Jahiliah purba yang diputar di alam moden

>> Thursday, May 6, 2010

Ada tiga topik 'sengal' yang rata-rata rakyat Malaysia suka membaca, membangkitkan dan membicarakan tentangnya.

Seks(Lucah), Politik(selak menyelak) dan Mistik!

Ini bukan tembakan kosong. Ini fakta.
Contohnya, cuba kita perhatikan bacaan tertinggi yang terdapat di dalam rating Utusan Online. Seringkali bicara yang berkisar soal seks itu mendapat kedudukan yang tertinggi. Jika ada pun ianya akan diselang-seli dengan soal politik selak menyelak keaiban individu dan berita-berita terpencil lainnya.

Saya tolak isu seks yang dilucahkan dan politik(carca merba). Di dalam siri ini saya mahu membicarakan tentang mistik dan hantu.

Isu yang diam-diam ubi, tetapi masih utuh dan bertahan sehingga kini. Buktinya, drama dan filem yang memaparkan bahan ini sering mendapat tempat di hati peminat. Malahan majalah seperti Mastika terpaksa melakukan penjenamaan semula untuk mengelak daripada majalah ini berkubur seperti rakan-rakan majalah lainnya. Cuba baca majalah Mastika zaman 80'an dahulu berbanding zaman sekarang. Berbeza sama sekali...




Perspektif kamu tentang hantu?

Percaya atau tidak tentang hantu, ianya dinilai secara berbeza-beza mengikut latar belakang seseorang. Bagi seseorang yang tinggal di bandar, soal hantu bukanlah sesuatu yang boleh mengancam ketenteraman hidupnya. Hantu dan kutu jalanan. Kutu jalanan lebih merbahaya.

Tetapi, keadaan ini mungkin berbeza sama sekali dengan masyarakat luar bandar. Rumah yang sepelaung jauh, ditambah pula dengan pagar semak samun dan sebagainya mengundang berbagai persepsi di hati.

Mungkin pembaca budiman selalu melihat drama melayu tentang budak-budak balik mengaji yang sering diganggu hantu. Dugaan paling besar adalah untuk melalui jalan-jalan yang punya pokok besar. Disitulah kebiasaan sering diganggu.

Saya mungkin sudah lali dengan keadaan seperti ini semasa proses membesar dahulu. Rumah kampung yang disewa berada di hujung jalan. Keadaan gelap tanpa limpahan cahaya. Ditambah dengan basikal yang tidak berlampu. Sukar menggambarkan keadaan sewaku itu. Saya dilatih dalam keadaan terpaksa bahawa mempercayai dan takutkan hantu hanya menyusahkan diri. Kelak hendak melakukan sesuatu pun semuanya tidak jadi. Tepis dan buang perasaan takut, begitulah mungkin cara menguji keberanian diri.


Setiap orang jahil percaya kepada hantunya masing-masing.

"Eh, kenapa mereka berkumpul beramai-ramai itu?" saya bertanya kepada seorang kawan.

"Oh, mereka tengah bercerita hantu." jawab kawan tersebut.

Saya merapat, mendengar bait-bait bicara si tukang penglipur lara. Aduh, malang sungguh orang ini. Berdusta untuk meraih simpati. Cukuplahh saya mendengar sedikit, penuh tokok tambah dan perasaan yang keliru. Saya tidak mengatakan bahawa saya tidak percayakan hal-hal ghaib. Malahan jin itu adalah sesuatu yang pasti yang disebut di dalam Al-Quran. Tetapi meyakini jin itu bukan sesuatu yang termasuk di dalam rukun iman.

Kelakar mungkin bagi manusia untuk takut kepada jin(baca hantu). Ada yang menyebut sebagai roh. Bukan roh, tetapi jin. Kerana roh tidak dapat kembali ke bumi setelah mati. Ada dinding yang menahan mereka untuk berinteraksi dengan alam dunia.

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada 'dinding' sampal hari mereka dibangkitkan. Al Mu'minuun, ayat 99-100
Dinding yang dimaksudkan di sini adalah keterbatasan dan penghadang untuk roh-roh berinteraksi dengan makhluk di bumi. Kerana setelah matinya seseorang anak Adam itu dia sudah menempuh alam baru di kubur. Saya juga biasa mendengar, kata-kata orang tua bahawa setiap malam jumaat dan malam hari raya roh-roh akan kembali ke rumah masing-masing untuk melihat anak-anak cucunya. Kepercayaan seperti ini karut dan tidak berasas sama sekali.

Jika difikir logik, orang Melayu takutkan hantu bungkus, hantu raya, pelesit, penanggal dan sebagainya. Tetapi jika ditanya, adakah mereka takut pada hantu cina, alah hantu-hantu yang lompat-lompat itu. Sudah tentu tidak. Cuba pula bertanyakan orang cina, mereka tidak takutkan hantu raya, hantu bungkus dan sebagainya sebab hantu itu bukan hantu cina. Lihat, ini semua persepsi dan perasaan yang keliru.


Kamu makhluk Allah yang power!


"Manusia dan jin mana lebih power?" saya bertanya pada adik-adik saya.

"Jin!"

"Manusia!"

Pelbagai jawapan yang kurang pasti.

"Manusia lagi power. Kerana manusia ini dilantik sebagai khalifah di muka bumi." Jawab saya.

Lihatlah apabila Nabi Sulaiman as memberikan tawaran kepada jin dan manusia bagi memindahkan istana permaisuri Balqis. Lalu muncullah jin ifrit yang cerdik menawarkan diri.

"Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya." kata Ifrit.

Tetapi muncul pula seorang manusia menawarkan diri.

"Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip."

Lihat kehebatan manusia? Lebih hebat berbanding jin.

Malah jika perasaan takut masih lagi menjelma. Cuba fikirkan tentang makhluk hebat lain yang bergerak sepantas cahaya; itulah malaikat. Dalam salah satu kuliah Ustaz Ismail Kamus ada menyebut bahawa nisbah bilangan malaikat, manusia dan jin boleh dibahagikan kepada 90: 9: 1. Lihat berapa ramai malaikat berbanding jin dan manusia? Setiap kali ada syaitan yang menghasut, ada juga malaikat yang menasihat dan mendoakan kebaikan manusia.


Bersederhana itu lebih baik

Bukankah semua ini mudah sahaja ditidakkan dengan banyaknya kita mengingati mati? Inilah mungkin akibat terlalu banyak memenuhi masa dengan perkara-perkara yang lagho.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
(Hadis ke-12 dipetik dari hadis 40 Imam Nawawi. Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.)


Hujah-hujah di atas saya pakai hanya untuk mereka yang tidak faham konsep islam, iman dan ihsan. Jika seseorang yang sudah faham makna sebenar ihsan, tiada perasaan lain yang ditakutinya melainkan Allah Azzawajjala. Rugilah orang yang telah disesatkan syaitan kerana kejahilan dirinya sendiri. Ada orang yang mengaku diberi ilmu tetapi keliru dan tersasar dalam benteng-benteng jahiliah. Malah kepercayaan terlebih pada kuasa selain dari Allah boleh membawa maksud kurafat dan syirik.

Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya. An Nisaa' ayat 116.



MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

2 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP