Sederhana
>> Monday, October 22, 2007
Wasotiyah atau bersederhana adalah sifat terbaik yang perlu diamalkan manusia.
Cuba baca beberapa perkataan berkenaan kesederhanaan di bawah;
Jika perlu marah , marahlah tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar ;
jika perlu menangis , menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan
tenang ;
jika perlu patuh , patuhlah tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan .
Jika mahu miskin , miskinlah tetapi jangan terlalu miskin , nanti mudah
menjadi kufur ;
kalau mahu kaya , kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa
perkataan sedekah ;
jika mahu menjadi warak , lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan
sampai terlupa keperluan dunia .
Kalau mahu sebuah kereta mewah , belilah selagi mampu dan menepati keperluan
semasa ;
kalau mahu dua buah rumah , belilah asal jangan sampai tak tahu makna
perkataan puas ;
kalau mahu menimbun harta , bekerja keraslah asal jangan sampai terlupa
ibadah .
Kalau mahu berhibur , berhiburlah asal tidak terlalu sakan dan menyalahi
syariat ;
kalau mahu memperkatakan hal orang , berkatalah asal jangan sampai
mengumpat ;
kalau mahu cemburu dengan kejayaan orang , cemburulah asalkan anda pun
berusaha kuat sepertinya .
Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya .
Bersederhana dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara .
Orang yang terlalu kaya kadang-kadang apabila miskin terus muflis ;
orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus sasau ;
orang yang terlalu kuat kadang-kadang apabila lemah terus tidak tidak
berdaya .
Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba
kepada harta ;
binalah ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia ;
binalah kedudukan di tengah manusia tetapi jangan sampai hilang kepercayaan
orang dan tercalar maruah diri .
Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk
makan minumnya terpaksa meminta-minta . Seeloknya bersederhana dalam
beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah , membuang halangan di jalanan
juga ibadah , menasihati orang juga ibadah .
Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di mata dunia . Dia tidak akan
dihina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor dek kerana popular. Dia
terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang
mulia . Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada
rasa dingin dan panas yang membakar .
Sayidina Ali r.a . berkata , " Berkhairatlah mengikut kemampuan dan janganlah
menjadikan keluargamu hina dalam kemiskinan ."
Hendak bersedekah jangan sampai jatuh miskin ; menyimpan harta jangan sampai
digelar si bakhil , beribadah jangan sampai semakin jahil .
Kata sayidina Ali r.a . lagi , " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang
yang bersifat tawaduk dan lemah lembut ."
Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhana yang nyata , membangkitkan kasih
sayang dan menumbuhkan cinta tulus . Jika anda impikan penghormatan manusia
maka bersederhanalah dalam berbicara , berbatas-batas tatkala bergurau senda
dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira .
Bersederhana adalah jawapan kepada segala-galanya .
1 comments:
Menilai kesederhanaan perlukan piawai.
Tapi bagi saya piawai kesederhanaan itu adalah sifat qonaah.
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...