Sentiasalah Memperbaharui Taubat!

>> Saturday, May 22, 2010


Saya memulakan coretan dengan lafaz Bismillahirahman nirrahim...

Usrah berjalan seperti biasa malam itu. Selayaknya berkumpul dan saling bertanya khabar. Bertaaruf lebih dekat dan memulakan sesi-sesi diskusi ilmiah dengan perantara Al-Quran. Usrah mengajar kami matang di dalam beragama. Usrah mencungkil segala potensi yang ada pada diri dan sedia ada. Usrah berlangsung dan hampir berakhir dengan beberapa soalan atau kemusykilan. Sesekali naqib minta disoal untuk diuji, dan sesekali naqib(ketua usrah) bertanya untuk menguji.

"Ada orientalis menyatakan Islam itu tidak patut namanya agama Islam, tetapi agama Muhamaddun. Sama seperti agama Buddist, Christian, Conficius dan lain-lain. Kalau ada orang tanya sebegini pada kamu, apa yang kamu hendak jawab?" tanya Pak Cik Zain kepada kami malam itu.

Diam. Berfikir secara pantas, nafas saya mencucuk-cucuk kotak fikiran supaya mengeluarkan jawapan terbaik. Soalan spontan sebegini memang tujuannya mahu menguji setakat mana pemahaman kami tentang butir-butir usrah pada malam itu.

"Hah, orang yang tak bersuara lagi ini. Jawab!" Pak Cik Zain menghalakan soalan kepada Umar dengan gaya separuh menyergah.

Umar sedikit ralat.

"Soalan ini macam berat sahaja!" ujar Umar meminta simpati untuk dia terus berfikir.

Pak Cik Zain tersenyum, lantas menghalakan soalan kepada saya, Amir dan Fazkhurazi.

"Islam menyuruh kita menyembah Allah, bukan menyembah Nabi Muhammad SAW. Sebab itu agama ini bukan agama Muhamaddun." Amir menjawab tuntas.

Pak Cik Zain mengangguk setuju.


Mencari pintu menuju cahaya

Pintu masuk di dalam Islam adalah melalui kalimah Tauhid 'Laillahaillah, wa Muhammadan Rasulullah'. Ilah bererti menolak segala pengabdian dan sembahan selain Allah. Ilah tidak sekadar bererti menolak untuk menyembah patung berhala, busut, kubur, bintang-bintang, matahari, api atau lain-lain lagi. Ilah juga menolak untuk mengabadikan diri pada manusia, pada harta, pada pangkat. Ilah juga menolak sebarang fahaman yang bertentangan dengan fahaman kebenaran seperti Maximism, Komunism, Sosialis, Nasionalis dan fahaman sekular lainnya.

Tolaklah semua itu, dan gantikan dengan pengabdian diri pada Allah SWT. Kemudian kalimah ini berserta dengan pengakuan bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah pesuruh Allah SWT. Bukan anak tuhan dan bukan juga malaikat. Baginda adalah manusia biasa yang berjalan, menjahit, makan dan minum, pergi ke pasar. Baginda dikurniakan wahyu untuk disampaikan kepada manusia sejagat. Pemandu ke arah kebenaran. Baginda wafat seperti layaknya seorang manusia biasa.

Saya sebenarnya sedikit terbius dengan berita kematian Asaari Muhammad, pelopor gerakan dakwah tradisional Al-Arqam. Kemudian Rufaqa', kemudiannya Global Ikhwan. Kematiannya menepati pihak yang cintakan kebenaran bahawa apa yang diramalkan tentang dirinya sebelum ini adalah suatu kepalsuan. Saya tidak mahu berbincang lebih lanjut tentang perihal arwah. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan mengasihinya. Saya ucapkan takziah buat keluarganya, semoga Allah Taala memberikan banyak-banyak pahala kepada waris keluarganya atas pemergian beliau.

Bagi yang belum mengetahui lebih lanjut tentang gerakan dakwah yang menjadi fanomena sejak beberapa darsawasa lepas ini, saya cadangkan bacalah tentangnya. Sekurang-kurangnya kita punya sedikit ilmu untuk membalas hujah golongan yang menyimpang. Buku yang paling mengesankan saya adalah hasil tulisan Tuan Zabidi Mohamed bertajuk , 'Al-Arqam, Tersungkur di Pintu Syurga'. Tetapi nasihat saya, jangan baca satu buku sahaja. Itu bias namanya, baca dan terus membaca lain-lain kajian ilmiah oleh yang diterbitkan dari universiti-universiti tempatan.


Cuma, apa yang mencuit hati saya untuk mengulas adalah berkenaan pengikutnya. Beberapa tahun yang lepas, saya pernah berdebat dengan seorang bekas senior saya. Debat kami berlangsung melalui berbalas-balas mesej di dalam laman sosial Friendster. Saya amat sayangkannya kerana dia banyak menasihati saya ketika bersekolah dahulu. Selepas masuk ke dalam universiti, saya lihat dia amat terpengaruh dengan Rufaqa'. Malah album Friendster-nya ketika itu penuh dengan gambar-gambar Asaari. Kami saling berbalas-balas hujah menerusi email, dia tidak mengalah begitu juga saya. Namun apa yang saya amati, hujahnya banyak dipengaruhi sangkaan dan hujah-hujah telahan bukannya fakta. Sehinggalah akhirnya Rufaqa' diumumkan pengharamannya. Namun itu tidaklah membuatkan dia mengalah, malah mempertahankan Asaari Muhammad. Tidak lama selepas itu akaun Friendster-nya ditutup. Semoga Allah Taala menunjukan kita pada jalan yang benar.

Apa yang saya mahu gambarkan di sini adalah betapa kuatnya pengaruh Asaari Muhammad kepada pengikutnya. Peribadi Asyaari sendiri belum tentu dapat dicontohi oleh saya dan rakan-rakan dakwah lain di luar sana. Bagaimana zuhudnya, dan rendah dirinya cukup menawan. Siapa yang tidak terpesona? Dikatakan jika Asaari makan bertalam, dia lebih gemar mengutamakan orang lain. Malah dia akan makan sisa-sia nasi yang tertumpah. Kita pun sendiri tidak tahu di mana terletaknya bahagian keberkatan makananan yang dimakan. Cara Asaari mengumpulkan pengikut-pengkut kuatnya pula, adalah dengan merakam video sesi ceramahnya, bayan atau tazkirah. Kemudian rakaman ini akan ditonton semula. Mana-mana individu yang hadir dan menampakkan kecenderungan dipengaruhi, individu ini akan dicari dan diajak menyertai. Saya fikir-fikir langkah-langkah ini baik untuk dicontohi mana-mana jemaah untuk mencari mad'u(orang yang hendak didakwahkan).

Semalam muncul satu berita, bahawa ada pengikut-pengikutnya yang percaya bahawa Asaari sebenarnya tidak mati. Beliau cuma ghaib! Rohnya akan kembali sebagai pemuda Bani Tamim yang dijanjikan. Seperti bagaimana mereka mempercayai Syeikh Suhaimi yang akan kembali sebagai Imam Mahdi.

Di sini saya kembali meletakkan, jika benar-benar pengikut Asaari mahukan Islam yang sebenar mereka perlu bertanya bagaimanakah mereka masuk ke dalam agama ini? Terlampau taksub pada Ashaari seolah-seolah meletakkan Asaari itu sebahagian daripada kalimah tauhid. Sedangkan agama ini namanya Islam. Bukan Asyaariyun.

Sifat melampau ini benar-benar dibimbangi Nabi Muhammad SAW. Dek kerana itu ketika dalam keadaan nazak sekalipun Baginda sempat berpesan, "Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!"



Agama ini berdiri bukan sebab seorang individu sahaja

Benar, Islam tidak berdiri disebabkan seorang individu sahaja. Kerana itu pentingnya gesaan Jemaah di dalam memandu kebenaran. Sesebuah jemaah yang tulus, tidak hanya mengharapkan seorang sahaja individu untuk meneruskan survivalnya. Lihatlah bagaimana Ikhwanul Muslimin yang bergerak hampir seratus tahun lamanya. Syahidnya Imam Hassan Al-Banna tidak membuatkan jemaah ini berakhir, malah tumbuh lebih ramai perwira-perwira sejati. Malah zaman juga sering menyaksikan. Setiap kali pemimpin tertingginya ditangkap dan dibunuh muncul figure lainnya untuk meneruskan survival kebenaran.

Tepat, jika dikatakan Al-Arqam banyak membawa kebaikan. Jika dilihat secara literal pembangunan secara efektif dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya amat-amat positif untuk umat Islam se-Malaysia. Namun ini semua tidak cukup untuk menutup kebobrokan lainnya. Lebih-lebih lagi hal yang bersangkutan akidah. Ianya isu yang cukup serius.

Masih segar lagi dalam buah fikiran kita kisah bagaimana Saidina Abu Bakar menempelak golongan yang tidak dapat menerima kenyataan. Ketika itu hampir tersebarnya cerita bahawa Nabi Muhammad SAW cuma sekadar menghilangkan diri seperti bagaimana kisahnya Nabi Musa as menemui Allah Azzawajjalla di Tur Sina. Umar sendiri mempercayai bahawa Rasulullah SAW tidak akan pergi selagi tidak musnahnya orang-orang munafik.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad (SAW) ketahuilah Muhammad telah wafat. Tetapi barangsiapa menyembah Allah maka sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati." Bicara Saidina Abu Bakar sekaligus mengendurkan suasana yang tegang.

Beliau langsung membaca petikan surah Ali-Imran ayat 144.

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.


Selepas mendegar ayat ini, langsung Umar terduduk dan tersedarlah dia bahawa Baginda sudah tiada lagi.

Saya amat risau jika ada pihak yang mengambil kesempatan mengatakan Asaari Muhammad tidak meninggal semata-mata demi menjaga kepentingan perniagaan mereka. Keluarga Asaari Muhammad besar, dan mereka makan hasil perusahaan perniagaan jemaah ini. Jika pengikutnya lari, ini boleh menggugah tiang seri pendapatan ekonomi mereka.

Jika ini benar-benar berlaku, maka tidak lain yang saya ingat katakan di sini tertipulah mereka dengan Iblis. Di mana Iblis itu sentiasa menyesatkan manusia melalui berbagai-bagai cara. Sesungguhnya Iblis mempunyai dua cara untuk menyesatkan manusia. Pertama Iblis akan menjadikan maksiat itu terasa indah di mata manusia, sehingga ia jauh dari ketaatan. Kedua, adalah mengajak manusia yang kuat beribadah untuk melakukan ghuluw atau melampau di dalam berbuat ketaatan sehingga rosak agamanya. Lebih dahsyat, akhirnya ghuluw ini berjangkit ke atas sifat buruk lainnya. Ia akan menjadi visa untuk dosa lain menumpang sama.

Tertipu hanya demi menyelamatkan empayar kekayaan. Rasullullah SAW pernah bersabda di dalam satu hadis;

Umatku akan menempuh satu zaman dimana para suami akan dirosakkan oleh isteri dan anaknya. Mereka (kerap) mengejinya kerana kemiskinan. Lalu mereka (para suami) melakukan kerja-kerja jahat sehingga memusnahkan (diri) mereka. -Sumber Tafsir Al-Munir, Juz 28 m/s 289.


Pengikut Asaari yang taksub. Marilah bersama-sama kita bertaubat kepada Allah Azzawajjalla. Jika kamu menyembah Asyaari maka ketahuilah Asyaari telah mati. Tetapi jika kamu menyembah Allah maka ketahuilah Allah Maha Hidup dan tidak mati. Dia sentiasa memerhatikan kita dan melihat segala amal perbuatan kita. Saya berlindung diri kepada Allah SWT atas kejahatan diri saya dan kejahatan amal perbuatan saya.

Wazzakir, Fainna Zikra tanFau'ul Mu'minin...


MS Rizal,
32100, Lumut,
22 Mei 2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

4 comments:

Ibnu Samaon Al-Kuala Lumpury May 23, 2010 at 1:15 AM  

jazakallah atas perkongsian fikrah, tuan...

Azraai Ahmad June 20, 2010 at 12:14 AM  

Akhi, ana setuju benar dgn entri ni!

Seposen dua dari ana:

Penganut Islam dinamakan Muslim, bukan Muhamaden kerana kita adalah "Org Yg Tunduk Patuh."

Islam = Tunduk Patuh (Definisi Quran 2:31); Muslim = Org Yg Tunduk Patuh!

Tunduk Patuh kpd siapa? Semua terjawab dlm 2 Kalimah Syahadah spt Tuan Rizal jelaskan kat atas...

Wallahu a'lam...

MS Rizal June 25, 2010 at 3:24 PM  

Syukran Azraai, pendapat anta pun perlu diambil kira, anta pun naqib ana juga sampai bila2.

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP