Dibawah belenggu
>> Friday, March 19, 2010
"Aku pening kepala memikirkan anak buah aku ini?" terang Leftenan Halim pada saya.
Leftenan Halim adalah senior saya setahun.
"Kenapa pula, tuan?" saya bertanya kembali.
"Macam-macam hal ada. Paling pening sekali masalah kewangan. Macam mana aku nak selesaikan? Ada yang gaji mereka hanya tinggal baki bulanan RM 10 sahaja." Dia menambah.
"RM 10 sahaja? Ini mesti banyak hutang."
"Yelah, sampai 3 pinjaman loan dia buat. Kalau bujang tidak mengapa. Ini sudah berkahwin. Macam mana aku nak selesaikan masalah ini?"
Dialog ini berlaku ketika saya dan Leftenan Halim sedang menghabiskan beberapa pusingan larian di stadium. Masalah yang dinyatakan itu bukan baru. Berlaku kepada ramai pemuda-pemuda, tidak berkecuali mereka yang lain di luar sana.
Gali lubang tutup lubang pinjam wang bayar hutang.
Dunia semakin pantas berlari. Pengeluaran material amat pantas berkembang. Dari aspek gadjet, harta, kereta, rumah dan sebagainya. Manusia yang terpesona juga makin pantas mengejar. Tetapi malang, ada yang terkandas. Ada yang tidak cukup kudratnya. Lalu jatuh terjelepok. Tidak berdaya untuk bangun.
Baru kali ini teringat pesan orang zaman bahari, "Ukurlah baju di badan sendiri."
Tentang hutang, jangan ambil ringan tentangnya. Penyakit ini mudah sangat menimpa kepada sesiapa sahaja. Sebab itulah Nabi SAW sendiri pernah memohon di dalam salah satu doanya,
Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie)
"Rizal, kamu jangan amalkan berhutang. Nanti jadi tabiat!" Pesan kawan saya suatu masa dahulu.
Alhamdulillah pesanan itu amat bernilai bagi saya. Terhindarnya hutang maka saya lebih cekap untuk berjimat dan berdisiplin menabung (tetapi selalu korek juga..).
Pendapat saya, jika berhutang untuk keperluan asas seperti kereta dan rumah tidak mengapa. Tetapi jika berhutang untuk membeli rumah lebih daripada yang perlu. Dan menukar kereta mengikut kehendak nafsu, itu tabiat yang tidak baik. Biar ikat perut sebab berjimat jangan ikat perut sebab berhutang, lain suasananya.
Mahu kaya bersedekah, mahu mewah bersederhana
Formula ini mungkin suatu yang enteng untuk disebut, tetapi sukar untuk disambut. Mengapa saya katakan bersedekah itu boleh membuatkan kita kaya? Kerana sedekah itu membersihkan harta dan menyerlahkan keberkatan. Bayangkan jika anda bekerja makan gaji secara bulanan. Dan gaji anda dibayar RM 90 sehari. Siapakah yang boleh menjamin bahawa 8 jam sehari dia bekerja, jumlah bayaran itu setimpal dengan gajinya (Kes ini difokuskan untuk orang yang bekerja dengan sektor awam).
Kaya dan mewah tidak boleh dipandang secara stereotype, ianya perlu dipandang secara halus dan kritis. Mudah sahaja eksperimennya. Bandingkan dengan rakan-rakan yang sepejabat atau sejawatan yang gajinya lebih kurang sama dengan kita. Nilai gaji mungkin sama, tetapi mengapa kadang-kadang ada yang sengkek. Ada yang datang pada anda untuk berhutang. Aneh bukan?
Manusia sebenarnya mengejar kebahagian di dalam hidupnya. Sesetengah orang memandang mewah itu adalah hiasan materialistik di matanya. Punya isteri cantik, kenderaan gagah, rumah mewah, anak-anak comel dan sebagainya. Tetapi malangnya niat bahagia ini condong pula kepada berbangga-bangga. Untuk mendapat semua ini, mereka berusaha pagi, petang, siang dan malam untuk merealisasikannya. Tidak kiralah walau apa jua caranya, meskipun berhutang.
Tetapi, bahagiakah jika mempunyai cantik tetapi tidak solehah? Kenderaan gagah dan cantik, tetapi selalu rosak dan maintenance yang tinggi? Rumah cantik tetapi mempunyai jiran-jiran yang rendah semangat ukhwah (kerana diri sendiri pun tak berusaha nak sambung silaturrahim)?
Bertepatan dengan sabda Nabi SAW;“Empat perkara termasuk tanda kebahagiaan ialah memiliki wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Juga empat perkara termasuk kesusahan (derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” - Hadis sahih riwayat Ibn Hibban.
Jika sederhana bagaimana pula? Isteri biasa-biasa tetapi solehah dan menyejukkan mata. Kenderaan Proton Saga tahun 1993 (kereta saya ini) tetapi senang meluncur ke sana kemari dan amat sedikit ragamnya. Rumah kos rendah tetapi amat lapang dengan amal ibadah di dalamnya. Jiran-jiran pula amat baik kerana kita yang rajin berukhwah dan mentarbiyah mereka. Sederhana itu bisa menjamin kebahagian.FIRMAN Allah Taala bermaksud:” Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu, di sisi Allahlah pahala yang besar.” – Surah al-Tahgabun, ayat 15
Gali lubang dan tanamlah pohon yang rendang
Jika mahu berhutang atas keperluan mendesak silakan, tetapi pastikan anda mampu membayarnya. Jika mahu berhutang untuk kepentingan peribadi dan kepuasan, maka lupakan. Ianya tabiat buruk dan gantikan dengan menyimpan.
Bekerja itu tujuannya untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga dan kuat beribadah. Tetapi amat malang jika bekerja untuk membayar hutang dan bermegah-megah. Cukuplah dengan apa yang ada, dan hentikan cita-cita yang berkesinambungan dan tidak henti. Cita-cita itu biasanya melangkaui umur yang kita ada. Saya menutup fail kes ini(pinjam perkataan Akh Fadzil) ini dengan bingkisan kata;Janganlah merosakkan apa yang saudara miliki kerana menginginkan sesuatu yang tidak saudara dimiliki. Ingatlah, apa yang saudara miliki sekarang adalah sesuatu yang pernah saudara harapkan suatu masa dahulu.
MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
5 comments:
wah..entri ni best..apa guna rumah besar,kerta besar tapi keluarga tak bahagia..jiran tetangga tak kenal..alhamdulillah..syukur pada Allah atas cara hidup sekarang..
Sibuklah dikna, pergi main jauh-jauh(",)...hehe
ahaks..jauh lar ni..lumut- shah alam bukannya dekat..hihihi:p
kesian leftenan halim tue ya..
xabis2 masalah yg menimpa..
huhu..~
Masalah tidak pernah selesai sehingga kita tutup mata. Masalah itu fitrah manusia, telas ditulis sejak ruh ditiupkan ke jasad lagi..
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...