Khalid Bin Sa'id-Anggota berani mati pertama Islam.

>> Saturday, October 11, 2008

Jika hati kering dan bergundah gulana, jadikan sirah sahabah itu gula-gula ceria.

Ingin dikisahkan sahabah bernama Khalid Bin Sa'id Bin 'Ash.
Mungkin ada diantara kita yang baru pertama kali mendengar namanya.
Beliau datangnya dari keluarga kaya dan mewah semasa zaman jahiliyyah. Tergolong di dalam golongan bangsawan yang terkemuka.

Berketurunan Umaiyah bin Abdi Syamsi bin Abdi Manaf.

Khalid Bin Sa'id menjadi sangsi, mimpi apakah yang mendatanginya tadi? Hairan, dirinya didapati berdiri di hadapan nyalaan api yang besar. Sedang ayahnya pula berdiri di belakang seperti hendak menolaknya ke dalam api. Kemudian sayup-sayup dia melihat Nabi Muhammad datang ke arahnya lalu menariknya dari belakang dan menyelamatkannya dari jilatan api yang marak.

Dia tidak menunggu lama, segera dia bergegas ke rumah Abu Bakr. Mimpi ini perlu diceritakan untuk dita'birkan. Walhal mimpi ini sudah tidak perlu dita'birkan lagi, sudah terang lagi bersuluh. Namun dia memerlukan kepastian.
Berkatalah Abu Bakr; "Sesungguhnya tidak ada yang kuingin untukmu selain kebaikan. Inilah dia Rasul Allah, ikutilah dia. Sesunggunya dia akan menyelamatkanmu dari api neraka."

Khalid pun pergilah kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menyuruhnya beriman kepada Allah yang esa dan rasulnya. Dan juga tidak menyembah berhala. Khalid lalu menghulurkan tangannya lalu disambut mesra oleh Rasulullah SAW lantas Khalid terus mengucapkan;

"Inni Asyhaduallah ila hailallah, WaasyhaduannaMuhammadarasulullah.."


Khalid memeluk Islam ketika belum ada orang mengikut Nabi ketika itu kecuali 4 orang. Maka Khalid adalah yang kelima awal.

Sai'd bin 'Ash menjadi panas. Telinga berdesing. Mana mahu diletak mukanya. Dia adalah pemimpin tetapi dia dihina dan diejek oleh bangsa Qurasiy kerana keislaman anaknya Khalid. Dia tidak boleh membiarkan, ini bisa menggugat kedudukannya sebagai pemimpin.

"Benarkah kamu telah mengikut Muhammad dan membiarkannya mencaci-caci tuhan kita?" Tanya Sai'd kepada anak lelakinya. Khalid mengiakan.

Lantas Sai'd memukul anaknya bertubi-tubi. Kemudian mengurungnya dalam kamar gelap tanpa diberi makan dan minum.

"Demi Allah, sesungguhnya ia(Nabi Muhammad) benar dan aku beriman kepadanya.." Khalid berkeras dibalik pintu kamar gelap itu.

Jelas Sai'd mendapati anaknya tetap tidak mahu berganjak. Dibawanya anak itu ke tengah panas terik, diinjak-injak batu yang panas menyengat ke dada Khalid. Selama 3 hari Khalid di situ tanpa perlindungan dan teduh. Tanpa setitis air pun membasahi bibir.

Akhirnya sang ayah berputus asa, lalu Khalid dibawa kembali ke dalam rumah. Dipujuk anaknya itu dengan cara lain pula. Ditaburnya janji kesenangan. Kadang-kadang diugut pula dengan ancaman.
Namun Khalid tetap berpegang teguh dengan kebenaran, dia berhujah; "Aku tidak akan meninggalkan islam, aku akan hidup dan mati bersamanya!"

"Kalau begitu, nyahlah engkau pergi dari sini, anak keparat....! Demi Latta kau tidak boleh makan di sini...!" Jerit sang ayah kehangatan. Butir-butir bahasa yang keluar dari mulut Khalid benar-benar menyentap amarahnya.

"Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.." Khalid mengungkap yakin.

Demi iman dia meninggalkan rumah mewah dan segala kesenangan. Dia tidak gusar untuk itu, bukankah dia masih punya iman, Allah dan rasul-Nya? Baginya dia telah menemui kebenaran yang lebih berharga daripada kemewahan di belakangnya. Dia menghalakan dirinya untuk Islam. Dia yakin akan ada sinar harapan di hujung ufuk langit itu.......




MS Rizal,
Kuala Lumpur,
http://msrizal.blogspot.com/

1 comments:

Anonymous October 28, 2008 at 2:01 PM  

subhanallah..bkn sng nak jadi insan seperti beliau..~

layakkah kita bergelar "Jundullah"?~
dunia hari ini ada seribu macam unsur yg mampu merosakkan jiwa..~

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP