Menanam kelapa di Pulau Bukum...Tinggi sedepa sudah berbuah..
>> Saturday, April 4, 2009
Alkisah kata pepatah...
Katanya pepatah; biar mati anak jangan mati adat. Adat dijunjung biar sampai penghujung. Biarpun belum pasti, anak-anak membesar dengan saingan adat mahu meneruskan atau tidak. Siapa mahu menjunjung si musuh?
Adat tuan adat berserah,
Mari datang membawa puan,
Adat bersirih adat sejarah,
Untuk tuan kami sembahkan.
Dahulu, ada gerangan yang meminta saya untuk menulis pergeseran antara adat dan agama Islam. Saya menyatakan kesanggupan. Terimalah buah tangan ini! Mungkin di dalam entri ini hajat yang berkenaan saya tunaikan.
Adat atau nama lainnya 'al-urf' sebagai meminjam bahasa arab bukanlah sesuatu yang janggal dalam budaya perkembangan Islam. Malahan Islam itu cukup bersedia mengharungi adat. Perkembangannya fleksibel dan mesra adat dan budaya. Islam datang sebagai mengangkat dan memurnikan adat. Mana yang bagus diteruskan. Mana yang tidak elok dibuang dan diganti. Mana yang lapok? Simpan biar sampai berhabuk...
Jika perang itu dikira sebagai adat. Maka Islam tidak datang menentang adanya adat. Perang itu tetap ada, tidak logiklah suatu agama datang mahu memberhentikan perang. Mata pedang itu bukannya mata syaitan. Bahkan ianya adalah kunci syurga buat hati yang sudah berbunga dengan Maha Pencipta. Islam meraikan kepelbagaian, warna-warninya pelbagai latar belakang budaya dan adat ibarat warna pelangi buat penyinar kehidupan.
Orang kita begitu kuat memegang adatnya. Sehinggakan sering benar berlakunya kekeliruan, adakah sesuatu perkara itu adat atau ibadat? Mungkin ini disebabkan oleh faktor berkembangnya Islam di Tanah Melayu hanya tertumpu pada bidang ibadah ritual sahaja. Aspek lain bukan tidak diambil berat, cuma masih tidak dianggap sepenting ibadah ritual. Akibatnya Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh. Dan apabila tidak menyeluruh, terdapatnya lopak-lopak yang sedia diisi oleh budaya dan adat lama kembali.
Bukan semua yang bernama adat itu baik.
Bagaimana persepsi Islam terhadap ini? Terdapat pendapat di dalam Mazhab Hanbali menolak penggunaan adat di dalam pengamalan Islam. Tetapi tidak bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, adat dihormati sebagai suatu tambahan bernilai di dalam Islam.
Sebagai contoh; penentuan had baligh, haidh dan kadang-kadang jua dalam hal muamalat.
Tetapi yang jelas, fleksibiliti ini terkadang sengaja dilanggar di sesetengah tempat di Tanah Melayu. Adat pepatih misalnya;
"Eh, kalau nak meminang anak dara Negeri Sembilan fikir baliklah!" seorang rakan melontarkan pandangan.
"Kenapa pula?"
"Negeri Sembilan masih kuat pegangan adat pepatihnya, silap besarlah kalau jadi suaminya!" dia menambah.
Pastinya tidak adil untuk saya memukul rata, tetapi sudah resmi peribahasa; disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.
Adalah sesuatu yang melampau apabila adat telah diletakkan melebihi batas-batas yang dibenarkan. Dan bagaimana perkara ini masih bertahan di sana? Jawapannya, semenjak zaman kolonial lagi telah diluluskan 'The Custom Tenure Encament (FMS) cap 215' di Negeri Sembilan. Akta yang tidak langsung rasional ditengah-tengah wujudnya pengamal Islam dengan meletakkan undang-undang Pepatih lebih tinggi daripada undang-undang lainnya. Sehinggakan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan(JAINS) pun tidak dapat berbuat apa-apa.
Mungkin ini kepincangan yang membuatkan mata-mata pena mencatat rentetan sejarah kejumudan yang berlaku terhadap orang-orang Melayu. Parahnya adat sehingga boleh bawa barah. Iakah Salmah?
Lidah dan pena yang benar sering menginjak-injak nilai keselesaan pihak yang buta pada kebenaran. Maka apa kaitan Islam dan adat? Islam turun melengkapkan adat, meninggikan martabat dan membawa manusia beradat ke jalan selamat.
Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitab Allah,
Kuat adat tak gaduh hukum,
Kuat hukum tak gaduh adat'
Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.
MS Rizal,
57000, Kuala Lumpur,
04 April 20098 Rabiulakhir 1430
http://msrizal.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment
Saya amat berbesar hati jika anda dapat meninggalkan jejak anda di sini. Saya amat sensitif dengan bahasa SMS, kalau boleh kurangkanlah ya... Terima Kasih kerana sudi membaca...