Carik-carik bulu ayam

>> Thursday, August 28, 2008

Saya adalah peminat majalah i. Malah saya sudah mempunyai koleksi majalah ini 3 1/2 tahun lamanya. Anda sendiri boleh membayangkan setinggi mana majalah ini di rak buku saya.

Namun sejak beberapa bulan kebelakangan, saya agak culas membeli majalah ini. Melihat kepada topik dan isi edisi sebulan sebelumnya memberikan saya nafas kecewa. Dan kekecewaan ini dibawa ke keluaran bulan ini, adakah saya bakal beralih ke majalah lain?

Saya menggariskan beberapa sebab isi dan topik majalah i yang lesu kebelakangan ini. Antara faktor utama adalah topiknya yang basi. Cuba anda bayangkan, tajuk utama majalah i bulan ogos adalah isu 'Mubahalah'. Walhal isu ini telah keluar beberapa minggu sebelumnya. Isu mubahalah adalah isu pisang goreng. Isu ini hanya panas dalam tempoh 1 ke 2 minggu sahaja. Dan apabila isu ini mulai sejuk, majalah i pula menjadikannya sebagai isu ini utama. Bukankah sudah tidak menarik lagi?

Kedua, ada sesetengah artikel yang dicedok daripada laman internet. Contohnya ruangan Teladan Hidup yang dikelolakan oleh Ust. Hasrizal. Terima kasih kerana saya mengenali Saifulislam.Com melalui majalah ini.

Saya fikir adalah tidak menarik untuk majalah i kembali meletakkan artikel yang sudah di baca oleh beratus-ratus peminatnya di laman Saifulislam.Com. Dan saya rasa kebanyakan daripada mereka adalah pelanggan majalah i juga. Maka adalah menjadi kekok untuk saya terus membaca artikel yang telah dibaca dan mungkin telah dijadikan koleksi simpanan. Mintalah Ust. Hasrizal menulis artikel khas. Itukan lebih baik.

Ketiga, indeks kabus(fog index) yang tebal. Indeks kabus adalah ketidak upayaan untuk pembaca membaca dengan lancar mengikut kelajuan matanya, penggunaan kelancaran mata tidak seiring dengan kepantasan otak menterjemah.

Saya telah memberikan contoh pada ayat yang berwarna merah. Anda pasti membacanya dua kali kerana indeks kabus yang tebal. Sesetengah artikel amat tinggi indeks kabusnya. Bahan bacaan seperti ini tidak sesuai bagi semua peringkat umur. Dan tidak juga dijadikan sebagai majalah santai. Maksud saya majalah islamik yang santai.


Keempat, susunan perenggan yang panjang. Susunan perenggan yang panjang menyebabkan artikel itu amat berat untuk dibaca. Walhal jika dibaca, tidaklah seberat mana. Namun pandangan pertama, sudah cukup membuatkan banyak artikel bagus gagal disampaikan dengan cemerlang.

Mengkritik tandanya sayang. Namun bukan semua pandangan saya mengkritik, ada juga yang saya mahu berikan pujian. Saya masih membeli majalah ini, kerana sukakan ruangan Jendela Keluarga, Mutiara Silam (sirah) dan Sastera (cerpen). Saya berharap majalah i dapat membuat suatu reformasi ke atas penulisan majalah ini.

Ini bukan sahaja dapat mengembangkan lagi skop para pembaca, malah dapat memenuhi tuntutan dakwah yang ingin disampaikan. Editor Majalah i perlu sedar bahawa majalah ini bukan majalah persatuan yang punya pembaca tetap.

Lagipun majalah persatuan tidak tinggi kos penerbitannya. Isu segar perlu segera dibangkit dan dicungkil. Jika tidak majalah i akan tewas kepada artikel-artikel mantap dan berisi di laman-laman web. Jika stail lama yang dikekalkan. Maka tidak mustahil majalah i akan berkubur seperti majalah-majalah lain sebelumnya. Sayang seribu kali sayang!


0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP