Menulislah wahai kawan...
>> Wednesday, March 25, 2009
Perbualan di dewan makan.
"Macam mana nak istiqamah dalam menulis?" seorang sahabat bertanya.
Saya terdiam seketika, adakah soalan ini ditanya kepada saya kerana melihat kekerapan saya mengemaskini blog ini? Jika begitu, saya bukanlah orang yang layak untuk mengulas. Malah kalau melihat kepada statistik kunjungan blog ini, tidaklah berapa meriah pun. Dengan purata pengunjung sekitar 20 orang sehari atau kurang daripada itu, ianya bolehlah dikategorikan sebagai blog yang suam-suam kuku. Tetapi sebenarnya, bukan jumlah mad'u yang saya perlu kejar, sebaliknya adalah usaha yang sedikit tetapi berterusan.
"Kamu kena banyak membaca!" ujar saya kepada sahabat tersebut.
Saya dan penulisan.
Saya bukanlah orang yang hebat di dalam menulis. Jauh sekali untuk berbangga dengan tulisan yang sedia ada. Tulisan saya tidak pernah dikomersialkan kecuali hanya sekali artikel yang saya kirim disiarkan di dalam Majalah i keluaran Mei 2006 bertajuk 'Nasyid oh Nasyid'. Itupun di dalam ruangan surat pembaca.
Saya juga tidak banyak kenangan manis di dalam penulisan bahasa Melayu, kecuali pernah mendapat hadiah penulisan terbaik semasa darjah 4. Itupun ketika itu, saya tidak tahu kenapa saya layak mendapat hadiah tersebut. Tidak pula saya ingat berapa markah karangan dan tidak pula saya membandingkannya dengan rakan. Semasa tingkatan 3 saya pernah mendapat gred C untuk percubaan PMR kerana 'isi karangan yang sesat tak jumpa sasaran'(lari tajuklah). Untuk SPM saya hanya berpuas hati di gred A2 sahaja untuk bahasa Melayu. Bukankah saya ini biasa-biasa sahaja?
Namun, fakta di atas bukanlah ukuran untuk saya berhenti menulis setakat SPM sahaja.
Untuk pejuang agama, belajarlah menulis...
"Ikhwah-ikhwah sekarang pun kena ada blog," saran akh Fadzil sewaktu ketika dahulu.
Benar kata akh Fadzil, saya melihat menulis blog ini adalah salah satu platform untuk mengasah bakat kita menulis. Sebelum sasaran kita seterusnya iaitu menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang tertera nama pemberian ibu dan ayah kita. Besar manfaatnya, saham pelaburan sebelum tutup mata.
Tidakkah Allah SWT bersumpah, "Nun..wal qalami wama yasturun.." yakni, "Demi pena, dan demi apa yang dituliskan.."
Perlu diingat di dalam Al-Quran Allah SWT tidak pernah bersumpah dengan benda yang remeh temeh. Allah SWT bersumpah dengan perkara yang hebat-hebat belaka. Demi matahari, demi bulan, demi masa, demi bintang, demi malam dan demi waktu dhuha. Ini bermakna pena juga punya nilaian kehebatannya. Kalau tidak, tidak berbunyilah perumpamaan, 'mata pena yang lebih tajam daripada mata pedang'.
Cuba kita mengandaikan, apa jadi sekiranya Saidina Abu Bakr tidak merestui permintaan Umar al-Khattab untuk menghimpunkan Al-Quran? Juga apa yang terjadi jika imam-imam Mazhab dan para cendiakawan hanya menzahirkan ilmunya melalui bahasa lisan bukannya bahasa tulisan? Untuk memberikan ilmu satu jangkamasa hayat yang panjang, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengilhamkan perantara pena dan juga tulisan.
Kita dan penulisan.
Jika anda hebat berpidato ala-ala Sukarno, maka ketahuilah ucapan anda itu hanya berlegar-legar di kalangan hadirin sahaja. Tetapi jika anda hebat menulis ala-la Dr Aidh' Abdullah Al-Qarni, percayalah banyak kertas dan skrin monitor yang rela menjadi medium untuk orang ramai membacanya.
Lihatlah betapa hebatnya kesan penulisan. Kalau tidak masakan terheretnya Syed Qutb ke tali gantung kerana pemerintah yang tidak sanggup menahan ketajaman buah penanya!
Andai peperangan itu memerlukan banyak pedang-pedang sebagai tunjang serangan dan pertahanan. Ketahuilah peperangan pemikiran hari ini memerlukan lebih banyak mata pena sebagai benteng pertahanan.
Kalau anda tiada bakat mengapa tidak mahu mengasahnya? Kalau punya bakat mengapa tidak mula menulis? Kalau sudah menulis kenapa tidak berusaha membetulkan ejaan dan tatabahasa mengikut disiplin yang sepatutnya? Jika sudah berdisiplin mengapa tidak menulis untuk manfaat islam keseluruhannya? Dan jika tidak punya tempat selesa, sedarlah bahawa Ibnu Sina, Syed Qutb dan Hamka sendiri menulis karya hebat zaman mereka di dalam penjara.
Kepada mereka yang sudah bergelar penulis, syabas sejambak mawar, seharum kasturi diucapkan! Sebarkan karya anda, saya mahu menjadi peminatnya..
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
25 March 2009/28 Rabiulawal 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
7 comments:
Saya suka artikel ini. Satu contoh penulisan yang baik bila kita boleh menghubungkaitkan kata-kata hikmah, ayat al-quran, hadith dan kata hukama' dengan kandungan yg kita maksudnya.
Kesedaran menulis ulama' silam adalah kerana ilmu. Mereka terlalu mencintai belajar ilmu, mencintai mengamalkan ilmu dan mencintai menyebarkan ilmu. Kerana itu mereka mencintai bidang penulisan agar setiap ilmu itu tdk terkubur bersama mereka.
Jika kita mempunyai kesedaran yang sama, kita juga mahu bersungguh2 menulis.
Pada saya, asasnya mahu menulis ialah mencintai ilmu. Keduanya kerana mahu 'memanusiakan manusia'.
Benar, minat pada buku menyebabkan saya dipaksakan diri untuk menulis...juga kerana minat menulis menyebabkan saya terpaksa minat pada buku...
Semoga mad'u yang kita tuju berjaya menjadi manusia...syukran untuk komen ustazah.
Karl Marx hanya menulis sebuah buku bertajuk "Das Kapital", dan ideanya mempengaruhi hampir separuh dunia menerima komunisme dan sosialisme. Seterusnya tercetusnya Perang Dunia Pertama dan Revolusi Russia 1917.
Niccolo Machiavelli menulis The Prince dan kini hampir seluruh dunia menggunakan falsafah politiknya itu...
Ilmu Allah SWT tu luas, maka tulislah wahai saudaraku...
Katakanlah: "Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). (Al Kahfi 18:109)
Ya, semoga Akh Azraai juga berjaya menulis satu buku ideologi menyaingi Kal Marx dan Niccolo Machiavelli yang boleh menjadi inspirasi teman-teman berjuang untuk agama ini...
Terima kasih kerana mengulas lebih lanjut tentang hal penulisan ini di blog akhi..
sedara, bila nak tulis buku?
:)
InsyaAllah, moga Allah Taala kurniakan kesempatan kepada saya untuk menulis buku.
ilmu itu bnyak
bnyak boley dapat ilmu dengan pembacaan
dengan pembacaan lahir lah idea
jzakallah
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...