Mencari berkat pada sebuah ibadat
>> Monday, March 22, 2010
Di dalam satu bilik pensyarah. Di petang yang agak terik namun tidak memberikan kesan kepada penghuninya disebabkan bilik ini siap berhawa dingin. Dua orang asyik berbincang di dalamnya. Seorang daripadanya adalah pelajar dan seorang lagi adalah pensyarah. Khabarnya pensyarah ini bakal mendirikan rumah tangga. Apa agaknya topik yang menjadi bualan hangat mereka pada ketika itu?
"Sekarang ini kalau nak kahwin, kena ada RM 30 000. Kalau tidak, jangan beranganlah tentang kahwin" Ujar pensyarah itu kepada pelajarnya.
"RM 30 000? Banyak itu?" Berkerut muka si pelajar meminta kepastian pensyarahnya.
"Ya lah, belanja hantaran lagi. Belanja kahwin lagi..." Tambah pensyarah itu kepada pelajarnya.
"Mungkin sebab Tuan hendak meminang seorang doktor. Sebab itulah mungkin hantarannya banyak sangat." Pelajar itu lantas membuat kesimpulan.
Di dalam benak fikiran pelajar itu, dia bermonolog; "Seorang yang berkemampuan meletakkan syarat setinggi ini untuk berkahwin, bagaimana agaknya nasib rakan-rakanku di kampung yang bekerja sebagai pekerja kilang, petani dan buruh kasar?"
Perkahwinan haruslah didasari rasa syukur dan insaf, bukan untuk bermegah-megah dan berbangga-bangga.-Gambar perkahwinan Leftenan Fadzli Zikry sekadar hiasan.
Apabila perkahwinan dikhianati oleh unsur perniagaan.
Satu berita sensasi yang dipaparkan di Berita Harian hari ini amat mendukacitakan saya.
'17,303 anak luar nikah didaftar 2009'
Ingat, jumlah ini adalah untuk yang berdaftar. Bagaimana pula dengan yang tidak berdaftar? Lantas saya mula bertanya pada diri sendiri. Dimanakah silapnya semua ini? Apa yang menjadi kerisaun adalah akan wujud nanti trend dimana ramai diambil sebagai wali nikah disebabkan kelahiran anak ini tidak berwali. Bahkan ianya akan menjadi aib kepada anak-anak yang dilahirkan di luar nikah ini. Mereka tidak bersalah, ibu-bapa merekalah yang bersalah. Ibu bapa mereka yang bersalah turut sama menyeret masyarakat untuk bersalah. Masyarakat yang bersalah adalah berpunca daripada pemimpin yang tidak amanah.
Salah satu sebab yang mengundang gejala ini adalah apabila zina lebih mudah daripada perkahwinan. Apabila perkahwinan itu rumit, maka zina pun menjadi mudah jalannya. Cukup untuk suka sama suka dan ada tempat untuk melunaskan nafsu durjana. Ditambah pula perkahwinan yang diresapi urf atau adat setempat. Akibatnya perkahwinan menjadi leceh, rumit dan berlakunya pembaziran. Sudah tentu yang menanggung beban adalah pihak lelaki.
Lantas apabila perbelanjaan tidak mencukupi, jalan terbaik yang diambil adalah berhutang. Tidak sedikit pengalaman mereka yang bernikah bercerita bahawa mereka terpaksa membuat pinjaman bank untuk berkahwin. Demi memenuhi tuntutan uruf, konon hendak memelihara maruah. Sebenarnya bukan maruah yang terbela tetapi kejahilan yang dipertonjolkannya.
Apakah perkahwinan itu satu perniagaan? Menjual anak perempuan, atau untuk test market nilai anaknya di pasaran? Ada yang meletakkan hantaran belanja mengikut kecantikan, kebijaksanaan dan taraf pendidikan anak mereka. Jika begitulah keadaannya, adakah anak mereka lebih hebat dan lebih baik daripada Fatimah Azzaharah? Sedangkan puteri Nabi ini maharnya hanyalah sejumlah empat ratus Fidhdhah ( dalam nilai perak). Adakah mahar yang paling mulia selain mahar Ummu Sulaimn ketika menerima pinangan Abu Talhah? Maharnya adalah berupa keIslaman Abu Talhah.
Bahkan ada disebut di dalam hadis dimana Nabi SAW bersabda;
Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang perbelanjaan ( mahar ).
( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi” [Hadith Muttafaq Alaih]
Anjuran untuk memperkecilkan bilangan mahar ini merupakan kemudahan sehingga para pemuda boleh segera menikahi tanpa harus tertunda karena masalah harta. Setelah mahar diberikan kepada isteri, maka mahar menjadi hak mutlak isteri sepenuhnya. Akan tetapi, suami dan isteri boleh memanfaatkan mahar tersebut bersama-sama.
