Khutbah Jumaat: Nabi Muhammad SAW Rahmatan Lil Alamin
>> Thursday, March 12, 2009
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
“Nabi Muhammad SAW Pembawa Rahmat Dimusuhi Manusia Hasad”
(13 Mac 2009 / 16 Rabiul Awal 1430)
------------------------------------------------------------------------------------------------“Nabi Muhammad SAW Pembawa Rahmat Dimusuhi Manusia Hasad”
(13 Mac 2009 / 16 Rabiul Awal 1430)
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Mimbar menyeru kepada kaum muslimin sekalian supaya bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kita mati melainkan di dalam Islam.
Sidang Jumaat,
Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah. Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada apa yang Allah kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya. Awas, kepada pencinta dunia! Sesungguhnya dunia ini tidak membenarkan kamu berlama-lama bertamu di dalamnya. Kelak di suatu masa, saat kematian pasti tiba. Ketika itulah kita akan ditunjukkan jalan keluar dari dunia ini, menuju ke negeri Akhirat yang kekal abadi.
Firman Allah Taala,
Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?(Al-An’am:32)
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Semenjak hari awal Islam diisytiharkan oleh Rasulullah SAW, cubaan dan dugaan datang silih berganti dan tidak kunjung reda. Dendam berterusan pihak kuffar terus ditujukan ke atas Rasulullah SAW tanpa sebab mahupun alasan. Islam diberi promosi buruk, Rasulullah ditempel sebagai lelaki yang teruk. Tektik keji ala ‘Zaman kegelapan Eropah’ terus dimainkan oleh pihak kuffar ini. Rasulullah SAW digelar sebagai Nabi palsu yang mahu menguasai negara arab dan demi melayan hawa nafsu. Kisah poligami Rasulullah SAW diperbesarkan, walhal hakikatnya ketika itu kaum wanita dilayan begitu teruk di Eropah.
Lebih aneh lagi, ada yang mereka cerita bahawa Rasulullah SAW pernah bercita-cita mahu menyandang jawatan Pope iaitu kuasa paling tinggi dalam institusi gereja. Kerana gagal, Rasulullah SAW memindahkan pengikutnya ke Syria. Inilah karya aneh yang ditulis oleh Wiliam Langland pada abad ke-14 dahulu. Dakyah aneh musuh-musuh Islam ini berterusan hingga ke abad ini, senjata yang paling ampuh digunakan adalah wasilah propaganda dan media massa. Inilah yang terpancar melalui akhbar Jyllen Posten Denmark menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW. Juga kata-kata provokasi daripada Pope Benedict ke-16. Dan yang terbaru syarikat filem Denmark yang menayangkan filem Fitna untuk menghina Islam dan baginda SAW.
Walaubagaimanapun, seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Agama ini tetap akan terbela sehingga ke hari Kiamat. Sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah as-Saff ayat 8 dan 9;
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.”
Sidang Jumaat yang Di rahmati Allah,
Reaksi provokasi ini muncul disebabkan realiti yang tidak dapat diterima oleh mereka, iaitu fanomena kebangkitan Islam di bumi Amerika dan Eropah secara drastik. Islam diiktiraf sebagai “The Fastest Growing Religion”. Majalah Economist pada bulan Jun 2006 pernah membuat liputan mengenai fanomena Islam di Eropah. Kebanyakan laporan menyorot potensi Islam menjadi agama utama di kota-kota besar Eropah menjelang tahun 2050. Hal ini amat menakutkan golongan seperti Pope Benedict dan musuh lainnya. Kerana itu mereka berusaha memburukkan Islam melalui kempen ‘Islamophobia’.
Tetapi di dalam menangani isu ini, Dr Yusuf al-Qaradawi dan ulama lain di Qatar melancarkan satu kempen supaya masyarakat dunia mengenali Nabi Muhammad SAW. Kempen ini dinamakan “Rahmatan lil Alamin.” Ini seiring dengan firman Allah SWT :
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya’:107).
Kempen ini telah dirasmikan di ibu kota Qatar, Doha. Al-Qaradawi menggesa umat Islam agar menjadi ejen mempromosikan Rasulullah SAW yang dikenali sebagai sebagai pencinta kedamaian, kemanusian dan juga individu luar biasa yang agung ini kepada Barat yang rata-ratanya jahil tentang Islam.
Apa yang menariknya, Yusuf Al-Qaradawi telah mendedahkan bahawa paderi-paderi Kristian pernah berhimpun di wilayah Colarado, US untuk mengumpul dana demi menjayakan kempen mengkristiankan umat Islam sedunia. Di dalam perjumpaan tersebut, para Paderi berkenaan telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak 100 juta Dollar AS di dalam hanya satu malam sahaja.
Ya Ayyuhal Ikhwan,
Lihatlah betapa musuh-musuh agama ini tidak pernah berhenti untuk memalingkan keimanan dari tubuh-tubuh pemiliknya. Justeru adakah berpadanan untuk kita hanya memeluk tubuh sahaja sambil membiarkan agama ini di siat-siat dari luar dan dalam? Adakah seruan dakwah kepada Islam hari ini perlu dihentikan atau dibiarkan kepada golongan ustaz sahaja? Sedarlah kita semuanya bertanggungjawab untuk berdakwah. Tidak patut jika kita hanya menganggap dengan menunaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan naik haji sahaja kita sudah terlepas daripada pertanggungjawaban. Jika kita berfikiran begitu, kita hanya layak digelar ahli ibadah yang bermain-main. Ingatlah kita dilahirkan di zaman ini untuk menyelesaikan masalah pada zaman ini!
Tanamkanlah cinta sedalamnya kepada baginda SAW dengan mencontohi akhlak, ibadah dan sunnah baginda. Berselawatlah selalu ke atas baginda kerana bukti orang yang mencintai seseorang, ialah sering menyebut-nyebut namanya.
Lihatlah betapa cintanya Bilal bin Rabbah kepada Baginda SAW. Selepas wafatnya baginda, beliau menolak untuk menjadi muazzin kepada mana-mana khalifah pun kerana khuatir dirinya tidak dapat membendung rasa rindu mengenangkan saat bersama baginda. Beliau akhirnya berhijrah ke Syam untuk berjihad mengikuti jejak langkah hampir ¾ sahabat Nabi, meninggalkan Madinah untuk menyebarkan Islam.
Setelah sekalian lama berada di kota Damascus, Bilal didatangi Rasulullah SAW di dalam mimpi, “Wahai Bilal, apakah yang menahanmu? Sudah lama engkau tidak datang menjengukku.” Lalu Bilal pun bergegas menziarahi Madinah. Di Madinah, Bilal dipujuk oleh cucunda baginda yakni Saidina Hassan dan Hussein untuk melaungkan azan. Bilal akhirnya bersetuju. Apabila kedengaran suara emas bilal, sayup-sayup Madinah berdengung dengan ratapan dan tangisan. Orang ramai menjenguk melalui tingkap dan keluar dari rumah menuju ke jalanan. Sambil menahan rasa rindu kepada Rasulullah SAW, mereka bertanya, “Adakah Rasulullah SAW telah dihidupkan semula?” Ada pula yang berbisik dengan linangan air mata, “Marhaban ya Rasulullah, Marhaban ya Rasulullah.” AllahummaSolli ala Muhammad.
Sidang Jumaat sekalian,
Untuk merasai betapa bernilainya pengorbanan baginda hendaklah kita mempelajari dan memahami sirah Nabawiyyah dengan sebetulnya. Janganlah sirah ini dibaca hanya pada Maulid Nabi sahaja. Kelak ianya tidak lebih sekadar cerita rakyat yang didendangkan oleh kebanyakan penglipur lara. Inilah silap sebahagian kita, lalu generasi yang lahir seterusnya menjadi buta akan sirah, memandang sirah setaraf dengan hikayat Malim Deman.
Sirah hendaklah dibaca dengan iltizam bahawa adanya tuntutan untuk kita mengembangkan dakwah dan pemahaman Islam kepada manusia sejagat walau apapun risiko dan kerugian yang bakal ditanggung. Jika Yusuf Qaradawi berkempen untuk Eropah, maka kita di Malaysia perlu lebih bersifat pro-aktif. Tidak sedikit golongan bukan Islam di negara ini yang bersangka buruk kepada Islam. Tanggungjawab kita untuk memberikan mereka ruang mendapat maklumat shohih mengenai Rasulullah SAW dan Islam. Ini semua hanya kerana demi menuju keredhoan Allah Taala dan demi mengharapkan balasan Syurga.
Firman Allah Azzawajalla;
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah 214)
------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulis: P KDT KKMS Mohd Shah Rizal Bin Samsudin(Intake 2004-4 SZE/Tuah)
Khatib: P KDT Muhammad Nur Ariffin Bin Rahmat (Intake 2005-3 SZB/Kasturi)
-Sesungguhnya mimbar Jumaat ini adalah mimbar Nabi Muhammad SAW. Para Khatib mewarisinya, jangan persia-siakan amanah tersebut!-
Rujukan:
(1) Al-Quran Digital Versi 2.1
(2) Perjuangan Hidup (http://msrizal.blogspot.com/)
(3) Majalah i, Mac 2007 : Kempen Muhammad Rahmatan Lil ‘Alamin, Ustaz Maszlee Malik.
(4) Majalah Milenia Muslim, Mac 2009: Salah Faham terhadap Islam, Mohammad Kamal Bin Kamaruddin.
(5) Hazrat Bilal Two Special Services (http://www.geocities.com/islamicfolder/Masoomeens/bilal.htm)
(6) http://en.wikipedia.org/wiki/Bilal_ibn_Ribah
(7) Al-Muntholaq/Langkah Bermula, Muhammad Ahmad ar-Rashid: Ahli Ibadah yang Bermain-main.
Khatib: P KDT Muhammad Nur Ariffin Bin Rahmat (Intake 2005-3 SZB/Kasturi)
-Sesungguhnya mimbar Jumaat ini adalah mimbar Nabi Muhammad SAW. Para Khatib mewarisinya, jangan persia-siakan amanah tersebut!-
Rujukan:
(1) Al-Quran Digital Versi 2.1
(2) Perjuangan Hidup (http://msrizal.blogspot.com/)
(3) Majalah i, Mac 2007 : Kempen Muhammad Rahmatan Lil ‘Alamin, Ustaz Maszlee Malik.
(4) Majalah Milenia Muslim, Mac 2009: Salah Faham terhadap Islam, Mohammad Kamal Bin Kamaruddin.
(5) Hazrat Bilal Two Special Services (http://www.geocities.com/islamicfolder/Masoomeens/bilal.htm)
(6) http://en.wikipedia.org/wiki/Bilal_ibn_Ribah
(7) Al-Muntholaq/Langkah Bermula, Muhammad Ahmad ar-Rashid: Ahli Ibadah yang Bermain-main.
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
12 Mac 2009/16 Rabiulawal 1430H,
http://msrizal.blogspot.com/
4 comments:
akh..satu usaha dakwah yang hebat.menyebarkan fikrah dan membasmi syubhah di kalangan masyarakat di ruang mimbar adalah satu wasilah yang tepat..
moga ada islah dalam masyarakat kita dalam mencapai kefahaman islam yang syamil mutakamil..
tahniah sekali lagi..
Alhamdulillah...insyaAllah ana istiqamah di atas jalan ini...
Good job.
Islamophobia by the way, not Islamic phobia.
Oh, salah ejaan...terima kasih kerana menegur, ini tujuan sebenar saya paparkan disini.. Khutbah ini insyaAllah akan dibaca pada tengah hari ini, sempat lagi buat perubahan..
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...