Magnet Minda: Menyemai Sifat Berani

>> Wednesday, January 12, 2011

"Kenapa muka masam sahaja ini Syafiq?" soal saya pada rakan serumah.

"Aku pergi jumpa penyelia PSM (Projek Sarjana Muda), En. Jaafar. Ini baru lepas kena marah dengan dia." Jawab Syafiq.

"Ish, takkan En. Jaafar itu garang? Di bilik kuliah okey sahaja, " soal saya dalam nada kehairanan.

"Dalam bilik kuliah memang dia okey. Tapi pelajar yang di bawah selian dia memang selalu kena marah." Syafiq meluah perasaan yang dipendam.

Sukri di sebelah mengangguk tanda mengiakan. Dia juga adalah pelajar di bawah selian En. Jaafar. Kesian. Alasan mereka benar. Saya memang nampak serba salahnya mereka apabila mahu mengetuk pintu bilik En. Jaafar. Pelajar lain seronok berjumpa penyelia untuk minta panduan dan nasihat berguna. Mereka berjumpa penyelia untuk 'tadah telinga'.

Namun di penghujung semester keadaan menjadi sebaliknya. Hasil 'tadah telinga' mereka berjaya menghasilkan inovasi yang kreatif. Saya sendiri kagum melihatnya.

Ini membuatkan saya terfikir, apa jadi kalau mereka berputus asa? Atau sudah serik untuk ke sekian kalinya berjumpa penyelia? Pasti keputusannya tidak begitu. Memang ada pelajar yang enggan berjumpa penyelia dan akhirnya terpaksa mengulang subjek dan extend setahun. Rugi dan sia-sia masa akibat kealpaan diri sendiri.

Berani menghadapi realiti. Ini cerita zaman belajar, ironinya cukup besar untuk saya ulas di dunia sebenar.

Bersifat beranilah Rijal!

Hidup ini sering kali dihujani dengan pelbagai kesulitan dan kepayahan.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Balad ayat 4:


Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.


Susah dan payah sehingga hampir pasti ianya adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Kesulitan itu pelbagai. Ianya memerlukan keberanian dan iltizam yang tinggi untuk menghadapinya. Keberanian adalah sesuatu yang mengujakan. Ianya adalah fitrah asal kaum lelaki. Sepertimana sifat malu yang merupakan fitrah asal kaum wanita.

Lawan berani adalah pengecut dan bacul. Sesiapa yang cuba lari daripada masalah adalah pengecut. Pengecut sangat-sangat tidak menguntungkan diri apatah lagi kepada Islam. Ianya dipandang hina. Hina dalam pelbagai segi. Sama ada pengecut untuk mempertahankan hak diri. Pengecut kerana takut dipandang minoriti. Malah masalah yang paling sukar ditidakkan, tidak lain pengecut kerana takut memudaratkan diri. Pengecut hanya membentuk diri menjadi lalang. Tiada pendirian. Bukan watak utama sebuah drama kehidupan, tetapi penumpang dan lebihan dunia.

Rasulullah saw. bersabda,

“Janganlah kamu menjadi orang yang tidak punyai sikap. Bila orang melakukan kebaikan maka aku pun melakukannya. Namun bila orang melakukan keburukan maka aku pun ikut melakukannya juga. Akan tetapi jadilah orang yang punya sikap dan keberanian. Jika orang melakukan kebaikan maka aku melakukannya. Namun jika orang melakukan keburukan maka aku tinggalkan sikap buruk mereka.” (Hadis Riwayat Tarmidzi)


Tidaklah lain yang mengurangkan sifat berani ini melainkan sifat wahn atau terlalu cintakan dunia. Seseorang yang mahu menjadi dinamik perlulah menguatkan diri untuk keluar daripada daerah selesa. Kerana keselesaan banyak membunuh potensi sebenar seorang anak muda yang berwawasan tinggi.


Latih diri dengan sifat berani

Lazimnya takut itu berpunca daripada kesalahan. Seseorang yang bersalah sememangnya terbenam perasaan takut dalam dirinya. Sebaliknya mereka yang jujur dan ikhlas akan lebih terbuka dan bersifat berani.

Sinonimnya salah itu dengan perkataan dosa. Oleh itu hindarilah dosa sebanyak mungkin dan beramallah sebanyak yang mungkin. Kerana amal itu kekuatan dan menahan diri daripada melakukan dosa itu adalah mujahadah kejayaan. Seseorang yang sering bangun malam untuk beribadat akan segar dan terbenam sifat berani mempertahankan yang hak. Kerana rutin hariannya pada waktu siang akan menghadapi pelbagai manipulasi dan sikap manusia yang pelbagai.

Mintalah dan berdoalah pada Allah Taala. Itulah sumber keberanian dan kekuatan. Syed Qutb sendiri pernah ditanya oleh rakan setahanan kenapa dia menyibukkan diri beribadat pada malam hari. Padahal dia pasti keletihan setelah disoal dan diseksa pada siang hari. Apa yang membuatkan dia bertahan? Syed Qutb menyatakan jika tidak kerana Qiamulail itu, dia tidak mampu untuk bertahan pada siang hari. Masya-Allah dahsyatnya hikmah terkandung dalam solat malam. Rugilah bagi yang memandang remeh kerana tenggelam dalam sifat wahn. Bila hidup selesa dan tiada cabaran, dia tidak rasa memerlukan Rabb sebagai tempat mengadu dan mencari perlindungan. Mulalah perkara maksiat menjadi ganti. Tanggungjawab bukan lagi satu keutamaan, yang digantikan hanya kesoronokan untuk melarikan diri daripada realiti.


Latih anakmu dengan sifat berani


Melatih anak-anak dengan sifat berani sememangnya amat penting. Namun apa yang menyedihkan tidak semua ibu bapa prihatin untuk menerapkan nilai ini pada seorang kanak-kanak. Fikir mereka keperluan fizikal itu sudah cukup. Atau jika anaknya sudah memperoleh nombor yang tinggi di dalam kelas itu sudah cukup baik. Tidak peka pada keperluan emosi membuatkan anak-anak tidak seimbang untuk menjadi seorang 'manusia'.
Lalu apabila si anak meningkat dewasa dia mempunyai self esteem yang rendah. Tidak hairan jika wujudnya golongan yang dipanggil nerd kerana terlalu mementingkan akademik tanpa mahu mengimbangkan dengan keperluan sosial dan survival diri. Ini satu penyesalan.

Budaya segelintir orang kita, apabila ada tetamu berkunjungan ibu bapa 'menyorokkan' anak-anak mereka di dalam bilik. Konon tidak mahu hal-hal orang tua dicampuri, walhal ianya satu kerugian besar. Sepatutnya masa inilah digunakan untuk menonjolkan sifat berani anak-anak. Perkenalkan semua anak-anak pada tetamu, dan beri peluang mereka untuk bermesra dengan tetamu. Selepas itu barulah menyambung pada maudu' utama ziarah.

Anak-anak juga perlu dibawa selalu ke tempat awam. Bawa mereka ke majlis ilmu dan ke tempat riadhah untuk turut didedahkan seawal mungkin kepentingan bermasyarakat. Ironinya perlakuan ini ditambah dengan sikap generasi sekarang yang lebih selesa memerap di bilik menghadap komputer sahaja.


Beranilah kerana banyak perkara memerlukan pengorbanan


Ambillah kisah orang-orang hebat pada zaman Nabi SAW, Salafus Soleh, Tabi' tabi'in dan mereka yang berjuang menegakkan agama ini. Golongan ini telah menunjukkan penanda aras sifat berani bagi kita. Ingatlah sehebat manapun bahana yang bakal diterima oleh kita sekarang, ianya tidak lagi mencapai darjat mereka yang hebat ini.

Seseorang yang ingin meluruskan bos di tempat kerja mungkin sahaja menerima herdikan. Seorang kawan ingin meluruskan kawannya yang lain mungkin sekadar hilang kemesraan. Seorang anak muda yang ingin menegur pak cik lebih tua mungkin sekadar dipandang sepi.

Bacalah kisah-kisah sahabat-sahabat yang berani. Mehnah yang dialami sehingga nyawa itu yang menjadi andalan. Lupakah diri pada kisah Khubaib Al-'Adi yang mati di kayu salib demi mempertahankan imannya dan maruah Rasulullah SAW? Atau masih segar dalam ingatan kisah Sumaiyah wanita pertama yang syahid?

Atau mungkin juga sayunya kita mendengar rayuan Khabab al-Arats meminta Rasulullah SAW berdoa disegerakan kemenangan Islam. Lantas Rasulullah SAW mengatakan dia orang yang terburu-buru. Walhal sudah terbukti seksaanya yang diterima juga amat dahsyat. Besi yang panas dicucuk di punggungnya. Orang seperti Khabab dikatakan Nabi SAW terburu-buru, apatah lagi individu seperti kebanyakan kita yang sukar untuk mengubah kemungkaran dengan tangan sendiri.

Bacalah lagi kisah-kisah pejuang dakwah dulu dan sekarang. Mereka ini keluar dari zon selesa dan berani dalam menegakkan kebenaran. Nyawa melayang, diri diseksa dan kebahagian yang sering disalah tafsir kita bukan menjadi milik mereka di dunia. Walhal merekalah orang yang paling beruntung. Kerana sagu itu tidak akan diperoleh tanpa dipecahkan ruyung!



-------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.


MS Rizal,

32100, Lumut,

12 Jan 2011/17 Safar 1432H

http://msrizal.blogspot.com/

3 comments:

lelucon January 12, 2011 at 3:06 PM  

jika nerd itu (merujuk indvdu yg habiskan masa dgn mengulangkaji atau membaca, suka menyendiri) dikatakan tidak boleh survive, saya kurang setuju.

Slalunya mereka yg blh survive, sbb tak kisah pun ada kawan/tak. Saya kategori ini, dan saya takde masalah utk melakukan apa juga tugasan/kerja. Dan saya takde masalah utk bercampur dgn orang ramai. Cuma sosialisasi tu kurang sbb saya habiskan dgn menelaah, mengkaji dan meneroka ilmu baharu, menyebbkan saya kurang minat bersosial.

golongan yg tak blh survive tu sbb mereka terbiasa bergantung pd orang. golongan ni selalunya kurang ilmu, kemahiran atau ciri-ciri tertentu. Jd mereka harapkan orang lain utk mengisi kekurangan itu. Benar, self-esteem rendah juga jd penyebabnya.

Saya lebih memberatkan faktor keinginan berbanding keberanian. Kerana keinginan yg kuat blh menjadikan orang berani. Tetapi berani belum tentu menjadikan orang ingin.

MS Rizal January 14, 2011 at 8:03 AM  

En. Lelucon

Terima kasih atas komen, lama sudah tidak saling kunjung mengunjung di blog.

Nerd yang maksudkan di sini adalah seseorang yang terlalu obses kepada bilik kuliahnya sahaja tanpa merasa perlu melibatkan diri dengan masyarakat. Dirasanya mengejar pointer itulah yang lebih utama. Langsung tidak mahu berpersatuan, tidak melibatkan diri aktiviti outdoor dan hanya fokus pada bukunya sahaja.

Jika anda merasakan ini sudah sesuatu yang lengkap, anda mungkin silap en. lelucon.

Kita mungkin ambil ibrah hasil pentarbiyahan Imam Hassan Al-Banna. Seseorang bisa sahaja melihat seorag ikhwah itu menangis dan merendahkan diri di tikar sejadahnya, namun selepas itu dia berubah menjadi orang yang ilmuwan dan banyak memberi nasihat, namun selepas itu dia berubah menjadi ahli sukan yang cergas, namun selepas itu dia menjalankan tugas pekerjaannya dengan amanah, jujur dan ikhlas. Seorang muslim itu perlu berusaha menjadi all-rounder agar dia boleh memaksimumkan sumbangannya dalam agama ini.

Saya setuju faktor keinginan mendorong seseorang menzahirkan keberanian. Namun biarlah faktor itu berada pada kehendak yang menurut nas dan membawa kebaikan pada semua. Keberanian akan menyusul setelah diyakini bahawa Allah pasti redho dan menjadi peneguhnya.

lelucon January 17, 2011 at 4:12 PM  

saya tidak mengtakan 'menumpukan pada sesuatu' itu sudah lengkap. Tapi lbih menujukan kepada 'belum tentu individu tersebut tidak blh survive'.

Cuma, scra peribadi saya ttp melihat budaya 'ulat buku', nerd, geek dan sbgnya yg popular hari ini masih bermasalah, yakni lebih terarah kpd budaya keduniaan semata. Misalnya, jika dia seorang ulat buku atau geek komputer, mungkin solatnya juga lewat (tinggal?), zikirnya kurang, bacaan Al-Qurannya juga jarang2 dsb. Bg kebanyakan, inilah yg difahami. Dgn kata lain, jika penumpuannya pd sesuatu hal dunia lebih, ibadahnya perlu kurang. Yg ini saya pun tidak setju.

Bagi saya tidak mustahil mengimbangi sikap 'nerd' itu dgn ibadah. Saya ttp sokong jika nerd itu lebih suka baca buku, berbanding bergaul dgn rakan2, ttp pada masa sama masih rajin baca Al-Quran, zikir dsb, yg tidak perlukan dia terkongkong dgn jadual orang lain. Maka kalau seorang itu bersikap nerd, tidak perlu disindir, diperlekeh dsb, hanya kerana tidak suka bercampur dgn orang. Siapa tahu, mungkin nerd itu sedang mengusahakan teori fizik tertentu?

Mungkin saudara akan pertikai. Cuma bg saya, selagi dia tidak mengabaikan ibadahnya, dan org lain blh mengisi tanggungjawab fardu kifayahnya, tidak apa. Setiap manusia/makhluk mmg ada peranan msing2.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP