Biar dunia tahu betapa jengkelnya pendapatku!
>> Tuesday, February 17, 2009
Entri ini ditulis sebagai nasihat kepada rakan-rakan yang bimbang ekonominya bakal terjejas jika mempunyai isteri yang tidak berkerjaya....
---------------------------------------------------------------------------------------------
Suasana di cafe pada malam itu agak lengang, mungkin kerana pelajar masing-masing sibuk untuk persiapan aktiviti pada pagi esoknya. Saya duduk berempat dengan rakan-rakan. Masing-masing sedang asyik menikmati menu yang sama, nasi goreng ayam dan telur separuh masak.
Tiba-tiba kami disapa dari belakang oleh Mejar Radzwan. Kami tahu kedatangannya bukan untuk menjamu selera tetapi mencari teman berbual. Kami menjemput Mejar Radzwan duduk.
Mencedok air teladan dari perigi orang yang berjasa.
Mejar Radzwan gemar menceritakan kisah hidupnya sebagai nasihat kepada kami yang masih muda. Tentunya pengalamannya yang pelbagai, menjadi cabaran kepada kami sebagai panduan masa hadapan.
Saya paling gemar mendengar pengalamannya menjalani latihan PASKAU(Pasukan Khas Tentera Udara) atau lebih dikenali sebagai KOMANDO. Tentang corak latihan yang menyiksakan dan memang tak masuk akal. Tetapi secara realistiknya saya melihat ada kepentingannya juga corak latihan sebegini. Saya juga suka mendengar celotehnya tentang latihan terjun bebas dari udara. Sesuatu yang menyeronokkan untuk terjun bebas, tetapi percayalah jauh di lubuk hati saya perasaan takut itu tetap ada.
Tetapi bukan itu sahaja yang saya suka cungkil daripadanya, tetapi juga tentang hal cara pengurusan rumah tangga.
"Isteri tuan bekerja?" saya mengajukan soalan.
"Dahulu dia bekerja, tetapi tidak lagi sekarang. Saya lebih suka anak saya dijaga dan dibesarkan oleh ibunya sendiri." Mejar Radzwan menjawab.
Ya, kita sependapat!
"Macam mana tuan mengurus ekonomi rumah tangga?"
"Caranya mudah, berbelanja ikut kemampuan. Bukan ikut kemahuan."
Dia menambah, tidak sepatutnya bagi seorang fresh graduate(ordinary) untuk betah bergaya dengan kereta baru. Simpanlah duit dahulu. Dia masih ingat, dahulunya dia hanya mempunyai sebuah motorsikal. Dengan motorsikal itulah dia meletakkan anaknya di bakul hadapan, isteri yang mengandung ketika itu beserta anak kedua di belakang. Jika polis membuat road block pun tidak sampai hati untuk menyaman. Jika hujan terpaksa berteduh di bawah lindungan, menitis air mata melihat anak-anak kesejukan. Tetapi itulah kehidupan.
Ya, ini juga yang saya alami sewaktu kecil!
Bezanya bapa saya bukan askar, dia tidak berani untuk melepasi road block polis. Maka terpaksalah dia berpatah balik. Masakan tidak, dengan menunggang motorsikal honda c70 nya dia mengendong saya dengan adik beradik lain(3 beradik ketika itu) berserta ibu saya. Sesuatu yang sukar dilupakan.
Ku pinang-pinang tidak dapat, ku pujuk-pujuk kubawa lari.
Saya amat bersetuju dengan apa yang ditulis oleh saudara Hamdy di dalam bukunya 'Rancang Hidup Rancang Wang'. Suatu nasihat yang baik dan cukup berguna di dalam menguruskan hal-hal sampingan bagi membentuk perjalanan hidup yang baik. Seharusnya soalan pertama yang perlu dijawab kepada diri sendiri, apakah tujuan kita untuk melakukan ini dan juga ini? Tolak ketepi jika tujuannya untuk bermegah, kerana tiada untungnya dengan bermegah.
Rakan-rakan sekalian,
Saya bukanlah anti di dalam hal pembangunan wanita. Malah dari banyak segi saya memandang perlunya wanita di dalam berkerjaya. Terutamanya sektor perkhidmatan yang pelanggannya melibatkan wanita juga. Namun ini bukan syarat yang perlu di kejar dan dijadikan keutamaan. Hakikatnya wanita itu perlu sedar tujuan dilahirkan di dunia, dan tugas-tugas yang sudah sebati dengan mereka. Wanita bekerjaya mungkin dianggap taboo oleh orang terdahulu, tetapi tidak lagi sekarang. Namun sebenarnya nilai inilah yang digariskan oleh kebanyakan philosopi Islam sebagai faktor yang mendorong kepada kelesuan sosial masyarakat Barat.
Al-Kisah, tiga faktor tersebut:
1) Persamaan Hak antara Lelaki dan Wanita
2) Kebebasan wanita di dalam bidang ekonomi
3) Kebebasan sosial antara lelaki dan wanita.
Ya, tuntutan persamaan hak mewujudkan golongan feminin. Penguasaan ekonomi,menyebabkan sesetangah wanita tidak mahu lagi bergantung kepada lelaki dan tidak rasa bersalah jika penceraian rumah tangga terjadi. Kebebasan sosial yang menyebabkan remaja menjadi bodoh dan kaku, juga masalah hubungan songsang yang membawa kepada bakal runtuhnya tamadun Barat.
Ironinya, saya berpendapat wanita itu lebih cenderung untuk menjadi suri rumah, mendidik anak, memasak dan mengemas, menyiapkan makan pakai dan melayan suaminya secara baik. Wanita bukan ejen pencari nafkah. Pencari nafkah adalah suami, kerana sebagaimana mudahnya naluri wanita itu menguruskan hal rumah tangganya, begitulah juga mudahnya naluri lelaki itu untuk mencari nafkah.
Perjuangan wanita menyiapkan dirinya sebagai suri di dalam rumah tangga jangan dipandang lekeh. Masyarakat seharusnya memandang tinggi wanita yang memilih untuk tinggal di dalam bidang ini. Ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Sebagai contoh, jika seorang isteri itu membersihkan lantai rumahnya, dia tetap akan melakukan sedemikian rupa berulang-ulang kali selama bertahun-tahun walaupun dia tahu suaminya akan mengotorkan lantai tersebut. Itulah perjuangannya, melakukan sesuatu perkara itu berulang kali.
C. Rajagopalachari, seorang tokoh india ternama pernah berkata;Perkahwinan adalah perkara yang wajib bagi wanita. Segala perkhidmatan di dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan politik sememangnya dipandang mulia, tetapi menjaga rumah dan mendidik anak tidak kurang mulianya. Bekerja di dalam bengkel tentera dan pejabat mungkin penting tetapi menghiasi dan membaiki keadaan rumah lebih penting. Apa yang saya telah alami selama 66 tahun ialah melihat kesempurnaan akhlak seorang wanita dengan hanya menjadi ibu.
Adalah menjadi sesuatu yang silap, demi mengejar kebendaan, sesetengah daripada kita lebih suka isteri bekerja lalu membiarkan anak-anak di asuh oleh orang gaji. Mungkin inilah yang dinamakan, 'Kera di hutan di susukan,anak di rumah mati kelaparan'. Alangkah baiknya anak-anak ini di didik oleh isteri yang tadinya dibanggakan kerana berpelajaran tinggi. Bayangkan hasilnya anak terbaik di asuh oleh wanita terbaik.
Mungkin ada yang tidak bersetuju, terpulanglah ini sekadar wacana bebas!
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
17 Februari 2008/21 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
6 comments:
pd saya pendapat 'jengkel' ini takde yg jengkelnya :)
cuma sebaiknya, biarlah wanita itu yg memilih utk jd 'suri rumah' ataupun tidak. Sbb kalau dipaksa pun tak jd. Hakikatnya, tak salah bekerja selagi ada masa/layanan utk suami dan anak2, dan tahu jaga adab/akhlak. Tapi, kenapa 'suri rumah' itu tidak boleh dianggap sbg kerja? Ada elaun (suami bayar sbg nafkah), dan ada tugas/kerja yg dilakukan. Bebas pulak tu (takde deadline dll.)
Pd saya, budaya wanita jd suri rumah bukan diperkenalkan oleh Islam. Islam itu cuma mencantikkan lagi budaya sedia ada dgn menggariskan peranan/tanggungjawab isteri dan suami secara jelas. Bahkan orang Jepun yg terkenal budaya 'gila kerja' pun lebih suka wanita jd suri rumah.
Oh Encik Lelucon terima kasih, tiada yang jengkelnya. Cuma risau sesetengah wanita berkerjaya tidak dapat menerimanya. Terima kasih atas komen anda.
assalamualaikum..kdg2 di era pasca moden ini..nak mgharap gaji suami memg x cukup...sya dah research bnda ni...lg2 time baru kawen..nak byar duit umah,keta,dapur,makanan...fuh.kalo gaji seorang leftenan(tldm) yg dalam range rm2500-3000...kena wat proper planning..
menteri besar selangor,tan sri khalid ibrahim pernah berkata bahawa mana2 rakyat yg berpendapatan rm2000 ke bawah bley dianggap miskin...sejajar dgn itu beliau telah menggesa agar kewanagn kita dikawal dari keluar dengn mencadangkn agar levi rm10 dikenakan kpd buruh asing bg menjana tenaga buruh di selangor daripada kalangan belia sendiri...
apa pun yg paling utama rezeki milik Allah ar-raziq
----bomoh pelesit(tdm)-----
saya tidak membantah entry ini namun tidak juga menyokong sepenuhnya..neutral..
pada saya yang dibesarkan oleh wanita bekerjaya, saya dididik dan diasuh supaya turut menjadi wanita bekerjaya..
alasannya? mak hanya nak saya ada masa depan yang cerah..bukan saya maksudkan andai suami seorang bekerja, masa depan tidak cerah..namun kata mak, ini hanyalah sebagai persediaan sekiranya sesuatu yang tidak terduga terjadi.. sebagai contoh andainya suami meninggal dunia atau diceraikan, sekurang-kurangnya adalah juga tempat untuk teruskan hidup.. memang rezeki Tuhan ada di mana-mana namun bukankah kita juga perlu berusaha mendapatkannya?
mentaliti saya:: bekerja bukan untuk kumpul kekayaan..cukuplah sekadar dapat meringankan bebanan suami..selagi dapat menguruskan rumah tangga dengan baik dan dapat menjaga akhlak dan maruah suami, tidak salah seorang wanita itu bekerja..yang penting, mesti pilih kerja yang membolehkan isteri sampai dirumah dahulu sebelum suami pulang dari kerja..
=)
Salam..
x jengkel entry tu..
Hmm..tugas wanita klu lum kwin kt ibu bapa/keluar spt jaga nma baiq/maruah.bla bla.n klu dh kawin..tugas wanita plak..hanya layan suami..Sebenarnya..tugas lelaki yg mebuat kerja umah spt mjdi suri rumah tp suami arus cri nafkah 4 family..so tugas isteri MEMBANTU suami menyelia umah.."klu isteri nk kerja pn tp leh still layan suami..x salah pn krn tlh melakukan tagungjawabnya"
Wallaualam...
Bomoh Pelesit(TDM),
Wah,macam dah lama kenal saya nampaknya. Siap boleh bagi average gaji Leftenan TLDM lagi. Ya, benar perancangan kewangan itu penting dalam perancangan keluarga. Sebab itu Ustaz Hasrizal selalu menyebut, "Merancang perkahwinan jangan hanya di Pelamin, tetapi rancang sampai ke lampin." InsyaAllah, yang penting betulkan niat dan ikhlas dalam pekerjaan dari situlah akan datangnya keberkatan.
Miss Zyra,
Ibu saya juga bekerja, malah masih bekerja lagi sehingga sekarang. Walaupun alhamdulillah adik-beradik saya berjaya membesar dengan baik, namun masih terkesan rasa tidak bestnya tanpa kehadiran ibu ketika pulang bersekolah. Malah sehingga sekarang saya lebih suka jika ibu saya bercuti jika saya pulang bercuti di kampung. Saya percaya perasaan ini dikongsi oleh ramai anak-anak yang rindukan belaian ibu yang berkerjaya walaupun sudah meningkat dewasa. Namun isu ini fleksibilti, adakalanya kita perlukan wanita di dalam sesetengah sektor, contohnya Pakar sakit Puan.
Anonymous,
Saya bersetuju dengan apa yang anda utarakan.
Terima kasih untuk komen kalian semua.
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...