Perantara di antara hitam dan putih.

>> Monday, June 23, 2008


Lihatlah kaki!

Satu tabiat yang saya rasakan agak normal apabila berdiri di dalam sof(sebelum memulakan solat)adalah melihat kaki jemaah kiri dan kanan.

Kaki saya. Sudah lurus melunjur ke arah kiblat. Alhamdulillah.
Kaki jemaah kanan. Teragak-agak untuk menghimpit. Kenalah beri isyarat merapat.
Kaki jemaah kiri. Masih tak lurus ke arah kiblat. Jikalau itu rakan, segera saya menegur. Jika bukan, masih memerlukan masa dan kebijaksanaan untuk mengingatkan.

Oh, satu lagi!
Kelmarin saya berdiri sebelah menyebelah orang yang kulit kakinya lebih putih. Terasa kulit kaki saya paling hitam.
Semalam saya berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya lebih hitam. Terasa kaki saya pula paling putih.
Akan datang, mungkin saya akan berdiri sebelah menyebelah dengan orang yang kulit kakinya putih dan hitam. Masa tu mesti rasa saya adalah orang Melayu tulen yang kulitnya adalah coklat!

Hakikatnya saya adalah orang Melayu yang kulitnya coklat sawo matang. Tidak putih dan tidaklah hitam.

Mungkin tepat jika analogi ini dapat saya gunakan untuk pergaulan kita sehari-hari.

Amatlah malang bagi diri ini, jika rakan-rakan yang kita sering bergaul dan rapat adalah terdiri daripada mereka yang fasik.
Jika kita orang yang menjaga solat, kita mungkin terasa diri masih baik. Lebih baik daripada rakan-rakan kita yang lain tu. Lalu berangan-anganlah diri. Bahawa dirinyalah yang paling baik. Boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Cuba pula berdiri ditengah-tengah orang alim dan warak. Ya, kita akan dapat rasakan diri ini banyak sangat lagho dan jahatnya. Terlalu banyak jahil dan tak layak dijadikan ikutan.

Inilah yang dijawab oleh Ibnu Taimiyyah. Ketika mana dia berdialog dengan seorang penganut aliran al-Bataihiyah, satu gerakan pengamal Tasawuf sesat.

Orang itu bertanya kepada Ibnu Taimiyyah; "Apa yang ada padamu Ibn Taimiyyah? Jika kami pergi kepada kamu, iaitu Ahli Sunnah, wibawa kami luntur, tetapi jika kami pergi ke Tartar-Mongolia yang kafir itu wibawa kami malah muncul?"

Ibnu Taimiyyah langsung menjawab;

"Tahukah kamu perumpaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami tidak ubah seperti kuda-kuda yang berwarna putih, kamu tidak ubah seperti kuda belang, manakala orang-orang Tartar itu tidak ubah seperti kuda hitam.

Jika yang belang masuk ke dalam kelompok kuda hitam, maka akan nampak putihlah ia dikalangan kuda-kuda hitam itu.
Tetapi jika yang belang itu masuk ke dalam kelompok kuda putih, maka akan nampak hitamlah ia dikalangan kuda-kuda putih itu.

Kamu masih mempunyai sedikit cahaya.
Jika kamu masuk di celah-celah orang kafir maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu masuk di celah-celah orang Ahl Sunnah yang mempunyai cahaya besar maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu.

Demikianlah perbandingan antara kamu, kami dan orang-orang Tartar."

Lihatlah rakan-rakan karib sekeliling. Kuda hitam atau Putih?

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP