Agama itu Nasihat
>> Monday, January 10, 2011
Mungkin tidak terlambat untuk saya mengucapkan Salam Tahun Baru Hijrah 1432H dan tahun Masihi 2011. Penambahan tahun menggiring peningkatan usia. Tahun ini usia saya bakal mencecah suku abad. Penambahan usia menandakan masa untuk beramal semakin singkat. Semakin banyak amal perlu dimaksimumkan sebelum meninggalkan ianya sebagai warisan berguna buat umat.
Saya iringi dengan doa di awal pagi;
"Ya Allah, sesungguhnya daku lalui waktu pagi ini dalam kenikmatan, kesihatan dan tertutup rahsia dengan kurnia-Mu. Maka tolonglah dilengkapkan untukku nikmat, kesihatan dan penutupan rahsia dari-Mu di dunia dan akhirat."
Cukup indah untuk kita hayati doa ini, ianya terkandung dalam zikir Ma'thurat yang setengah daripada kita cuba lazimi setiap hari pagi dan petang. Inilah zikir dan wirit yang shahih diamalkan Nabi Muhammad SAW. Bukan wirit-wirit lain seperti bismillah 20, 9, 6, 5 mahupun doa dan ayat yang tiada asal usul, malah melampau dan tidak shahih pula dalam menawarkan fadhilatnya. Inilah jasa besar Imam Hassan Al-Banna dalam menyusun zikir ini sebagai panduan. Kerana ramai orang yang suka bersangka-sangka dalam agama ini. Lalu terbit pelbagai bid'ah yang mendatangkan fitnah bagi agama.
Benarlah kata bijak pandai;
'Menyembah Allah tanpa ilmu lebih banyak membawa kerosakan lebih daripada kebaikan'
Jangan disingkap kain yang membaluti betis
Saya amat tertarik untuk mengulas doa yang saya titipkan di pangkal entri ini. Bayangkan betapa tingginya nilai seorang hamba itu yang mengharapkan redho Allah dalam nikmat dan kesihatan yang diberikan. Juga satu lagi nikmat yang amat penting, iaitu penutupan aib.
Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan banyak nikmat kepada manusia sehari-hari. Allah amat berbuat baik kepada manusia, banyak rahsia dan aib yang ditutup. Bahkan tidak dibenarkan sama sekali insan untuk mendedahkan dosa-dosa yang lalu. Taubat menutup segala dosa. Andai aib ini terdedah, tiada apa lagi yang tinggal buat diri. Jika aib ini terlekat di dada-dada manusia, nescaya harga kepercayaan manusia lain sukar lagi untuk diperoleh.
Kucing yang comel, jika tidak punya bulu ianya mendatangkan kejijikan. Manusia yang baik akhlak, jika disingkap aibnya akan menimbulkan kejijikan juga.
Lihatlah kesan besar andai aib-aib diri disingkap;
Anak-anak akan hilang kepercayaan pada ibu bapa,
Rakyat hilang keyakinan pada pemimpin,
Suami hilang kepercayaan pada isteri begitu juga sebaliknya,
Pelajar hilang kepercayaan pada guru,
Malah nilai masyarakat juga retak dan hancur demi harga sebuah kepercayaan.
Lemahnya manusia, tiada padan dengan apa yang dimilikinya.
Ada beberapa perlakuan manusia itu tanpa sedar merosakkan amalannya sehari-hari. Lupa bahawa dirinya juga tidak sempurna. Lupa bahawa apa yang diperkatakannya bisa jadi berpatah balik pada dirinya. Jika tidak mahu aib diri disingkap mengapa tidak mahu menjaga amal? Lihat apa yang saya ingin kongsikan sebagai muhasabah kita bersama.
1) Jangan mengunjing dan mengumpat
Seronoknya mengumpat. Ianya merupakan kelazatan. Terkadang ianya tidak diundang, terkadang mereka yang mengumpat rasa adil untuk mengumpat.
"Alah, dia itu memang teruk." Kata tukang pembawa usul
"Betul, betul. Ini bukan mengumpat. Ini kenyataan." Seorang penyokong diraih.
Benar, ada sesetengah kes yang boleh didedahkan keburukan sifat individu untuk orang lain berjaga-jaga. Namun ianya juga punya adab dan tidak boleh berlebihan.
Paling popular, adalah umpatan seorang isteri kepada suaminya. Terkadang ianya terlepas tanpa disangka. Sering benar terjadi, jika seorang suami itu membuat silap sekali. Maka isterinya akan mengungkit-ungkit kesalahan itu. Seolah-olah suaminya tidak pernah berbuat jasa apa-apa pada dirinya. Awas, inilah yang mengundang ramainya wanita itu ke neraka!
"Apabila ada seseorang yang mula mengumpat, kamu balas dengan pujian." ujar Imam Hassan Al-Banna dalam salah satu tulisannya.
Wah, cukup berkesan sekali formula yang diberi oleh Imam Hassan Al-Banna ini. Perbincangan jadi adil, dan umpatan pun tidak meleret malah mungkin habis modal.
Percayalah, tiada manusia suka diumpat. Mami Jarum pun sempat bertaubat!
2) Jangan mencari-cari kesalahan orang apatah lagi mencela
Sifirnya begini, andai diri mudah membuka aib orang. Allah Taala akan balas kepada diri sendiri kembali.
Nabi SAW bersabda:
"Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya". (Hadis riwayat Abu Daud).
3) Jangan bangga diri dan megah
Satu masalah bagi orang jahil adalah mereka tidak tahu apa yang mereka perlu tahu. Lebih malang lagi apabila orang jahil membuat satu dosa yang disangkanya tiada apa-apa.
Tiada maaf untuk orang yang sengaja tidak mahu belajar ilmu fardu ain. Malas belajar sehingga pincang ibadahnya dan sumbing amalannya.
Namun masalah juga bagi orang yang merasakan diri pandai. Bangga mengangkat diri sendiri, walhal disebabkan sempitnya pergaulan dia tidak tahu ramai lagi setanding malah lebih hebat daripadanya. Ilmu itu jika sudah diperoleh digunakan untuk mencari aib diri. Makin rasa kerdil, makin rasa diri ini hamba. Bukan bangga dan megah diri. Inilah masalah yang timbul jika ada ilmu tapi bukan untuk berbuat taqwa. Hebat sangat ke ilmu tanpa taqwa?
Seorang penyair arab pernah mengatakan;
Kalaulah ilmu pengetahuan tanpa ada taqwa sudah menandakan seorang itu sempurna,
Maka sudah tentu makhluk yang paling sempurna adalah Iblis.
Mahu menafikan kehebatan iblis? Hidupnya lebih lama dari hayat manusia, penghulu malaikat, berbicara dengan Allah Taala dan sebagainya lagi. Tanpa malang, ilmunya hebat tetapi hidupnya terlaknat. Pengakhirannya adalah neraka. Pengikutnya adalah mereka yang turut sama bermegah-megah dengannya.
Ingatlah percikan rahmat dan sifat Allah banyak sekali dilimpahkan pada manusia. Namun sifat megah dan besar diri tidak dibenarkan untuk manusia memiliknya. Tidak layak manusia menyandarkan selendang Allah Taala ini ke bahunya.
"Kemuliaan itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya".(Hadis Qudsi riwayat Muslim).
4) Bersifat qanaah
Merasa syukur dan cukup dengan apa yang ada. Bahkan tidak mahu terlepas pula daripada berkongsi nikmat yang sedikit. Mulianya makhluk Allah seperti ini menjadikan malaikat sendiri malu pada Uthman bin Affan. Hebatnya insan seperti ini membuatkan syaitan takut berpapasan dengan Umar al-Khattab di lorongan jalan.
Qanaah menandakan seseorang telah mencapai darjat ilmu dan taqwa yang tinggi. Beruntunglah mereka yang sering sedar dan tidak mudah hanyut pada arus dunia yang menggila.
5) Hargai dan menyayangi mereka yang di sekeliling
Hidup ini terlalu singkat untuk banyak membenci. Hidup ini juga terlalu subjektif. Mungkin asbab benci pada seseorang menular pada diri sendiri. Belajarlah daripada orang yang berlapang dada dan mudah memaafkan. Dimanakah disimpan keegoaannya? Mungkin sedang berasak-asak untuk keluar dari himpitan rasa rendah diri.
Tidak adil untuk terus membenci, kerana tiada siapa di dunia telah dijamin pengakhirannya. Mungkin orang yang dibenci itu ahli syurga. Yang datang memberi syafaat kepada teman-temannya di akhirat nanti. Mungkin orang yang dibenci itu banyak berbuat jasa. Tetapi disembunyikan malah tidak diketahui jasanya banyak menyenangkan kita.
Belajarlah dengan semut, menjadikan tabiat bersapaan di kala berjumpa. Belajarlah dengan alam, yang terus menerus berkhidmat kepada manusia meskipun banyak sekali larangan Allah yang dilanggar. Belajarlah menyayangi, meskipun orang itu membenci diri.
Mempunyai 1000 kawan itu tidaklah terlalu ramai, tetapi mempunyai satu musuh itu sudah terlampau ramai!
;
Aib diri dapat dicapai dengan banyak menuntut ilmu. Aib diri satu peringatan untuk menjadi manusia berperibadi murni. Mengakhiri entri, sebuah syair yang ungkap daripada sebuah buku;
Allahumma Anta Ya Rabbi...
Mereka berbaik sangka kepadaku
Padahal hakikatnya tidaklah begitu
Tetapi aku adalah orang yang zalim
Sebagaimana yang Engkau sedia maklum
Kau sembunyikan semua aib yang ada
Dari pandangan mata mereka
Kau kenakan pakaian menawan
Sebagai tabir tutupan
Jadilah mereka menyintai
Padahal aku tidak layak dicintai
Tapi hanyalah berusaha untuk menyerupai
Janganlah Engkau hinakan aku
Pada Hari Qiamat di tengah mereka
Jadikanlah aku seorang yang mulia
Janganlah aku termasuk yang hina dina
;
Allah telah berbuat baik kepada kita
Kerana kesalahan tidak menyebar ke mana-mana
Apa yg tersembunyi pada diri kita
Tentu tersingkap di sisi-Nya
--------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
MS Rizal,
32100, Lumut,
10 Jan 2011/5 Safar 1432H
http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...