Mutiara berharga pada diri

>> Friday, May 7, 2010

"Nama-nama yang disebutkan ini, sila keluar untuk membuat rawatan gigi!" umum seorang jururawat dari luar bilik darjah Tingkatan 5 ES.

"Alamak, nama aku mesti kena ini!" saya merungut sendirian sambil menyiku rakan di sebelah bagi meraih perhatian.

Situasi yang saya tidak berapa gemar semenjak di bangku sekolah rendah lagi.

"...Mohd Shah Rizal!!!"

Memang sah kali ini nama saya dipanggil. Sekelompok individu yang dipanggil, pasti ada nama saya terselit di dalamnya. Saya individu yang takutkan kerusi bersandar yang dilengkapi bunyi-bunyi yang pelik itu. Juga saya tidak sukakan peralatan besi yang pelbagai milik doktor gigi. Bagi saya semuanya menyakitkan. Jika boleh bersembunyi di bawah meja, saya akan melakukannya. Mujur bukan di sekolah rendah lagi. Untuk itu saya akur dan menurut permintaan...



Mesra-mesrakan diri dengan doktor gigi

Sempitnya pengetahuan saya tentang rawatan gigi membuatkan perkataan dental itu seolah-olah fobia bagi saya. Saya hanya akan 'menyerah diri' jika keadaan benar-benar genting dan terpaksa seperti sakit gigi yang tidak dapat ditahan. Perkara ini berlanjutan sehingga awal-awal pengajian di Universiti. Hal ini sebenarnya tidak dialami oleh saya seorang sahaja. Malah turut dikongsi oleh rakan-rakan sekeliling. Umur sudah boleh diperah menghasilkan minyak kelapa, tetapi masih takut untuk berjumpa dengan doktor. Kesilapan besar apabila memusuhi perkara yang tidak disukai. Perangai masih ditakuk mentaliti kanak-kanak.

Tahap kesedaran rawatan pergigian bagi rakyat Malaysia amat rendah. Kajian mendapati, sembilan daripada 10 rakyat negara ini mengalami masalah gigi berlubang — menandakan tahap kesedaran masyarakat terhadap penjagaan gigi masih rendah. Disamping takut untuk berjumpa doktor gigi, ramai dikalangan rakyat ambil enteng soal kebersihan gigi. Purata rakyat Malaysia menukar berus giginya adalah 1.3 kali setahun. Sedangkan jumlah minimum adalah 4 kali setahun. Iaitu kira-kira 2 hingga 3 bulan sekali. Terdapat 4 perkara penting dalam penjagaan gigi.

Empat perkara penting tersebut ialah menggosok gigi dua kali sehari, pembersihan antara gigi dengan flos atau pembersihan antara pergigian setiap hari. Juga makan makanan seimbang dan mengehadkan makanan ringan. Dan terakhir sekali sentiasa berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan penjagaan kesihatan mulut.

Pentingnya penjagaan gigi ini sebenarnya selari dengan ajaran Islam yang sukakan kebersihan. Malah ada hadis Nabi SAW yang menggesa umatnya untuk bersugi sebelum menunaikan solat.

Dari Abu Hurairah r.a.: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku akan memerintah mereka untuk bersugi ketika mahu mengerjakan solat”. Pada riwayat Imam Bukhari: “sewaktu hendak melakukan solat”.


Bayangkan seorang yang bersolat minimum 5 kali sehari, akan sentiasa membersihkan giginya 5 kali sehari. Ini sudah melebihi dari nasihat saya di atas. Hasilnya pasti bersih bukan?


Kesedaran itu timbul apabila mula menginjak dewasa

Saya sebenarnya baru selesai membuang 3 gigi geraham bongsu yang tumbuh tidak sempurna. Itupun selepas sedar dan membuat sedikit kajian di internet barulah saya menyerah diri kepada doktor.

Di dalam bahasa Inggeris gigi geraham bongsu ini juga dikenali sebagai wisdom tooth atau third molar. Geraham yang terakhir tumbuh ditempat yang tidak disediakan untuknya. Akibatnya, gigi ini akan bersesak-sesak dengan gigi geraham kedua. Ada yang tumbuh elok, alhamdulillah. Tetapi ramai individu yang geraham bongsunya tumbuh dengan tidak sempurna. Kebiasaan untuk gigi ini tumbuh adalah dalam sekitar umur 17-25 tahun.

Gigi geraham bongsu di sebelah kanan saya tumbuh menyerong. Gigi ini tiada pasangan di atas. Tumbuh secara horizontol.

Gigi geraham bongsu di sebelah kiri, tumbuh keluar. Begitu juga dengan pasangannya di atas. Ianya tumbuh secara Partial Eruption. Ianya nampak normal tetapi mendatangkan masalah juga. Saya membuat keputusan untuk mencabutnya. Gambarajah seperti di bawah:


Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah menggunakan enjin carian google. Antara sebab saya menulisnya di sini, adalah kerana ramai yang tidak tahu apa itu gigi bongsu dan masalah yang akan dihadapinya. Ini semua disebabkan kesedaran gigi yang kurang. Ada di antara rakan-rakan saya yang baru sedar akan masalah ini selepas saya bercerita. Ada yang 4 tahun menanggung derita kerana takut untuk berjumpa doktor. Ingat, mencabut gigi ini setelah berlakunya impaction lebih mendatangkan kesakitan! Justeru dinasihatkan mesra-mesrakan diri berjumpa doktor gigi. Jangan risau peralatan kini sudah moden dan tidak akan berasa sakit lagi. Setiap insan punya mutiara di dalam mulutnya. Jagalah ia dengan sebaik mungkin.

p/s: Seronok rasanya melihat secara live pisau dimasukkan di dalam mulut. Ditambah cubaan beberapa kali doktor gigi menjahit gusi saya. Gagal dan cuba lagi. Malah saya dibius hampir 5 pusingan. Setiap pusingan 3 kali bius. Kesemuanya itu tidak menyakitkan, percayalah! Insya-Allah.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

4 comments:

Azraai Ahmad May 12, 2010 at 10:43 AM  

akhi, u r not alone on this matter... hehe (teringat dulu waktu skolah rendah, lebih sanggup cabut gigi sendiri kat rumah drpd kat sekolah)

MS Rizal May 13, 2010 at 1:48 AM  

Akhi, hopefully anta dah tak ada rasa fobia pada doktor gigi..hehe

aishah abu bakar October 13, 2010 at 5:52 PM  

salam..
saya tgh fight ngn gg bongsu sy skrg
bt seach kt google, then dpt blog awk
nk tnya, 3 gg yg awk buang, berapa charge?

MS Rizal October 14, 2010 at 12:16 AM  

saya pergi hospital kerajaan, free..

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP