
Kenyataan yang menimbulkan kehairanan kepada Nabi. Adakah diri baginda akan diusir?
"Ya, benar! Belum pernah seorang jua pun yang diberi wahyu seperti anda, yang tidak dimusuhi orang. Jika saya berada ketika itu, nescaya saya akan menolong anda sekuat-kuatnya,"
Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu terputus sementara waktu.Wahyu kedua.
"Ya ayyuhal muddatsir, Qum faanzir!"
"Wahai orang berselimut! Bangun dan berilah peringatan!"
Wahyu tersambung semula dengan permulaan surah Al-Mudatsir ayat 1-5. Selepas itu wahyu turun berturut-turut.
Sering ramai memetik tentang surah pertama yang turun(surah Al-A'laq, 1-3) apabila menceritakan turunnya Al-Quran. Tetapi amat jarang saya mendengar orang memetik surah kedua yang turun selepas itu. Inilah surah Al-Mudatsir.
Jika permulaan wahyu diterangkan tentang kepentingan ilmu. Maka surah ini penting untuk menyatakan pentingnya menyampaikan ilmu dan peringatan. Rasulullah SAW disuruh bangun dari kemulan dan disuruh memberikan peringatan.
Ianya tidak disusuli dengan 'Qum fabashir-berilah berita gembira' tetapi dengan 'Qum faanzir-berilah peringatan'. Manusia sering dan perlu diperingatkan tentang ancaman azab Allah SWT yang tidak pernah lepas dari manusia. Manusia perlu diperingatkan! Hidup di dunia bukan untuk bermain-main dan bersenang lenang. Tetapi ada amanah yang perlu ditunaikan.
Saya kira inilah yang perlu mula-mula sekali ditanam dalam diri setiap manusia. Bukan dengan hanya asyik membaca fadhilat amal. Nanti diri asyik terfikir sudah layak masuk syurga dengan ganjaran itu dan ini. Walhal syurga itu bukan murah harga yang perlu dibayar.
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah,214)
"Ya Allah redhokan kami masuk ke dalam Syurga mu.."
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
19 September 2008,
http://msrizal.blogspot.com/
1 comments:
Subhanallaahh...
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...