Hidangkan aku secangkir tazkirah...
>> Saturday, February 14, 2009
Andai kita dapat meletakkan diri dalam situasi redho, maka mungkin hidup ini lebih indah, lebih manis dan lebih barakah.
Sayang, kita tidak punya masa untuk mengenal diri. Sering kita merasa lebih dari kenyataan, atau merasa rendah daripada Allah yang kurniakan.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan, kerana setiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak akan sempurna buahnya.
Lihatlah pada sebatang pokok yang terbenam akarnya,
Akarnya jauh terbenam di dalam tanah. .
Lihatlah betapa kukuhnya pokok itu... digoncang, ditendang, ditiup taufan.. batangnya masih kukuh berdiri.
Lihatlah pula pada sebatang pokok lain yang tertonjol akarnya.
Akarnya tidak terbenam di dalam tanah, hanya berada di permukaan sahaja.
Lihatlah betapa rapuhnya pokok ini...ditolak dan ditiup taufan, mudah sahaja ia menumbangkan diri.
Begitulah halnya amalan. Alangkah ruginya, amalan yang sepatutnya disembunyikan dan menjadi rahsia kita dengan Allah dijadikan hebahan kepada orang ramai. Hilang sudah keunikan dan kekuatan amalannya itu. Jika dia qiam di malam hari, dia senang untuk menceritakan. Jika dia puasa, sengaja mahu diberitahu kepada orang ramai. Jika dia bersedekah, pun juga begitu.
Ikhlas adalah nilaian tinggi yang sukar digapai sebenarnya. Tetapi ianya membuatkan kita istimewa disisi Allah. Dengan ikhlas datangnya tawaduk dan rendah hati. Dengannya terbit rasa rendah diri datangnya kemanisan ibadah. Dengan kemanisan ibadah lahirnya akhlak yang mulia dan disegani.
Sedarlah amalan kita itu datangnya daripada Allah. Amalan kita datangnya daripada taufik dan rahmat Allah.
Ingatlah qiam kita. Kalau kita gagah berdiri di malam hari, ingatlah siapa yang beri kekuatan? Siapa yang mengejutkan kita dari tidur?
Ingatlah puasa kita. Siapa yang memberi kita rezeki sahur dan berbuka? Siapa yang memberi kita kekuatan?
Ingatlah pada sedekah. Siapa yang memberi kita wang? Bukankah wang itu pun datang daripada Allah?
Banyak beramal tidak bererti kita selamat. Sebelum beramal cubaannya malas beramal. Selepas beramal cubaanya adalah ujub.
Lantas layakkah ini membuatkan kita megah dan bangga?
Siapa mahu senang hatinya...Jangan dikenang amalan dan pencapaian dahulu.
Jika kita ini seorang pelajar ijazah dan sarjana, ingatlah bukan itu yang dipandang Allah. Tetapi ikhlas kita.
Jika kita seorang ustaz. Jangan dikenang dan mahu dipanggil ustaz. Walhal mungkin title ustaz itu menjadi fitnah buat diri.
Kenallah diri sendiri. Kerana dengan mengenal diri sahaja kita bisa berhadapan dengan cakap-cakap orang.
Ingatlah pujian orang tidak pantas menjadikan kita bahagia. Dan kejian orang tidak pantas buat kita terhina, malahan mungkin hinaan itu lebih bagus sedikit daripada kehinaan kita yang terselindung.
Tolaklah semua itu, tolaklah dengan keinsafan tentang aib dan dosa kita. Bayangkanlah selalu bahawa dosa kita sering melebihi amalan kita. Jika dipuji, katakanlah pujian itu tidak layak untuk diri yang selalu berbuat dosa.
Pandanglah orang lain lebih istimewa daripada kita, cari kemuliaan mereka bukannya kesalahan.
Palinglah diri kepada anak kecil comot itu, dosanya lebih sedikit daripada kita.
Palinglah kepada orang tua bangka itu, hidupnya lama amalan kebaikannya lebih banyak daripada kita.
Palinglah kepada penjaja di jalan itu, mana tahu dia lebih jujur dalam menguruskan perniagaannya.
Palinglah kepada orang yang merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Mana tahu setiap rangkakan itu membuatkan dirinya takut kepada Allah.
Palinglah kepada rakan yang paling rendah pencapaian akademiknya, tetapi mana tahu itulah hasil ikhlas dan jujurnya dalam peperiksaan. Dan mana tahu keputusan peperiksaannya yang paling rendah, tetapi kedudukannya paling tinggi di sisi Allah.
Kita perlu sedar akan hakikat penipuan dunia, jika kita rasa kita adalah orang yang paling mulia di dunia. Maka fikirkan tempatmu di akhirat sana, mungkin menjadi orang yang paling hina.
Mungkin dengan berfikir cara ini akan mencapai tawaduk. Marilah bersama-sama menanamkan ia di dalam diri. Itulah nilaian yang berharga di sisi Tuhan. Mudah-mudahan kerendahan hati kita memacu amalan kita untuk lebih sempurna.
Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam)
"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan engkau, ya Allah.
Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim."
MS Rizal,
Kuala Lumpur,
14 Februari 2008/18 Safar 1430H
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
Bagus tazkirah anta ini..
Kadang2 persoalan2 yang dikemukan lebih mengajak kita menilai diri dari huraian dan fakta yang panjang lebar.
Persoal diri itu muhasabah! Persoal orang lain itu mengkritik!
Banyakkanlah persoal diri dari byk persoal orang lain...renungan buat diri ini juga
Terima kasih ustazah,
Oh, polemik diri perlu dirungkai dengan meletakkan banyak persoalan di dalam hati.
Inilah yang dinamakan muhasabah dri.
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...