Mimbar yang memegang hak umat Islam

>> Thursday, November 27, 2008

Berulang kali saya membelek teks yang berada di tangan. Zikirnya ada, fikirnya mana?

Saya diminta untuk menggantikan khatib pada solat jumaat minggu lepas atas sebab-sebab tertentu. Namun awalnya, saya menjadi keberatan mengenangkan kepura-puraan yang perlu saya tanggung. Apa yang perlu saya lontarkan bukan datang dari hati saya, malah mungkin sesetengahnya langsung saya tidak saya setujui. Saya berlatih, setiap kali sampai di pertengahan teks, saya berhenti. Saya tidak mampu meneruskan.

"Apa ini? Ini? Ini?.." saya memprotes sendirian sambil tangan menconteng-conteng isi khutbah yang yang tidak perlu.


Saya sering kecewa dengan isi khutbah Jumaat, lebih-lebih lagi teks khutbah khas JAKIM. Berapa lama agaknya individu yang menulis khutbah ini tidak membaca akhbar dan menonton berita. Fakta picisan yang bukannya umat ini tidak perlu tetapi tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

'Oleh itu janganlah kita meminum arak, menghisap dadah, pil kuda, pil khayal, ubat batuk...etc..

Statistik penghidap HIV yang diperolehi adalah sekian...sekian....'

Lesu!

Tolonglah...Isu HIV sudah diulang sejak sedawarsa yang lalu!

Jika saya naik ke atas mimbar hanya kerana ini, maka ini bukan kenangan manis untuk pengalaman pertama membaca khutbah. Di luar pengetahuan Mejar Ustaz Daud yang mengamanahkan, saya akhirnya mengubah hampir 70% teks JAKIM ini.

Saya memilih isu 'pengkid' yang sedang hangat menjadi topik perbualan. Juga isu aurat yang sudah lama khatib-khatib menegaskan setakat apung-apungan sahaja. Maaf, saya tidak membawa ayat yang terapung kali ini, saya membawa hadis shohih berbaur amaran!

Saya merenung mimbar. Aduhai mimbar, sudah lama engkau tidak diduduki khatib yang benar-benar memegang amanah Rasulullah SAW. Bukankah selayaknya engkau begitu? Engkaulah menjadi saksi pemuka hebat yang memegang masalah ummah.

Bukankah engkau menjadi saksi khutbah terakhir Nabi SAW yang memakai selimut tebal di kedua bahu baginda, dan memakai ikat kepala dengan kain warna abu-abu? Juga bukankah engkau menjadi saksi Umar ibnu Abd Aziz yang mengibas-ngibas lengannya kerana mahu mengeringkan baju yang kebasahan? Engkau jua yang menjadi saksi ulama'-ulama' yang tidak takutkan pemerintah menghentam mereka di benteng utuhmu. Dan engkau juga menjadi saksi ada di antara mereka yang ditarik turun kerana terlalu tajam bahasanya.

Tamam,

Alhamdulillah, ianya berlangsung dengan baik, walaupun terdapat sedikit ketersasulan yang perlu saya perbaiki. Feedback yang baik datang daripada rakan terdekat, tidak kurang juga daripada pegawai yang hadir. Kelainan yang mereka rasai membungakan harapan di hati. Bukan pujian yang saya harapkan, segala pujian itu layak dikembalikan kepada Allah Azzawajjalla jua. Niat saya untuk naik mendidik sidang Jumaat melalui mimbar ini sekurang-kurangnya berjaya.

Saya tidak mahu menyalahkan JAKIM 100%. Mereka tetap mempunyai sumbangan besar kepada umat Islam di negara ini. Tetapi saya berharap tekanan yang datang dari berbagai sudut kearah mereka dapat dijadikan ibrah untuk melakukan perubahan kearah kebaikan. Mimbar jumaat adalah lidah rasmi penyelesaian isu semasa umat Islam. Zikir dan fikirlah, kembalikanlah hak sidang Jumaat yang hilang ini!


MS Rizal,
Kuala Lumpur,
27 November 2008,
http://msrizal.blogspot.com/

4 comments:

Anonymous November 28, 2008 at 5:23 PM  

Syabas. Satu tindakan yang mungkin ramai khatib yang ingin melakukannya lantaran tiada kekuatan.
Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar. Isu semasa yang benar-benar segar memang telah lama dihauskan semua jemaah kita selama ini.

Unknown November 28, 2008 at 9:44 PM  

Salam. Tadi tengah hari ana mendengar khutubah terakhir mufti Perlis Dr MAZA di Masjid alwi Perlis..fuh!.nanti ana kirimkan pada anta.

Unknown November 28, 2008 at 10:07 PM  

Tahniah kerana berani membuat perubahan lebih-lebih lagi di mimbar Jumaat. Teks JAKIM terlalu skima dan mungkin ingin menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu sebab itu bila orang yang faham tarbiah yang membacanya terasa hambar, takde semangat.
Semoga akan ada lagi kali kali yang seterusnya berkhutbah.

MS Rizal November 28, 2008 at 11:53 PM  

Sang Pelangi,

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar..Kekuatan itu datangnya daripada Allah Taala. Saya juga telah membincangkan perkara ini secara serius dengan pimpinan agama tertinggi unversiti dan alhamdulillah seperti ada respons yang baik.

Hasif,

Saya memang gemarkan lenggok khutbah DR Asri, malah ada sebahagian tempat saya cuba meniru gaya penyampaiannya. Tinggal sunnah solat Jumaat belum lagi dilaksanakan di sini. Jazakallah, di atas kesudian berkongsi..ana tidak sabar menunggunya..

Kak Chik,

Ya, JAKIM seharusnya perlu mengalami proses reform. Saya fikir di dalam badan itu terlalu tepu dengan orang-orang yang berfikiran Islam cara lama. Betul, kita yang masuk tarbiyah dan sering keluar masuk kuliyah-mungkin sering membanding-bandingkan input yang kita dengar. Dan bila input itu cuma kata-kata nasihat yang terapun-apung, maka ianya menjadi agak hambar. Terima kasih atas kata-kata rangsangan.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP