Mengapa perlu jadi Graduan?
>> Wednesday, June 11, 2008
Malam itu angin sepoi-sepoi, langit yang gelap membahasakan dirinya sebagai malam. Menggantikan pasangannya yang bernama siang. Ah, misteri sungguh ciptaan
Allah SWT. Bagaimana mungkin insan itu mengaku sebagai Tuhan, sedangkan malam yang singgah berkali-kali itupun sukar dirungkai.
Kedengaran bunyi enjin motorsikal berlalu keluar dari pintu pagar surau. Ini waktu senggang antara Maghrib dan Isyak. Kebanyakan kariah akan balik ke rumah dahulu sementara menunggu waktu Isyak. Sebahagiannya berehat-rehat di luar. Ambil angin.
Saya melabuhkan punggung di sebelah guru saya yang dihormati. Cikgu Hairuddin namanya. Guru kemahiran hidup saya semasa saya berada di Tingkatan 1 dan 2.
Duduk sekampung dengan saya. Ada sesuatu yang saya mahu bicarakan padanya.
Malam itu mungkin berlainan daripada malam sebelumnya. Ya, saya telah membuat keputusan penting. Keputusan yang bakal mengubah kamus hidup saya.
"Cikgu, esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur." Saya bersuara.
"Oh, terima jugalah tawaran ke Atma tu ye?" Cikgu saya tersenyum.
"Ye,cikgu."
"Baguslah, kalau agak-agak stress nanti jangan lupa baca Al-Quran."
Hmm..Alhamdulillah azimat ini saya pegang sampai sekarang. Dan hakikatnya, Al-Quran memang penawar saya di kala stress. Lebih-lebih lagi di kala hati duka dan perlukan kesabaran. Awalnya menerima latihan tentera, bukan sesuatu yang enteng dan mudah dibicara dengan mulut dan kata-kata.
"Cikgu, dahulu dan sekarang berbeza ye. Kalau dahulu, orang nak masuk Univ. riuh sekampung. Sekarang ni tak lagikan cikgu.?" Saya berbasi-basi.
"Yelah, dulu dan sekarang lain. Sekarang banyak graduan yang tak berkualiti." Cikgu saya menjawab.
Hari ini saya, teringat kembali dialog ini.
Tak berkualiti!
Istilah pastinya dapat dikembangkan lagi mengikut warna dan suasana.
Soal kualiti pembelajaran dahulu dan sekarang pastinya bukan kayu ukur sebenar.
Malah orang dahulu sendiri terpaksa akui, bahawa makin ramai anak-anak muda kita semakin bijak dari hari ke hari.
Kepentingan ilmu;
Ya, seseorang yang masuk ke Universiti dirai dan dihormati kerana ilmu yang bakal dipelajarinya. Terpelajar lagi berilmu. Sukar hendak dinafikan kekaguman orang ramai. Namun dengan ciri-ciri apakah yang menampakkan dia seorang yang berilmu?
Pastinya akhlak dan gaya percakapannya. Bukan meninggi diri yang saya maksudkan. Tetapi sekurang-kurangnya dari percakapannya menampakkan bahawa dia adalah orang yang terpelajar. Akhlaknya menunjukkan dia terpelajar. Ilmu itu bukanlah perkataan yang ditampal di dahi atau diterjemah berdasarkan nombor digit di atas kertas lalu di jaja ke sana ke mari membuktikan dia telah berilmu.
Dan inilah yang sering disalah anggap oleh graduan sekarang mungkin. Mereka lupa, akhlak dan tutur kata mencerminkan tahap keilmuan mereka. Bukan cakap besar atau kata angan-angan tentang harta atau kerta. Bukan daya penarik, solekan muka atau fesyen yang bersalut di badan.
Lihatlah moral dan akhlak yang terpampang di dada akhbar. Hiburan melampau, maksiat, tipu dan ditipu dan pelbagai gejala sosial menimpa golongan terpelajar juga.
Inilah yang membuatkan saya meluat dengan orang yang rata-rata menilai manusia berdasarkan sijilnya.
Awak belajar mana? IKM ke? Univ. ke? Diploma..Ijazah..Master..?
Mungkin itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Ramai orang berkejar-kejaran mencari kursus yang mendatangkan keuntungan dan menjanjikan pekerjaan. Soal penting tidak penting, perutnya lebih penting. Soal jujur tidak jujur dalam peperiksaan, janji dapat keputusan baik punya dalam peperiksaan dan dapat pekerjaan.
Lalu jika beginilah mata nilaian manusia, tiada siapa yang boleh dibanggakan. Kerana material dan luaran bukan kayu ukur Allah Taala kepada makhluk. Kerana hakikat penghormatan itu layak dikembalikan kepada orang yang diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Merekalah orang yang digelar orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya.
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"(Surah Al-Mujadalah,ayat 11)
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...