Dr. Fathi Yakan di dalam kenangan...

>> Sunday, June 14, 2009

'Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan. Ianya bukanlah bererti menyerahkan tugas itu kepada mana-mana generasi tanpa punya ciri-ciri khas. Tetapi hendaklah dipastikan bahkan dituntut supaya generasi itu mempunyai ciri-ciri Islam, berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam. Tetapi malangnya mereka dipergunakan untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda. Tetapi pemuda ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar. Pemuda yang tiada peribadi bersifat seperti kera. Pemuda yang tidak mempunyai akhlak lebih dekat dengan binatang. Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan. Pemuda pondan yang tiada kebaikan di dalam diri mereka. Tetapi ternyata keberkatan itu datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.'

Tulisan ini amat memberi kesan buat diri saya. Inilah buat tangan ulama' terkenal Ikhwanul Muslimin Lubnan; Dr. Fathi Yakan.



Ulama' yang dikenang.

Ulama' apabila ia mati, bukan jasadnya sahaja yang ditanam. Tetapi ilmunya juga turut ditanam bersama-sama.


Saya diberitakan bahawa Dr. Fathi Yakan telah meninggal dunia semalam. Beliau meninggal pada usia 76 tahun lantaran sakit. Lantas saya menggesa jemaah untuk sama-sama solat jenazah ghaib untuknya. Sunnah Nabi SAW di dalam menghormati orang yang berjasa.

Semoga Allah mencucuri rahmat buatnya dan menjadikannya sebagai syuhada' di dalam perjuangan agama Islam ini. Sesungguhnya pemergiannya mendatangkan kesan yang mendalam buat para pendakwah, harakah islamiah, penulis dakwah dan buat umat Islam yang cintakan ad-Dinnul Haq ini.


Sedikit latar belakang Al-marhum.

Dr. Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Lubnan. Isterinya bernama Dr. Mona Haddad Yakan. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan 4 orang puteri dan seorang putera.

PhD yang diperolehi beliau adalah di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Apa yang menariknya B.A dan M.A nya adalah di dalam bidang kejuruteraan. Allah telah mengurniakannya akal yang cerdas dan tangan emas kepada beliau. Hasilnya beliau telah menulis banyak karya-karya Islami yang menggegarkan pemikiran dunia Islam.

Ziarah awalnya bertemu Dr. Mustafa As-Siba'ie Rahimallah di Syria telah menjana azam yang bergermelapan buat dirinya bersama lebih kurang 50 orang yang turut serta. Lantas mereka mempelopori gerakan pembaharuan Islam di Lubnan.

Antara bukunya yang terkenal dan dijadikan asas oleh ramai jemaah ikhwan di seluruh dunia adalah 'Maza Yakni Intima il-Islam' yang bermaksud 'Apakah ertinya saya menganut Islam?' Buku ini mengupas erti Islam buat ummah dalam keadaan yang ringkas dan mudah difahami.

Golongan sasaran beliau adalah pemuda dan pemudi. Beliau sedar golongan ini adalah aset yang amat bernilai bagi menyambung tugas yang pernah disandang oleh para sahabat Rasulullah SAW yang majoritinya terdiri daripada golongan pemuda. Ini disebabkan tenaga dan kesungguhan yang mereka miliki adalah melebihi golongan tua.

Tahun-tahun akhirnya beliau bergiat sebagai ahli politik kerana melihat pentingnya daei hadir ditengah-tengah masyarakat. Harakahnya juga pernah ditentang, malah beliau pernah dipenjarakan. Tubuhnya pernah diseterika sehingga seluruh badannya menjadi remuk. Ada berpendapat umurnya lebih muda daripada tubuh badannya akibat seksaan yang menimpa beliau.


Buat Dr. Fathi Yakan...
Bersemadilah dengan tenang di alam sana, sesungguhnya umurmu banyak dihabiskan kerana memikirkan masalah umat ini. Semoga Allah memberikan balasan yang syurga yang tiada tolok banding nikmatnya kepadamu dan juga kepada kita semua.

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku. (Surah al-Fajr, 27-30)


*Rujukan: Tokoh-tokoh gerakan Islam abad moden, karya Zainuddin Hashim dan Riduan Mohammad Nor.



MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
14 Jun 2009/20 J'Akhir 1430H
http://msrizal.blogspot.com/

3 comments:

Azraai Ahmad June 15, 2009 at 8:14 AM  

"Dalam meniti liku dan lurah-lurah perjalanan ini kalaulah seorang Da’i tidak berada di bawah lindungan Allah SWT, tidak berhubung terus dengan-Nya, tidak bertawakkal kepada-Nya, tidak berpegang kepada Kitab-Nya dan tidak pula mengikuti Sunnah Nabi-Nya maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar."

(Bahtera Penyelamat)

Azraai Ahmad June 15, 2009 at 8:18 AM  

Buku Bahtera Penyelamat ni (Qawaribun Najat Fi Hayatid Du'at) merupakan karangan Fathi Yakan Rahimahullah yang sangat patut dibaca dan dihayati oleh semua insan bergelar da'i...

MS Rizal June 16, 2009 at 8:30 PM  

Terima kasih atas komen akh Azraai, maaflah lambat reply sebab badan letih sangat mungkin, so tak berapa ada mood nak belek-belek blog ini...

Post a Comment

Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Autumn Leaves by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP