Pengampu Sultan Bertaubatlah!
>> Sunday, January 9, 2011
Tulisan ini cuba membawa ke arah kesederhanaan dalam pemikiran orang Melayu. Saya terpanggil untuk mengulas tulisan Dr Mohd Asri berkaitan artikelnya, BUNUH PENGKRITIK SULTAN, SATU CADANGAN YANG HINA. Artikel ini amat menarik untuk diulas kerana tidak ramai ulama' yang berani untuk menegur Sultan secara terbuka. Walaupun isinya ditujukan kepada pengampu tetapi sindirannya tetap ada pada sultan.
"Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini."
Saya biasa mendengar ayat ini digunakan untuk membalas mereka yang mengkritik para Sahabah Nabi SAW. Malah siapa kita juga untuk mengkritik Muawiyah bin Abu Sufian, seorang penulis wahyu Nabi SAW. Demi Allah, kemulian mereka memang terakam di dalam hadis sekaligus menggambarkan betapa jauhnya tahap kita berbanding mereka.
Menilai Sultan Sebagai Seorang Manusia Biasa
Kekalutan isu SUK di Selangor sememangnya menarik perhatian ramai orang untuk memperkatakannya. Sekali lagi, apabila Sultan membuat keputusan maka ada pihak yang akan tersinggung dengan keputusan yang ada. Reaksi ini timbul dalam rentetan tempoh beberapa darsawasa yang lalu tentang keputusan Sultan terhadap tingkah politik di negeri masing-masing.
Tahun 2008 selepas berlakunya Tsunami Politik, Sultan di Terengganu dan Perlis bertindak untuk menukar Menteri Besar mereka. Perkara ini tidak disukai oleh segelintir penyokong Barisan Nasional. Tahun 2009 menyaksikan tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak jatuh ke tangan Barisan Nasional yang melibatkan campur tangan Sultan. Penyokong Pakatan Rakyat tidak gembira dengan keputusan Sultan yang tidak memperkenankan pembubaran Dun. Ini sekaligus menyaksikan Dato' Seri Ir Nizar menjadi menteri besar paling singkat dalam sejarah negeri Perak.
Saya teringat pada kisah seorang tokoh ulama' hebat yang bernama Izzudin Ibnu Assalam. Turut berdiri di belakangnya ulama'-ulama' hebat lainnya seperti Syeikh Muhyiddin An-Nawawi (Imam Nawawi), Ibnu Daqiq Al-'Id dan ramai ulama' lainnya.
Mereka ini adalah Ulama' yang tegas dan ulung pada zaman masing-masing. Sehingga sukar untuk menemui ulama'-ulama' yang berkhidmat bersama pemerintah seberani mereka. Syeikh Izzudin Ibnu Salam cukup terkenal sebagai ilmuan fiqh, tasawuf, mujahid malah penyair yang hebat. Namun apa yang menjadikan beliau cukup terkenal adalah keberaniannya untuk menegak amar ma'ruf dan nahi mungkar walaupun tindakannya membuatkan para sultan tergugat, marah dan berkecil hati.
Lihat saya gariskan beberapa point perbandingan masalah di zamannya dan masalah yang sama pada zaman sekarang. Perlu dilihat di sini bagaimana Syeikh Izzuddin, Imam Nawawi dan Ibnu Daqiq Al-'Id menyelesaikannya.
a) Ulama' yang menegakkan kebenaran melalui media.
Dahulu: Syeikh Izzuddin menguasai media Islam ketika itu. Media ini tidak lain adalah mimbar-mimbar masjid di mana tempat ini dijadikan pidato dalam menyampaikan kebenaran. Jika dilihat ucapannya di atas mimbar ini juga digunakan untuk menegur para sultan. Sehingga sultan tidak senang dengan media yang cukup berkesan ini. Sultan yang memerintah ketika itu bernama Sultan Soleh Ismail.
Wujud tindakannya yang mengundang fitnah besar terhadap Islam. Syeikh Izzudin menggunakan kuliah pengajiannya dan mimbar masjid untuk menegakkan kebengkokan pemerintahan Sultan. Sultan akhirnya melucutkan jawatan Syeikh dan beliau keluar dari Damaskus menuju ke Mesir sambil diiringi ramai rakyat. Ada yang merakamkan peristiwa ini dengan mengatakan keluarnya Izzudin bersama rakyat menyebabkan Sultan tiada rakyat untuk diperintah.
Sekarang: Ulama' sekarang perlu menggunakan media yang sedia ada untuk mengeluarkan fatwa-fatwa segar dan menegur pemerintah. Situasi Syeikh Izzudin yang menggunakan mimbar masjid untuk menghentam pemerintah melihatkan bahawa tiada salahnya menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik. Namun isunya perlulah jelas dan tidak mengandungi fitnah. Ulama'-ulama' kerajaan perlu bersikap berani menegur rakyat dan pemerintah walaupun kerusi jawatan mereka akan menjadi panas. Ulama'-ulama' konservatif perlu mahir dalam menggunakan media baru untuk mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka.
b) Menasihatkan pemerintah supaya berani mencegah mungkar
Dahulu: Ketika Sultan Mesir bernama Sultan Soleh Ayyub dijulang dengan megahnya pada suatu hari raya, Izuddin bertindak mengendurkan rasa megahnya. Izzudin bertanya apa jawapan Sultan jika kelak Allah bertanya tentang Sultan yang menghalalkan arak? Sultan terkejut kerana baginda tidak pernah menghalalkan arak. Lalu Sheikh Izzudin menyatakan kedai ini dan ini yang menjual.
"Oh, itu sudah ada dari zaman ayahku. Dan aku tidak mampu merubahnya." Jawab Sultan.
"Apakah engkau mahu tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan dalam Al-Quran, "Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami di atas suatu agama, lalu kami mengikut bekas-bekas mereka." " Sheikh pantas menjawab.
Sultan insaf dan terus mengarahkan kedai-kedai itu ditutup.
Sekarang: Saya melihat sultan perlu lebih berperanan dalam menegur pemerintah menghapuskan maksiat di negeri masing-masing. Peranan ini pastinya besar kerana pengaruh yang ada pada sultan-sultan. Memang nanti bangsa lain yang protes. Lalu kerajaan negeri pun mengambil tindakan mengawal wujudnya sarang maksiat, bukan menghapuskan. Namun tindakan ini tidak boleh kekal lama kerana bangsa lain ini perlu disedarkan akan bahayanya sarang maksiat pada masa depan negara.
c) Harta pemerintah perlu dikaut dahulu kemudian barulah rakyat.
Dahulu: Sultan Azh-Zhahir bersiap sedia untuk menggerakkan rakyatnya menghadapi peperangan. Namun biaya yang besar diperlukan untuk menghadapi peperangan ini. Untuk itu dia meminta Imam An-Nawawi mengeluarkan fatwa supaya rakyat mengumpulkan harta mereka untuk digunakan buat biaya perang.
Imam An-Nawawi menolak lantas berucap dengan tegas,
"Kami semua tahu bahawa kamu mempunyai 1000 orang hamba sahaya lelaki. Setiap daripadanya memiliki tali pelana yang diperbuat daripada emas. Kamu juga mempunyai 200 orang hamba sahaya perempuan. Setiap hamba sahaya tersebut memperoleh perhiasan. Apabila semua ini kau sumbang barulah aku akan menyampaikan fatwa boleh mengambil harta rakyat."
Sekarang: Apabila slogan berjimat cermat mahu dilaungkan, ianya nampak seperti momokan yang mengecewakan. Pemerintah menyuruh rakyat jelata berjimat namun mereka sendiri yang membazir. Contoh dilihat di sini majlis keraian yang banyak di adakan. Pembaziran pada perkara-perkara yang tidak perlu, dan amalan bermewah yang sukar dikikis daripada kehidupan pemerintah.
;
Sesungguhnya dunia Islam banyak menyaksikan banyak penyelewangan para sultan dalam mentadbir dan terkorbannya ramai ulama' demi mempertahankan kebenaran. Malangnya sejarah merakamkan Sultan yang mahu mengekalkan kuasa sanggup meminta pertolongan Tentera Salib. Tentera Salib yang tidak pernah reda api kedengkian pada Islam mengemukakan syarat yang menguntungkan agenda tersembunyi mereka. Akhirnya apabila maruah agama dan tanah watan ini diinjak-injak mereka yang bangkit adalah para ulama'. Mereka syahid kerana Islam bukan atas sebab mempertahankan cukai. Tiada manusia yang tidak boleh dipertikaikan pendapat mereka kecuali para Nabi dan Rasul yang maksum.
MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
4 comments:
Allahuakbar, tulisan yang bernafas segar! Ana harap kebangkitan umat Islam di rantau kita bermula dengan kepimpinan ulama-ulama Islam berjiwa singa memperjuangkan kebenaran.
Syukron Akhi. Moga ada manfaat bersama. Nasihatkan ana...
'pemerintah' itu merujuk eksekutif, atau raja-raja Melayu?
kalau yg dimaksudkan raja-raja Melayu, mereka bukannya pemerintah sebenar. Cuma ketua kerajaan. Simbol penyatuan masyarakat, dan cuma ada sedikit kuasa berkaitan hal ehwal agama. Kalau dinilai peranan raja dlm aspek ekonomi dan politik, mcm dah tak signifikan.
Hari ini, perdana Menteri dan Menteri-menteri besar yg patut dinasihat oleh ulama, kerana mereka ada lbih 'kuasa' berbanding raja melayu. Tindakan eksekutif lebih memberi impak berbanding raja melayu.
Dlm kes sultan Selangor vs ADUN Seri Muda, ADUN tu wajar dianggap biadap. beliau menyindir sultan hanya kerana baginda tidak memihak pembangkang. Sultan selangor wajar dipuji kerana masih cuba mempertahankan tanggungjwab secara adil, walaupun dlm sistem yg byk 'meragut' peranan sultan sbg pemerintah.
Pemerintah yang dimasksudkan di sini adalah kerajaan negeri mahupun negara serta sultannya.
Baik kerajaan negeri BN atau BA.
Saya tidak mengulas isu ADUN Suhaimi di sini.
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...