
"Zaman sekarang ini, memang susah dapat kerja," Pak Belalang berbasi-basi.
"Haah, tambah-tambah lagi orang yang malas!" Encik Kacong bersuara.
"Hmm..emm," Pak belalang mencebik bibir selamba, sekadar menepis perlian yang ditujukan kepadanya.
Reaksi spontan yang mengundang hilai tawa kami yang melihatnya.
Bukan sekali, saya menonton filem ini. Sudah acap kali, namun masih lagi tidak jemu.
Ironinya, situasi ini bukan dialami oleh saya seorang sahaja. Tetapi kebanyakan daripada kita. Kenapa ya?
Mungkin antara sebabnya, adalah kerana jalan ceritanya yang diterima baik setiap lapisan masyarakat.
Mungkin juga bahasanya yang menggunakan bahasa yang tinggi sedikit daripada bahasa pasar, membuatkan ianya bertahan lama.
Mungkin juga pengajaran dan nilai moral yang mahu diajarkan.
Dan mungkin juga itu filem lama, maka ramailah orang yang mahu teringat kisah silam menontonnya.
Kita huraikan sedikit, faktor pengajaran dan nilai moral. Filem sekarang pun ada. Faktor jalan cerita dan bahasa. Mungkin memainkan peranan?
Apabila melontar karya filem, penerbit perlu memikirkan siapakah pembacanya. Filem P. Ramlee boleh diterima segenap lapisan masyarakt kerana membawa cerita-cerita rakyat. Tetapi bukan semua cerita P. Ramlee yang membawa cerita rakyat, dan kebiasaannya cerita yang kurang 'rakyat' itu tidak berapa popular.
Nilaikan kembali filem zaman sekarang? Berapa ramai lapisan masyarakat gemar menontonnya?
Bahasa! Saya mahu menekan faktor ini, bahasa yang digunakan P. Ramlee adalah bahasa yang diangkat sedikit daripada bahasa pasar di zamannya. Faktor yang amat menarik, kerana bahasa pasar akan tenggelam ditelan zaman. Tetapi tidak pada bahasa Melayu tinggi. Malah ianya boleh dipasarkan disetiap ceruk kampung yang berloghat tebal. Semua orang boleh menerima.
Nilai penulis.
Sepertihalnya dengan filem begitulah juanya dengan bidang penulisan. Faktor bahasa juga yang membuatkan blog itu bertahan. Terus-terang saya amatlah anti dengan gaya penulisan blogger yang mengambil enteng kesalahan tatabahasa dan penulisannya. Gemar menulis bahasa SMS, dan mencampur adukkan bahasa. Segalanya mahu short from!
Ini adalah jenayah berat di dalam penulisan!
Kita singkap sedikit, sebenarnya gaya penulisan dan perkataan yang dipilih penulis menggambarkan tahap pemikiran dan pendidikannya. Dan begitulah jua orang yang memberi komen kepada blog 'bahasa SMS' ini. Mereka pun akan memilih untuk menulis dalam bahasa SMS. Mereka juga datang dari tahap pemikiran dan pendidikan yang sama.
Tambahan pula, dengan gaya penulisan itu mereka telah mengadili pembacanya sama rata. Sesiapa yang membaca akan dihidangkan dengan tahap pemikiran mereka. Jika mat rempit menulis blog dengan bahasa mat rempit, maka saya yang membacanya telah diturunkan tahap pemikiran kepada mat rempit. Bagaimana pula jika golongan diraja yang membacanya?
Nasihat saya, tulislah dalam bahasa Melayu tinggi. Ianya boleh merentas latar belakang pembaca dan merentas zaman. Bukankah faktor bahasa Arab tinggi juga salah satu faktor yang menyebabkan Al-Quran itu bertahan lama? Lakukan penambahbaikan setiap kali menulis.
InsyaAllah dengan mempraktikkannya, kita boleh melangkah setapak lagi kehadapan. Mana tahu blog anda layak untuk untuk dibukukan?
Continue Reading...
Read more...