Dakwah sifatnya bermula dengan keluarga
>> Wednesday, February 24, 2010
Hidup ini adalah realiti yang kadang-kadang pahit dan kadang-kadang manis. Semuanya itu perlulah dilalui untuk menjadikan seseorang manusia itu matang dalam menempuh hidupnya. Hidup bukanlah satu cerita novel dimana penulisnya boleh meletakkan jalan ceritanya mengikut sesuka hatinya. Sesuatu watak antagonis mudah sahaja ditidakkan dengan pengakhiran yang memuaskan hati pembaca. Dan juga watak yang positif dihadiahkan pengakhiran yang indah.
Lakaran hidup ini misteri dan kritis. Sebagai juri mungkin mudah untuk kita mengadili seseorang anak derhaka di dalam sesebuah cerekarama. Sifirnya mudah, anak yang sudah kaya melupakan ibunya di kampung. Lalu bila ibunya sudah tiada anak yang sudah kaya itu mula insaf. Penonton akan puas dan berkatalah di dalam hatinya, "Padan muka!".
Di dalam hidup realiti tidak begitu, ramai anak bermasalah dan memberontak ke atas ibu bapanya kerana sikap ibu bapa itu sendiri.
Bapa yang sibuk dengan pekerjaan sahaja, tanpa mengambil tahu kewajipan mendidik keluarga.
Ibu yang sekadar tahu menjaga pakai minum tetapi membiarkan suami dan anak-anak tanpa didikan agama yang tegas dan berhikmah.
Ibu bapa yang mengabaikan emosi anak-anak.
Ibu bapa yang menjadikan soal materialistik itu sebagai tujuan hidupnya.
Tanggang moden tidak lagi jalan ceritanya seperti dahulu. Malah mungkin tanggang sekarang mempunyai ibu bapa yang tidak selembut ibu bapa tanggang dahulu. Krisis masyarakat yang teruk bermula dari keluarga yang bermasalah.
Ingatlah kisah Nabi Ibrahim as
Saya sering kali dihujani masalah anak-anak yang mengadu kelakuan ibu bapanya yang tidak langsung boleh dijadikan contoh. Anak solat, ibu bapa tidak. Anak sopan, ibu bapa suka bercakap kasar. Anak sukakan perkara halal, ibu bapa sukakan perkara haram. Alhamdulillah, ada di antara produk keluaran keluarga seperti ini berada di lorong cahaya. Tetapi, malang sungguh kepada mereka yang tidak dapat lari daripada tradisi keluarga.
Kepada rakan-rakan yang berada di dalam belenggu masalah ini. Ingatlah putaran jam selalu ke tempat asalnya kembali. Masalah yang diputar oleh kita punya penyelesaian, kerana kita bukan generasi pertama manusia yang hidup di muka bumi. Kita adalah generasi akhir zaman, di mana koleksi kisah-kisah manusia contoh berada di zaman kita.
Paling tidak ingatlah kisah Nabi Ibrahim as. Baginda mempunyai bapa yang lebih bermasalah daripada bapa-bapa di kalangan kita. Jika masalah kita adalah bapa yang tidak betah bersolat. Nabi Ibrahim punya bapa penyembah berhala. Bahkan tukang pembuat berhala. Inilah penanda aras yang paling tinggi mungkin buat kita.
Ingatlah juga pada pendirian anak Abdullah bin Ubai bin Salul yang juga bernama Abdullah. Keimanan dan kesetiaannya amat teguh pada Rasulullah SAW. Dirinya saleh dan beriman, sedangkan bapanya pula adalah ketua munafik. Hormat pada bapanya amat tinggi sehingga dia pernah berkata pada Rasulullah SAW,"Biarkanlah aku yang membunuh bapaku, kerana aku khuatir jika engkau menyuruh seseorang lain yang membunuhnya aku akan berdendam pada orang itu. Lalu aku pun membunuhnya dan aku pun turut sama masuk neraka."
Namun Rasulullah SAW tidak membenarkan Abdulllah bin Ubai bin Salul di bunuh demi mengelakkan fitnah yang besar.
Berusahalah mendekati ibu bapa seperti ini dengan hikmah. Berlembut pada tempatnya, dan tegas dan sesuatu perkara. Kita hanya memerlukan sedikit cahaya iman di dalam diri mereka, dan sedikit tenaga dan buah fikiran untuk melorongkan ke arah jalan cahaya. Pada masa yang sama banyakkan istighfar dan meminta nasihat kepada sesiapa yang dianggap perlu. Nabi Ibrahim sendiri punya kelembutan yang luar biasa ke atas bapanya, dan sentiasa mendoakan bapanya. Niat yang baik, hati yang ikhlas, Allah akan senantiasa bersama-samamu.
MS Rizal,
31200, Chemor,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...