Adat membawa barah?

>> Tuesday, August 26, 2008


Kata pepatah, biar mati anak jangan mati adat. Adat dijunjung biar sampai penghujung. Biarpun belum pasti, anak-anak membesar dengan saingan adat mahu menyambungnya atau tidak. Siapa mahu menjunjung si musuh?

Adat tuan adat berserah,
Mari datang membawa puan,
Adat bersirih adat sejarah,
Untuk tuan kami sembahkan.

Dahulu, saya tidak pasti bila... Ada 'anynomous' meminta saya untuk menulis pergeseran antara adat dan agama. Saya menyatakan kesanggupan. Tetapi tidak tahu bila, mungkin di dalam entri ini hajat yang berkenaan dipenuhi.

Adat atau nama lainnya 'al-urf' sebagai meminjam bahasa arab bukanlah sesuatu yang janggal dalam budaya perkembangan Islam. Malahan Islam itu cukup bersedia mengharungi adat. Perkembangannya fleksibel dan mesra adat. Islam datang sebagai mengangkat dan memurnikan adat. Mana yang bagus diteruskan. Mana yang tidak elok dibuang dan diganti. Mana yang lapok? Buat apa nak pakai lagi?

Jika perang itu dikira sebagai adat. Maka Islam tidak datang menentang adanya adat. Perang itu tetap ada, tidak logiklah suatu agama datang mahu memberhentikan perang. Mata pedang itu bukannya mata syaitan. Bahkan ianya mungkin kunci syurga buat hati yang sudah berbunga dengan ayat-ayat Maha Pencipta.

Saya telah memberi suatu contoh. Setakat tulisan ini ditulis, saya tidak berhasrat untuk menambah contohnya lagi.

Orang Melayu begitu kuat dengan adatnya. Mungkin saya memukul rata, baiklah saya betulkan; 'sesetengah' Melayu begitu kuat dengan adatnya. Mungkin ini disebabkan oleh faktor berkembangnya Islam di Tanah Melayu hanya tertumpu pada bidang ibadah sahaja. Aspek lain bukan tidak diambil berat, cuma masih tidak dianggap sepenting ibadah ritual. Akibatnya Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Dan apabila tidak menyeluruh, terdapatnya lopak-lopak yang sedia diisi oleh budaya dan adat lama kembali.

Bagaimana persepsi Islam terhadap ini? Terdapat pendapat di dalam Mazhab Hanbali menolak penggunaan adat di dalam pengamalan Islam. Tetapi tidak bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, adat dihormati sebagai suatu tambahan bernilai di dalam Islam.

Sebagai contoh; penentuan had baligh, haidh dan kadang-kadang jua dalam hal muamalat.

Tetapi yang jelas, fleksibiliti ini terkadang sengaja dilanggar di sesetengah tempat di Tanah Melayu. Lihat sahaja pada perlian ini, "Engkau berani hendak meminang anak dara Negeri Sembilan?" Apa yang tidak kena pada anak dara Negeri Sembilan? Eden bilang, Adat pepatih!

Ini tidak sepatutnya berlaku, tetapi malangnya inilah yang berlaku. Apabila adat telah diletakkan melebihi batas-batas yang dibenarkan. Semenjak zaman kolonial lagi telah diluluskan 'The Custom Tenure Encament (FMS) cap 215' di Negeri Sembilan. Akta yang tidak langsung rasional ditengah-tengah wujudnya pengamal Islam dengan meletakkan undang-undang Pepatih lebih tinggi daripada undang-undang lainnya. Sampai Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan(JAINS) pun tidak dapat berbuat apa-apa.

Mungkin ini kepincangan yang membuatkan mata-mata pena mencatat rentetan sejarah kejumudan yang berlaku terhadap orang-orang Melayu. Parahnya adat sehingga boleh bawa barah. Iakah Salmah?

Lidah yang berkata benar sering menginjak-injak nilai keselesaan. Maka apa kaitan Islam dan adat? Islam turun melengkapkan adat, meninggikan martabat dan membawa manusia beradat ke jalan selamat.

Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitab Allah,
Kuat adat tak gaduh hukum,
Kuat hukum tak gaduh adat'

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP