Mengundang kejayaan dengan berkongsi

>> Saturday, October 11, 2008

Apabila saya hadir ke bengkel penulisan Puan Ainon-PTS, perkara pertama yang membuatkan saya tertanya-tanya adalah ongkos yuran yang perlu dibayar. Ditulis disitu, yuran adalah gratis. Bengkel penulisan yang free of charge, susah saya nak jumpa di bandaraya duit sebegini.



Saya datang berseorangan dengan niat mahu menambah pengalaman. Kali pertama bersua dengan Puan Ainon, dia menarik muka pelik apabila mengetahui saya ini adalah askar. Tetapi apabila saya menerangkan yang saya adalah askar dari butik tentera(pinjam perkataan VC UPNM) barulah dia mengendurkan wajah peliknya.

Nasihat pertama beliau kepada saya adalah tulislah buku tentang tentera. Majalah tempur laris terjual dan kebanyakan peminatnya adalah lelaki. Menarik, tetapi projek sebesar itu memerlukan pengalaman sekurang-kurangnya selama 5 tahun di dalam pasukan. Jiwa saya sedikit berbunga...

Saya sebenarnya kagum dengan sifat Puan Ainon yang tidak kedekut untuk berkongsi ilmu, malah menaja pula bengkel sebegini. Dengan ini beliau telah mendedahkan banyak rahsia kejayaan syarikat buku PTS. Dan juga beliau seperti
tidak kisah jika bengkel percumanya dihadiri oleh pesaing-pesaing PTS publisher. Ada faedah dan keuntungannya.

Puan Ainon sebenarnya berjaya mengurangkan kerugian untuk membuat penilaian semula karya-karya penulis yang menulis di PTS. Dengan membekalkan tips dan panduan yang betul, penulis akan tahu garis panduan di dalam penulisannya. Menariknya..

Jika berkongsi adalah rahsia kejayaan syarikat PTS. Mengapa tidak pula kita yang yang sedang mencari-cari arah berjaya ini?
Saya ingin kaitkan di dalam bidang akademik. Jika dilihat di sekolah-sekolah, pelajar biasanya bersaing sesama sendiri untuk mencapai kedudukan teratas sekali di dalam rangking sekolah.
Saya tidak tahulah pengalaman pembaca yang budiman bagaimana, tetapi bagi saya sendiri, saya sememangnya terkesan dengan fanomena persaingan ini.

Sewaktu di sekolah dahulu, pelajar-pelajar yang berada di kedudukan teratas ini akan sentiasa berputar-putar di pemikiran. Setiap kali musim peperiksaan, saya berazam teguh mengalahkan mereka. Hasilnya mungkin berjaya, tetapi persaingan ini menyebabkan hubungan saya dengan pelajar-pelajar ini agak dingin. Kami jarang berdiskusi dan jarang sumbang menyumbang.
Sehingga sekarang, antara kami tidak banyak berhubung. Tidak banyak cerita dan mungkin masih ada bara-bara saingan. Alangkah ruginya...

Dahulu, mungkin saya berfikir. Jumlah 'A' yang banyak di dalam sijil SPM itu adalah bukti kepandaian. Tetapi setelah hampir 5 tahun di dalam kampus ini, saya melihat bukan semua pelajar yang kaya dengan 'A' ini boleh meneruskan kecemerlangan mereka di Universiti. Sebenarnya, menjadi pelajar pandai di dalam alam sekolah menengah juga menyebabkan ramai pesaing yang mahu melihat kegagalan kita. Ditambah pula sifat sesetengah pelajar pintar ini yang susah untuk berkongsi ilmu, mungkin risau kedudukannya akan tergugat. Alasannya mudah, tidak tahu mengajar.

Mereka seperti ini menilai kejayaan seperti piramid. The cream will be on the top. Malangnya sistem piramid menyebabkan sedikit sekali mereka yang boleh berada di atas. Dan untuk berada di atas mereka terpaksa memanjat bahu-bahu rakan yang tidak berupaya untuk naik. Mana boleh semua naik, nanti tidak menjadi piramidlah.



Tetapi terfikirkah kita, siapakah orang yang akan menghulurkan bahu untuk menolong mereka naik ke atas? Adakah orang-orang yang menjadi pesaing dan dikalahkannya itu? Maaflah, jika saya adalah orang yang terpaksa menghulurkan bahu untuk mengangkat orang naik. Saya akan hulurkan bahu kepada orang yang pernah menabur budi kepada saya. Dia lebih afdhal dan perlu. Dia akan turut sama menolong orang di bawah ini naik dan sekurang-kurangnya berusaha. Bukan orang yang individual dan pentingkan diri.

Dan inilah sebenarnya yang dilakukan oleh Puan Ainon. Dengan melatih dengan menggilap penulis-penulis baru, beliau sebenarnya telah membuatkan ramai orang terhutang budi padanya. Inilah sebenarnya inspirasi kejayaan diri beliau.
Janganlah jadikan kejayaan seperti sistem kapitalis. Kenikmatan kejayaan adalah sebentar sahaja di dunia. Alangkah indahnya ianya dikongsi bersama-sama.




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP