Tazkirah Jumaat: Ilmu tanpa amal itu sia-sia
>> Friday, April 10, 2009
"Argh..." saya melenturkan postur badan yang mula tegang.
Lantas saya membetulkan posisi punggung yang mula merencah kebas. Alhamdulillah, tesis saya sudah hampir 80% siap. Saya masih berkampung di perpustakaan, sebelum mahu pulang ke bilik sebentar. Niat di hati mahu mencetak draf tesis tersebut sebelum dihantar kepada pensyarah pusat Bahasa Inggeris. Saya perlu menyemak dahulu kandungan tesis ini yang mewah dengan kesalahan tatabahasa...huh!
Bangunan indah yang menyenangkan
"Dua perkara yang membuatkan sesebuah Universiti itu istimewa!" saya mula mahu berfalsafah kepada rakan.
"Apa dia?" rakan saya berbasi-basi.
"Masjid dan perpustakaannya!"
Benar, tanpa kedua-dua tempat ini saya tidak merasa zouq yang ada pada sesebuah Universiti. Dan kedua-dua tempat inilah yang menjadi target saya yang pertama jika melawat sesebuah Universiti. Di sinilah tempat paling bahagia buat mereka yang inginkan ketenangan. Orang ramai bersantun berada di bawah naungan bumbungnya. Tidak bercakap sia-sia dan ramai yang tekun melakukan pekerjaan mereka.
Namun apalah yang ada pada keistimewaan dua bangunan ini jika orang yang bernaung di bawahnya tidak mendapat hidayah melalui pekerjaan mereka. Perpustakaan yang mewah dengan hasil gedung ilmu yang bercambah-cambah. Buku-buku berderetan membuktikan kepandaian si pemiliknya dan anak didik di dalamnya. Masjid yang cantik diukir nan indah tetapi masih tidak ramai yang sudi memenuhkannya untuk hadir berjemaah.
Saya menyatakan kepada diri saya. Jangan tergesa-gesa mengukur orang yang banyak koleksi bukunya, adalah orang yang baik. Lebam dahinya itu benar-benar warak. Sehingga saya perlu benar-benar memerhati amal perbuatannya dan sikap istiqomahnya. Juga kesan koleksi buku-buku itu pada ibadahnya, pada akhlak dan manfaat positif dirinya.
Suatu waktu Dr 'Aidh Abdullah Qarni di Amerika
Sekitar tahun 1410 H, Dr 'Aidh melawat perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat. Perpustakaan besar yang bergunung-gunung buku terdapat di dalamnya. Apabila diminta sahaja satu jenis buku, ratusan buku yang hampir sama jenis pun turut berada.
Namun Dr 'Aidh berbisik di dalam hatinya, "Sayang, buku-buku ini banyak, namun satu pun diantaranya tidak dapat memberikan petunjuk buat rakyat Amerika mengenal siapa dia sebenarnya Maha Pencipta.
Khabarkan kepada mereka yang berbangga-bangga untuk menunjukkan koleksi kitab-kitabnya. Koleksi buku-buku himpunannya. Yang ini semua belum tentu dapat menisbahkan mereka dengan kebaikan. Seringkali riak itu datang, dan malas beristiqamah menyambut riang.
Benar, seseorang yang hanya mempunyai satu mushaf Al-Quran yang ia selalu renungkan dan amalkan kandungan isinya adalah jauh lebih baik daripada seseorang yang bersibuk-sibuk dengan koleksi beribu-ribu jilid bukunya. Namun satu pun tidak dapat memanfaatknya ke arah kebaikan positif dan hidayah Allah Taala.
Lalu terjadilah seperti apa yang menimpa ahli-ahli kitab dahulu;Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
Sekian pemudah bicara, Islam itu tidak sekadar hebat pada namanya sahaja. Tetapi wajah-wajah mulia yang mencatat pena sejarah dengan darah dan air mata untuk menegakkannya. Bukankah mahsyur zaman berzaman telah berkata; Ilmu tanpa amal itu sia-sia.
MS Rizal,
57000 Kuala Lumpur,
10 April 2009.
http://msrizal.blogspot.com/
2 comments:
tandas awam pun penting juga untuk sebuah universiti hehehe
saya bersetuju saja... :)
'ilmu utk amal, amal utk ilmu'.
p/s: semoga berjaya hasilkan tesis yg hebat!
assalamualaikum... :)
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...