Walaubagaimanapun, suami boleh memberikan mahar yang tinggi kepada isteri mengikut kerelaannya. Tetapi aneh juga di Malaysia, apabila mahar yang difahami di sini adalah mas kahwin. Dengan kefahaman yang keliru ini mereka merendahkan mas kahwin tetapi menaikkan belanja kahwin. Maaf saya katakan, jika mereka faham akan syariat, tetapi tetap degil mahu mengikut adat, inilah orang yang bermain-main di dalam urusan agamanya.
Mana yang lebih penting? Suami yang kaya atau suami yang beragama?
Rasulullah SAW bersabda;
Apabila seorang lelaki yang kamu redha agama dan akhlaknya meminang (anak perempuanmu), nikahkanlah dia.Apabila engkau tidak menikahkannya, nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang meluas. (Hadis Riwayat Tirmizi)
Tempat mengumpul kekayaan itu adalah selepas berkahwin, bukan sebelumnya.
"Kenapa tidak mahu berkahwin, kamu sudah ada calonkan?" soal saya pada seorang sahabat di suatu hari.
"Nanti dululah, aku nak kumpul harta dahulu." jawabnya bersahaja.
"Kumpul harta? Mari aku bacakan kamu Surah An-Nur ayat 32"
Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
Selesai saya membacakan surah ini, sahabat saya tersengih-sengih seperti kerang busuk.
Umar al-khattab sendiri pernah menyebut; "Aku sangat takjub dan hairan perihal orang-orang yang tidak mahu bernikah kerana takutkan kemiskinan. Dan juga tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah Taala telah menjaminnya.
Ibnu Mas'ud juga mengulas tentang surah An-Nur ini dengan mengatakan; "Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan.
Mahsyur juga pernah menyebut tentang seorang sahabat yang datang kepada Nabi SAW lalu mengadu tentang kemiskinannya. Lalu Nabi SAW menyuruh dia untuk bernikah.
Logiknya, selepas berkahwin seseorang suami itu akan lebih bertanggungjawab dan tahu kemanakah sepatutnya dilorongkan wangnya. Juga seorang isteri akan menjadi penasihat paling rapat kepada suaminya dalam menguruskan ekonomi rumah tangga. Bahkan sebenarnya, berkat rumah tangga itu sendiri membuatkan rezeki lebih murah kerana rahmat Allah yang melimpah.
Pernikahan sepatutnya menjadi suatu ibadah yang dilaksanakan kerana ALLAH dan untuk kebaikan agama. Mengutamakan kepentingan agama lebih afdal daripada tujuan keduniaan. Rasulullah s.a.w menyatakan dalam sebuah hadis sahih bahawa baginda pernah menikahkan sahabatnya dengan hanya bermaharkan al-Quran disebabkan kemiskinan dan ketiadaan harta untuk dijadikan mas kahwin. Hal ini sekali gus menjadi hujah bahawa pernikahan yang dilakukan atas dasar menyelamatkan diri daripada maksiat dan keinginan syahwat itu harus dilaksanakan kerana ALLAH. Walaupun kekurangan dari sudut kebendaan.
Berbahagialah orang yang faham di dalam urusan agamanya!
p/s: Dalam perbincangan bersama rakan-rakan usrah, timbul cerita bahawa ada seorang public figure yang menghidangkan bihun sup sahaja untuk kenduri kahwin anaknya. Sedangkan bagi seorang yang dikenali ramai, ini adalah suatu keaiban. Tetapi inilah realiti orang yang faham di dalam beragama.
MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
apa2 pun..
kami merapatkan hubungan silaturrahim kami dgn rombongan merisik dan bertunang sekali jalan!!…jarang orang buat, tp ni lah kelainan kami..jimat masa, jimat kos..bertunang tak lama dalam tempoh 2-3 bulan..
kami merancang nikah secara sederhana dengan mas kawin RM 22.50.. majlis kenduri dilakukan kemudian..
tapi berat jugak sebab ayah sy mintak 10K untuk duit belanja yg diberi kemudian tu…mcm2 perjanjian yang dibuat antara bakal suami sy dgn ayah sy..berat tuh…
sy pun x setuju nilai duit belanja yg tinggi..cukuplah dgn kesederhanaan dan kemampuan…biasa yg cerewet mak ayah..
org kita yg suka menunjuk2 dan bermegah dgn kekayaan, kelebihan, kecantikan, keindahan yg dipamerkn terutama mjlis pernikahan ataupun perkahwinan…
nanti bila kami dah jd ibu bapa, kami akan memudahkan anak2 kami pula, didik dgn kesederhanaan dlm khidupan..hrp2 sahabat kat luar sana akan mencuba bina generasi yg mampu memudahkan urusan perkahwinan..nilai masyrakat bertambah tinggi, dosa pun dpt dielakkan..insyaAllah…
Semoga kita dilorongkan dengan hidayah Allah SWT. Dan diberi kekuatan untuk melaksanakan hadis Rasulullah SAW dalam situasi kotemporari..
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...