Terawih itu 'rehat'lah...

>> Sunday, August 31, 2008


Saya melihat secara serius akan jumlah kedatangan orang ramai ke masjid untuk bersolat terawih. Saban tahun saya asyik mendengar perlian sinis, si ustaz berceramah mengenai hangat-hangat tahi ayam sikap jemaah.

"Hari pertama, penuh masjid....."

"Hari kedua, penuh lagi..."

"Hari ketiga dah mula nampak sikit..."

"Hari keempat, kelima, keenam dan seterusnya makin sikit..."

Persoalan ingin ditimbulkan di sini. Dimanakah silapnya terawih itu sehinggakan jumlah jemaah saban hari semakin kurang?
Apakah signifikannya terawih itu kepada umat Islam seusai sahaja bulan pentarbiyahan Ramadhan?

Dan kembali dipersalahkan adalah jemaah. Entahlah, kadang-kadang saya rasa sesetengah ceramah agama ini tidak banyak yang mendidik masyarakat. Tetapi dijadikan medan untuk ustaz menyalahkan masyarakat. Tidak setuju? Salahkan kembali saya yang tidak pandai memilih tempat.

Umum sifat manusia, susah untuk beritiqomah. Hanya yang benar-benar tetap dan teguh kakinya menompang lantai sahaja yang teguh berdiri. Tetapi tidak adakah sesuatu usaha Tok Imam dan Bilal mahupun pengerusi masjid untuk mengambil pendekatan yang mesra masyarakat?

Sesetengah tempat, berdegil mahu mengadakan 20 rakaat. Saya tidak mahu berhujah tentang bilangan rakaat, namun situasi ini kadang-kadang dilihat tidak mesra masyarakat. Dalam pada untuk meramaikan orang datang ke masjid, mereka dibebankan untuk meng'Istiqomah' kan diri ikut sampai rakaat ke-20.

"Apa masalah buatlah lapan, lepas itu baliklah?"

"Bukan semua orang suka buat kerja tak habis."

Saya teringat satu hadis,
Sebaik-baik amalan di sisi Allah, adalah yang paling istiqamah walaupun sedikit-(Riwayat Bukhari & Muslim.)

Bayangkan, daripada malas nak datang solat jemaah fardu ke masjid. Malas nak sunat qobliah dan ba'diah. Malas nak bangun qiam. Terus sahaja lompat untuk berterusan solat 20 rakaat. Mana boleh tahan lama...
Jika dikatakan zaman Umar al-Khattab, terawih diadakan 20 rakaat. Jangan lupa bandingkan peratus orang Islam datang ke masjid untuk bersolat jemaah fardhu. Dulu dan sekarang, jauh panggang daripada api.

Sesetengah tempat mengerjakan solat terawih secara laju. Mungkin nak jimatkan masa, atau ada sesuatu yang ingin dikejar(hendak habiskan 20 rakaat agaknya). Maka lenguh-lenguhlah kaki jemaah. Kaki diurut, hati mengeluh. "Tok Imam ini, bermakmumkan malaikat ke?" Pandanglah belakang, mungkin di dalamnya terdapat sebaris orang tua yang baru berjinak datang ke masjid. Para muda-mudi yang baru belajar mengikat kain pelikat dan memakai telekung. Dan kanak-kanak yang mahu menilai keindahan Islam zamannya.

Sewajarnya, berehat-rehatlah selang 4 rakaat. Baru sesuai dengan maksud 'terawih' itu sendiri yang dinamakan rehat. Alangkah baiknya, selang rakaat keempat diberikan sedikit tazkirah, memotivasikan jemaah dan mengajak jemaah memuji sebanyak-banyaknya kepada Allah. Barulah dinamakan masjid yang mendidik.

Kadang-kadang bacalah satu muka surah, atau setengah. Atau kadang-kadang bacalah dua atau tiga potong ayat sahaja. Bukankah ini langkah yang baik bagi meraikan segala lapisan masyarakat; tua dan muda, alim dan jahil, dewasa dan kanak-kanak, lelaki atau perempuan.

Alangkah baiknya, yang menjadi kegembiraan ramai orang untuk menyebutnya adalah keindahan solat terawih di masjid. Malangnya ramai orang suka memperkatakan selesainya solat terawih dan paling seronok adalah moreh!

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP