Ketika Ukhwah Bertasbih

>> Friday, March 26, 2010

Kereta buatan honda berwarna perak itu meluncur laju di jalan raya. Cara pemanduannya nampak seperti tergesa-gesa, tetapi masih berada dalam skop pemanduan berhemah. Walaupun ada satu dua lampu isyarat yang dilanggar, kami masih meletakkan ianya dalam kondisi tidak sengaja. Muadz, memandu. Dini meluruskan jalan agar sampai ke destinasi yang dituju. Saya, Adzim dan Amir di belakang hanya memandang dari luar jendela. Menghayati pemandangan indah bumi hijau lebuhraya menuju ke Bangi. Sesekala rasa mengantuk menjengah, dan tidak ada lagi yang menghalang untuk diri melelapkan mata sebentar.

"Dah sampai, ini rumahnya mungkin!" Ujar Muadz.

"Lihat, lambang Rejimen Askar Melayu terpapar jelas di pintu pagar." Tuding Adzim ke arah pintu grill rumah yang kami tuju.

Pagi itu sebenarnya kami berjawlah(baca ziarah) ke rumah Pegawai Tentera; Leftenan Kolenal Anas namanya. Jawlah kami untuk mengutip pengalaman dan buah fikiran mereka yang lebih berpengalaman. Mencari mutiara berharga sebagai motivasi sebelum kami memasuki alam kerjaya.

"Assalamualaikum..." Kami melontarkan salam.

"Walaikumsalam. Masuk! Masuk!" Lt. Kol. Anas menyambut kami dengan wajah yang manis.


Agama itu adalah nasihat!

Sesi taaruf yang ringkas kami mulakan. Sesi perbincangan yang diselangi dengan imbasan zaman muda dan masalah-masalah yang dialami beliau di dalam kerjaya cukup mengujakan kami untuk terus mendengar. Lelaki yang bercakap di hadapan kami ini bukan Pegawai Kor Agama ATM (KAGAT) tetapi adalah Pegawai dari pasukan infantri. Atas sebab ini, sejujurnya saya amat jarang berjumpa Pegawai Tentera combatan seperti beliau. Ilmu agamanya yang luas serta kefasihannya menuturkan ayat-ayat Al-Quran di luar kepala mengagumkan saya. Sebelum kami disimbah dengan perasaan kagum, kami didedahkan dahulu tentang kegagalan diri beliau. Manusia itu tidak ada yang sempurna.

"Saya dahulu belajar jurusan Kejuruteraan di Australia, tetapi terkandas di pertengahan jalan akibat terlalu obsess pada dakwah." Jelas Lt. Kol Anas.

Kegagalan adalah lumrah untuk berjaya. Saya mendengar dengan khusyuk, sambil sesekali menghirup Teh O panas yang dihidangkan buat kami. Jangan diganggu MS Rizal yang sedang menikmati minuman kegemarannya.

"Tetapi, daripada kegagalan inilah saya belajar. Juga saya dapat mengutip mutiara berharga. Di sana saya belajar Al-Quran dengan baik. Kemudian saya memasuki Royal Military College (pada waktu itu institusi ini masih menjadi tempat latihan Pegawai Tentera) pada usia 25 tahun. Agak berusia, ketika itu. Namun saya jadikan kegagalan sebagai teladan, sehingga menyandang anugerah Pegawai Kadet terbaik." tambah Lt. Kol Anas lagi.

Penulis dan Adzim, khusyuk mendengar, tambah secawan lagi Teh 'O'...

Perbincangan kemudian diteruskan dengan nasihat-nasihat berguna tentang Islam. Kelemahan institusi Islam dan betapa tidak seriusnya segelintir umat Islam dalam memperjuangkan Islam. Kebobrokan masyarakat bukanlah suatu perkara yang asing, ianya mestilah diperbaiki sejak daripada akar umbi. Sambil bercerita, isteri beliau menghidangkan pula bihun goreng sebagai menu berat. Alhamdulillah, murah rezeki kami pada pagi itu.

"Nasihatilah anak buah dengan hikmah dan ambil peluang untuk berdakwah!" Sebutir nasihat berguna untuk kami.

Lt Kol Anas sempat membedah satu buku untuk kami, seperti biasa motivasi barat amat dekat dengan ajaran Islam sebenarnya.

Sedang asyik kami bertukar-tukar cerita, tiba-tiba sahutan salam diberi dari luar. Rupanya ada sepasang suami isteri datang bertandang. Beliau adalah Mejar Kayum Badaruddin dan isterinya. Dialah Mejar Kayum yang telah menulis 17 buah buku, dan ada di antaranya dikeluarkan oleh syarikat penerbitan buku PTS. Ya, saya pernah membelek bukunya di gedung-gedung buku. Tetapi masih belum punya kesempatan untuk membacanya. Dengan keberadaan seorang lagi regu, perbincangan menjadi tambah menarik. Setelah hampir 3 jam bermuzakarah, akhirnya kami meminta diri untuk pulang. Moga kami dapat berjumpa lagi di lain masa hendaknya.


Orang berpengalaman beregu dalam memberi nasihat kepada anak muda seperti kami

Amir Imran dan Mejar Kayum, apa agaknya perkara melucukan yang mencuit hati mereka.

Sebelum pulang sempat bergambar dahulu, dari kiri; Penulis, Adzim, Mejar Kayum, Lt Kol Anas, Muadz, Amir dan Dini Sharif

Kamu tidak berseorangan dalam berjuang

Fikir-fikir, saya sebenarnya berkecimpung di dalam dunia kerjaya yang menarik. Sebab saya katakan begitu adalah kerana institusi pertahanan terdiri daripada majoritinya kaum lelaki. Sebagai salah seorang 'hulubalang', memimpin anak-anak buah yang juga sebenarnya adalah pemimpin keluarga. Pemimpin keluarga yang baik dapat menjana masyarakat yang baik. Qudwah Hasanah sebagai pemimpin yang baik amat perlu dititikberatkan. Inilah senjata ampuh kepimpinan insan-insan terbilang di dalam Islam dahulu, sekarang dan akan datang. Ini cabaran yang perlu saya pikul.

Sekelompok manusia yang beragama Islam. Walau bagaimanapun maksiat bermaharajela di tengah-tengah mereka, masih ada sedikit cahaya untuk diterangi. Tepuk dada tanya iman. Sebenarnya, orang bawahan amat ternanti-nanti pemimpin yang boleh dijadikan ikutan. Mereka juga mahukan Islam.

Benarlah kata bijak pandai; "Perbandingan antara insan dan islam itu adalah seperti ikan dan air."


Ibarat ikan yang lemas tanpa air, begitu juga manusia yang lemas tanpa nur Islam di daham hidupnya. Mereka sentiasa akan mencarinya dan ternanti-nanti sesiapa yang sudikan melorongkan cahaya buat mereka.

Selamat berjaya buat rakan-rakan dan saudara-saudari yang turut berjuang di luar sana. Tegur dan nasihatilah saya pada bila-bila masa, seindah nasihat yang pernah diucapkan Ustaz Zahazan Mohamed suatu masa dahulu kepada saya;

"Ikhlaskan niat Rizal, insya-Allah, Allah akan mengurniakan banyak-banyak pahala kepada kamu di dalam lapangan (tentera) ini. Banyakkan membaca dan jangan lupakan doakan saya juga."





MS Rizal,
32100, Lumut,
2010/1431H
http://msrizal.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP