Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

>> Sunday, May 16, 2010

Jika dahulu seorang budak kecil berwajah suci tidak berdosa...

Seorang budak darjah satu yang terpinga-pinga di arah duduk oleh bapanya. Dia langsung duduk mengisar punggung di atas sebuah kerusi kayu yang kurang kukuh. Kerusi yang mengeluarkan bunyi gesekan engsel yang ketara. Jika ditolak kehadapan ianya menurut, jika ditolak kebelakang nescaya boleh terlurut. Ada sebuah meja sebagai pasangan. Ditengah-tengah meja ada alur seperti longkang. Namun itu bukanlah suatu yang menarik perhatiannya. Kerana rasa tidak selesa menyelinap ke segenap pembuluh darahnya, melihat ramai manusia-manusia sebaya yang terkinja-kinja melompat gembira.



Dia agak kaget dengan suasana baru. Dia pernah mendengar tentang sekolah, tetapi tidak pernah membayangkan keadaannya. Dia tidak bertadika, kerana bapanya merasakan itu bukan keutamaan.

"Abah balik dahulu, nanti tengah hari abah datang ambil!" bapanya berpesan sayup-sayup.

Dia hanya memerhatikan bapanya yang berlalu.

Lantas bait-bait lirik indah menusuk sukma fikiran, "Tika berjauhan, masih kurasa hangat kasihmu ayah. Betapa kurindukan redup wajahmu hadir menemani diriku.."

Tanpa disedari butir-butir mutiara hampir keluar dari kelopak matanya. Dia ketakutan sebenarnya.

Tiba-tiba dia disapa oleh seorang wanita. Dia tidak kenal siapa wanita itu, yang pasti wanita itu bukan ibunya. Kerana itu wanita itu tidak berpelat banjar.

"Siapa nama?"

"Shah Rizal.."

"Oh, Shah Rizal. Jangan takut, sini ramai kawan-kawan."

Dia berasa sedikit tenteram selepas merasakan sebuah payung besar sudah turun untuk memberi perlindungan. Sedikit-sedikit rasa gelisah pudar. Dia baru sedar wanita yang pertama kali menegurnya itu mencatat seribu makna dalam hidupnya. Cikgu Khadijah namanya. Seorang guru biasa, yang dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Sewaktu darjah 4, lihat kelas di belakang yang berdinding papan.

Guru-guru sewaktu sekolah rendah, dari kiri; Cikgu Ainon, Cikgu Zubaidah, Cikgu Khushaini, Cikgu Yusuf, Cikgu Aziz, Ustaz Hilmi (Arwah).

Jika dahulu seorang pengawas sekolah yang selalu kalah pertandingan bercerita...

"Shah Rizal, kalau rasa takut-takut. Tengok bawah sahaja, jangan tengok penonton." begitu pesan Ustazah Wan Maziyah kepada dia.

Dia mengangguk-ngangguk faham. Bukan kali pertama dia bercerita di hadapan khalayak ramai. Tahun lepas, sewaktu darjah 5 dirasakan buat pertama kalinya dia mewakili sekolah. Ketika itu baru mengenal makna 'luruh jantung'. Tahun ini dia akan lakukan sebaik mungkin.

Usai pertandingan, pemenang-pemenang diumumkan. Dia hanya mendapat hadiah saguhati.

"Sayangnya Shah Rizal. Awak sudah buat yang terbaik. Tetapi ada yang lagi baik lagi. Tidak mengapa, tiada rezekikan..." Ustazah Wan memberi perangsang.

Dia tersenyum. Bukan kemenangan itu yang menjadi sasarannya. Tetapi sebuah kepercayaan dan galakan. Buat suatu hari nanti dia akan terus fasih bercerita di hadapan khalayak ramai.

Ustazah Wan Maziyah (berjubah hitam) bersama 2 orang guru pelatih.

Hari perpisahan Cikgu Aziah, saya duduk ditengah-tengah (tidak bertali leher)

Jika dahulu seorang pelajar yang nakal dan keras kepala...


"Kenapa ramai-ramai dalam bilik sakit ini?" warden bernama cikgu Isa menyergah tanpa salam pendahuluan seperti lagaknya Karam Singh Walia.

Ada lebih kurang 7 orang pelajar Tingkatan 5 di dalam bilik sakit itu. Semuanya kaget. Habislah... Yang pastinya itu bukan waktu terbaik untuk mereka berkongsi cerita kisah suka dan duka. Kerana waktu itu semua pelajar-pelajar sudah berlepas ke kelas sana untuk memulakan sesi prep petang.

"Kenapa?"

Semua diam membisu. Tiada alasan terbaik untuk menipu. Sudah terang lagi bersuluh cikgu. Kami bukannya gemar menambah dosa dengan menipu.

Wajah cikgu Isa merenung kami membuatkan semua serba salah. Ternyata dia punya aura psikologi yang tinggi. Tidak tahu dari mana dia belajar semua itu. Cikgu Isa diam sebentar tanda berfikir. Hukuman yang setimpal untuk budak-budak degil.

"Kamu berbaris di luar sini, semuanya mencangkung..." arah warden yang bermisai nipis itu.

Kami menurut tanpa banyak soal. Ini bukan tanda kalah perang. Tetapi tanda Panglima garang memanggil askar-askarnya pulang.

"Semua berjalan itik dari sini sampai ke kelas kamu!"

"Ha?!!!" wajah kami kaget penuh kekesalan.

Tingkatan 5 (perangai degil dan nakal masih tidak hilang), Guru kelas; Teacher Haslinda

Semuanya dirintis oleh Guru yang sayangkan anak muridnya...

Andai ada insan selain dari ibu bapaku yang sering bertakhta dalam hati, itulah guru. Tidak kira ianya berketurunan apa atau beragama apa. Dia tetap guru yang tercinta. Adab menghormati guru ini adalah salah satu yang diajar di dalam Islam. Ianya adab yang diwarisi dari para Nabi-Nabi. Bahawa seseorang yang mengajar ilmu itu harus dimuliakan.

Lihatlah pada mahsyurnya kisah Imam Abu Hanifah. Dia bangun menghormati seorang bukan Islam yang berpapasan. Hanyasanya kerana orang itu mengajarnya bagaimana untuk mengenali seekor anjing sudah akil baligh. Imam Abu Hanifah tidak tahu tentang itu. Lalu si bukan Islam itu mengatakan anjing yang kencing berdiri itu menandakan sudah baligh.

Hanya sedikit ilmu seperti itu Imam Abu Hanifah telah mengiktiraf orang itu sebagai gurunya. Apatah lagi guru-guru yang banyak berjasa. Penuh harapan dan impian melihat anak muridnya berjaya. Saya sentiasa melunturkan perasaan dendam jika didenda dengan kalimah dan bisikan kejayaan. Bahawa siapa yang yang berdiri hari ini adalah hasil rencah guru-guru yang mendidik. Cuma pendekatan dan masanya yang sahaja berbeza-beza.

Guruku...
Tak terbalaslah jasamu yang berkorban jiwa raga untuk mendidik anak bangsa.
Guruku...
Engkaulah pelita menerangi hidup ini, semoga dirimu dirahmati Allah selalu.

Hampir tidak terluah isi hati. Mengenang betapa banyak berjasanya impian ini. Setiap detik dan saat, jika saya berpeluang untuk berjumpa mereka dan bertanyakan khabar saya akan lakukan. Baru sahaja tadi saya mengucapkan ungkapan selamat hari guru kepada Cikgu Hairuddin usai solat Isyak di surau. Dia antara guru yang tinggal sekampung dengan saya dan rajin bertanyakan khabar.

Terima kasih guruku.
Saya tinggalkan puisi Dato' Dr Usman Awang sebagai pengakhir kalam.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG 1979




MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431
Hhttp://msrizal.blogspot.com/

5 comments:

nurulhusnazubir May 19, 2010 at 1:08 AM  

anda mmpunyai gaya pnulisn y amat2 mnarik! truskn nukilan sbgni~

MS Rizal May 20, 2010 at 6:02 PM  

Terima kasih, penulisan sebegini hanya datang mengikut topik yang saya mahu bicarakan.

Faridrashidi May 21, 2010 at 6:04 AM  

Guru itu walaupun mereka itu makan gaji dan ada yang tidak, kita wajar menghormati mereka kerana ilmu yang dicurahkan.

Terima kasih guru-guruku.

http://www.faridrashidi.com/2010/05/20/tiga-jenis-motivasi-yang-wajar-diketahui/

Dr.UmiKalthumNgah May 21, 2010 at 7:28 AM  

Assalamualaikum warahmatullah,

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog saya...

Saya berkunjung balas.

Saudara seorang jurutera? Bagus sekali...

Bidangnya apa? Mari sambung pengajian ke kampus kami sekiranya mahu terus melanjutkan pengajian lagi...

Wasalam,

Dr.UmiKalthumNgah

MS Rizal May 23, 2010 at 8:57 PM  

Syukran Farid Rashidi atas kunjungan. Sememangnya Guru-guru akhi telah berjaya mendidik akhi menjadi seperti ini hari ini.

Syukran Dr UmuKalthum atas kunjungan...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP