Sayang anak tangan-tangankan...

>> Friday, June 12, 2009

'Pang!!!'

Muka saya menjadi merah padam. Bunyi dengung yang nyaring mula tersebar dari dalam cuping telinga. Panas dan sejuk menyelubungi badan. Saya menggosok-gosok pipi yang sudah tebal dek kerana kebas akibat ditampar.

Malu sungguh rasanya diperlakukan sebegitu di hadapan rakan-rakan sekelas. Pengajaran buat saya yang berada di tingkatan 1 ketika itu. Jangan cuba-cuba untuk bersembang di belakang saat cikgu sedang bercakap di hadapan. Nanti diri dilabel 'kurang ajar'.

Hampir 10 tahun kejadian ini berlalu. Hari ini saya berterima kasih kepada cikgu, penampar itu amat bermakna buat diri.


Garang dan sayang

Dewasa ini, amat jarang saya mendengar pelajar-pelajar yang takutkan gurunya. Malah hasil sembang santai saya bersama mantan cikgu di suatu petang hari raya banyak berlegar-legar tentang perkara ini. Pelajar-pelajar makin biadap. Bagaimana biadapnya mereka saya tidak berapa pasti. Mengimbau zaman saya bersekolah, guru-guru sudah dijadikan sasaran serangan di luar pagar sekolah, saya percaya situasi sekarang lebih parah daripada itu lagi.


Haruskah guru-guru diberi kuasa yang autoriti seperti dahulu?


Saya percaya ramai ibu bapa yang tidak setuju. Malah guru-guru yang lemah lembut lebih diperlukan untuk mengajar anak mereka berbanding yang garang dan berotan. Sentimen sayang menyayangi lebih dipercayai memberi kesan berbanding garang dan memaksa. Tetapi silapnya, bukan semua yang menghargai kasih sayang yang diberi. Akibatnya, guru-guru hilang upaya mengawal keadaan. Disiplin sekolah sudah tidak berupaya lagi dibendung secara dalaman. Justeru, penyelesaian apakah yang terbaik? Al-Quran memberikan jawapannya.

Apabila Allah SWT memberi peringatan kepada manusia, ianya tidak sekadar menceritakan tentang syurga. Atau sekadar menceritakan kasih sayang dan rahmat yang Allah Taala limpahkan buat hambanya. Kerana bukan semuanya pandai bersyukur dan faham erti syukur, maka Allah Taala juga memberikan ancaman. Penceritaan neraka yang amat menggetarkan jiwa dijadikan ancaman dan pengajaran. Hadis-hadis Nabi SAW juga banyak mengajar tentang sifat kasih dan juga ancaman ini.

Disamping itu juga Allah Taala memberikan kita sifat untuk mengharap. Harapan untuk kita termasuk di dalam golongan muqarrabin dan solihin. Mengharap balasan baik seperti pintanya Asiah isteri firaun untuk diadakan istana di syurga. Maha Adil Allah Taala yang lebih mengetahui bagaimana mahu mengendalikan ciptaanNya.

Bukankah ini cara terbaik? Sifat kasih dan garang. Garang tidak bermaksud membuang sifat sayang secara total, tetapi berkadar dengan situasi dan keadaan. Garang bukan untuk membenci, tetapi melahirkan perasaan sayang.


Para sahabat yang mulia dan faqih pada agama


Untuk mengukur sejauhmana ketegasan itu perlu di dalam Islam. Lebih baik kita mencontohi gerak-kerja para salafussoleh. Ada sahabat yang lemah lembut dan ada sahabat yang tegas. Tetapi rata-ratanya apabila mereka menjawat jawatan mereka akan tegas pada tempatnya. Saidina Abu Bakr tegas pada golongan enggan membayar zakat, Umar pada tegas hal kebajikan rakyat, Uthman dalam hal pentadbiran, Ali bertegas dengan golongan pemberontak, Muawiyah dalam meneruskan kembali jihad qital, dan lain-lain sahabat yang mulia lagi.

Malah Umar yang terkenal dengan kefaqihannya dalam agama, tidaklah seperti kewarakan yang sering kita bayangkan. Apabila dia berjalan, jalannya laju. Apabila dia menumbuk maka akan terasa sakit, apabila dia bercakap suaranya lantang. Jika diimbal pula sifat lembutnya, umum mengetahui mahsyurnya cerita Umar berjalan di waktu malam dan membantu seorang balu yang berusaha menidurkan anaknya yang enggan tidur akibat kelaparan.


* Saya cuba belajar untuk menjadi garang. Kalau selepas ini saya simpan misai panjang melentik, agak-agak ok tak? (: p)




MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
12 Jun 2009/18 J'Akhir 1430H
http://msrizal.blogspot.com/

1 comments:

afham July 12, 2009 at 8:22 PM  

haha..msti handsome if abg rizal simpan misai..

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP