Jangan Gugur dari Pohon Dakwah!
>> Friday, January 28, 2011
Ahad:
"Pak cik, ana nak minta tangguh halaqah hari Rabu ini ke hari Khamis. Sebab ana ada temuduga keesokkan harinya. Boleh?" Pinta seorang mutarobbi pada murobbinya.
"Hmm...tak mengapalah, kita buat pada hari Khamis" ujar murobbi tersebut.
Khamis:
"Salam pak cik, hari ini memang tidak bolehlah. Kami diwajibkan menghadirkan diri ke majlis tahlil..." Mutarobbi memberikan penjelasan melalui talian telefon.
"Ye ke, tak mengapa kita bawa pada hari Isnin." Murobbi memberikan alternatif.
Rasa bersalah menyelebungi mutarobbi tersebut. Ditambah lagi temuduga yang dinanti-nanti ditangguhkan ke minggu hadapannya. Berlalulah minggu itu tanpa halaqah. Mungkin permintaan ini tidak nampak apa-apa, tetapi besar kesannya pada diri murobbi tersebut. Besar juga kesannya peningkatan dirinya.
Serius manakah kamu pada dakwah ini?
Seoang akh, walau secergas manapun dia. Hebat ilmunya, tinggi peribadinya dan seberapa berani pun jiwanya namun itu semua bukan tiket untuk mendabik dada.
Seorang akh, ikhlas dalam menjalankan segala kegiatan dakwahnya. Tidak bertangguh-tangguh dan mencari segenap ruang dan peluang yang ada untuk dakwah ini.
Dakwah ini bukan untuk orang yang bertepian-tepian. Waktu aman dia amat dekat dengan jemaah, mengambil segala kelebihan yang ada. Tetapi dalam masa yang sama menolak sedikit demi sedikit tanggungjawab yang diberikan. Apabila masa sukar datang merengut, dimanakah dirinya ketika itu? Menyorok di belakang sang penguasa atau menjadi munafik yang keduanya selepas Abdullah bin Ubai bin Salul...
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar,
Maha suci Allah yang menciptakan hati yang sering berbolak-balik. Maha suci Allah yang menjadikan insan punya cita rasa dan condong pada apa yang diyakini dan dicintainya. Condongkanlah kami pada agama ini, istiqomah dalam cita-cita kami, teguhkan kami dalam jamaah ini selagi ianya bernaung di bawah rahmat-Mu dan berpagar di dalam syariat ketentuan-Mu.
Dakwah itu apa bagi kamu?
"Saya tak nak masuk program lagi abang, CGPA saya jatuh 2.0 semester ini..."
"Maaf, saya tidak boleh aktif lagi. Perkerjaan saya menuntut untuk saya lebih komited."
"Hmm....Setakat tarbiyah. Dahulu, aku pernah turut serta. Semua ini setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja."
Andai ini pernah terlintas dalam benakmu. Bermain-main dalam fikiranmu. Berputar-putar di dalam daerah rasa serba salah memilih di antara kepentingan diri dan ummah. Sedarlah akh, kamu bukan mereka yang pertama. Malah kamu juga mungkin pelakon yang sama dijeratkan iblis yang lebih berat dan aktif untuk menggulingkan jati dirimu.
Akh, berapa lama kamu berkecimpung di dalam kelompok ini? Setahun dua? Lima dan enam tahun? Dimanakah priority yang kamu letakkan pada dakwah ini. Di sisi, di tepian, di belakang punggung, di pinggiran bibir?
Seorang pelajar yang jatuh dengan teruk dalam peperiksaanya tidak wajar menyalahkan halaqahnya. Ianya seperti seorang yang beralasan untuk solat, berkata sering tidak cukup masa. Walhal jika diatur dengan baik jadual hidupnya, maka dia akan menjumpai halaqah adalah satu booster dalam melonjakkan potensi dirinya. Hairan sungguh 2-3 jam dalam 168 jam mendatang kesan yang besar dalam prestasi semester itu. Cubalah renung waktu-waktu senggang lain yang di sia-siakan. 2 jam sebelum subuh yang dipenuhi dengan tidur-tidur sahaja. Waktu senggang lain yang mungkin dipenuhi dengan aktiviti kurang berfaedah. Mahupun perancangan gerak kerja semester yang salah. Masalah sebenar adalah gagal untuk merancang, dan hasilnya adalah merancang untuk gagal.
Seorang pekerja dan peniaga yang meletakkan kepentingan poketnya lebih daripada dakwah mungkin menjadikan Qarun itu sebagai role modelnya. Lebihan dunia itu bukan lebihan lagi tetapi adalah inti bagi dirinya. Kepentingannya beraja di hati bersultan di mata. Astaghfirullah...sayakah itu?....
Seorang akh yang berada dipinggiran dakwah, lalu apabila tidak lagi melibatkan diri dia menjadi musuh bagi dakwah itu pula. Berhati-hati dengan mereka ini dan kesan segera kelemahan hujahnya sebagai benteng kamu mempertahankan diri. Jangan sesekali merasa senior dalam dakwah. Kerana siapa yang tahu butir nasi mana yang lebih enak dalam sepinggan nasi?
Akh, jangan jadikan agenda dakwah sebagai 'kambing hitam'mu. Jika ada kekurangan ianya adalah kesalahan dirimu bukan dakwah. Umat ini sudah mencecah parah, sehingga ada tempat yang meletakkan keutamaanya pada tahap fardu 'ain. Dimanakah anda pada ketika itu?
Islam itulah yang rahmat bukan kamu akh!
Umat ini amat lena dalam suntikan bius hendonisme, sehingga jika dikatakan remaja, pemuda dan pemudi kita tidak dapat lari daripada persepsi hiburan, hiburan dan hiburan.
Ingatlah akh, di saat kamu undur ada ikwah lain yang sedang berjalan kaki, mengayuh basikal, menaiki bas, menunggang motorsikal atau tersepit di penjara sedang menangis dalam doa. Doa agar orang lain kuat untuk meneruskan dakwah ini, kerana dirinya merasakan usaha yang dilakukan amat sedikit menghasilkan bakti.
Sedarlah akh, andai kaum ini lalai dan tidak mahu menjalankan amanah dakwah, keistimewaan yang terkandung di dalamnya. Merebut bonus akhirat dan keampunan di dalamnya maka mudah sahaja Allah Taala menggantikan kita dengan kaum yang lain.
Seperti mana perlunya seorang manusia pada Islam, begitulah perlunya seorang akh pada jamaahnya.
Fastqim kama Umirta...Ya Allah,
Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta padaMu,
telah berjumpa dalam taat padaMu,
telah bersatu dalam dakwah padaMu,
telah berpadu dalam membela syari’atMu.
Kukuhkanlah, ya Allah, ikatannya.
Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan nur cahayaMu yang tiada pernah pudar.
Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepadaMu dan
keindahan bertawakkal kepadaMu.
Nyalakanlah hati kami dengan berma’rifat padaMu.
Matikanlah kami dalam syahid di jalanMu.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah. Amin. Sampaikanlah kesejahteraan, ya Allah, pada junjungan kami, Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabatnya dan limpahkanlah kepada mereka keselamatan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
MS Rizal,
32100, Lumut,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
Matlamat dakwah itu mengajak manusia ke jalan Allah.
perspektif dakwah yg sempit, menyempitkan peluang utk berdakwah. Sebhgn masalah berpunca dr pandangan ekstrem, sbhgn pula berpunca dari kurang ilmu/pendedahan.
Dakwah itu tak semestinya perlukan tenaga/masa banyak. Mengingatkan kawan yg terlupa membaca basmallah (bismillah ...) sblm makan juga satu dakwah. Buatlah ikut kemampuan. Yg penting ikhlas.
yg bagusnya, blog ini juga ada elemen dakwahnya :)
Terima kasih atas kesetian anda membaca saudara Lelucon
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...