Antara Pengembala Kambing dan Hamba Pencuri
>> Monday, February 7, 2011
"Abang, dah lama kita tak jumpa. Esok boleh jumpa?"
Satu mesej tertera di telefon mudah alih saya. Saya melihat pengirimnya, Hafizi dari Institut Kemahiran Mara. Saya menekan punat telefon untuk membalas mesejnya.
"Insya-Allah esok boleh, maaf sudah 2 minggu tidak berjumpa. Ada halangan untuk abang berjumpa kamu semua."
Saya membalas mesej ini. Ada harapan mungkin, saya mohon doa pada Allah Taala banyak-banyak. Mohon dikuatkan saya membimbing remaja-remaja ini. Remaja-remaja tidak semudah yang disangka untuk melembutkan hati mereka. Saya sudah melepasi zaman ini. Jika berhadapan dengan remaja-remaja yang tinggi IQ itu mungkin mudah sedikit untuk dilentur. Tetapi sukar untuk berhadapan dengan mereka yang berpeleseran tanpa arah tuju. Saya terpaksa memikirkan cara terbaik sekaligus melatih diri menjadi orang yang bijak bergaul dengan mereka. Ya, remaja itu meletihkan. Tetapi itulah dia cabaran. Sukar untuk seorang lelaki menurunkan keegoannya. Percayalah tentang fakta ini!
Remaja yang dilihat tiada arah tujuan sebenarnya punya permata berharga. Punya semangat dan keberanian. Jika diacah, keberanian ini akan memuncak. Jika dilorongkan ke haluan yang benar ianya merupakan kekuatan yang lebih dahsyat daripada tenaga nukleur. Sejarah telah membuktikan tentang peranan besar yang dimainkan pemuda beriman. Kisah ashabul ukhdud, ashabul kahfi dan para sahabah Nabi SAW yang terdiri daripada pemuda-pemuda.
"Sebab itu remaja jangan dipandang remeh. Jika diadun dengan baik boleh jadi ianya akan melebihi kita!" hujah saya pada seorang pak cik di atas bas dalam perjalan ke Kuala Lumpur.
Antara Pengembala Kambing dan Hamba Pencuri
Sewaktu berlangsungnya perang Khaibar ada seorang hamba yang mengembala kambing milik yahudi bernama al-Aswad. Dia bersyahadah di saat genting peperangan dan terus mara menggempur benteng pertahanan Yahudi. Dia akhirnya syahid sedangkan belum bersolat barang 2 rakaat pun.
Jenazahnya dibawa dan diletakkan di belakang Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkenan melihat jasad Al-Aswad. Saat melihat jenazah Rasulullah SAW secara tiba-tiba berpaling.
Ketahuilah, palingan Baginda SAW bukan kerana jijik tetapi kerana palingan kemulian.
"Sesungguhnya, dia sekarang ditunggui dua orang isteri bidadari..." ujar Nabi SAW.
Subhanallah, ajaibnya seseorang yang kafir kemudianya Islam dan kemudiannya ke syurga dalam tempoh sehari!
Marilah meneliti satu lagi cerita di saat bergeraknya Nabi SAW setelah meninggalkan Khaibar menuju ke Wadil Qura'. Di tempat ini tinggalnya sekolompok orang yahudi.
Apabila tentera Islam tiba, mereka dihujani dengan anak panah. Mujur, tentera Islam dalam keadaan bersedia. Namun, sayang seorang hamba Rasulullah SAW tidak dapat mengelak. Hamba itu bernama Mud'im. Dia meninggal serta merta.
"Beruntunglah, dia mendapat syurga..." seru sebahagian sahabat di situ.
Apakah reaksi Nabi SAW? Hairannya baginda tidak mengiakan bahkan membantah.
"Tidak, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Selimut yang di curi dari Khaibar akan menjadi api neraka yang membakarnya!"
Fahamlah sahabah bahawa hamba ini telah mengambil harta ghanimah tanpa pengetahuan sebelum ianya dibahagi-bahagikan. Ianya disabitkan sebagai tidak amanah dan mencuri. setelah diperiksa ternyata dijumpai tali selipar hasil ghanimah Khaibar.
"Itu tali selipar neraka!" ujar Rasulullah SAW.
Hikmah terlorong di antara dua kisah.
Kisah al-Aswad dan Mud'im adalah berkisar 2 orang hamba.
Seorang masuk syurga dan seorang lagi ke neraka.
Seorang baru masuk Islam bahkan tidak sempat bersolat langsung dan seorang lagi sudah lama bersama orang Islam.
Ternyata Allah tidak memandang lahiriah, rupa, senioriti, mahupun amalan-amalan secara fizikal. Allah melihat ketinggian taqwa seseorang. Kemungkinan taqwa itu terbit kepada seseorang yang baru memeluk Islam lalu berubah menjadi sumber kekuatan Islam. Taqwa itu juga mungkin tidak sampai kepada orang yang sudah lama berada di dalam Islam namun tiada sumbangan di dalamnya.
Inilah ibrah berguna di dalam komponenan dakwah. Seorang yang terlibat di dalam jamaah jangan dipandang enteng walau sedikitpun. Kemungkinan ianya merupakan sumber kekuatan dengan keikhlasan yang penuh di dalam hatinya. Boleh jadi seorang anak usrah itu ahli syurga sedangkan naqibnya seorang ahli neraka. Kerana boleh jadi naqib tadi tanpa pengetahuan orang ramai telah menyembunyikan 'selimut dan selipar ghanimah khaibar' di balik pakaiannya.
Ya Allah matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah, janganlah matikan kami dalam keadaan su'ul khatimah.Ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli syurga, sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah atasnya takdir Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli neraka. Ada seseorang di antara kalian mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta sahaja. Maka dahululah ketentuan Allah, lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga, diapun masuk ke dalam syurga.( Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Berminatlah dengan manusia
Bergaul dan bersabar dengan manusia itu lebih baik daripada menghindar diri. Besarnya jasa seseorang yang berjaya merubah sampah menjadi barangan berharga. Mad'u adalah seperti harta yang tersorok di dalam tanah. Sesiapa yang rajin akan menemukannya dengan banyak dan mengambil manfaatnya. Sesiapa yang malas akan membiarkan tanah itu terbiar dengan semak samun dan binatang yang melata.
Nun jauh di sana angin sahara bertiup dengan nyalaan hangat revolusi kebenaran. Ajaibnya hampir pasti peranan gelojak dan keberanian ini bermula daripada pada pemudanya!
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- Penulisan ini adalah hak cipta msrizal.blogspot.com. Sebarang penyiaran semula hendaklah menyertakan sekali alamat blog ini. Terima kasih kerana sudi membaca.
MS Rizal,
31200, Chemor,
2011/1432H
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
"Remaja yang dilihat tiada arah tujuan sebenarnya punya permata berharga. Punya semangat dan keberanian. Jika diacah, keberanian ini akan memuncak. Jika dilorongkan ke haluan yang benar ianya merupakan kekuatan yang lebih dahsyat daripada tenaga nuklear."
Saya stuju tumpuan lebih kpd remaja.
Remaja hari ini adalah aset negara. Masa muda, mereka menyumbang kepada pembangunan negara (sumber manusia). Seharusnya tenaga/kemahiran mereka diarahkan kpd yg positif. Dan masa tua nanti, merekalah yg jd pemimpin dan membimbing generasi seterusnya.
Setuju juga Alhamdulillah
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...